Polimik itu tiada penghujung tetapi ternyata daripada ayat al-Quran itulah UMNO dan penyokongnya dilemparkan dengan pelbagai tuduhan, hingga peringkat kafir-mengkafir.

Namun kini, kerana PAS merestuinya, orang bukan Islam sewenang-wenangnya menggunakan ayat al-Quran untuk kepentingan politik.
Malah gimik kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP kononnya mengikuti amalan khaflifah Umar Ab Aziz memulakan episod ini semua.
Kini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis dan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming, dilaporkan mempersendakan ayat-ayat suci al-Quran dan bukan sekali tetapi telah banyak kali ia dilakukan dalam sesi ceramahnya sebelum ini.
Malah BELIAU YANG JUGA Setiausaha DAP Perak, dikatakan mempersendakan ayat suci al-Quran semasa mengadakan ceramah di Bukit Gantang, Perak, malam semalam.
Tindakan Kor Ming yang membaca al-Quran dalam ceramahnya dikatakan dengan tujuan bagi meraih sokongan orang Melayu.
Berikutan itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengutuk tindakan itu apabila Presidennya, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, Kor Ming wajib meminta maaf secara terbuka terhadap perbuatannya itu yang merupakan penghinaan terbesar kepada umat Islam bukan sahaja di negara ini tetapi di seluruh dunia.
Beliau menegaskan, bagaimana mungkin Kor Ming yang langsung tidak beriman dan mempercayai Allah adalah tuhannya dengan sewenang-wenangnya membaca al-Quran demi agenda politiknya.
"Perbuatan ini cukup melampau, satu penghinaan kepada umat Islam, GPMS mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya, kami mahu beliau meminta maaf kepada seluruh umat Islam," katanya.
Sementara itu di Taiping, Perak, Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) membuat laporan polis terhadap Kor Ming.
Laporan tersebut dibuat oleh Presiden BBPM, Osman Abu Bakar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada pukul 6.30 petang semalam.
Beliau berkata, ini bukan kali pertama ADUN berkenaan mempersendakan ayat-ayat suci al-Quran tetapi sudah banyak kali dilakukannya bagi meraih sokongan orang Melayu.
"Ini satu penghinaan kepada orang Islam dan kami menuntut Kor Ming meminta maaf kepada seluruh umat Islam.
"Kami juga minta beliau berhenti berkempen menggunakan ayat al-Quran kerana bacaannya bukan sahaja tidak betul malah beliau menyebut ayat yang dibacanya dari 'Surah Aura' yang tidak wujud dalam al-Quran, tetapi yang ada surah al-A'raf," katanya di Taiping.
"Kalau orang bukan Islam boleh mempersendakan ayat suci al-Quran, hina sangatlah kita kerana bertolak-ansur selepas Raja Melayu dan hak-hak istimewa orang Melayu dipermainkan.
"Lebih dikesalkan, ada orang Islam yang hadir pada ceramah itu bertepuk tangan dan bersorak gembira selepas Kor Ming membaca ayat al-Quran walaupun salah," ujarnya.
Katanya, Kor Ming boleh membaca al-Quran kalau dia memeluk Islam atau pun untuk tujuan pembelajaran perbandingan agama.