Friday, June 5, 2009

PAS TERKAPAI-KAPAI MENCARI HALA TUJU PERJUANGAN

PAS mengatakan ia bersedia untuk mengganti UMNO dalam pakatan pembangkang sebagai pemerintah di kerajaan Pusat.
Namun, hakikat sebenar ialah PAS sedang mencari arah haluannya sendiri dan banyak perkara belum selesai.
Dalam mencari hala tuju, parti itu masih terkapai-kapai sama ada meletakkan ulama sebagai asas perjuangan sementara dalam konteks hubungannya dengan parti komponen pakatan pembangkang, PAS juga masih terkapai-kapai sama ada ia wajar menjadi pengemudi pakatan pembangkang atau hanya ‘Pak Turut’.
Jelas sekali pendapat dan pendirian Ketua Pemuda, Salahuddin Ayub supaya PAS menjadi pelengkap kepada pakatan pertikaikan dibantah.

Ucapan Salahuddin mengenai perkara itu tidak dipersetuju Pemuda PAS.
''Saya tidak mahu Pas menjadi tunggul, kena duduk di barisan hadapan dan dominan," kataWakil Dewan Pemuda Pas Perlis, Yasir Mat Desa pada sesi perbahasan Muktamar Tahunan Ke-50 Dewan Pemuda PAS di Markaz Tarbiyah, Taman Melewar semalam.

Menurut beliau, ketika PAS semakin ghairah untuk mengejar kemenangan dalam pilihan raya umum, seorang perwakilan mengingatkan agar parti itu tidak menggadaikan prinsip perjuangannya.

Beliau mengingatkan Pemuda PAS Perlis menyokong usaha untuk mengukuh peranan parti dalam pakatan tanpa menggadaikan prinsip perjuangan. Bagaimanapun, katanya: “'Berhati-hati jangan terlalu ghairah hendak kejar kemenangan dalam pilihan raya. Sejak pasca pilihan raya, ramai yang gelojoh tanpa membuat penilaian berhati-hati, ingat balik asal perjuangan, jangan alpa dan dibuai mimpi," katanya.

Soal penting yang turut ditimbulkan Pemuda PAS ialah apakah PAS akan terus menjadi tunggul dalam pakatan pembangkang dengan tiada hala tuju khusus.
Apakah PAS hanya penumpang dan mengikut rentak komponen lain, biarpun bertentangan dengan prinsip PAS?

Kerana itu Dewan Pemuda PAS Perlis dengan tegas mengingatkan pucuk pimpinan parti itu bahawa PAS tidak boleh menjadi tunggul dalam pakatan pembangkang sebaliknya perlu berada di barisan hadapan.

Dalam konteks peranan ulama dalam PAS, Dewan Ulama PAS terpaksa membentangkan usul bagi menunjukkan ketegasannya dalam memastikan konsep kepimpinan ulama dalam parti itu terus kukuh.

Persoalannya kini, kenapa ulama dalam PAS semakin dipinggirkan?
Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mohamad Daud Mohamad ketika merasmikan muktamar tahunan Dewan Ulama PAS di Shah Alam kelmarin, mengecam kumpulan penyokong aliran profesional yang menyatakan pemimpin aliran pro-ulama menguasai banyak jawatan dalam parti dalam pemilihan kali ini.

Menurut beliau, mereka mendengar cakap yang kurang enak mengatakan ulama ingin membolot kepimpinan PAS, tidak mahu berkompromi dengan profesional dan macam-macam lagi.

Katanya, dalam menguruskan pertembungan dua aliran dalam parti itu, adalah perlu ulama mengeluarkan pandangan baru berlandaskan Islam berhubung perkembangan politik semasa, seperti kerjasama dengan bukan Islam dan juga kerajaan perpaduan.

Beliau memberikan contoh terdekat, ketika Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan idea kerajaan perpaduan, sepatutnya ulama adalah golongan pertama yang menjalankan kajian dan melihat sejauh mana idea ini tersurat dalam lipatan sejarah.

Katanya, Presiden PAS itu mempunyai pembacaan, ijtihad politik yang tinggi yang memerlukan sokongan ahli PAS.
Malah, saranan kerajaan perpaduan Abdul Hadi menjadi "petunjuk besar bahawa ulama PAS tidak pernah ketandusan idea dalam merealisasikan tahalluf siyasi atau kerjasama politik.

Ketua Dewan Ulama berpendapat, kepelbagaian bentuk dan pendekatan yang disebutkan di atas menolak pandangan sesetengah pihak bahawa ulama PAS adalah beku, jumud, tidak bermaya, tidak proaktif dan pelbagai tohmahan yang cuba merosakkkan penampilan ulama dalam arus politik semasa.

Itu kata Mohamad tetapi dalam PAS sendiri, banyak pihak menentang pandangan Hadi, termasuk dari Kelantan yang mengatakan ‘serik dengan perbuatan lampau UMNO’.

Apa yang berlaku sekarang ialah PAS tidak meletakkan kepentingan ulama sebagai asas perjuangannya apabila Presiden dan pandangan Dewan Ulama diketepikan dalam isu kerajaan perpaduan, termasuklah pendirian oleh Musyridul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Naib Presidennya, Datuk Husam Musa.

Persoalan juga ialah, apakah dengan adanya jawatan Timbalan Presiden dan salah seorang Naib Presiden adalah terdiri daripada ulama cukup untuk menunjukkan PAS mementingkan ulama?
Apakah PAS kini berdepan cabaran kumpulan ‘bukan ulama dan profesional’ yang semakin menghakis kedudukan ulama dalam merancang dan melaksanakan program dan hala tuju parti berkenaan?

Usul oleh Dewan Ulama PAS Terengganu di muktamar tahunan Dewan Ulama PAS yang diluluskan tanpa perbahasan semalam yang mengingatkan semua pihak bahawa ulama banyak memegang peranan sebagai pemimpin dan mengembangkan PAS ke seluruh tanah air jelas menuntut pengiktirafan umum dalam PAS.

Perwakilan dari Terengganu, Saiful Bahari Mamat ketika membahaskan ucaptama Ketua Dewan Ulama menegaskan, Presiden PAS dan timbalannya mestilah seorang ulama kerana kedua-duanya akan menganggotai badan berpengaruh besar dalam penggubalan dasar parti tersebut iaitu Majlis Syura.

''Perkara itu mesti dipertegaskan kembali kerana ia digariskan dalam perlembagaan parti. Presiden dan timbalan presiden secara automatiknya akan menganggotai Majlis Syura. Oleh itu mereka mesti alim dan mempunyai kefahaman mendalam tentang agama. Kita mesti mempertegaskan perkara ini," katanya.

Penegasan itu dilakukan selari dengan desakan supaya undang-undang Islam, termasuk hudud dilaksanakan secepat mungkin di negeri-negeri yang kini diperintah oleh pakatan pembangkang.
Hudud? Sudah pasti perlu melangkah mayat Karpal Singh dan rasanya pendirian DAP mengenai perkara itu tidak akan pernah berubah.

Sekali lagi PAS akan berdepan dengan masalah dalam hubungannya dengan parti komponen lain dalam pakatan pembangkang.

Persoalannya, bagaimana PAS boleh ‘memaksa’ Hudud dilaksanakan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor atau sebelum ini Perak dan juga Kelantan?

Selepas dua perkara utama yang jelas belum selepas, iaitu di mana ulama dalam PAS dan di mana PAS dalam pakatan pembangkang, parti yang mendakwa ia parti Islam turut berdepan dengan masalah dalaman paling serius – musuh dalam selimut.

Ketua Dewan Ulama PAS menimbulkan wujudnya ‘musuh dalam selimut’ dalam PAS yang didakwanya "cuba memperkecil dan menidakkan" sumbangan ulama yang menjadi teras kepemimpinan parti itu.

Katanya dengan kecanggihan teknologi sekarang ini, terdapat segolongan kecil penyokong PAS yang cuba memperkecil dan yang lebih teruk lagi menidakkan sumbangan ulama dalam memajukan PAS.

Menurut Mohamad, serangan itu dibuat menggunakan pelbagai teknologi canggih terkini seperti di laman blog dan media elektronik bagi "memburukkan peribadi dan menyerang ulama atas nama kebebasan melulu tanpa batasan akhlak dan syarak".

Jelas, masih banyak perkara yang PAS perlu perbetulkan dan cita-cita menggantikan UMNO di kerajaan pusat bolehlah dijadikan cita-cita perjuangan.

Bagaimanapun sekiranya hala tuju PAS belum selesai dan pertikaian dalaman terus berlaku, PAS tidak akan mampu mengemudi pakatan.

Selagi PAS menjadi pelengkap dalam pakatan, cita-cita PAS untuk memperkenalkan hudud atau pemerintahan Islam tidak akan pernah berlaku.

Kegagalan PAS menegakkan ‘panji-panji perjuangannya’ akan terus dipersoalkan oleh ahli-ahlinya dan masyarakat Islam di Malaysia kalaupun ada yang menyokongnya hanya kerana ia menggelarkannya parti Islam – bukan kerana PAS itu parti Islam!