Monday, November 23, 2015

BERTEMU MUSUH NEGARA - JANGAN BIARKAN IA JADI 'PRECEDENT'

"Daripada gambar-gambar seperti Nurul Izzah memegang poster bersama musuh negara, ianya bukan satu kebetulan sebaliknya perjumpaan itu telah dirancang dan kita perlu tahu apa yang telah mereka bincangkan."
 - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar

Bukan sekadar sekeping gambar tetapi ‘a picture is worth a thousand words’.

Di sebalik gambar, apakah tidak ada perbincangan? Dan jika ada, perkara apa?

Sekadar mengenai perjuangan bersama membebaskan ‘orang dalam penjara’? Tidak setakat itu, mungkin!

Wira Negara kerana pencerobohan di Sabah.
Ada pendapat pemimpin muda DAP yang membandingkan gambar Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bersama 'Puteri' Sulu, Jacel Kiram dengan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sewaktu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York yang tersebar.

DAP cuba mempertikaikan sikap orang ramai dan kerajaan terhadap Nurul Izzah yang dilihat 'double standard'. 

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Zairil Khir Johari mengemukakan pertanyaan: “Saya nampak seperti biasa, ia satu tindakan yang 'double standard' di mana saya rasa ada juga gambar Datuk Seri Najib dengan orang-orang tertentu tapi kenapa YB Izzah kena, Datuk Seri Najib tidak?," katanya kepada Sinar Online.

Gambar Nurul Izzah dan Jacel itu mencetuskan kontroversi berikutan status Jacel sebagai anak kepada Jamalul Kiram III.


Allahyarham Jamalul Kiram III sebelum ini pernah mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu, dalang di sebalik insiden pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada 2013.

Nurul Izzah sewajarnya  dikenakan tindakan tegas kerana anak sulung bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ke luar negara untuk berjumpa dengan anak pengganas yang tidak diiktiraf.

Ia jelas dan nyata merupakan perbuatan salah.

Masih jelas dalam ingatan, iaitu pada Februari 2013, kumpulan penceroboh dari selatan Filipina memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Insiden itu menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera manakala 12 penceroboh bersenjata terbunuh.

Enam lagi anggota polis turut terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna dan dua anggota tentera turut terbunuh bertempur dan kemalangan dalam operasi di Lahad Datu.



Perbuatan Nurul Izzah ini kalau di negara lain, merupakan isu besar yang boleh mencetuskan provokasi dan mengundang kontroversi.

Ini kerana semua maklum, setiap ahli Parlimen baik parti kerajaan mahupun pembangkang, mereka terikat dengan sumpah taat dan setia serta menghormati Perlembagaan.

Lazimnya mereka ini mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong selepas memenangi kerusi pada pilihan raya.

Jika demikian, apakah perbuatan itu bukan sahaja salah tetapi ‘menderhaka’?

Persoalan lain ialah, tidak sensitifkah Nurul Izzah mengenai kejadian pencerogohan dan kesannya selain kejadian susulan selepas itu yang menjadikan sebahagian Sabah kini tidak lagi seperti sebelum serangan dan pecerobohan di Lahad Datu pada 2013?

Jika mahu dikaitkan dengan gambar Najib dan Netanyahu, ibarat langit dengan bumi. Gambar Najib-Nentanyahu bukan kerana pertemuan. Ia langsung tidak dirancang. Ia secara kebetulan – terserempak.

Namun gambar Nurul Izzah ini siap dirancang dan pegang poster dan dengan satu tujuan bersama pula.

Isunya ialah apakah pemimpin pembangkang kita ‘main rembat’ sesiapa sahaja asalkan menyokong perjuangan mereka.

Nurul Izzah pasti tahu siapa bapa Jacel. Apakah dia tidak sensitif dengan kejadian di Sabah dan kematian rakyat Malaysia akibat daripadanya?

Jadi wajar sangat jika rakyat dan pemimpin mengecam tindakan Nurul Izzah itu.

Nurul mengatakan tidak ada apa yang hendak beliau sembunyikan dan lebih daripada bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai lawatan itu.

"Saya memahami keluarga wira negara yang terkorban di Lahad Datu ketika pencerobohan, ahli keluarga Sabah yang terkesan termasuk rakyat Malaysia secara umumnya terkilan dengan gambar saya bersama Jacel Kiram dan untuk itu saya amat kesal," katanya.

Sekadar menyatakan kesal dan tidak merancang untuk mengadakan sebarang pertemuan dengan Jacel - tidak cukup untuk menghilangkan kemarahan rakyat.

Seperti kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC),  Tan Sri Shahrir Samad,  tindakan memohon maaf itu sebagai tidak ikhlas. Ini kerana Nurul Izzah tidak menyesali perbuatannya mengadakan pertemuan dengan anak ketua pengganas itu.

“Sebaliknya, apa yang diperhatikan, dia hanya memohon maaf atas tindakannya yang tersilap langkah dengan memuat naik gambar bersama Jacel Kiram sehingga menggores hati pihak tertentu. Tetapi sekiranya gambar tidak diambil bermakna dia tidak kesal,” katanya.

Menurut Shahrir, pihaknya akan membawa isu pertemuan Ahli Parlimen Lembah Pantai, itu dengan anak perempuan bekas ketua pengganas Jamalul Kiram III Jacel Kiram,  kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, hari ini (23 November).

Pihaknya akan membangkitkan perkara tersebut supaya jawatankuasa berkenaan dapat melakukan soal siasat untuk mendisiplinkan Naib Presiden PKR itu kerana tindakan beliau bertentangan dengan sumpah taat setia yang dilafazkan sebagai ahli Parlimen.

Bukan sahaja Nurul Izzah perlu disiasat tetapi juga yang sama berkunjung ke Filipina pada 9 November lalu iaitu Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, yang pernah dikaitkan dengan pencerobohan di Sabah,  patut sama disiasat.

Malah kita mahu pihak berkuasa menyiasat perkara ini secara seadil-adilnya dalam konteks keselamatan negara dan jika tindakan tegas perlu diambil, ‘just do it’.

Jangan biarkan perbuatan Nurul Izzah ini menjadi precedent dan ikutan yang akhirnya bertemu pihak musuh negara pun ia sebagai suatu ‘kebiasaan’.

Rakyat yang waras dan pentingkan keselamatan dan kestabilan akan menyokong tindakan pihak berkuasa itu.

Semalam, polis mengatakan Naib Presiden PKR itu  boleh disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan berhubung tindakannya bertemu anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Nurul Izzah yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai akan dipanggil untuk memberi kenyataan minggu depan berikutan tindakannnya yang boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara.

Walaupun Nurul Izzah telah memohon maaf, perbuatannya tetap dianggap serius apabila anggota Parlimen Malaysia bertemu dengan musuh negara yang telah menyerang sebahagian negara kita, kata Khalid.

Sebagai anggota Parlimen, Nurul Izzah tidak sepatutnya bertemu dengan musuh negara yang telah menyebabkan ramai anggota polis dan tentera terkorban.

Berikutan itu polis juga akan menyiasat sekiranya terdapat kemungkinan serangan di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 didalangi oleh pihak tertentu dari dalam negara berikutan pertemuan Nurul Izzah itu.

"Daripada gambar-gambar seperti Nurul Izzah memegang poster bersama musuh negara, ianya bukan satu kebetulan sebaliknya perjumpaan itu telah dirancang dan kita perlu tahu apa yang telah mereka bincangkan," katanya.