Dua puluh tahun berlalu.
Saya masih ingat pada awal malam pemilihan UMNO 1988 ketika menunggu keputusan, saya berada di Sri Perdana. Ketika itu keresahan memang terbayang pada wajah Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Keresahan juga terbayang pada penyokong Dr Mahathir ketika itu kerana jika tewas akan berakhirlah ‘riwayat politik Dr Mahathir’ dan akan ada perubahan besar dalam scenario politik Malaysia.
Saya masih ingat dengan jelas kerana ketika itu saya ditugaskan oleh Berita Harian untuk membuat liputan berkenaan. Selain menulis berita, peristiwa penting mengenai pemilihan 1988 saya garapkan dalam buku saya “UMNO Baru Milik Siapa” diterbitkan oleh percetakan Allahyarhamn Pak Harun – Percetakan Pena di Jalan Pahang.
Saya berterimakasih kepada Saudara A Jalil Ali (kini orang besar di Karangkraf) kerana mengusahakan buku berkenaan diterbitkan selain kepada Allahyarham Halim Mahmood (bekas penulis buku politik) yang turut menilai kandungannya.
Ini adalah buku politik saya yang kedua selepas “Sejarah Perjuangan Pemuda UMNO” diterbitkan pada 1985 berdasarkan tesis ijazah sarjana M.Soc.Sc pada 1982.
Berbalik kepada suasana di Sri Perdana malam itu, ia tidak semeriah dan seramai mana, dan apabila diumumkan keputusan yang memberikan kemenangan kepada Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO, majlis di Sri Perdana itu pun bagaikan berakhir.
Dan selepas keputusan, ada reshuffle Kabinet dan ramai menteri dan timbalan menteri yang digugurkan daripada kumpulan yang menyokong regu-Razaleigh Musa.
Yang paling terserlah ialah Tengku Razaleigh Hamzah (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Menteri Luar, Datuk Rais Yatim, Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah, Datuk Seri Adib Adam, Menteri Besar Johor, Datuk Shahrir Samad, serta beberapa yang lain selain Datuk Radzi Sheikh Ahmad (Timbalan Menteri Dalam Negeri), Datuk Paduka Rahmah Othman (Timbalan Menteri Pengangkutan) serta ramai lagi.
Mereka yang dilantik baru ramai juga daripada kalangan ‘ikan kering yang hidup semula apabila diberikan air, “ termasuklah Datuk Seri Mohamed Rahmat. Beliau kembali ke Kementerian Penerangan.
Kebetulan ketika itu Mohamed ialah Ahli Parlimen Pulai yang sebelum itu digugurkan oleh Dr Mahathir sebagai Menteri Penerangan dan dijadikan Duta ke Indonesia tetapi berstatus menteri.
Hakikatnya, ketika itu banyak juga kalangan yang baru dilantik bagaikan tangkap muat sahaja.
Jadi apabila Dr Mahathir berkata dalam blognya: “Jika Kerajaan Najib berkehendakkan kelainan daripada Abdullah maka penyokong Abdullah tidak boleh turut serta”, ia mengingatkan saya kepada tindakan Dr Mahathir terhadap Kabinet 1988 itu.
Banyak pihak mengatakan Kabinet yang dibentuk selepas pemilihan 1988 itu adalah yang ‘paling lemah’ walaupun mempunyai pemimpin seperti Tun Ghafar Baba, Sanusi Junid, Anwar Ibrahim, Yusof Nor, Rafidah Aziz dan beberapa yang lain.
Yang pasti, mereka yang memihak kepada Dr Mahathir, walaupun baru dan kurang pengalaman memperoleh jawatan yang baik dan sebagai Presiden parti, Dr Mahathir terpaksa memilih di kalangan mereka yang setia kepadanya.
Ruang dan peluang ini sebenarnya antara punca membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim melebarkan pengaruhnya dan tidak pelik jika hanya beberapa tahun selepas itu beliau melonjak ke kerusi Timbalan Presiden UMNO selain Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.
Malah Datuk Seri Mohd Najib Razak sendiri turut mendapat habuan kerana ‘setianya’ kepada Dr Mahathir.
Dan Kabinet ‘ setia’ ini bertahan beberapa ketika sehinggalah pilihan raya 1990 yang menyebabkan Kelantan ‘lingkup’ dan tidak dapat diambil balik oleh Barisan Nasional selepas empat percubaan pilihanraya umum 1995, 1999, 2004 dan 2008.
Kemenangan Pas dan sekutunya Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1990 itu pada asasnya diakibatkan oleh pemilihan 1988 dan ‘bahananya’ dirasai hingga kini.
Malah cubaan Tengku Razaleigh sendiri sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan turut gagal pada 1999.
Dan jika ditakdirkan Datuk Seri Mohd Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan beliau akan membantuk Kabinetnya tahun depan, apakah beliau akan bersandarkan kepada formula ‘setia’ atau ‘perpaduan’ dalam UMNO?
Perlukah beliau membawa kembali mereka seperti Rafidah Aziz, Tengku Adnan Tengku Mansor seperti Dr Mahathir membawa kembali Mohamed Rahmat dan Tun Ghafar pada 1988 kerana membalas budi atau sebuah Kabinet untuk ‘bergerak ke hadapan?”
Atau apakah mereka yang dikatakan menyokong kuat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seperti Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed, Datuk Ahmad Shabery Cheek
Datuk Azalina Othman Said, Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Muhammad Mohd Taib serta beberapa yang lain akan digugurkan?