Friday, February 12, 2010

KARPAL ATAU HAKIM MOHD ZABIDIN ‘BOHONG’?

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah ‘bohong’ atau Karpal Singh sengaja menjadikan’ perkataan sekali lagi’ sebagai cara menangguhkan perbicaraan?

Gara-gara bantahan Karpal Singh yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim, perbicaraan kes liwat terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu terpaksa ditangguhkan lagi.

Anwar, 63, sedang dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Perbicaraan masuk hari keenam semalam tetapi ditangguhkan bagi mendengar permohonan oleh pihak pembelaan itu.

Terdahulu, Karpal menyatakan Hakim Mohamad Zabidin 'bersalah' kerana tidak memberitahu perkara yang benar dan menunjukkan bahawa beliau tidak layak untuk duduk di kerusi hakim serta meneruskan perbicaraan.

Mohd. Yusof berhujah terhadap kenyataan Karpal: ''Bagaimana Yang Arif boleh membuat kesimpulan bahawa Utusan Malaysia tidak mempunyai niat jahat. Niat itu datang dari Utusan Malaysia, bukan dari mahkamah ini.

''Yang Arif perlu menebus kekhilafan diri. Seorang hakim tidak boleh menipu atau memperkatakan sesuatu yang tidak benar.”

Juga gara-gara Karpal, kini timbul keadaan – sama ada Hakim Mohamad Zabidin akan menarik diri atau terus mendengar perbicaraan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Keputusannya hanya akan diketahui Khamis depan. Lambat tu! Tarikh berkenaan ditetapkan oleh hakim tersebut yang memerlukan masa untuk meneliti hujah-hujah yang dikemukakan oleh peguam bela utama tertuduh, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan.

Karpal dan Mohd. Yusof semalam berhujah berhubung permohonan Anwar yang difailkan Isnin lalu agar Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan tersebut atas dakwaan berat sebelah kerana enggan mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia.

Ekoran permohonan itu juga, perbicaraan yang sepatutnya disambung dengan soal balas pihak pembelaan terhadap pengadu, Mohd. Saiful , Isnin lalu terbantut. Ini merupakan penangguhan kali kedua sejak perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar dan Mohd. Saiful bermula pada 3 Februari lepas.

Pada tarikh tersebut, bekas pembantu peribadi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mula dipanggil memberi keterangan dalam pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan dan berakhir pada 5 Februari lalu.

Selain itu juga timbul perkara baru sama ada Anwar patut minta maaf kepada Utusan Malaysia atau sebaliknya.

Namun bagi Mohd. Yusof, Zainal Abiden Anwar dan pasukan pembelaannya sewajarnya meminta maaf kepada Utusan Malaysia.

Beliau berhujah terhadap Anwar dan pasukan pembelaannya yang mendakwa Utusan Malaysia membuat laporan tidak tepat pada perbicaraan kes liwat beliau.

Menurut Mohd. Yusof, berdasarkan rakaman audio dan nota prosiding mahkamah, Mohd. Saiful Bukhari Azlan semasa memberi keterangan pada perbicaraan kes itu memang ada menyebut perkataan 'lagi' dan ia bukan disebut sekali sahaja tetapi dua kali.

Jelas Mohd. Yusof, ketika disoal olehnya apa sebab dia (Mohd. Saiful Bukhari) berhenti kerja dengan Anwar, saksi itu menyatakan ''Sebab sebenar saya tidak rela lagi..." dan bagi soalan ''Apa respons kamu?'', pemuda itu menyatakan ''Saya tidak sanggup melakukannya lagi...".

''Karpal Singh dengan mudah lupa segala tuduhan yang serius terhadap Utusan Malaysia. Ini adalah serius. Dalam afidavit saya ada menyatakan 'saya rasa saya dengar dia (Mohd. Saiful Bukhari) menyebutnya'. Sekarang ia menunjukkan memang ada perkataan itu disebut. Asas kepada aduan Karpal telah terhapus sama sekali,''

Mohd. Yusof menyatakan demikian ketika berhujah bagi membantah permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu supaya Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar kes itu kerana didakwa berat sebelah.

Anwar mengemukakan permohonan itu setelah hakim tersebut menolak permohonannya agar Utusan Malaysia dikenakan tindakan menghina mahkamah berhubung artikel dan tajuk 'Tak rela diliwat lagi' pada keluaran 4 Februari lalu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga tidak berpuas hati dengan tindakan mahkamah yang menolak permohonannya supaya Utusan Malaysia diberi peringatan berhubung penyiaran kapsyen gambar di muka hadapan akhbar itu pada 5 Februari lalu.

Mengenai aduan terhadap gambar tersebut, Mohd. Yusof berkata, keterangan gambar berkenaan adalah 'kabur' kerana perkataan 'tempat' dalam kapsyen itu tidak menyatakan secara spesifik ia adalah katil atau bilik.

Menurutnya, beliau tidak melihat sebarang masalah berhubung kapsyen tersebut kerana Utusan Malaysia tidak menyatakan ''katil di atas di mana kesalahan itu dilakukan''.

''Perkataan merujuk kepada katil atau bilik? Jika ia bermaksud bilik, maka ia adalah betul. Bilik dan katil ada disebut di mahkamah terbuka. Jadi, Yang Arif adalah betul,'' katanya.

Dalam keterangan Mohd. Saiful Bukhari, katanya, saksi itu ada menyatakan ''Beliau (Anwar) arahkan saya ke bilik tidur utama..." dan ''Anwar berada di hujung penjuru katil''.

Sementara itu, Mohd Yusof turut sempat menegur tindakan Karpal yang menggunakan perkataan 'berbohong' terhadap hakim tersebut yang disifatkan terlalu kasar.

''Untuk mengatakan Yang Arif berbohong adalah terlalu kasar. Walaupun kita boleh berhujah sebaik manapun untuk anak guam kita, tetapi menggunakan perkataan kasar adalah tidak wajar.

Kita boleh berbuat demikian dengan sopan dan beretika,'' katanya.

Karpal ketika berhujah telah menyatakan Hakim Mohamad Zabidin 'telah menipu dan telah terbukti menipu.'

Disebabkan 'penipuan' itu, hakim tersebut, ujar Karpal, tidak mempunyai alternatif lain selain menarik diri daripada perbicaraan.

Mohd. Yusof seterusnya menyatakan, dalam membuat laporan tentang kes tersebut, pemberita mungkin tersilap dengar, tetapi tidak berniat jahat.

''Hari ini, terbukti bahawa apa yang dilaporkan adalah betul berdasarkan nota prosiding. Oleh itu, kamu (barisan peguam dan Anwar) perlu memohon maaf kepada Utusan Malaysia,'' tegasnya.
Menurutnya lagi, para hakim telah dilatih agar membataskan diri mereka kepada keterangan yang ada di mahkamah dan bukannya kepada laporan akhbar.

''Mahkamah yang adil dan tidak berat sebelah akan membuat keputusan berdasarkan bukti. Adalah terlalu awal untuk menyatakan Yang Arif bersikap berat sebelah,'' katanya.

Ujar beliau lagi, mahkamah tidak sepatutnya mengetepikan isu sebenar yang ada di hadapannya dan dalam kes ini, apa jua dilaporkan oleh akhbar adalah sesuatu yang berasal dari luar.

Maka, katanya, adalah terlalu awal untuk menyatakan Hakim Mohamad Zabidin berat sebelah kerana faktor keadilan dan tidak berat sebelah sesebuah mahkamah akan ditentukan berdasarkan kepada bukti di mahkamah.

Mohd. Yusof turut menekankan bahawa seseorang hakim tidak perlu menarik diri melainkan jika ada perkara atau sebab semasa perbicaraan bahawa hakim itu bertindak berat sebelah.

Sumber: Bernama/Utusan Malaysia

KALAU TIDAK KERANA DATUK AHMAD SAID...

“Kalau tidak kerana Datuk MB ini, saya mungkin masih merengkok di sana. Saya amat berterima kasih kepadaMB dan YB saya (YB Ahmad Razif Abdul Rahman).”

Dengan nada sebak, Che Wan Budiman Che Wan Ngah, 31, menyatakan terima kasihnya di atas usaha kerajaan negeri Terengganu membebaskan beliau khususnya Datuk Ahmad Said.

Sambil bergenang air mata, Che Wan Budiman menyatakan belia berterima kasih kepada Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Ahmad Razif yang bertungkus-lumus berusaha dan mengadakan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi membebaskannya.

Itulah kenyataan daripada seorang rakyat menggambarkan betapa “rakyat didahulukan’ dan kerajaan negeri yang ‘cakna rakyat’.


Ternyata Ahmad Said begitu prihatin masalah Che Wan Budiman dan mengarahkan Mohd Razif ke Pontianak bagi menguruskan pembebasan rakyat negeri Terengganu yang ditahan itu.

Difahamkan, ada seorang yang lain (bergelar Datuk) bertungkus lumus membantu Ahmad Razif menguruskan pembebasan Che Wan Budiman yang sanggup ke Jakarta dan Pontianak bagi tujuan itu.

Malah, kelmarin (Rabu), Ahmad Razif pagi-pagi terbang ke Kuching menyambut Che Wan Budiman yang melalui jalan darat untuk membawanya pulang dari Pontiak.

Dengan pesawat yang lewat penerbangannya dari Kuching (MH 2551), Ahmad Said berada di KLIA yang dijadualkan tiba pada 3.45 petang tetapi terlewat hamper dua jam dengan wartawan menunggu kepulangan Che Wan Budiman bersama-sama Ahmad Razif.

“Alhamdulillah, akhirnya derita menanggung kerinduan terhadap abah sejak hampir empat bulan lalu terubat juga dengan kepulangan saya dan sepanjang berada di sana saya hanya terfikir abah,” kata bapa kepada dua cahaya mata ini dengan penuh sebak.

"Saya ingin meminta maaf daripada ayah kerana menyebabkan bot pusaka yang diwarisi sejak lebih 32 tahun lalu dirampas pihak berkuasa Indonesia. Saya tahu bot itu amat bermakna bagi ayah kerana ia digunakan secara turun temurun bagi menyara 11 anak sebelum ini," kata Che Wan Budiman.

"Saya tidak serik untuk meneruskan kerjayanya sebagai nelayan kerana kerja itu sudah menjadi mata pencariannya sejak belasan tahun lalu," katanya ketika ditemui sejurus tiba dari Kuching, Sarawak, kira-kira jam 5.20 petang dengan menaiki pesawat MH2515 di KLIA.

Che Wan Budiman disambut Menteri Besar dan Ahmad Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri serta ahli keluarga.

Dia yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berkata tiada perkataan yang dapat menggambarkan kegembiraannya sebaik menjejakkan kaki ke tanah air selepas hampir tiga bulan ditahan di Pontianak, Kalimantan.

Che Wan Budiman dari Seberang Takir, Kuala Terengganu, adalah tekong bot yang ditahan pihak berkuasa Indonesia bersama empat rakannya pada 12 November tahun lalu selepas didakwa menceroboh perairan negara berkenaan.

Che Wan Budmiman rasa bersalah dan sedih kerana akibat kecuaiannya, bot itu dirampas menyebabkan mereka sekeluarga kehilangan satu-satunya pusaka yang selama ini digunakan sebagai sumber pendapatan membesarkan adik beradik lain.

“Akibat ketakutan ketika itu, saya langsung tidak berasa sakit apabila terkena tembakan pada lengan sebelah kiri oleh pasukan Tentera Laut Indonesia kira-kira empat bulan lalu,” demikian kata Che Wan Budiman Che Wan Ngah, 31.

Menurut Che Wan Budiman, akibat ketakutan yang ‘terlampau’ itu juga dia seperti tidak mendengar arahan diberikan pihak berkuasa Indonesia melalui tembakan amaran ke udara dan seterusnya membuatkan dirinya ditembak kerana ingkar setelah di suruh berhenti.

“Bagaimanapun, kesakitan mula terasa sebaik dibawa naik ke atas bot tentera itu dan kami terpaksa menempuh perjalanan di laut hampir lima jam sebelum sampai ke darat dan ketika dalam bot itu juga saya turut diberi rawatan oleh pihak tentera terbabit.

“Namun, dalam keadaan kelam kabut, ditambah peralatan kurang mencukupi rawatan yang diberikan hanya sekadar termampu sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu selepas ketibaannya kira-kira jam 9.000 malam dari KLIA.

Menurut beliau, sepanjang berada di pusat tahanan dia dilayan dengan baik serta bebas tidak seperti mana digambarkan sesetengah pihak sebelum ini dan penahanan itu dilakukan kerana terpaksa mengikut proses undang-undang.

Selain bersyukur dengan pembebasannya serta ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pelbagai pihak yang telah banyak membantu terutamanya Kerajaan Negeri, kepulangannya dianggap sebagai satu nikmat besar yang tidak terhingga.

“Alhamdulillah, akhirnya derita menanggung kerinduan terhadap abah sejak hampir empat bulan lalu terubat juga dengan kepulangan saya dan sepanjang berada di sana saya hanya terfikir abah,” kata bapa kepada dua cahaya mata ini dengan penuh sebak.

Sumber: Sinar Harian/Harian Metro