Sunday, July 3, 2016

PERTUDUHAN RASUAH - KEADILAN UNTUK GUAN ENG BUKAN SOLIDARITI TETAPI MAHKAMAH...


“... untuk menutup ‘aib’ kerana perbuatannya dan kerajaan Pulau Pinang turut dipalitkan, DAP mencipta cerita kononnya tindakan itu bermotifkan politik, konspirasi dan sebagainya. Ia tidak lain taktik dan jalan mudah cuba menutup salah laku  Guan Eng dan kerajaan negeri pimpinan DAP yang terpalit dengan rasuah.”

Kes pendakwaan Lim Guan Eng menyerlahkan sifat sebenar Setiausaha Agung DAP itu, khususnya dalam kaitan dengan integriti beliau, parti DAP  dan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Selama ini sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Guan Eng  mengatakan kerajaannya paling telus dan terbersih.

Isunya sekarang kenapa perlu diwujudkan sokongan melalui solidariti untuk beliau? Apakah melalui cara politik sedemikian, keadilan sebenar dapat ditegakkan?

Juga sementara menunggu perbicaraan, wajarkah Guan Eng terus memegang jawatan Ketua Menteri? Kenapa tidak bercuti atau melepaskan jawatan?

Untuk ‘menegakkan benang basah’,  Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang berkempen untuk solidariti baginya. Solidariti untuk apa?

Malah sesi taklimat di Dewan Sri Pinang pada pukul 10 pagi ini bagi menjelaskan perkara itu kepada orang ramai adalah langkah segera untuk mengumpulan pendapat umum kononnya Guang Eng bersih. Juga kononnya untuk menghapuskan kekeliruan orang ramai dan rakyat negeri itu.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden AMANAH Mohamed Sabu dijangka hadir di sesi itu. Tidak pula dinyatakan apakah pemimpin PAS akan hadir.

Apabila sudah tersepit, sanggup tunduk demi sokongan!
Berslogankan Cekap, Amanah dan Telus (CAT), yang dicipta dan diperjuangkan oleh Guan Eng, tidak menggambarkan keadaan sebenar apabila dua pertuduhan dikemukakan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Khamis lalu.

Kedua-dua pertuduhan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, walaupun belum dibuktikan benar, dan Guan Eng sendiri dibenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta - tetap membawa gambaran bahawa kepimpinan Guan Eng wajar  dipersoalkan dalam banyak perkara.

Bagi pertuduhan pertama Guan Eng  didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng  didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta yang mana tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya (Lim). Untuk mengetahui lebih lanjut peristiwa penahanan dan dakwaan Guang Eng, baca di sini dan di sini.

Untuk menutup ‘aib’ dengan pertuduhan disebabkan perbuatannya sendiri dan kerajaan Pulau Pinang turut dipalitkan, DAP dan Guan Eng mencipta cerita kononnya tindakan itu bermotifkan politik, konspirasi dan sebagainya.

Solidariti Guan Eng untuk apa?
Itu semua adalah taktik dan jalan mudah sebagai usaha  menutup salah laku  Guan Eng dan kerajaan negeri pimpinan DAP.

Pokoknya jangan kes rasuah dikaitkan dengan isu lain. Yang penting, buktikan di mahkamah, beliau tidak bersalah. Itu saja yang wajar dilakukan untuk membersihkan dirinya.

Lebih menghairankan ialah apabila Kit Siang berkata beliau sendiri akan menjelajah ke seluruh negara bagi meninjau pendapat sama ada Guan Eng patut bercuti atau meletakkan jawatan selaku ketua menteri Pulau Pinang susulan proses pendakwaan yang didepani pada masa ini.

Walaupun Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan DAP Pulau Pinang telah membuat keputusan bahawa Guan Eng tidak perlu meletakkan jawatan, Kita Siang berkeras mahu mendengar pandangan luar.

Sedangkan jika diasaskan kepada prinsip kerajaan DAP Pulau Pinang iaitu CAT ciptaan Guan Eng sendiri, apabila didakwa di mahkamah, sewajarnya beliau mengambil cuti daripada pentadbiran kerajaan negeri, sehingga kesnya selesai.

Sebagai kerajaan yang memperjuang CAT, Guan Eng sepatutnya lebih memahami bahawa kes beliau belum selesai walaupun mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Walaupun Guan Eng bukan seorang penjawat awam yang dilantik melalui Jabatan Perkhidmatan Awam yang tertakluk kepada Perintah Am, Lim harus faham bahawa pertuduhan itu dibuat berasaskan kedudukannya sebagai seorang penjawat awam selepas siasatan dijalankan.

"Bagaimana pentadbiran kerajaan dapat berjalan lancar sekiranya ketuanya dibayangi tuduhan penyelewengan?

Kelmarin,  Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata, jika Guan Eng  seorang yang bermoral dan mempunyai sikap akauntabiliti, dia  harus melepaskan jawatannya atau bercuti sehingga namanya bersih daripada sebarang tuduhan.

Jahara yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Ayer Tawar berkata beliau percaya Lim akan mempunyai ruang dan peluang yang sepenuhnya untuk membuat pembelaan di mahkamah.


UMNO Pulau Pinang turut mendesak Guan Eng supaya segera melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri dan jawatan lain yang disandang selepas beliau dihadapkan ke Mahkamah Tinggi atas dua pertuduhan rasuah.

Pengerusi Perhubungan UMNO  Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata tindakan itu adalah perlu bagi menjamin integriti jawatan ketua menteri Pulau Pinang tidak dipertikaikan.

Ini kerana belum pernah ada ketua menteri di negeri itu yang disiasat dan didakwa di mahkamah atas pertuduhan salah laku rasuah. “Ini bukan pendakwaan politik (political persecution) kerana yang didakwa adalah seorang pemimpin parti pembangkang. Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat setelah siasatan yang teliti, rapi dan professional dilaksanakan oleh SPRM," katanya.

MCA turut mengingatkan Guan Eng bahawa rakyat sedang memerhati sama ada beliau cakap serupa bikin dengan bercuti sementara menunggu kes pendakwaan rasuah terhadapnya selesai.

"Sebelum ini, dia minta orang lain letak jawatan dan bercuti. Sekarang giliran kamu, rakyat akan lihat apa dia mahu buat,” kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang mengambil pendirian yang lebih lembut dengan mencadangkan Lim supaya bercuti sementara menunggu perbicaraan agar tidak dicop ‘cakap tak serupa bikin’.

"Adakah DAP akan buat pengecualian untuk (Guan Eng) terus menjadi KM Pulau Pinang walaupun tuduhan rasuah di mahkamah? Dwi-standard?" soalnya di Twitter.

Namun semua pandangan itu berbeza dengan  Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengatakan PAS tetap berpegang pada pendirian presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Guan Eng tidak bersalah sehingga dibuktikan sedemikian.

Tuduhan tidak boleh menjadi satu keputusan dan meminta agar mahkamah dibenarkan membuat keputusan. Tuan Ibrahim berkata, PAS juga mengharapkan setiausaha agung DAP itu akan mendapat pembicaraan yang adil.

PAS juga  kesal dengan tindakan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menjadi hakim kepada siasatan SPRM terhadap Datuk Seri Najib Razak sebelum ini tanpa membawa kes tersebut ke mahkamah untuk dibicarakan seperti yang berlaku pada Guan Eng, di mana beliau menjadi ketua pendakwaraya.

Pandangan PAS itu sealiran dengan dengan DAP di mana mereka ingin Guan Eng kekalkan jawatannya.
 mereka.

Turut menghairankan ialah apabila Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang memberi sokongan padu mereka kepada Guan Eng apabila pada mesyuarat PH di Komtar hari ini, ia memutuskan bahawa Lim tidak perlu mengambil cuti atau meletak jawatan walaupun berdepan dengan dua pertuduhan rasuah.

Mereka menerima cadangan Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow untuk bersatu bersolidariti bersama Lim, yang juga setiausaha agung DAP.

Bersama Lim di majlis itu ialah pengerusi PKR negeri Datuk Mansor Othman dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mujahid Yusof Rawa.

Mansor berkata PKR memutuskan bahawa Lim tidak perlu melepaskan jawatannya sebagai KM kerana tuduhan terhadapnya adalah "bermotifkan politik". Selain itu, KM tidak ada kaitan, pengaruh atau kuasa ke atas pihak berkuasa seperti SPRM  dan polis.

Mansor mengulangi bahawa tuduhan terhadap Guan Eng adalah bermotifkan politik untuk memusnahkan kerjaya politiknya di mana ia dirancang untuk melemahkan hubungan dan perpaduan di antara parti-parti PH  di Pulau Pinang dan Malaysia.

Mujahid yang bersetuju dengan Mansor, berkata AMANAH akan berdiri teguh dengan DAP dan PKR dalam perkara itu. "Kami menggesa Lim untuk meneruskan tugasnya sebagai KM," katanya.

Sebagai tanda terima kasih kepada PH, Guan Eng berdiri dan tunduk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakannya di atas sokongan mereka, dan tindakannya itu mengejutkan mereka. Chow turut mengucapkan rasa terima kasihnya kepada AMANAH dan PKR kerana berdiri teguh bersama dalam masa yang memerlukan itu.

PH dikatakan akan melancarkan beberapa program solidariti bersama Lim dan ia akan bermula selepas sambutan Hari Raya. "Kami menyokong KM sepenuhnya apabila beliau membersihkan namanya semasa perbicaraan yang bermula pada 22 September sehingga kita mencapai kemenangan di mahkamah."

Di pihak Kit Siang pula , beliau menegaskan akan mengadakan lawatan ke seluruh negara untuk mendengar pandangan sama ada Guan Eng perlu meletak jawatan atau atau mengambil cuti sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Atau (jika beliau) kekal dalam jawatannya dan tidak tunduk kepada kuasa yang bermaharajalela dan tekanan dalam pertempuran terbaru ini," ujar Kit Siang dalam kenyataan, semalam.

Beliau cuba mengaitkan dengan kes Perdana Menteri, apabila mengatakan jika Datuk Seri Najib Razak diberi layanan yang sama oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia )SPRM), perdana menteri itu akan disoal selama 16.4 tahun membabitkan dakwaan skandal 'derma' RM4.2 bilion yang diterimanya.

Ini kerana dakwaan skandal 'derma' RM4.2 bilion melibatkan Najib itu adalah 1,500 kali lebih besar daripada dakwaan bango RM2.8 juta ke atas Guan Eng.

"Dan jika Najib diberi layanan yang sama oleh SPRM seperti Guan Eng dengan beliau telah disoalsiasat selama kira-kira 30 jam untuk empat hari, Najib pula perlu disoal siasat selama 6,000 hari.

"Bayangkan Najib keluar masuk pejabat SPRM untuk disoal siasat selama 16 tahun dan 4 bulan, dari bangun tidur waktu pagi sehingga tidur pada waktu malam dan tidak dapat berbuat apa-apa lagi," tambahnya.
Amat nyata, apabila Kit Siang dan DAP mengambil keputusan supaya Guan Eng tidak melepaskan jawatan, rakyat boleh menilai antara pendirian DAP dan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana ketika Tan Sri Abdul Rahim Tambi Chik didakwa di mahkamah, Guan Eng bersungguh-sungguh mahu beliau meletak jawatan.

Demikian juga dalam kes Dr Mohamad Khir Toyo dikaitkan dengan dakwaan demikian, Khir meletakkan jawatan Ketua Pembangkang Selangor dan memulangkan semula Darjah Kebesaran Selangor.

Sebaliknya apabila kena batang hidung sendiri, Guan Eng bukan sahaja enggan melepaskan jawatan, malah menuduh ada pihak lain yang cuba menjadikannya kambing hitam.

Hakikat sebenar ialah pendakwaan terhadap dirinya menguji sikap dan pendirian sebenar Guan Eng dalam membuktikan soal integriti dan kredibiliti yang dilaung-laungkan selama ini.

Dengan kata lain, Guan Eng tidak layak memegang jawatannya itu sehinggalah didapati tidak bersalah oleh mahkamah.

Namun dengan berkeras mahu meneruskan juga sebagai Ketua Menteri, Guan Eng merendahkan dirinya sendiri, selain partinya DAP.

Jika dilepaskan Guan Eng mungkin boleh  mendabik dada dia bertindak betul tetapi sekiranya didapati bersalah olah mahkamah, integriti dan kredibiliti yang dilaungkan olehnya selama ini hanyalah sandiwara untuk kepentingan kuasa dan politik bagi dirinya dan DAP semata-mata.