Demikian menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Takut nanti dipalitkan atau sedikit sebanyak akan tercemar atau tercalar imej mereka dan ini boleh menjejaskan imej parti.
Pepatah Melayu ada mengatakan tiada angin masakan pokok bergoyang. Salah tidak bersalah hanya atas hakim atau mahkamah.
Bukan tidak ada pembunuh yang dibebaskan dan bukan tiada pesalah yang boleh lepas begitu sahaja. Mahkamah dicipta manusia dan hakim adalah manusia. Peguam juga manusia dan kerjanya sama ada memperbetulkan yang salah atau menyalah mereka yang memang salah!
Tengku Adnan sendiri berdepan dengan beberapa kes yang membabitkan kepentingan awam, malah penggendalian ibu pejabat UMNO olehnya turut dipersoalkan oleh beberapa bahagian yang bermasalah.
Tanya bekas Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah atau Ketua UMNO Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin, apa pandangan mereka terhadap Tengku Adnan.
Namun kerana ada yang ‘melindunginya’ dengan melantik semula beliau sebagai Setiausaha Agung UMNO, banyak perkara boleh dilupakan begitu sahaja atau sorok-soroklah dulu bawah tikar mengkuang.
Hakikatnya bukan Tengku Adnan seorang sahaja pemimpin UMNO yang pernah berdepan dengan pelbagai tuduhan, ramai lagi yang berkedudukan serupa.
Cuma ada yang apabila langgar lampu merah terlepas kerana ketika itu polis tiada berkawal di situ sementara yang lain kali pertama langgar lampu merah sudah kena saman.

Tengku Adnan semalam mengesahkan siasatan ke atas kedua-dua ahli parti UMNO bergelar Datuk yang disyaki terlibat dalam kes rasuah pembinaan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), mahu imej UMNO dibersihkan.
‘‘Kita tak nak ahli yang memburukkan imej parti. Kalau mereka kena dakwa, kita ikut prosedur biasanya kita akan gantung jawatan yang mereka pegang, itu kita akan lakukan.
‘‘Tapi SPRM kena ambil tindakan (terlebih dahulu), parti juga akan ambil langkah serupa seperti dilakukan ke atas Datuk Norza Zakaria dan Datuk Suhaili Abdul Rahman serta dua lagi pemimpin UMNO dari Seremban dan Perlis,” katanya kepada pemberita di Putrajaya semalam.
Beliau lantas mahukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan ke atas dua ahli UMNO bergelar Datuk yang disyaki itu.
Semalam, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Syukri Abdull mengesahkan siasatan ke atas dua lelaki bergelar Datuk telah siap dan sudah diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan.
Siasatan mengenai penyelewengan projek tersebut dijalankan selepas media pada Ogos 2004 mendedahkan mengenai keretakan MRR2 yang tidak selamat digunakan.
Mengulas lanjut pembabitan kedua-dua ahli UMNO itu dengan kes rasuah, beliau berkata, UMNO tidak wajar dipersalahkan jika perbuatan itu dilakukan oleh mana-mana ahlinya.
‘‘Macam kita buka satu tin jus atau susu, apa ada dalam tin kita tak tau tapi dari luar kita tahulah ia tin susu, mungkin kandungannya itu busuk atau tak baik, kita tak tau,” katanya.