Tuesday, October 13, 2015

TURUNKAN NAJIB - TUNGGU SENJATA RAHSIA DARIPADA KU LI

"Penampilan bersama bekas "musuh" itu - Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh - duduk bersebelahan pada sidang akhbar itu, pasti mempengaruhi emosi tetapi tidak akan cukup untuk mempengaruhi sokongan yang meluas dalam UMNO bagi menggulingkan Najib" - Penganalisis
Pertemuan beberapa pemimpin UMNO, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pagi semalam ialah usaha  agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan, bukan untuk menjatuhkan kerajaan. Itu kata mereka.
Apa yang dilakukan pemimpin berkenaan, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin  bertujuan untuk menyingkirkan individu yang memberi masalah kepada negara.

Namun, keberkesanan pertemuan itu dan langkah-langkah lanjut masih belum dapat diramalkan – mungkin tidak akan mendatangkan kesan besar kepada kedudukan Najib.

Selain kecaman mereka terhadap Putrajaya berhubung penggunaan undang-undang keselamatan baharu terhadap pengkritik kerajaan dan kebimbangan mereka tentang keadaan negara ini, pemimpin berkenaan juga secara terbuka mempamerkan satu garis yang jelas dalam menentang kerajaan diterajui Najib.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Ong Tee Keat.

Seorang lagi bekas pemimpin MCA, bekas presiden Tun Dr Ling Liong Sik, juga menyokong pemimpin tersebut, walaupun beliau tidak hadir di sidang akhbar itu kerana berada di luar negara.

Ketujuh-tujuh pemimpin itu bersikap kritis terhadap Najib dan polisinya, termasuk skandal sedia ada yang menyelubungi perdana menteri, iaitu "wang derma" RM2.6 bilion daripada individu tidak diketahui dari negara Timur Tengah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Bekas Setiausaha Agong UMNO yang juga bekas menteri Kabinet, Tan Sri Sanusi Junid berkata mereka mahu Najib berundur tetapi Barisan Nasional (BN) kekal memerintah negara ini.

Katanya, dengan situasi sekarang, amat mudah untuk pembangkang menjatuhkan kerajaan dan Najib.

"Saya mesti menerangkan sikit. Senario keseluruhan sekarang ini ialah mudah untuk pembangkang menjatuhkan kerajaan. Dalam kes kami, kami mahu Najib turun tetapi kami mahu UMNO dan BN menang.

"Jika kita mahu UMNO dan BN kalah, sangat mudah untuk turunkan Najib. Jadi, kami mahu UMNO memerintah dan kekal mengetuai negara bersama BN tetapi kita cuma mahu mengeluarkan orang yang memberi masalah kepada negara," katanya.

Pada majlis itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa satu-satunya cara untuk ‘menurunkan’ Perdana Menteri, ialah dengan undi tidak percaya.

Katanya, setiap ahli Parlimen perlu mempunyai kebimbangan ketika mereka berada di posisi untuk membolehkan  perubahan kepimpinan di Malaysia dibuat.

Jelasnya, rasa tidak puas hati terhadap pemimpin atau kerajaan sering berlaku di seluruh dunia, justeru itu diperuntukkan undi tidak percaya dalam perlembagaan.

“Tapi sudah tentu banyak perkara yang orang berkuasa boleh lakukan untuk halang ia daripada berlaku. Seperti ugutan, mendapat sesuatu…kita tak tahu,” katanya.

Namun, bagi Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah walaupun setiap ahli Parlimen mempunyai hak untuk mengusulkan supaya undi tidak percaya dibuat bagi menunjukkan bahawa keyakinan rakyat telah hilang terhadap Najib tetapi langkah itu tetap mempunyai masalah.

“Hak untuk kita bawa usul ke Dewan Rakyat seperti undi tidak percaya kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan atau kerajaan memang ada tetapi ada beberapa masalah.

“Kita jelas diberitahu bahawa Speaker Dewan Rakyat berhak menolak apa sahaja usul kerana ia tak disebut dalam Standing Order yang diguna di Dewan Rakyat,” katanya yang hadir pada sidang media khas bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir tentang isu semasa dan krisis yang berlaku dalam negara hari ini.

Menurut beliau, jika usul itu ditolak, terdapat satu lagi cara untuk menunjukkan rakyat telah hilang keyakinan terhadap Perdana Menteri tetapi enggan memberitahu pemberita tentang langkah alternatif itu.

“Jika awal-awal lagi sebarang usaha untuk mengemukakan usul sedemikian rupa tidak diizin oleh Speaker, tak akan berhasil usaha kita untuk bawa usul sedemikian rupa.

“Tapi ada satu lagi cara lain yang kita kena fikir untuk kepentingan rakyat…apa cara itu...itu kena cakap di forum berbeza,” katanya.


Bagi penganalisis, pertemuan semalam itu mengagumkan, tetapi penganalisis tidak yakin ia akan berjaya mempengaruhi ahli UMNO untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dr Oh Ei Sun dari Universiti Teknologikal Nanyang Singapura pesimis  perkembangan mutakhir ini boleh mendorong ahli parti menggesa Najib disingkirkan, sambil menyatakan pemberian politik kekal sebagai salah satu faktor utama bagi ramai ahli UMNO.

Felo kanan Fakulti Pengajian Antarabangsa universiti Singapura itu berpendapat kebanyakan daripada pemimpin veteran tersebut tidak lagi berada dalam arus perdana politik, dan yang ketiga, kebanyakan ahli sudah menetapkan dalam fikiran mereka siapa akan disokong.

Penganalisis Asrul Hadi Abdullah Sani berkata, penampilan bersama bekas "musuh" itu - Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh yang duduk bersebelahan antara satu sama lain pada sidang akhbar itu, pasti mempengaruhi emosi tetapi tidak akan cukup untuk mempengaruhi sokongan yang meluas dalam UMNO bagi menggulingkan Najib.

"Ini disebabkan struktur hierarki dalam UMNO sendiri. Tidak kira apa pendapat ahli akar umbi, jika ketua bahagian berfikir sebaliknya, suara akar umbi tidak akan membawa sebarang perbezaan," kata penganalisis BowerGroupAsia itu.

"Dr Mahathir kini tidak lagi mendedahkan apa-apa yang baru pun dan mula berbunyi seperti 'radio rosak' (mengulang perkara sama berkali-kali).

"Menariknya, pihak yang kalah paling besar hasil sidang akhbar itu bukan Najib atau UMNO, tetapi pihak pembangkang sendiri yang gagal mengambil kesempatan daripadanya akibat ketidakcekapan mereka sendiri," katanya.

Pengumpul suara, Ibrahim Suffian berkata terlalu awal untuk mengatakan ia mungkin mempengaruhi pemimpin lain tetapi jika anda melihat implikasinya pada jangka masa panjang, ia menunjukkan mereka yang ingkar dalam UMNO sedang secara terbuka menentang Najib. “Garisannya nampak jelas," kata beliau.