Saturday, October 6, 2012

13 TAHUN MOHD ALI MENJEMPUT...DAP, PKR TIDAK TAHU ADAT MELAYU

 

Tidak sangka pula majlis perkahwinan anak Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada hujung minggu lepas dihadiri lebih 130,000 orang sekali gus diiktiraf 'Malaysia Book of Records' sebagai tetamu teramai itu mendapat perhatian pembangkang dan reaksi begitu cepat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Saya amat setuju dengan kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempertikaikan pihak yang membangkitkan isu perkahwinan anak lelaki Ketua Menteri Melaka itu. Sah ia sengaja dibangkitkan memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.

"Dalam masa pilihan raya (semakin tiba) apa benda boleh dijadikan isu. Isu atau sesuatu kes tahun lepas mungkin akan ditimbulkan hari ini. Kalau pemimpin kita buat kerja kahwin anak, kalau musim lain tak jadi isu, sekarang jadi isu,” demikian kata Hishamuddin.

Saya insan kerdil tidaklah boleh seperti Hishamuddin untuk berjumpa dengan Mohd Ali untuk beritahu dia agar jangan kecewa kerana musim politik sekarang ini, semua faham.


"Walhal itu satu perkara, yang semua keluarga terpaksa melaluinya termasuk saya," kata Hishamuddin ketika diminta pemberita mengulas kontroversi itu di Subang Jaya semalam.

Walaupun tidak dapat jumpa Mohd Ali seperti Hishamuddin, saya ingin menceritakan sedikit pengalaman dengan Ketua Menteri Melaka itu mengenai soal kenduri kahwin.

Beberapa kali saya pernah menghadiri majlis perkahwinan anak rakan saya di Melaka – yang mungkin juga rakan Mohd Ali - pastinya Mohd Ali tidak pernah ketinggalan menghadiri kenduri rakan beliau itu. Tidak kiralah walaupun ada empat atau lima jemputan, Mohd Ali akan hadir semua.

Saya masih ingat sekitar awal tahun 2000, Mohd Ali hadir pada majlis kenduri bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Ibrahim Jendol pada pukul 1.30 pagi.

 Beliau sms mengatakan akan tetap datang majlis itu biarpun pada ketika itu tuan rumah sudah mengemaskan periok belanga.

Mohd Ali penuhi juga jemputan Ibrahim walapun sudah awal pagi kerana ada tugas yang perlu diselesaikan pada sebelah malam selain menerima undangan majlis perkahwinan lebih enam rumah pada hari tersebut.

Bayangkan, betapa Mohd Ali selama ini sejak menjadi Ketua Menteri sejak 1999 bermakna sudah 13 tahun menghadiri setiap jemputan kerja kahwin di Melaka.

Beliau bukan sahaja hadir pada jemputan majlis perkahwinan rakyat jelata, rakan-rakan UMNO yang beliau pernah pegang jawatan hingga Najib Presiden, iaitu 2004 hingga 2009.

Jadi apabila beliau buat kerja kawin untuk kali pertama, bukanlah sesuatu yang pelik dan aneh jika mereka yang pernah beliau hadiri majlis perkahwinan menerima jemputan hadir untuk hadir.

Tidakkah tempoh 13 tahun menghadiri jemputan kerja kahwin dan majlis-majlis anjuran rakyat, rakan dan pemimpin lain itu sudah cukup untuk dikatakan sebagai 'undangan bagi pihak Mohd Ali sendiri' apabila tiba masa beliau mengadakan majlis perkahwinan anak sulungnya?

Adat orang Melayu memang begitu kecuali ada orang yang tidak tahu adat Melayu seperti pemimpin DAP dan PKR yang sengaja jadikan isu.

Angka 130,000 ramai ke?

Apakah kerana rumah terbuka Perdana Menteri dihadiri kira-kira 100,000 itu mahu dijadikan isu?

Malah pada ketika menghadiri majlis perkahwinan anak Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Sabtu 22 September lalu, Mohd Ali secara spontan menjemput setiap tetamu yang ditemuinya supaya hadir ke majlis perkahwinan anaknya.

“Jemputlah datang ke rumah saya, perkahwinan anak sulung saya,” sapa Mohd Ali kepada saya yang membantu beliau dan isteri mendapatkan tempat duduk pada majlis di Taman Tamadun Islam itu.

Mungkin benar kata Mohd Ali bahawa Pakatan Rakyat sengaja memperbesar-besarkan isu majlis perkahwinan anak lelakinya.

"Dia orang ini memang dengki dan tak ada kerja lain, gasak dia oranglah nak buat apa. Orang nak datang rumah saya sampai 130,000 sehingga dicatat dalam MBR (Malaysia Book Of Records) apa saya boleh buat, nasib baik anak saya kahwin kalau saya kahwin lagi ramai orang datang.

Mereka datang pun kerana mereka menyokong BN, tetapi yang bukan penyokong BN pun ramai yang datang," kelmarin.

Laporan terhadap SPRM yang dibuat Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin dibuat berdasarkan laporan akhbar yang menyebut kos majlis itu sebanyak RM600,000, sekali gus melebihi kemampuan ketua menteri. Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar juga semalam mendakwa terdapat penglibatan agensi kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dalam penganjuran majlis itu dan dana kerajaan digunakan tanpa bayaran.

Mohd Ali Rustam dilaporkan menjelaskan kos untuk menganjurkan majlis itu murah namun kelihatan mewah disebabkan jumlah kehadiran - dilaporkan lebih 100,000 orang.

Setiausaha Mohd Ali, Datuk M S Mahadevan menjelaskan, seramai 500 "sukarelawan" tidak dibayar dan penyedia makanan serta perkhidmatan juga berbuat demikian secara percuma.

Sementara The Malay Mail melaporkan Mohd Ali sebagai berkata, kos jamuan itu sebanyak RM600,000 dan bukan RM1.3 juta seperti anggaran pemimpin Pakatan, atau RM13 juta seperti dianggarkan pemimpin DAP Lim Kit Siang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdul berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan rasuah terhadap berikutan penganjuran majlis kenduri kahwin anak lelaki Mohd Ali itu,

Siasatan akan dilakukan secara menyeluruh.

"Kita teliti satu persatu, tengok perbelanjaan daripada mana, siapa yang keluarkan duit, kita periksalah," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelas lanjut kerana siasatan baharu sahaja bermula.