Terima kasih Tun Dr Mahathir Mohamad...
Walaupun pisang kaki itu dikira hanya sebagai ‘buah biasa dalam keluarga saya ’ seperti limau, pisang, epal dan bajol (panggilan anak saya kepada anggur) tetapi makluman ringkas yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri itu sangat bermakna.

Pegawai Hamas menganggarkan seramai 399 orang terbunuh setakat ini dengan lebih 180 merupakan orang awam. Hampir 2,000 lagi cedera dalam kekejaman tentera Yahudi ini yang dilengkapi peralatan peperangan canggih berbanding pejuang Palestin.
Kini Israel lebih mengganas apabila masjid dan kawasan ibadat umat Islam tidak terkecuali daripada menjadi sasaran serangan tentera Israel di Genting Gaza yang memasuki hari keenam, semalam.
Pada hari Jumaat itu penghulu segala hari, saya mengharapkan khutbah Jumaat hari ini menyentuh kekejaman dan bagaimana kita sebagai orang Islam patut membantu sabahat dan saudara Islam yang dianianya dan menghadapi tindakan kejam dan ganas rejim Yahudi.
Berbalik kepada pisang kaki, saya sekeluarga adalah ‘pemakan’ pisang kaki khususnya isteri saya ketika menonton tv.
Saya memang membelek-belik dari mana pisang kaki yang dijual di pasaraya kita ketika membelinya dan selalunya dari negara sebelah Asia Timur.
Tidak diketahui pula buah pisang kaki (persimmon) dari Israel ada dijual di pasaraya Kuala Lumpur.
Saya harus berhati-hati kerana bak kata: “Apabila saya katakan yang Israel menguasai dunia secara proksi, media dan Kerajaan Amerika mengutuk saya. Tetapi hakikatnya ialah hanya calon yang direstui Israel sahaja yang boleh menang pilihanraya di Amerika. Tunggu sahajalah pendirian Presiden baru Amerika. Sementara itu kita harus sedar secara kecil-kecilan kita juga bantu Israel. Singapura adalah saluran bagi Israel menembusi pasaran Malaysia.”
Saya mula mengenali pisang kaki ketika di Jepun iaitu di rumah bapa angkat saya di wilayah IWATA. Ia berbuah lebat dan kebetulan di depan rumah, mudahlah saya mengaitnya.
Adik angkat saya, Fumitaka tergelak ketika saya mula-mula memakan buah berkenaan kerana sangka saya ia buah tomato.
Maklumkan saya bukan orang bandar dan sekitar 1980an buah berkenaan bukan popular sangat.
Saya di Jepun kerana mengikuti kursus pendek Program Frienship tajaan JICA dan Jabatan Perdana Menteri pada 1988.
Kemudian saya sekali ke Tokyo membuat liputan Tun untuk Berita Harian pada pertengahan Mei 1995 ketika Tun ‘menjual MSC’ dan persidangan pelabuhan - Sidang Antarabangsa Telepot Tokyo 1995.
Jadi bertemu sekali lagilah pisang kaki Jepun dengan saya dan mudah di dapati di Tokyo sama ada di Ginza atau Ikebukuro.
Posting Tun pada 30 Disember lalu sangat bermakna kerana menyedarkan saya betapa perkara kecil seperti buah pisang kaki ini sebenarnya perkara besar yang membantu ekonomi dan pendapatan orang Yahudi.
Terima kasih sekali lagi Tun!