Hakikatnya, tiada siapa yang membentuk kerajaan negeri Perak ketika ini – Barisan Nasional (BN) mahupun UMNO.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah menitahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak berkuatkuasa serta merta dan jika tidak, jawatan itu dianggap dikosongkan.
Apa yang cuba diperkatakan oleh Tengku Razaleigh?
Apakah Tengku Razaleigh masih sayangkan kerajaan Pakatan Rakyat? Nasihatlah kalau tidak betul, bukan menghentam parti sendiri!
Kenapa menuduh pemimpin Umno-BN merayakan pembentukan kerajaan BN di Perak?
Siapa membentuk kerajaan? Siapakah sekarang ini tidak bermoral dan tidak menghormati pelantikan yang telah dibuat oleh Sultan Perak?
Rombongan Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd Najib menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak lebih daripada menghadap dan pada pertemuannya dengan Sultan Azlan, beliau menerangkan BN kini mempunyai sokongan kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan baru Perak.
Itu saja.
Razak sudah menjelaskan tengah hari ini: “Kita akan hormati apa jua keputusan Tuanku kerana itu hak mutlak Tuanku.’’
Najib keluar dari Istana Kinta jam 11.35 pagi ini, selepas diminta menghadap semula Sultan Azlan Shah bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN).
Turut bersama Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai semula Umno dan tiga Adun Bebas, Jamaluddin Mohd Razdi (Behrang); Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Fong (Jelapang).
Kata Tengku Razaleigh seperti dipetik harakahdaily.net: "Hormati peranan Sultan dan bentuk kerajaan melalui pilihan raya."

Beliau berkata jawatan tersebut akan terlucut jika Nizar meletak jawatan secara sukarela atau undi tidak percaya dibuat ketika sidang Dun.
"BN sekarang membentuk kerajaan hanya kerana dua individu yang tidak berkaliber melompat parti," tegas beliau.
Itu pendapat beliau terhadap dua wakil rakyat berkenaan.
Hakikatnya, soal lompat parti dan mengaggap perbuatan itu sebagai tidak bermoral pun sedikit sebanyak terpalit dengan Tengku Razaleigh sendiri.
Beliau sendiri pun bukannya tidak pernah keluar UMNO dan turut melakukan perbuatan yang sama - kembali semula kepada UMNO.
Bagi saya itu semua tanggapan Tengku Razaleigh semata-mata.
Soal siapa keluar atau masuk tidak penting tetapi sebagai parti, UMNO tetap utuh. Dengan mengatakan orang keluar masuk UMNO tidak bermoral, ia bergantung kepada tanggapan masing-masing, termasuk Tengku Razaleigh sendiri.
Bagi saya, pada ketika ruang dan peluang terdedah seperti ini, Tengku Razaleigh hendaklah menasihat, bukan mengkritik langkah-langkah yang dibuat oleh UMNO dan BN Perak.
Masalah dengan Tengku Razaleigh ialah beliau menganggap beliau sahaja yang betul.
Sewajarnya sebagai ahli politik yang matang dan dihormati, Tengku Razaleigh bertindak sebagai penasihat dalam keadaan genting seperti ini, apa lagi tindakan Najib tidak pun membelakangkan Sultan Perak.
Sila baca kenyataan akhbar berikut:
KENYATAAN MEDIA PEJABAT D.Y.M.M. PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
“Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.
Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.
Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.
Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.
YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.
Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.
Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.” — BERNAMA
Jelas bahawa Sultan Perak mahukan MB dan exconya meletakkan jawatan dan tidak timbul soal UMNO atau pemimpinnya bersuka ria.
Selain itu Tengku Razaleigh buat-buat macam tidak faham mengenai pilihan raya. Mahu pilihan raya apa kerana Sultan Perak tidak setuju DUN dibubarkan.
Sultan Azlan Shah memutuskan untuk tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuat kuasa serta merta.
Pejabat Sultan Perak dalam satu kenyataan hari ini berkata, baginda setelah menemui kesemua 28 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota Bebas, baginda yakin bahawa Mohammad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan.
“Sekiranya Mohammad Nizar tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan), maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan,” kata kenyataan itu.
Entahlah, fikiran apa yang sedang berserabut dalam kepala Tengku Razaleigh ketika ini.
Sealiran dengan titah Sultan Perak itu, Menteri Besar dan seluruh exconya mengosongkan bilik selain memulangkan seluruh aset milik kerajaan.
Setiausaha kerajaan negeri Perak, Dato' Dr Abdul Rahman Hashim, mengarahkan Nizar memulangkan semua aset kerajaaan negeri, termasuk kunci pejabat dan menyerahkan kenderaan rasmi dengan segera.
Mana nak dilelongkan Toyota Camry baru tu?
Mereka juga tidak boleh memindahkan sebarang dokumen dari bilik masing-masing.
Sementara Speaker Dun, V Sivakumar mendakwa dipujuk menyertai BN dengan sejumlah wang dan jawatan penting peringkat negeri dalam MIC.
Dalam perkembangan terkini, Mohd Nizar dijangka tidak akan melepaskan jawatan selain disebut akan mengadap semula Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi membincangkannya.
Mohammad Nizar menegaskan tidak akan meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak walaupun telah diminta oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah agar berbuat demikian.
Menteri Besar baru menggantikan beliau dijangka diputuskan petang ini dan mengangkat sumpah hari ini juga.
Antara mereka yang disebut-sebut ialah Setiausaha Umno Negeri Perak, Datuk Ramly Zahari yang juga ADUN Manong ataupun ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.
Bagaimanapun Zambry ketika dihubungi berkata calon bagi Menteri Besar baru masih belum diputuskan.
"Setakat sekarang kita belum putuskan siapa calonnya dan saya fikir paling cepat kemungkinan esok pagi untuk Menteri Besar baru angkat sumpah," katanya.
Sehubungan itu kata Nizar, beliau akan merayu Sultan Perak agar mengkaji semula keputusannya untuk tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Mohammad Nizar dan barisan exconya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.
Kata beliau, pihaknya akan merayu untuk menghadap Sultan Perak secepat yang boleh.