Sunday, April 5, 2009

NAJIB, JUST DO IT

Tahniah buat Datuk Seri Mohd Najib Razak kerana akhirnya Allah s.w.t. tetap meletakkan beliau pada mercu puncak kuasa yang sebelum ini beberapa kali, nampak seolah-oleh ia sesuatu yang sedikit sukat untuk beliau capai.

Saya teruja dengan ucapan sulung Najib sebagai Perdana Menteri yang mengajak seluruh rakyat bersama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Tema ini tidak jauh daripada tema baru kerajaan Terengganu iaitu ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang turut memberikan kepentingan rakyat. Dengan kata lain impak maksimum pentadbiran dan pembangunan hendaklah dituju dan dirasai oleh rakyat.

Bagi Menteri Besar Terengganuy Datuk Ahmad Said, keutamaannya adalah kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dalam apa juga tindakannya.

Najib menegaskan bahawa kepimpinannya kelak membawa pendekatan baru bagi menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat. Menurutnya, kerajaan akan mengutamakan rakyat dan merentasi seluruh lapisan masyarakat serta kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air.

Amat jelas kini, Terengganu dan pentadbiran Putrajaya selari dalam melaksanakan pentadbiran dan pembangunan untuk rakyat.

Dengan matlamat menjadikan Satu Malaysia, Najib meletakkan asas perpaduan yang menjadi asset utama Malaysia kerana kejayaan dan kemajuan Malaysia berpaksikan kedudukan ini.
Najib cuba memberitahu orang Melayu bahawa mereka perlu sedar bahawa kewujudan kaum lain di negara ini bukan untuk menganggu-gugat tetapi sama-sama membangunkan Malaysia sebagai negara yang dihormati dan disegani.

Dengan itu, mereka kena belajar untuk ‘memberi’ dan tidak hanya penerima. Sementara untuk bukan-Melayu, mereka jangan hanya meminta-minta tetapi turut sama memberi untuk menjamin orang Melayu meyakini bahawa mereka juga sebahagian rakyat perlu sama ‘berkorban’.

Dan apabila Rakyat Didahulukan, dengan sendirinya pentadbiran dan pembangunan adalah bertujuan memberikan segala-galanya demi kepentingan rakyat. Harapan ialah rakyat akan menikmati segala kemudahan dan pembangunan yang disediakan.

Soal penting di sini ialah kerajaan pimpinan Najib akan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan elit dan puak-puak yang selama ini mampu mempengaruhi mereka yang berkuasa untuk memberikan mereka keutamaan.

Persoalannya sejauh mana kumpulan ini ‘disisihkan’ dan membuka jalan kepada rakyat untuk dijadikan priority pada pentadbiran ini?

Kita tunggu dasar dan pelaksanaan yang dikatakan sebagai Rakyat Didahulukan. Rakyat kini bukan seperti dahulu lagi kerana mereka tahu apa dasar dan apa pula rancangan untuk mereka. Dasar dan pentadbiran yang mendahulukan rakyat akan memberikan impak besar kepada rakyat dari segi keuntungan, bukan kerugian atau yang menjadi penyebab kepada masalah rakyat.

Pencapaian Diutamakan sudah pasti jika ia untuk rakyat, rakyatlah akan mendapat manfaatnya.
Janji Perdana Menteri perlu ditunai kerana kita bimbang pisang berbuah dua kali. Kita masih ingat bagaimana pada 2004 rakyat memberikan sokongan sepenuhnya kepada Abdullah tetapui di penghujung pentadbirannya sokongan menjadi layu dan beku.

Saya mengharapkan sangat Najib dapat deliver apa yang beliau janjikan kerana rakyat akan menjadi pengadil. Mereka akan menentu bentuk kerajaan yang akan mentadbir dan menguruskan negara.

Kegagalan untuk memenuhi janji – walau sebaik manapun jan ji berkenaan – akan menyebabkan kerajaan akan ditolak. Apabila kerajaan ditolak, Najib juga akan ditolak san akhirnya UMNO akan ditolak.

Sanggup dan mahukan Najib menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang ditolak dan menjadi Perdana Menteri terakhir dari UMNO?

Untuk rakyat yang dijadikan keutamaan oleh Najib dan untuk Najib sendiri dihargai dan disanjungi bukan sahaja sebagai perdana menteri tetapi juga anak kepada bekas Perdana Menteri yang berjaya, tema baru ini perlu direalisasikan.

Bola ada di kaki Najib dan Najib sahajalah yang mampu melakukannya. Tidak perlu slogan besar.
Dan saya sangat yakin Najib boleh melakukannya. Just Do It!