Saturday, June 27, 2009

OBAMA IKTIRAF KEUPAYAAN NAJIB

Najib sudah mendapat endorsement daripada Amerika Syarikat?

Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama semalam mengakui keupayaan Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Malah, Presiden Obama dikatakan dengan mesranya mengatakan Najib layak kerana latar belakangnya yang luas dalam perkhidmatan awam.

Kedua-dua mereka berbual telefon untuk kali pertamanya sekitar pukul 9.12 malam selama 20 min it.

Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden pertengahan Januari lalu manakala Najib pula tiga bulan kemudian.

Najib dalam blognya, 1Malaysia hari ini menyebut, "Presiden Obama dengan mesranya mengakui keupayaan saya untuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri berdasarkan latar belakang saya yang luas dalam perkhidmatan awam.
"
Najib berkata beliau gembira kerana berbual melalui telefon selama lebih kurang 20 minit dengan rakan sejawat saya dari Amerika, Presiden Obama.

"Ini merupakan perbualan telefon pertama kami sebagai ketua kerajaan dan seterusnya kami bertukar-tukar ucap selamat atas pelantikan kami. Saya telah menyatakan bahawa saya amat berharap dapat bekerja rapat dengan beliau,” katanya.

Perkara lain turut ditekankan ialah konsep 1Malaysia.

"Saya juga telah bercakap tentang usaha memperkenalkan konsep 1Malaysia dan bagaimana rasa kebersamaan dan kekitaan akan membantu Malaysia melangkah ke hadapan dengan matlamat yang sama," katanya.

Perdana Menteri turut mempelawa Obama agar mengunjungi Malaysia.

"Saya mempelawa beliau berkunjung ke negara kita supaya dapat melihat sendiri penerapan Islam dalam masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti Malaysia.

"Pelawaan ini berikutan dengan pengiktirafan Presiden Obama terhadap Kuala Lumpur sebagai contoh sebuah negara berpenduduk majoriti Islam yang progresif dalam ucapan beliau kepada dunia Islam di Kaherah baru-baru ini," kata Najib.

Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional berkata, beliau telah "menerangkan kepada Obama bahawa Malaysia berkongsi titik persamaan yang penting dengan AS."

"Kita sama-sama percaya kepada ideal dan prinsip demokrasi termasuk kebertanggungjawaban dan ketelusan.

Dalam tulisannya, Najib yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, Obama telah membangkitkan isu krisis ekonomi global.

Najib mengambil kesempatan untuk menjelaskan bahawa Malaysia turut terjejas disebabkan krisis ekonomi global.

Kedua-dua mereka turut membincangkan tentang penyemakan semula Perjanjian Dagangan Bebas, isu-isu berkaitan dengan Korea Utara dan Iran khususnya program pembangunan nuklear, pelaburan wang haram dan isu-isu keganasan.

PAS MAMPU TAWAN TERENGGANU?

Best juga sesekali baca cerita dari pihak PAS. Segala-galanya kerana kononnya wujud perpecahan UMNO Terengganu.

Yang jelas PAS melihat kedudukan ini memberikan kelebihan kepadanya dan apakah UMNO Terengganu tidak merasakan ‘perpecahan’ itu sebagai yang merugikan mereka?

Bercakap mengenai keyakinan PAS itu ada ada dua posting menarik semalam. Pertama, “PAS berpeluang perintah Terengganu” melalui harakahdaily.net dan kedua sebuah komen dalam laman proPAS di Terengganu bertajuk “UMNO dan PAS Terengganu kemuka muka baru”.

ADUN Sura, Wan Hassan Mohd Ramli dipetik oleh harakahdaily.net sebagai berkata PAS mempunyai peluang yang amat cerah untuk mendapatkan kembali pemerintahan di negeri Terengganu berdasarkan sokongan rakyat yang semakin jelas dan terbuka.

Wan Hassan berkata perpecahan yang semakin buruk di kalangan pimpinan UMNO Terengganu adalah sesuatu yang tidak boleh dibaiki dan akan berpanjangan.

"Berdasarkan apa yang berlaku ke atas kepimpinan UMNO Terenganu dan perpecahan yang tidak mampu dipulihkan lagi maka ditambah dengan banyaknya isu yang berlaku saperti stadium runtuh sudah tentu rakyat hilang keyakinan kepada UMNO,"katanya pada satu ceramah di Temerloh.

Tambah Wan Hassan, kemenangan PAS dan pakatan pembangkang dalam pilihan raya kecil (Kuala Terengganu dan lain-lainnya) sudah membayangkan isyarat rakyat untuk menolak UMNO DAN Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri dan pusat pada pilihan raya yang akan datang.

Jika diperhatikan kepada apa yang diperkatakan oleh Wan Hassan, apakah kelemahan UMNO itu diakibatkan oleh orang UMNO sendiri atau oleh pembangkang?

Faktor disebutkan di sini jelas, iaitu perpecahan UMNO, isu membabitkan kelulusan dan perlaksanaan projek utama serta kelemahan pemimpin UMNO untuk berbakti kepada rakyat.

Tidakkan ini memberikan cabaran kepada UMNO Terengganu dan kerajaan negeri supaya segera mengatasi masalah ini agar masa yang ada bukan menyelesaikan masalah ‘tertunggak’ tetapi menjana terus usaha memulihkan UMNO?

Bagi perkara yang dikatakan membabitkan perpecahan UMNO. Benarkah UMNO berpecah atau ia hanya sebagai rasa tidak puas hati pihak tertentu di atas sebab-sebab yang mereka sendiri ketahui.

Oklah, jika tidak berpuas hati dengan keputusan Datuk Ahmad Said mengenai perlantikan ‘pengurus’ UMNO Terengganu sebelum ini, kini perlantikan baru sudah dibuat.

Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu yang baru, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sudah mengumumkan tiga muka baru.
Kenapa masih ada yang suara-suara sumbang bagaikan ‘rumah siap, pahat berbunyi?”

Datuk Seri Idris Jusoh dengan jelas sudah mengatakan beliau menghormati keputusan itu tetapi kenapa ‘budak-budaknya’ terus mempertikaikan perlantikan kononnya ‘orang Idris Jusoh’ tidak dilantik?

Persoalannya, seperti dikatakan oleh Malaysiakini kelmarin, jika Idris sudah merestui dan menghormati perlantikan itu, apakah ada mainan politik belakang umpamanya "adakah Datuk Seri Idris yang meminta penyokongnya menimbulkan isu ini?"

Sebaik-baiknya kita mengandaikan ini tidak pernah berlaku tetapi persoalan lain, “apakah Idris tidak mengawal budak-budaknya supaya jangan lagi mengeruhkan keadaan?”

Bagi saya, kalau benar Datuk Abdul Rahin Said (Timbalan Ketua Bahagian Kuala Nerus) orang Idris, Hishamuddin sudah berlaku adil. Ini kerana Datuk Tengku Putera Tengku Awang dikatakan ‘orang Ahmad Said’

Apakah kesemuanya mahu dilantik daripada ‘orang Idris’?

Bagaimana pula dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek? Bukankah beliau turut bekerja sebagai Ketua Penerangan ketika era Idris, walaupun beliau adalah Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kemaman?

Adalah tidak baik untuk mengkelaskan orang itu atau orang ini sebagai daripada kem itu dan kem ini. Mulai sekarang jangan ada kem itu dan kem ini.

Kenyataan yang mengatakan ada puak-puak di Terengganu, hanya andaian sahaja.

Apa yang sepatutnya berlaku kini ialah dengan perlantikan ini, kita menganggap mereka ini semua orang Hishamuddin. Sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Hishamuddin perlu disokong sepenuhnya bagi menjamin UMNO mengekalkan kuasa dan menang lebih baik lagi berbanding pilihan raya umum ke 12.

Jangan ada lagi orang Ahmad Said atau orang Idris tetapi hanya orang Hishamuddin kerana beliau diberikan mandate oleh Majlis Tertinggi. Apakah ‘budak-budak Idris’ ini jenis tidak reti hormat keputusan Majlis Tertinggi?

Apakah Hishamuddin pandai-pandai buat keputusan? Apakah beliau tidak ‘bincang’ dulu dengan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO? Apakah Hishamuddin jenis mahu tunjuk kuasa dan membelakangkan MT?

Saya yakin Hishamuddin mengambil banyak pandangan dan kerana itu beliau berani bertegas bahawa rombakan itu adalah antara usaha untuk memulihkan kembali Umno negeri yang sebelum ini berpuak-puak dan beliau berharap dengan perubahan itu nanti semua pihak kembali bersatu demi kebaikan parti.

"Ini cara saya akan pimpin Umno Terengganu dengan bantuan Menteri Besar Datuk Ahmad Said," katanya tegas.

Malah Hishammuddin sudah menafikan pelantikan itu menampakkan beliau seolah-olah cenderung kepada satu pihak sahaja, sebaliknya beliau menyifatkannya sebagai pelantikan yang adil dan mendapat 'restu' daripada semua pemimpin Umno bahagian.

"Apabila kita memihak dan kita dilihat sebagai pemimpin mirip pada puak-puak tertentu sahaja, akhirnya apa yang diharapkan tidak akan jadi satu kenyataan dan saya akan gagal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

"Akhirnya saya akan hampakan ramai di luar sana khususnya rakyat Terengganu yang mahukan kita lihat ke depan, mahukan Umno perkukuh dan pertahan parti kita di Terengganu.

Saya mahukan semua pihak ketepikan sikap berpuak-puak dan saya percaya hanya dapat lakukan dengan tindakan bersama," katanya.

Tidak cukupkah dengan penegasan demikian?

Saya yakin kerana adanya cakap-cakap belakanglah menyebabkan Ahmad Said turut mengharapkan pihak tertentu tidak mempertikaikan pelantikan baru bagi tiga jawatan utama Badan Perhubungan Umno negeri, yang sebelum ini dilanda pelbagai konflik dalaman.

Dalam konteks perkara yang membabitkan projek-projek mega sebelum Ahmad Said menjadi Menteri Besar, umpamanya pengagihan projek dan sebagainya -isu seperti bumbung stadium runtuh - ia memerlukan sangat kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Idris turut meminta SPRM menyiasat secara menyeluruh termasuk daripada aspek perancangan pembinaan bumbung sehingga proses selepas strukturnya itu siap.

Dengan kesediaan semua pihak sama ada bekas Menteri Besar, Ahmad Said dan seluruh bekas Exco yang terbabit dengan projek itu disiasat, ia akan menjadi bertambah mudah untuk mengatasi kemelut itu.

Harapan semua pihak termasuk pembangkang kepada SPRM begitu tinggi kerana rakyat mahu mengetahui perkara sebenar.

Janganlah dilengah-lengahkan lagi siasatan kerana jika ia berlarutan hingga ke pilihan raya akan datang, UMNO dan BN akan menghadapi masalah kerana akan dituduh cuba melindungi pihak-pihak tertentu.

Dengan kata lain, hanya SPRM boleh menebus maruah kerajaan BN yang kini dipalitkan dengan pelbagai kerenah yang tidak diketahui punca kesalahannya.

Kita juga mengharapkan jawatankuasa penyiasat yang ditubuhkan oleh kerajaan mampu melakukan tugas mereka sebaik-baiknya dan penemuan mereka selepas ini akan memberikan kelebihan kepada kerajaan kerana melalui sikap terbuka dan telus sahaja akan mampu meyakini rakyat.

Sehingga SPRM dan jawatankuasa penyiasat mendedahkan penemuan mereka, janganlah ada [ihak membuat andaian itu dan ini.

Dengan kedudukan di mana banyak pihak kini diterjah oleh SPRM, kita yakin akhirnya yang bersalah akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Mungkin PAS dan pakatan pembangkang akan cuba membawa rakyat kepada keputusan pilihan raya kecil (Kuala Terengganu) dengan menggambarkan UMNO berada dalam keadaan cemas.

Mereka akan berusaha membuktikan kepada rakyat bahawa kekalahan BN itu membuktikan penolakan rakyat kepada UMNO dan BN secara terang-terangan.

Yang penting, UMNO jangan terperangkap dengan perang psikologi PAS selain spin oleh media proPAS yang kini semakin licik sehinggakan mereka tidak peduli lagi kalaupun kata-kata mereka itu hingga menjerumus kepada fitnah.

Yang penting UMNO Terengganu bersatu padu dan membiarkan sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sama ada di masa lalu atau sekarang menerima hukuman, kalaupun daripada UMNO sendiri.

Yang penting rakyat perlu diutamakan dan setiap pemimpin UMNO perlu menjamin bahawa UMNO adalah parti rakyat dan untuk rakyat.

Jika UMNO berada di tahap ini, tidak sukar untuk kerajaan Barisan Nasional ditegakkan semula pada pilihan raya umum nanti kerana di pihak pentadbiran, Ahmad Said sudah menetapkan bahawa falsafah pentadbirannya ialah Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Bukan sahaja UMNO dan Kerajaan Negeri selari tetapi ia juga menjunjung tinggi falsafah 1Malaysia yang digemblengkan oleh Perdana Menteri yang mendahulukan rakyat dan menjamin prestasi diutamakan.

TIDAK BUBAR DUN PERAK - TINDAKAN SULTAN BETUL

Sumber Bernama

Tindakan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak adalah betul kerana dewan itu baru sahaja berumur setahun, kata Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Md Raus Sharif.

Dalam penghakiman 49 muka surat bertarikh 2 Jun yang dikeluarkan hari ini, Hakim Raus berkata bagi membolehkan dewan itu dibubarkan mengikut Artikel 36 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak seperti yang dimohon oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, dewan itu perlu menamatkan tempoh lima penggal apabila satu pilihan raya bakal diadakan.

"Faktanya sudah diketahui umum bahawa pilihan umum baru sahaja diadakan setahun lalu," katanya dalam penghakiman bertarikh 2 Jun yang dikeluarkan Jumaat.
Hakim Raus berkata peruntukan yang dipohon Nizar adalah tidak betul apabila memohon supaya dewan dibubarkan.

Dalam penghakimannya, Raus berkata Nizar telah memohon pembubaran itu mengikut Artikel 36, yang adalah peruntukan biasa yang memberi kuasa kepada Sultan untuk memprorog atau membubarkan dewan selepas tempoh lima penggal berakhir.

Dalam penghakimannya hari ini, Raus berkata persoalan Perak mempunyai dua menteri besar tidak timbul dan ini kerana Artikel 16 (6) menuntut bahawa sebaik menteri besar itu tahu beliau tidak mendapat keyakinan di kalangan anggota dewan, beliau sepatutnya mengambil langkah yang terhormat dengan meletakkan jawatan.

"Jika menteri besar enggan atau tidak menyerahkan peletakan jawatannya dan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan, seperti dalam kes ini, ia tetap kekal bahawa Ahli Majlis Mesyuarat telah dibubarkan (yang termasuk menteri besar) bahawa majoriti angota dewan telah hilang keyakinan terhadap menteri besar itu." katanya.

Oleh itu, Raus berkata oleh itu Sultan tidak perlu untuk menyingkirkan Nizar dan anggota lain majlis mesyuarat kerajaan.

Katanya pelantikan Dr Zambry dibuat mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan amalan demokrasi.

"Sultan Perak, dalam menjalankan kuasa prerogatifnya mengikut Artikel 16 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, adalah bebas untuk melantik menteri besar yang lain menggantikan Nizar," katanya.

Raus berkata Sultan, bagaimanapun, mesti melantik seseorang yang mendapat keyakinan majoriti anggota dewan negeri dan dalam kes ini, tidak syak lagi Dr Zambry mendapat sokongan majoriti daripada 31 daripada 59 anggota dewan.

"Keadaan dalam kes ini jelas menunjukkan bahawa pada 5 Feb, Nizar tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada anggota dewan negeri. Surat yang menyatakan sokongan 31 anggota dewan kepada Barisan Nasional telah diserahkan kepada Sultan Perak," katanya.

Dalam penghakimannya, Raus berkata Artikel 16 (6) tidak menunjukkan keperluan mandatori bahawa usul undi tidak percaya yang diluluskan oleh dewan terhadap seorang menteri besar sebelum ia gagal menguasai keyakinan daripada majoriti anggota dewan.

"Sebenarnya apabila seorang menteri besar gagal menguasai keyakinan daripada majoriti anggota dewan boleh ditentukan dengan cara lain. Ia tidak perlu semata-mata bagi undi yang dibuat di dalam dewan," katanya.

Sementara itu, Hakim Ahmad Maarop, yang bersidang dalam kes itu bersama Raus, dan Zainun berkata Nizar mesti meletak jawatan sebaik gagal mendapat keyakinan majoriti anggota dewan dan apabila Sultan enggan memenuhi permohonannya untuk membubarkan dewan.

"Keenganannya untuk meletak jawatannya dan anggota Majlis Mesyuarat kerajaan bukanlah satu pelanggaran konvensyen dan tidak demokratik tetapi lebih penting, ia melanggar arahan perlembagaan mandatori di bawah Artikel 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri dan oleh itu tidak berperlembagan.

"Oleh itu, oleh kerana ia tidak dapat menguasai keyakinan majoriti anggota dewan, ianya tersirat bahawa keenganannya untuk meletak jawatan, anggota majlis mesyuarat kerajaan adalah terbubar dan jawatan menteri besar dikosongkan.".

Ahmad berkata beliau juga berpandangan bahawa kuasa Sultan untuk membuang menteri adalah tersirat semasa menteri besar enggan meletak jawatan walaupun ia gagal mendapat keyakinan majoriti dan Sultan menggantung permintaannya untuk membubarkan dewan.

"Dalam penghakiman saya, keadaan yang dihadapi Baginda di Perak adalah satu-satunya keadaan dan baginda dalam keadaan kritikal telah melaksanakan kuasa perlembagaannya mengikut undang-undang tubuh negeri, yang telah dilaksanakan tanpa ragu-ragu, semata-mata untuk kepentingan rakyat negeri Perak," katanya

Penghakiman Datuk Zainun Ali pula akan dikeluarkan pada Isnin.

Pada 22 Mei, Mahkamah Rayuan dengan tiga hakim yang bersidang diketuai Raus membenarkan rayuan yang dibawa oleh pesaing Nizar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan memutuskan bahawa Dr Zambry adalah menteri besar Perak yang sah.

Mahkamah Persekutuan dijangka mendengar permintaan Nizar untuk membuat rayuan pada 9 dan 10 Julai.

Mohamad Nizar dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas selepas pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi dalam pilihan raya umum ke-12.

Tidak sampai setahun, mereka kehilangan tiga anggota parti yang mengisytiharkan diri mereka sebagai anggota Bebas dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Sultan Azlan Shah kemudian meminta Nizar untuk meletak jawatan dan melantik Dr Zambry selepas mendapati bahawa BN mempunyai majoriti dalam dewan negeri.

Berikutan itu, Nizar memohon supaya mahkamah mengisytihar dirinya sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan untuk mendapatkan injunksi melarang Zambry daripada melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar.

MANEK URAI- MOHD FAUZI CALON PAS

Bendahari Pas Kuala Krai, Mohd Fauzi Abdullah, 50, dipilih sebagai calon Pas bertanding pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini.

Pengumuman nama Fauzi yang juga seorang pemborong ikan di Pasar Kuala Krai di sini, dibuat oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di sini, jam 11.45 malam tadi.

Lawan Fauzi akan diumumkan oleh Barisan Nasional (BN) esok.

Sebelum ini nama Fauzi sudah diumumkan tetapi kerana beberapa desak pemimpin PAS di kawasan itu, PAS Negeri terpaksa menerima beberapa cadangan nama selain beliau untuk dipertimbangkan.

Jelas, Fauzi tetap menjadi pilihan dan beberapa nama lain seperti setiausaha PAS Kuala Krai, Mohamad Harun dan bekas calon pada pilihanraya umum 2004, Mohd Zamzuri Mat Lazim kini tercicir.