Thursday, October 6, 2011

PELAJAR MALAYSIA ALAMI STRES YANG TINGGI - KEMENTERIAN KESIHATAN

“Mengalami stres adalah sesuatu yang normal bagi setiap normal dalam kehidupan manusia namun perlu belajar untuk menguruskannya dengan baik. Stres merupakan masalah awal sebelum ia menjadi kronik kepada kecelaruan fikiran iaitu penyakit mental dan pelajar berpotensi mengalaminya,”- Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia, Datuk Dr Ismail Alias

Kita bimbang dengan laporan bahawa pelajar kita mengalami stress yang tinggi.

Apakah stress itu diakibatkan oleh tekanan belajar, tekanan perasaan oleh ibu bapa, tekanan kerana aktiviti yang banyak di sekolah atau memang remaja hidup dalam keadaan stress?

Hasil kajian Kementerian Kesihatan yang diumumkan semalam mendapati pelajar di negara ini mengalami tahap stres yang tinggi.

“Bilangan tersebut cukup tinggi, oleh yang demikian kementerian sedang berusaha untuk meningkatkan latihan dan kemahiran Gaya Daya Tindak ke atas pelajar di seluruh negara.

“Banyak sebab yang menjadi penyumbang kepada masalah pelajar dalam hal ini terutama sekolah, peperiksaan, keluarga dan sebagainya.

Apa yang penting ialah melakukan persediaan awal mengenai kemahiran menangani stres,” kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai kepada pemberita di Putrajaya semalam.

Dapatan itu diperoleh menerusi projek rintis Program Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid sekolah bagi mengenal pasti tanda-tanda stres, keresahan dan kemurungan.

Kajian mendapati, daripada 6,540 orang murid yang telah disaring, 17.1 peratus daripadanya mengalami tanda-tanda keresahan yang teruk, 5.2 peratus kemurungan yang teruk dan 4.8 peratus stres yang teruk.

Daripada jumlah semua pelajar yang disaring itu jugaseramai 2,345 iaitu 36 peratus murid telah mengikuti intervensi latihan kemahiran daya tindak kesihatan mental.

Projek rintis kementerian dengan kerjasama Kementerian Pelajaran itu bermula pada Mac lalu dan dijalankan di enam buah sekolah di enam negeri.

Sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi, Pulau Pinang; SMK Simpang Bekoh, Jasin, Melaka; Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak dan Sekolah Menengah St Michael, Penampang, Sabah.

Dua lagi ialah Maktab Rendah Sains Mara, Gemencheh, Negeri Sembilan dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik, Petaling Jaya.

Menurut Tiong Lai, kementerian akan memperluaskan projek itu di semua sekolah dalam usaha meningkatkan kesejahteraan di kalangan murid dan warga sekolah serta sebagai persediaan mengelakkan perkara lebih serius berlaku.

“Bukan sahaja pelajar, malah projek ini turut melibatkan latihan kepada guru-guru bagi mengendali masalah stres di kalangan pelajar.

“Ia penting bagi memastikan tiada masalah yang lebih serius berlaku kepada pelajar yang memerlukan khidmat nasihat ketika saat-saat genting,” katanya.

Dalam pada itu, Tiong Lai turut berharap Kementerian Pelajaran mempertimbangkan cadangan untuk memperluaskan Projek Rintis Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid sekolah bagi meningkatkan kesejahteraan mental pelajar di seluruh negara.

Sejumlah 279 guru dilatih untuk mengenal pasti dan mengendalikan masalah emosi, tingkah laku dan permasalahan mental di kalangan murid.

Satu laporan awal tahun ini (21 Januari 2011) menyebut, semua guru kaunselor di negara ini perlu menyediakan pelan preventif dalam usaha mengatasi masalah stres di kalangan pelajar.

Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia, Datuk Dr Ismail Alias berkata, guru kaunselor tidak seharusnya mengehadkan peranan mereka dengan mengadakan sesi kaunseling untuk pelajar yang mempunyai masalah semata-mata.

"Nisbah setiap guru kaunselor adalah untuk 500 pelajar dan difahamkan kira-kira 7,000 guru kaunselor di seluruh negara. Jumlah ini amat besar, memperlihatkan peranan mereka begitu penting di sekolah bagi mengenal pasti pelajar yang berhadapan dengan stres dan kemurungan. Mereka juga perlu melakukan program preventif dan pembangunan terhadap golongan ini dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia (Perkama) mengulas mengenai rancangan Kementerian Kesihatan yang memperkenalkan modul kesihatan mental di sekolah menengah untuk menangani masalah stres.

Pengenalan oleh kementerian itu berikutan kebimbangan terhadap masalah kesihatan mental di Malaysia meningkat seramai 400,227 pesakit menjalani rawatan di hospital kerajaan iaitu 15.6 peratus pada tahun 2010 berbanding 2009.

Peningkatan angka itu dilihat selari dengan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa beban masalah kesihatan mental dijangka akan terus meningkat pada kadar 15 peratus menjelang 2020.

Sebagai permulaan, program tersebut akan diperkenalkan di empat sekolah perintis selama enam bulan sebelum dikembangkan ke seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Program menangani kesihatan mental seawal usia remaja itu antaranya bertujuan memberi pendedahan kepada guru untuk mengenal pasti pelajar yang mengalami stres bagi memastikan golongan itu menerima rawatan dan bimbingan seawal mungkin.

Empat sekolah perintis yang dipilih adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdullah Ahmad Badawi, Sekolah Menengah St Michael, Sekolah Menengah Sains Teluk Intan dan Sekolah Menengah Simpang Bekoh.

Ismail berkata, rancangan Kementerian Kesihatan itu disifatkan baik dan guru kaunselor perlu melihat perkara tersebut secara serius.

“Modul itu akan dilaksanakan secara perintis di empat sekolah dan sekiranya ia berjaya, saya mencadangkan ia akan diguna pakai oleh semua kaunselor di negara ini. Perkama dan Lembaga Kaunselor Malaysia turut bersedia untuk membantu dalam menambah baik program atau modul berkenaan sekiranya diperlukan,” katanya.

Sehubungan itu Ismail berkata, mereka seharusnya merancang pelbagai program tambahan serta memperluaskan sasarannya untuk guru-guru lain dan ibu bapa.

Katanya, harus diingatkan, guru juga boleh menjadi stres dan tekanan yang dihadapi oleh pelajar turut berpunca daripada ibu bapa, rakan-rakan dan persekitaran.

“Mengalami stres adalah sesuatu yang normal bagi setiap normal dalam kehidupan manusia namun perlu belajar untuk menguruskannya dengan baik. Stres merupakan masalah awal sebelum ia menjadi kronik kepada kecelaruan fikiran iaitu penyakit mental dan pelajar berpotensi mengalaminya,” kata Ismail.