Namun belum pasti sama ada beliau akan dipilih atau sebaliknya.

Menurut Abdul Azim, beliau tidak akan menawarkan diri untuk bertanding sekali lagi bagi merebut kerusi tersebut, namun tidak menolak jika diberi tanggungjawab itu.
Beliau juga bertekad untuk melakukan yang terbaik sesuai dengan pengalaman yang dimiliki.
''Soal siapa yang akan menjadi calon perlu melalui proses rundingan dengan bahagian-bahagian UMNO bagi mengelak ada pihak berasa dipinggirkan atau perbuatan sabotaj,'' katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) yang lalu, Abdul Azim tewas dengan majoriti 1,566 undi apabila mendapat 18,499 undi berbanding calon Pas, Roslan Shaharum yang mendapat 20,015 undi.
Selain kedua-dua calon itu, kerusi Parlimen Bukit Gantang turut ditandingi calon bebas, M. Morgan yang mendapat 872 undi.
Kerusi Parlimen Bukit Gantang kembali menjadi rebutan selepas Roslan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Batu Gajah selepas diserang sakit jantung semasa berbasikal pada 9 Februari lalu.
Berikutan kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang itu bermakna pilihan raya kecil akan dijalankan dalam tempoh 60 hari.
Bukit Gantang mempunyai 65 peratus pengundi Melayu dan 27 peratus pengundi Cina manakala selebihnya pengundi India.
Parlimen ini mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Changkat Jering, Trong dan Sepetang.
Sebuah blog, mysrimuara.blogspot.com mengatakan seseorang yang juga wajar ditonjol ialah Ketua Penyelidikan, Penerbitan dan Persidangan Kolej Islam Perak, Kamarulail Haji Sulaiman.
Jawatan yang beliau sandang sekarang ialah jawatan utama di Kisdar.
Beliau dikatakan mempunyai idealisme tinggi dan mendapat sokongan peringkat akar-umbi.
Menurut blok berkenaan: “Beliau yang suka merendah diri dan berhemah membuatkan beliau disukai lawan dan juga kawan. Di dalam pemilihan Umno bahagian baru-baru ini, beliau telah dipilih oleh ahli umno untuk menjawat jawatan Timbalan Ketua Bahagian Umno Bukit Gantang.”
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengingatkan seluruh jentera Barisan Nasional (BN) supaya bekerja bersungguh-sungguh dan membuat persediaan awal bagi menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang ini.
Sambil mahu tiada pihak yang mengambil mudah cabaran pilihan raya kecil itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, hanya kerja keras dan persediaan rapi saja yang dapat menjamin kemenangan parti.
Abdullah berkata BN juga belum membuat keputusan sama ada mahu mengumumkan calonnya lebih awal pada pilihan raya kecil berkenaan seperti pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu sebelum ini.
"Saya perlu berbincang dulu dengan (Timbalan Perdana Menteri), Datuk Seri Najib Razak, pemimpin Umno yang lain serta Jawatankuasa Pengurusan sebelum menetapkan calon yang akan bertanding pada pilihan raya itu.
"Apa-apa pendekatan yang hendak kita ambil dalam hal ini, tidak semestinya pendekatan (yang sama) dengan tiap-tiap pilihan raya kecil. Tentulah berlainan mengikut keadaan dan apa juga matlamat kita," katanya.

Abdul Azim berkeyakinan, BN mempunyai harapan cerah untuk merampas semula kerusi Parlimen Bukit Gantang dalam pilihan raya kecil kali ini melihat kepada sentimen semasa yang mempengaruhi sokongan pengundi.
Berbeza dengan isu sewaktu tsunami politik pada PRU12 tahun lalu jelas beliau, pengundi Bukit Gantang hari ini semakin sedar dengan tindak-tanduk pembangkang lebih-lebih lagi dalam isu penderhakaan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah seperti yang berlaku ketika ini.
Soal penting kini ialah BN menentukan siapa calon paling layak dan diterima rakyat di Bukit Gantang dan belajarlah daripada dua pilihan raya kecil lalu.
Nama lain disebut-sebut selain Abdul Azim dan Kamarulail ialah Senator Tan Sri Jins Samsuddin, Datuk Mat Isa Ismail serta Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abd Fasal.
Ingatlah, calon turut menjadi penyebab penting menang pilihan raya kecil.