Monday, January 27, 2014

TUDUNG & LOCENG - DUA ISU ROSAKKAN IMEJ PERGURUAN NEGARA


"Bagi Gagasan, walaupun permohonan maaf dikemukakan, ia tidak bermakna tindakan tatatertib dan disiplin tidak perlu diambil. Tindakan itu penting sebagai pengajaran dan ingatan agar ia tidak berulang di samping mengelak wujudnya budaya meminta maaf setelah kesalahan dilakukan dengan sengaja." 
- Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad

Ketika Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serius melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM, dua isu dikatakan boleh merosakkan imej perguruan negara.

Isu guru dipaksa membuka tudung ketika mengajar dan murid digantung loceng serta dipaksa makan rumput dengan gelaran lembu, jelas bercanggah dengan dasar murni berkenaan. Ironinya kedua-dua terjadi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina iaitu SJKC Khai Meng, Perak, dan SJKC Nan Ya, Teluk Senang di Johor yang berakhir dengan permohonan maaf yang pada pandangan Gagasan lebih kepada takut dikenakan tindakan lanjut.

Berikutan itu Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) mendedak KPM mengambil tindakan terhadap pelaku dalam dua isu yang merosakkan imej profesional perguruan negara.

Setiausaha Agungnya Syed Anuar Syed Mohamad (kiri) berkata ketika KPM serius melaksanakan isu guru dipaksa membuka tudung ketika mengajar dan murid digantung loceng serta dipaksa makan rumput dengan gelaran lembu, jelas bercanggah dengan dasar murni berkenaan.

Sambil melahirkan rasa kesal dan marah terhadap insiden itu, Syed Anuar berkata Gagasan mendesak KPM mengambil tindakan tatatertib dan disiplin terhadap kedua-dua pelaku kes berkenaan.

Bagi Gagasan, walaupun permohonan maaf dikemukakan, ia tidak bermakna tindakan tatatertib dan disiplin tidak perlu diambil.

Tindakan itu penting sebagai pengajaran dan ingatan agar ia tidak berulang di samping mengelak wujudnya budaya meminta maaf setelah kesalahan dilakukan dengan sengaja.

Syed Anuar menegaskan, dalam kes murid terbabit, Gagasan melahirkan rasa kesal dengan tindakan Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang yang menganggap kes itu selesai setelah guru terbabit memohon maaf. 

Apakah cukup hanya dengan mengarahkan guru besar SJKC Khai Meng mengeluarkan surat amaran kepada guru terbabit. Gagasan bertegas bahawa permohonan maaf tidak memadai.

Ini melibatkan maruah dan ia telah meninggalkan kesan psikologi yang mendalam terhadap murid terlibat.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim. berkata semalam, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberi kaunseling, jika perlu, kepada dua murid dalam kes dihukum makan rumput.

"Pegawai JKM telahpun berjumpa kanak-kanak terbabit dan keluarga mereka pukul 11 pagi tadi untuk menyiasat perkara sebenar yang berlaku.

"Esok (hari ini) mereka akan berjumpa dengan pihak sekolah bagi tujuan sama," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan kepada 786 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pusa dan 250 murid Sekolah Kebangsaan Kalok, Betong, Sarawak semaalam.

Rohani, yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar, berkata masyarakat perlu memahami amat penting menjaga kesejahteraan emosi dan tingkah laku kanak-kanak sekali gus menjejaskan pelajaran mereka. "Mungkin kerana kejadian ini juga boleh menyebabkan mereka tidak mahu datang ke sekolah kerana malu diejek kawan-kawan," katanya.

Sementara itu guru sekolah rendah di Sungkai, Perak, itu sudah ditukar ke sekolah lain.

Selain itu, guru tersebut akan diberi surat amaran yang tegas kerana bertindak keterlaluan mendenda murid yang tidak menyiapkan kerja sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata hasil siasatan oleh Jabatan Pendidikan Perak mendapati tindakan guru berkenaan memberikan imej yang kurang baik kepada Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata adalah tidak wajar guru berkenaan mendenda murid dengan sedemikian rupa yang boleh dianggap keterlaluan.

"Hal ini kerana murid berkenaan masih di peringkat sekolah rendah yang mana kaedah bimbingan adalah paling wajar dan sesuai," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Khair berkata isu murid tidak menyiapkan kerja sekolah bukan merupakan kesalahan disiplin kerana ia adalah sebahagian daripada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan perlu ditangani menerusi bimbingan berterusan.

Syed Anuar selanjutnya berkata Gagasan juga mahu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil tindakan di bawah undang-undang berkaitan penderaan kanak-kanak terhadap guru terbabit. 

"Sepatutnya sebagai seorang guru yang diamanahkan mendidik, seharusnya tindakan yang lebih rasional diambil berdasarkan kesalahan yang dilakukan, bukannya secara emosional," katanya.