Tuesday, December 30, 2008

NIK AZIZ – MASALAHNYA PADA PAS TERENGGANU

Terang lagi bersuluh, PAS ada masalah dalam memilih calon.

Juga benarlah jangkaan bahawa ada pertentangan pendapat antara golongan ulama dan muda (Erdogan + Klon) dalam parti itu.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mengakui kelewatan mengumumkan nama calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu menonjolkan kegagalan PAS negeri mencapai kata sepakat dengan golongan ulama dan muda dalam parti itu.

PAS Terengganu juga dikatakan gagal mendapat sokongan mengenai calonnya daripada rakan pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempunyai pilihan sendiri untuk diketengahkan sebagai calon.

''Ini masalah orang sini ( PAS Terengganu) dan bukan saya," kata Nik Aziz selePAS merasmikan jentera Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu dari Kelantan dan Wilayah Persekutuan di Masjid Hiliran di Kuala Terengganu malam semalam.

Benarlah ramalan saya sebelum ini yang mengatakan ada pertentangan pendapat antara ulama dan Erdogan + Klon, bukan sahaja dalam memilih calon tetapi membabitkan beberapa pendekatan lain dalam PAS.

Persoalannya apakah kenyataan Nik Aziz itu ditujukan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tidaklah diketahui.

Namun, sedikit sebanyak Hadi terbabit dalam soal pemilihan calon ini kerana beliau bukan sekadar Presiden PAS tetapi menjadi pengaruh paling penting di Terengganu.

Presiden PAS itu baru-baru ini berkata, calon pilihan PAS itu mempunyai ketokohan dan lebih berkelayakan untuk menang berbanding calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

“Kita sudah ada calon... dalam poket saya. Insya-Allah... tunggu 1 Januari depan.
Beliau seorang profesional dan berjiwa rakyat,” kata Hadi

Ditanya adakah calon yang dipilih itu dari kalangan anak Terengganu atau Mat Sabu seperti yang dicadangkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau berkata, perkara itu akan diketahui 1 Januari ini.

Hadi dikatakan berminat meletakkan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustapa Ali atau Datuk Wan Mutalib Embong bertanding sementara golongan muda pula mahukan Dr Syed Azman Syed Nawawi.

Malah sebelum tiga nama itu ‘naik’, Nik Aziz awal-awal lagi melonjakkan nama Muhammad Sabu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau tidak terlibat dalam pemilihan calon pilihan raya kecil tersebut kerana ia terletak di bawah bidang kuasa PAS Terengganu.

Timbalan Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil PAS, Datuk Mustafa Ali bagaimanapun menafikan wujud masalah dalam menamakan calon parti itu untuk Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, sebaliknya menyifatkan kelewatan itu sebagai perkara biasa.
''PAS pada kebiasaannya mengumumkan calon yang akan bertanding sehari atau dua hari sebelum tarikh penamaan calon.

''Keputusan mengumumkan nama calon di Stadium Negeri di sini pada Khamis ini pun dikatakan awal daripada kebiasaan," katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia semalam.
Jika demikian, kenapa PAS mesti ikut rentak UMNO dan BN mengumumkan nama calon lebih awal?

Saya ingin mengulangi di sini, persoalan lebih besar kepada pertelingkahan pendapat ini ialah apakah PAS mampu mendinginkan pertentangan antara kumpulan Erdodan + Klon melawan kumpulan ulama khususnya di Terengganu?

Pertelingkahan ini sebenarnya turut memberikan kesan kepada kerjasama mereka dengan komponen Pakatan Rakyat, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia bukan sekadar pemilihan calon tetapi akan terbawa-bawa sehingga kempen.

Bagi saya, sudah PASti dalam kempen PAS dan usaha meramPAS kerusi ini daripada BN, akan ada perbuatan ‘main belakang’, sabotaj dan ‘cas keting’.

Jika kita ingat kembali, siapa bermati-matian di Permatang Pauh? Mereka adalah kumpulan Erdogan + Klon, khususnya Datuk Husam Musa. Malah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup bertongkat pada hari penamaan calon. Di mana pula kumpulan ulama ketika itu?

Ini bermakna kemungkinan tetap ada bahawa PKR, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan ‘memboikot’ PAS jika kumpulan ulama berjaya mempengaruhi Majlis Syura PAS untuk meletakkan calon bukan Erdogan + Klon.

SIAPA PILIHAN PENGUNDI CINA?

Apakah yang boleh ditawarkan oleh Pas untuk pengundi di P.36 Kuala Terengganu?

Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui bahawa sumber-sumber parti itu adalah terhad kerana ia tidak lagi mentadbir Terengganu.

Ditanya mengenai perubahan yang mahu dibawa PAS untuk penduduk Kuala Terengganu jika menang dalam pilihanraya kecil 17 Januari depan, Hadi berkata: "...saya berharap pengundi akan menghantar satu isyarat yang jelas - bahawa mereka menolak Barisan Nasional dan Umno," katanya.

Bolehkah dengan isyarat sahaja akan memuaskan hati pengundi di Kuala Terengganu, khususnya di kalangan pengundi Cina?

Jelas PAS tidak mempunyai sebarang cadangan dan dengan mengatakan ia tidak lagi mentadbir Terengganu, bukan sesuatu yang diharapkan oleh pengundi Cina di Kuala Terengganu.

Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 80,326 pengundi dengan majoritinya kaum Melayu iaitu 87.4 peratus, Cina (11.6 peratus), India (0.7 peratus) dan yang lain (0.3 peratus).
Walaupun hanya 11.6 peratus undi Cina di kawasan itu, ia dilihat penting untuk mengubah keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari depan.

Calon BN bagi Parlimen Kuala Terengganu, DatukWan Ahmad Farid Wan Salleh berkata sokongan pengundi Cina di kawasan Parlimen Kuala Terengganu penting bagi menentukan kemenangan BN.

Baginya, setiap undi itu amat mustahak dan pengundi Cina di kawasan ini amat penting diberikan perhatian. Beliau sudah memulakan sesi perjumpaan dengan pengundi Cina dan mendapati sambutan diberi sangat baik dan memberangsangkan.

Bagi Hadi pula, beliau yakin pengundi Cina akan menyokong parti itu dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan kerana mereka mendapat faedah sewaktu pentadbiran PAS selama empat tahun sebelum ini.

Presiden Pas itu berkata, ketika beliau menjadi menteri besar, kerajaan negeri telah menghapuskan cukai taksiran untuk pemilik hartanah.

Bagaimanapun, kata presiden PAS itu, apabila Umno kembali memerintah, cukai taksiran itu dikenakan semula.

Katanya, daripada maklumbalas yang diterima, pengundi Cina tidak suka dengan tindakan Umno itu dan berharap mereka akan mengundi PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.

Minggu lalu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said meluluskan pembinaan Dewan Komuniti Cina Kuala Terengganu yang akan dibina di Bukit Kecil dengan kos RM3.3 juta.

Ia akan dibina tahun depan, selain memberikan peruntukan tambahan RM2.8 juta bagi kerja menaik taraf kemudahan dan infrastruktur dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin di Kuala Terengganu.

Wan Farid yakin pengundi Cina bersama-sama dengan saya bagi menentukan kemenangan BN pada pilihan raya 17 Januari depan.

Wan Ahmad Farid yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata beliau akan cuba menemui semua pihak bagi menghadapi pilihan raya ini nanti.

Pada ketika kedua-dua pihak sedang berusaha mempengaruhi pengundi Cina, Pengerusi DAP cawangan Kuala Terengganu, Ng Chai Hing mengingatkan pengundi Cina agar tidak termakan ‘umpan’ dana khas kerajaan Persekutuan yang kini mula diagihkan sebagai ‘Ang Pau’.

“Ang Pau’ ini yang diberikan kepada orang Cina setiap tahun oleh kerajaan Persekutuan kini dilihat dalam konteks politik oleh DAP.

Beliau berkata pembahagian duit ‘Ang Pau’ yang digunakan dari peruntukkan dana khas sedang giat diagih-agihkan kepada penduduk di Bandar Kuala Terengganu.

Katanya, pemberian tersebut berselindung atas nama sempena Tahun Baru Cina diagih-agihkan kepada penduduk berketurunan Tionghua.

“Saya harap rakyat boleh ambil duit sahaja tetapi undi dalam Pilihan Raya Kecil pada 17 Januari 2009 depan kita (pengundi) tidak gadai hanya kerana ‘habuan’ RM300 sahaja,” katanya.

Malah beliau turut menaja slogan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik, “Orang (BN) bagi duit ambil, orang bagi kain pakai, orang bagi gula kacau, tetapi tiba masa mengundi kita (rakyat) tolak BN undi PAS.”

Sementara Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali yang juga disebut-sebut akan bertanding sebagai calon PAS untuk Kuala Terengganu mengingatkan masyarakat Tionghua supaya tidak mudah termakan 'umpan' pilihan raya dengan penyaluran bantuan dana berjumlah RM6.1 juta oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

PAS Terengganu menyifatkan pemberian peruntukan tersebut sebagai satu tindakan yang bermotifkan politik kerana berlaku disaat Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu bakal diadakan pada 17 Januari depan.

Sebaliknya menurut beliau, PAS tidak mempunyai 'halangan' jika kerajaan benar-benar menyediakan peruntukkan demi kepentingan dan kebaikan rakyat.

Namun begitu, katanya pengagihan peruntukkan yang berlaku pada waktu ini (pilihan raya kecil) sudah tentu mempunyai hubungkait dengan tujuan politik.

"Dia (kerajaan) hendak bantu, kita (PAS) tiada halangan kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan negeri untuk masyarakat .

"Tetapi dia (kerajaan) pilih waktu ini sudah tentu ia ada tujuan politik dan kita (PAS) harap masyarakat Tionghua faham bantuan itu bermotif politik," ujar beliau ketika dihubungi.

Menurutnya, PAS tidak menghalang sebarang peruntukkan yang disalurkan oleh kerajaan BN tetapi melihat perkara tersebut sebagai 'umpan' pilihan raya.

Katanya, setiap kali menjelang pilihan raya umum atau pilihan raya kecil pelbagai peruntukkan
dan bantuan diagihkan kepada rakyat yang menjadi amalan parti pemerintah.

Hakikatnya apa yang dikatakan oleh Chai Hing dan Mustapa mengenai ‘Ang Pau’ ini kurang tepat kerana ia sudah diberikan setiap tahun dan hanya kebetulan apabila Tahun Baru Cina disambut pada Januari ini yang turut menjadi bulan kempen untuk pilihan raya.

Kalaupun tidak kerana ada pilihan raya, kerajaan negeri memang mempunyai rancangan membantu orang Cina dan kalau benar jumlah sebanyak RM6.1 juta akan diagihkan, ia wajar dibuat kerana perayaan tahun baru Cina akan disambut akhir Januari depan.

Selain itu orang Cina di Kuala Terengganu boleh menilai sendiri apakah kerajaan negeri pimpinan BN tidak berusaha menyelesaikan masalah bandar yang ditimbulkan oleh DAP termasuk kesesakan jalan, kekurangan parkir kereta, longkang tersumbat, banjir kilat dan pembangunan tidak seimbang.

PAS dan DAP sewajarnya tidak menjadikan bantuan kepada orang Cina sebagai isu kerana ia memang dasar kerajaan negeri pada setiap masa.

KUTIPAN UNTUK TOK MUN LESAP

"Tak sempat dah...dah tak boleh buat apa-apa. Masa dah singkat sangat".

"Lagipun, selagi takdok pitih dalam tangan tak boleh cakap. Dah ada baru boleh cakap. InsyaAllah kalau Tok dipanjangkan umur lagi, Tok akan tanding dalam pilihan raya umum depan pulak," itulah luahan Maimun Yusof, 89 semalam.

Bekas calon bebas Parlimen Kuala Terengganu yang mencuri tumpuan pada pilihan raya umum lepas, itu mengesahkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan.

Punca utamanya ialah deposit bagi melayakkan bertanding dalam pilihanraya ini 'lesap'.
Pada ketika Maimun menyatakan tidak akan bertanding, Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil itu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh meneruskan kerja politiknya dengan menemui orang ramai di Kuala Terengganu seramai mungkin.

Beliau yang turun padang semalam bertemu dengan pengundi di Kedai Kopi Ladang.
Pada pilihan raya umum lepas, Maimun memperoleh 685 undi manakala bekas Timbalan Menteri Pelajaran Allahyarham Datuk Razali Ismail yang mewakili Barisan Nasional (32,562 undi) dan calon PAS, Mohamad Sabu (31,934 undi).Tok Mun Tidak Bertanding Dalam Pilihan Raya nanti.

Maimun atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mun berkata dia terpaksa melupakan niatnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu, apabila tidak menerima sebarang wang untuk digunakan sebagai deposit bagi melayakkan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

"Dok payoh (Tak payah) jumpa lagilah, tok tak mboh (tak nak) tanding doh. Takdok pitih (takde duit)... dok buleh buat apa doh (tak boleh buat apa dah)...Nok kumpul duit pun dah dok sempat (nak kumpul duit pun tak sempat)," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Gong Gemia di sini.

Menurut laporan Bernama, Tok Mun berkata walaupun sebelum ini satu laman blog telah diwujudkan bagi mengutip dana untuk digunakan sebagai wang deposit dalam pilihan raya kecil itu, namun beliau mendakwa kesemua wang tersebut telah dilesapkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Warga emas itu mendakwa seorang penyokongnya yang turut membantunya dalam pilihan raya umum lepas telah memberitahunya bahawa laman blog tersebut telah berjaya mengutip kira-kira RM160,000.

Bagaimanapun, katanya sehingga hari ini dia tidak menerima sesen pun wang daripada laman blog yang menggunakan namanya itu dan tidak pasti pihak yang terlibat dalam melesapkan wang tersebut.

Untuk mengelakkan namanya terus dipergunakan, Tok Mun telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada 18 Dis lalu berhubung kejadian tersebut.

"Tok dah minta polis sekat laman blog tersebut, duit pun bukan dapat ke Tok. Tak payoh bagi ke situ (blog) lagi," katanya.

Tok Mun turut melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat meneruskan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini dan kesal ada individu tertentu yang cuba mengaut keuntungan yang mudah dengan menggunakan namanya untuk mengutip wang.

Ditanya sama ada beliau masih berminat untuk bertanding jika ada sekiranya pihak mendermakan wang kepadanya dalam tempoh sebelum penamaan calon nanti, Tok Mun mengganggapnya semua sudah terlambat.

Wan Farid berkata parti pembangkang khususnya PAS tidak mempunyai isu untuk diketengahkan kepada rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan.

PAS juga tidak mungkin mampu meraih undi lebih besar apatah lagi mencatatkan kemenangan.
''Pengalaman masa lalu jelas membuktikan rakyat Kuala Terengganu tidak mudah termakan pujuk rayu PAS kerana ia biasanya hanya retorik politik,'' katanya.

BN sebaliknya sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil dan bertekad meraih sokongan lebih besar daripada pengundi kawasan tersebut.

Wan Ahmad Farid berkata, berdasarkan pertemuan dengan pengundi, beliau diterima sebagai calon BN walaupun ada spekulasi tidak baik sebelum ini.