“Kita akan buat laporan polis dalam sehari dua ini dan akan bincang dengan peguam untuk tindakan undang-undang. Macam-macam dakwaan mereka, sehingga ada yang kata saya kena tangkap basah dengan pelajar UiTM, pramugari, ada kata budak Besut, Pasir Panjang dan macam-macam lagi.
Ini tidak berasas. Walaupun saya tahu ini adalah serangan politik tetapi demi maruah anak saya dan keluarga, saya akan mengambil tindakan. Kita orang politik, tahan tekanan tapi anak-anak saya dan keluarga bukan orang politik. Kesianlah mereka.”
Demikian tegas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengenai dakwaan blog bahawa beliau ditangkap khalwat dan berkahwin Rabu lalu.
Ironinya, sehingga hari ini, kita masih menunggu pendedahan lanjut oleh blogger, Mohd Sayuti Omar (MSO) mengenai posting ‘MB Dia Isteri Ditangkap Khalwat’ pada blognya.
Ini kerana pada postingnya bertarikh 25 Oktober lalu, MSO mengatakan seorang Pengarang portal akan mendedahkan lebih lanjut kes ini.
Menurut Sayuti, “Baru sekejap tadi seorang pengarang sebuah portal berita menghubungi saya untuk meminta pengesahan berhubung seorang Menteri Besar yang dikatakan telah berkahwin seorang lagi. Kejadian itu berlaku pada bulan Ramadhan lalu. MB itu katanya ditangkap berkhalwat dengan perempuan yang kini sudah menjadi isterinya itu.
Isteri yang baru dikahwinkan itu merupakan yang ketiga. MB ini mencatat sejarah sebagai satu-satunya MB yang mempunyai lebih dari dua isteri dalam satu masa.”
Sengaja saya memang tidak memberikan reaksi pantas kepada posting MSO ini untuk menunggu MSO dan Pengarang berkenaan membuat pendedahan lebih lanjut seperti dijanjikan.
Namun hingga ke saat ini MSO membisu dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said naik angin dan menyatakan akan menyaman blogger yang mendakwa beliau berkhalwat dan bernikah satu lagi.
Mengejutkan kerana beberapa blog yang sebelum ini turut memetik apa yang disiarkan oleh MSO tiba-tiba memadamkan terus dan ada juga blog yang terus memohon maaf kepada Ahmad Said.
Amat jelas takut juga mereka ini dengar Menteri Besar Terengganu mahu saman. Ada juga yang nakal membuat komen di blog teganuku menyebut : “Ambo raso pelik lah !!! biasanya blog MSO Melayu dan rangkaian blog Hambali yang kuat 'back up' Mat Said. Apa dah jadi dengan 2 orang ini ? Dah tak sebulu lagi ke dengan Mat Said???”
Pada Rabu, Ahmad Said berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dua blogger yang didakwa memfitnahnya, setelah kecewa dengan dakwaan tangkapan khalwat melibatkan dirinya.
Beberapa blog turut merangkaikan cerita ini (lihat di sini) tetapi Ahmad Said memilih hanya dua blog sejauh ini.
Menurutnya, beliau terpaksa bertindak menyaman pemilik blog http://guanopulok.blogspot.com dan http://msomelayu.blogspot.com kerana terlalu sedih dan kecewa dengan fitnah melampau yang ditujukan kepadanya dengan membabi buta.
Kedua-dua blog ini mengatakan Ahmad Said ditangkap di hotel.
Bukan rahsia lagi, Menteri Besar Terengganu sering bermalam di Hotel Hilton Sentral jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur.
Dan kerana itu ada tuduhan mengatakan beliau ditangkap khalwat di hotel berkenaan.
Persoalannya, apakah mungkin ada pihak boleh bolos ke bilik Menteri Besar di hotel berkenaan sedangkan untuk menggunakan lif pun terpaksa pakai kad khas.
Apakah berani staf hotel berkenaan membenarkan sesiapa sahaja bolos ke bilik tetamu begitu sahaja? Lagipun bukan mudah untuk ke bilik penginapan Menteri besar berkenaan kerana beliau adalah ‘regular customer’ di hotel berkenaan yang pastinya mendapat ‘perlindungan yang cukup’.
Jika benar boleh bolos, siapakah yang menangkap beliau? Ada repot polis atau Jabatan Agama Islam Wilayah tentang kejadian itu?
Kata Ahmad Said, dia mengetahui tentang tuduhan itu sejak tiga bulan yang lalu namun bertindak mendiamkan diri kerana hanya menyifatkannya sebagai satu cubaan serangan politik kepadanya.
“Tetapi saya tidak boleh bertahan apabila anak gadis saya yang balik bercuti menangis kerana diejek rakan-rakannya mengenai itu.
“Sebagai bapa, saya perlu lakukan sesuatu kerana ia sudah melibatkan orang-orang yang rapat dengan saya. Setelah berfikir panjang, saya rasakan saya perlu ambil tindakan dan akan bertindak menyaman blog-blog yang terlibat,” katanya.
Menteri Besar itu sudah mengenal pasti pemilik blog ‘MSO’ dan kini sedang mengenal pasti pemilik blog ‘Ganopulok’ kerana siasatan pihaknya mendapati, alamatnya telah dipindahkan ke California, Amerika Syarikat.
Kerana itu jika MSO ada bukti atau Pengarang yang disebutnya ada bukti, seperti ditegaskan Ahmad Said, mereka yang berkenaan harus tampil dan bukannya bersembunyi.
Mungkin MSO dan Pengarang berkenaan mempunyai jawapan?