Saturday, January 18, 2014

KHALID IBRAHIM AKAN DIPECAT SEBAGAI MENTERI BESAR SELANGOR?


Pada ketika angin mula bertiup kencang bahawa dua Menteri Besar Barisan Nasional (BN) akan digantikan Mei depan, heboh di kalangan pemimpin dan rakyat yang menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS di Selangor bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim akan dipecat sebagai Menteri Besar Selangor.

Pemimpin pembangkang rancak memperkatakan kemungkinan dua Menteri Besar BN akan digantikan, mereka tidak menyangka perkara yang sama akan berlaku di Selangor.

Menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri!

Mengikut laporan, isu atau desakan Khalid digantikan ini ditimbulkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR pada malam Rabu lalu.

Cadangan dikatakan hangat dibahaskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khalid mengakui beliau tidak mengetahui tentang cadangan pemecatan beliau dalam mesyuarat tersebut. 

Bagaimanapun, Khalid berkata, beliau menyerahkan cadangan pemecatan beliau sebagai menteri besar Selangor yang diusulkan oleh kumpulan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali itu kepada rakyat dan ahli parti.

Menteri besar Selangor yang enggan mengulas lebih lanjut mengenai isu tersebut menyifatkan isu yang melanda antara beliau dan Azmin itu sebagai isu politik.

"Itu hal politik. Isu tersebut biarlah ditentukan oleh rakyat dan ahli parti sendiri," katanya kepada media selepas menghadiri program dialog bersama penduduk di Kuala Selangor.

The Malaysian Insider melaporkan Abdul Khalid hampir hilang pekerjaannya dua malam lalu apabila Azmin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa dan penyokongnya mencadangkan Khalid disingkirkan daripada kerusi itu.

Ia berlaku rentetan kemarahan penyingkiran Azmin sebagai ahli lembaga pengarah anak syarikat kerajaan negeri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), namun ia diselamatkan oleh Anwar yang menolak cadangan itu.

Anwar dalam satu sidang media beberapa hari lalu menolak cadangan kerajaan negeri untuk memecat Azmin kerana sepatutnya beliau berkhidmat sehingga 2015.

Bagaimanapun, Abdul Khalid menjelaskan bahawa beliau ataupun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak pernah membuat keputusan untuk membuang Azmin.

"Ia dibuat oleh pengurus besar PKNS," kata Abdul Khalid dalam sidang medianya selepas mesyuarat Exco Selangor pada Rabu. Pertelingkahan Khalid-Azmin bagai tidak boleh dileraikan lagi dan dianggap kemuncak apabila Azmin digugurkan sebagai Lembaga Pengarah PKNS.

Memburukkan keadaan, wujud pula percanggahan kenyataan antara Khalid dan PKNS.

Pada Rabu lalu, PKNS berkata surat bertarikh 8 Januari telah diutuskan kepada Azmin bagi memaklumkan tempoh jawatan beliau ditamatkan selaras dengan keputusan MMKN Selangor pada 13 November 2013 dan disahkan oleh MMKN pada 4 Disember 2013.

Khalid mengatakan keputusan menggurkan Azmin dibuat oleh Pengurus Besar PKNS Othman Omar dan surat dikeluarkan oleh Othman selepas exco menerima keputusan itu.

Khalid turut menafikan dakwaan yang pengguguran Azmin itu sebagai ada kaitan dengan pemilihan PKR dijadualkan Mei ini.

Ini kerana keputusan tersebut pada permulaannya tidak dibuat oleh kerajaan negeri sebaliknya oleh Pengurus Besar PKNS itu.

"Keputusan tidak sambung Azmin dibuat oleh Pengurus Besar PKNS. Ia bukan keputusan parti. Exco tidak buat keputusan itu," kata Khalid dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan exco negeri Rabu lalu. 

Pengguguran Azmin dilihat mencetuskan rasa tidak puas hati pemimpin PKR Selangor apabila Setiausahanya, Amirudin Shari menuntut penjelasan daripada Khalid mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, Khalid menyatakan tidak tahu ketika ditanya sama ada pengguguran Azmin itu dibincangkan di peringkat Anggota Lembaga Pengarah PKNS.

“Tapi surat mengenai pengguguran telah diberi kepada Azmin dan beliau menerimanya," katanya.

Wujud percanggahan kenyataan antara Khalid dan PKNS dan mengulas mengenai percanggahan kenyataan diantara PKNS sehingga menimbulkan konflik, Khalid berkata kerajaan negeri memutuskan akan memanggil Pengurus Besar Datuk Othman Omar dan Setiausaha PKNS Norita Mohd Sidek Isnin ini.

Ia bertujuan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.