Tun Dr Mahathir Mohamad pernah merasainya. Bukan sekali tetapi tiga kali.

Satu daripada kejayaan Dr Mahathir ialah pengurusan krisis apabila beliau berjaya menundukkan ketiga-tiga mereka.
Sebaliknya bagi Menteri Besar Terengganu - Datuk Ahmad Said - beliau bukan sekadar tidak pernah memilih teamnya (Wakil Rakyat atau ADUN) seperti Dr Mahathir.
Sebaliknya beliau menerima ‘apa yang sudah terhidang’ kerana ADUN yang ada sekarang adalah pilihan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu dan Menteri Besar sebelumnya.
Dengan kata lain, Ahmad Said terpaksa masuk ke gelanggang dengan mengharapkan sokongan dan dokongan ‘askar orang lain’.
Walaupun demikian beliau masih mampu ‘meredakan keadaan’ seketika. Tetapi ‘api dalam sekam tidak akan pernah padam’.

Sudah pasti apabila menduduki kerusi Menteri Besar, beliau mahu memperteguhkan kedudukannya untuk mentadbir dan menguruskan parti.
Lebih penting beliau mendapat mandat daripada istana untuk men jamin keamanan dan kemakmuran di Terengganu.
Beliau tidak boleh memandang ke belakang, sebaliknya memenuhi amanah dan tugas yang dimandatkan oleh beliau.
Apa yang berlaku di Terengganu ini sudah lama berlaku di Kelantan. Dengan semakin ramai hulubalang, sama ada di utara, timur atau barat, Ahmad Said akan tersepit.
Jika ada hulubalang yang cuba mengawal sempadan tidak apa, tetapi jika hulubalang bersikap ‘talam dua muka’ akan menyebabkan bahana kepada parti.
Kelantan tidak kembali kepada UMNO kerana sesetengah orang UMNO sendiri yang tingkah laku mereka ‘memenangkan PAS’.
Di Terengganu juga akan berlaku perkara yang sama jika UMNO membuat perhitungan salah.
Apapun, selepas ‘ribut secawan kopi’, Terengganu dijangka akan kembali reda. Lagipun yang berbuat salah akan menerima akibatnya.
Yang nyata:
1. Ahmad Said tidak terlibat dan orang-orangnya tidak terlibat dengan sms yang mengugut bunuh. Dia sudah membuktikan bersih dan amanah.

"Kebenaran akhirnya terbukti... Allah Maha Berkuasa... saya tahu bahawa ini akan diketahui satu hari nanti selepas pegawai pejabat saya memaklumkan saya bahawa perisian telah disalahgunakan oleh pakar IT di Kuala Lumpur," kata beliau.
2. Wan Ahamad Wan Muda juga tidak terlibat. Mesej yang didakwa dikirim oleh beliau antaranya berbunyi "baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?". Beliau menjadi mangsa dan cuba dijadikan kambing hitam dalam kemarahan dan tuntutan 10 ADUN yang mahu Ahmad Said digantikan.
3. Bagi yang menuduhnya, wajar mereka meminta maaf.
4. Siapa pemuda yang ditahan polis? Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan pula berkata, polis telah mengenal pasti bahawa SMS itu bukannya dihantar oleh pegawai kanan di pejabat Menteri Besar seperti yang dilaporkan sebelum ini. Malaysiakini melaporkan semalam:
“Pengiriman SMS tersebut dipercayai ada kaitan dengan kemelut politik di Terenganu di mana sekumpulan ADUN mendesak Menteri Besar, Datuk Ahmad Said meletakkan jawatan.” Tidakkah ini membayangkan pemuda ini ada kaitan dengan 10 ADUN berkenaan?
5. Bantahan apakah bersifat ‘pukul anak sindir menantu’ kerana kini ada teori daripada puak Idris yang menuduh istana terbabit dalam sms berkenaan’. Kenapakah istana cuba dilibatkan?
Apakah caranya mengatasi kemelut ini?
Pemimpin tertinggi UMNO mungkin ada caranya. Kalau saya, Datuk Seri Mohd Najib sudah tersedia formula yang diilhamkan oleh bapanya sendiri.
Pengacau perlu ‘dibuang negeri’. Buang negeri yang orang berpangkat dan Yang Berhormat lain. Yang Berhormat tetap Yang Berhormat, biarpun buat kacau!
Najib perlu merujuk kembali bagaimana Tun Razak cuba mengatasi masalah yang diakibatkan oleh Tun Dato’ Mustapa (Sabah) dan Datuk Harun Idris (di Selangor) pada 1970an.
Mungkin dalam kes Ahmad Said ini, sebagai Menteri Besar beliau tidak boleh melakukannya, lagipun Ahmad Said bukan pendendam.
Najib boleh menggunakan formula itu bagi membantu Ahmad Said.
Itupun kalau Najib masih menganggap Ahmad Said di pihak yang benar dan Perdana Menteri sendiri tidak sanggup melawan ‘arus istana Terengganu’.