Thursday, June 11, 2009

RASOL WAJAR BERSIHKAN DIRI

Apa kaitan Datuk Rasol Wahid dengan keruntuhan Stadium Sultan Mizan, 2 Jun lalu?

Apa kaitannya dengan kontraktor yang membina stadium berkenaan? Apa salahnya?
Bagi saya adalah wajar jika Rasol beruaha membersihkan dirinya.
Kenapa ada perbualan di kedai kopi menyebut nama beliau dan beberapa yang lain.
Saya menyokong pandangan beliau kenapa mesti mengaitkan beliau dengan kontraktor yang membina stadium ini. Apakah tidak ada kerja lain mereka yang cuba ‘memburukkan beliau’ berterusan dalam konteks runtuhnya stadium berkenaan.
Sebenarnya adalah sesuatu yang menyakitkan menunggu untuk nama dibersihkan.
sms, e-mail dan perbualan tidak boleh dihentikan begitu sahaja oleh Rasol.
Sakitnya Rasol seperti sakitnya Wan Ahamad Wan Muda apabila dituduh menghantar ‘sms ugut bunuh’. Kalau mahu tahu rasa sakitnya, Rasol boleh tanya Wan Ahamad.

Bagi saya awal-awal lagi kita sudah jelas bahawa Rasol tiada kaitan dengan Stadium Sultan Mizan.
Malah adalah tidak adil juga untuk mengaitkan Datuk Wan Hisham Wan Salleh, Datuk Din Adam dan beberapa individu lain dalam kes ini.

Kalau tidak tahu apa-apa mengenai pembinaan dan kontrak membina stadium ini jangan buat hal.Jangan tidak tentu pasal berbual di kedai kopi mengaitkan mereka ini.Jangan nak tuduh sembarangan. Siasat dulu hujung pangkalnya.

Kata Rasol: “...saya tidak tahu kenapa saya dikaitkan. Adakah kerana saya baik dan rapat dengan kontraktor ini? Wallahualam...Tapi ingin saya jelaskan di sini saya baik dengan semua orang termasuk rakan-rakan pembangkang. Pada saya semua adalah rakan-rakan saya... Tetapi bagi saya yang benar akan muncul juga nanti. Cuma masa dan ketika sahaja InsyaAllah.”

Saya juga amat bersetuju dengan pandangan Rasol melalui blognya yang merasakan tidak sewajarnya kontraktor tempatan (Terengganu) dilabelkan sebagai ‘cap ayam’.
Menurut Rasol: “...saya merasa kesian kepada kontraktor Terengganu dengan peristiwa yang terjadi ini. Sedikit sebanyak saya fikir akan terkena tempiasnya. Ada saya dengar bahawa kerana tragedi ini kontraktor Terengganu akan dipersoalkan reputasi mereka...cap ayamlah katakan....”

Ini kerana menurut Rasol, semua orang tahu bahawa atap yang runtuh itu dibina oleh kontraktor luar bukannya orang kita.
‘Saya mengalu-alukan siasatan yang akan dibuat nanti...InsyaAllah kita kan tahu puncanya nanti. Pada saya kejadian ini banyak pengajarannya. Saya mendoakan agar ia adalah tragedi buruk terakhir di bumi Darul Iman ini.”

Dalam Sinar Harian 4 Jun 2009, Rasol berkata paling dikesalkan , apabila terdapat suara nakal yang cuba menyalahkan kontraktor tempatan berhubung insiden itu.

Katanya: “Saya rasa tidak revelan mengaitkan isu menyiapkan secara tergesa-gesa kerana dari segi teknikalnya perkara itu tidak timbul. Jika ada masalah kita boleh tangguh dahulu’.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan negeri itu turut melahirkan rasa terkilan dan sedih kerana ikon yang dibanggakan tidak mampu bertahan lama, hanya setahun sahaja selepas siap dibina.

Bukan Rasol sahaja, ikon di sini bukan hanya stadium itu sahaja tetapi nama pada stadium itu turut dicemarkan.

Keruntuhan itu memberikan kesan buruk kepada nama Yang di-Pertuan Agong dan amat wajar jika Tuanku Mizan Zainal Abidin murka selepas diperkenankan namanya digunakan apabila sewajarnya stadium yang gah itu diselenggara dengan baik.

Apalagi, dalam keadaan jaminan masih ada, sewajarnya siapa juga kontraktor atau subkontraktor yang diamanahkan menjalankan tugas dengan baik.

Apapun usaha Rasol setakat ini, perbualan kedai kopi akan berterusan.
Rasol tidak boleh berbuat apa-apa dan tidak akan mampu menyekat orang ramai bercakap mengenainya.

Hanya Jawatankuasa Penyiasatan Bebas menyiasat punca kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan sahaja mampu membersihkan namanya.

Kita sama-sama berdoa siasatan dapat dipercapatkan , bukan sahaja membantu Rasol membersihkan namanya tetapi juga untuk orang ramai mengetahui punca sebenar runtuhnya Stadium Sultan Mizan itu.