Thursday, August 5, 2010

Zaid Gagal Batalkan Kemenangan Kamalanathan Di Hulu Selangor

P. Kamalanathan (dua kiri) bersama para peguamnya, Firoz Hussein (kiri), Syed Faisal Abdullah (kanan) dan Datuk Mohd Hafizam Haron meraikan kegembiraan selepas kemenangan beliau pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor April lalu disahkan oleh Mahkamah Tinggi, di Kuala Lumpur, 5 Ogos. - Utusan

Hasrat Datuk Zaid Ibrahim, calon Parti Keadilan Rakyat yang tewas dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lepas, membatalkan kemenangan lawannya daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya itu terbantut lagi.

Hari ini dia gagal mendapatkan pengisytiharan mahkamah supaya keputusan pilihan raya itu terbatal dan tidak sah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azahar Mohamed, yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya, memutuskan untuk membenarkan permohonan anggota Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan daripada Barisan Nasional, untuk membatalkan petisyen yang difailkan Zaid.

Selain gagal membatalkan kemenangan Kamalanathan, amat jelas apa juga tuduhan Zaid terhadap kerajaan atau juga sebarang bentuk rasuah tidak berasas sama sekali.

Menurut seorang daripada peguam Kamalanathan, Mohd Hafarizam Harun, penghakiman hari ini membuktikan bantuan kepada sekolah dan RM160,000 kepada peneroka Felda bukan rasuah tetapi sebagai pembangunan di kawasan berkenaan.

Peguam Azhar Azizan Harun yang mewakili Zaid berkata beliau kecewa dengan keputusan itu.

Katanya, beliau juga mempunyai senarai nama-nama penerima rasuah berkenaan tetapi berpendapat untuk mendedahkannya apabila perkara itu dibawa ke perbicaraan sepenuhnya.

Zaid, yang juga ketua Parti Keadilan Rakyat Wilayah Persekutuan, memfailkan petisyen itu pada 24 Mei lepas dengan menamakan Kamalanathan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan Parlimen Hulu Selangor Nor Hisham Ahmad Dahlan serta Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden.

Zaid, yang tewas pada pilihan raya 25 April itu dengan majoriti 1,725 undi kepada Kamalanathan, memohon supaya mahkamah mengisytiharkan keputusan pilihan raya itu batal dan tidak sah kerana mendakwa terdapat perbuatan rasuah dalam bentuk sogokan dan janji kepada pengundi.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri memfailkan petisyen berkenaan pada 24 Mei lalu mendakwa terdapat bentuk sogokan dan janji kepada pengundi oleh pemimpin BN, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada pengundi sekiranya mereka menyokong Kamalanathan.

Petisyen terhdap Kamalanathan difailkan di bawah Seksyen 10(a), 10(c) dan 10(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1958.

Mengulas keputusan itu, Kamalanathan berkata beliau bersyukur kepada Tuhan kerana mahkamah telah memutuskannya sebagai ahli parlimen yah sah.

"Saya P Kamalanathan, dan saya adalah MP bagi Hulu Selangor," katanya, sambil berikrar akan bekhidmat dengan gigih di kerusi parlimen yang diwakilinya.

Pada 23 Julai lalu, Mahkamah Pilihan Raya akan memutuskan hari ini sama ada membenarkan permohonan Kamalanathan bagi membatalkan petisyen yang difailkan oleh Zaid.

Hakim Azahar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada peguam-peguam yang mewakili Zaid, Kamalanathan dan pegawai daripada Pejabat Peguam Negara yang bertindak bagi pihak pegawai pilihan raya, Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Suruhanjaya pilihan Raya Malaysia.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Zaid berkata mahkamah mempunyai peluang menjadikannya satu polisi dengan tidak membenarkan permohonan itu agar perkara berkenaan dapat dibicarakan.

Sebelum ini, hampir 90 peratus petisyen pilihan raya ditolak tanpa sebarang perbicaraan.

"Mahkamah ini boleh menjadikannya sebagai polisi bagi kes-kes petisyen pilihan raya akan datang.

"Tiada sesiapa boleh campur tangan dengan proses pilihan raya yang sepatutnya merupakan proses demokrasi yang sebenar dan menghampakan harapan pengundi yang mahu melihat keadilan ditegakkan,” hujah Malik.

Katanya, mahkamah tidak sepatutnya menumpukan perhatian terhadap kes petisyen pilihan raya yang telah dibatalkan ketika mendengar permohonan itu, tetapi perlu menetapkan satu dasar dalam menolak permohonan sedemikian dengan terus mendengar keterangan serta bukti melalui satu perbicaraan penuh.

Sementara itu, peguam Kamalanathan - Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin hanya mengemukakan alasan teknikal bagi petisyen itu ditolak.

Katanya, pmpetisyen gagal menunjukkan dalam afidavitnya elemen janji dan tawaran yang menyebabkan pengundi Hulu Selangor mengubah fikiran mereka untuk tidak mengundi beliau.

Beliau juga berhujah mengenai alasan teknikal dan pentadbiran iaitu bagaimana petisyen itu diserahkan dan difailkan, yang menurutnya adalah cacat kerana tidak mematuhi keperluan mandatori mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1958.