Thursday, April 16, 2009

ADA TANGAN GHAIB DALAM KRISIS TERENGGANU?

Kuala Lumpur dan Putrajaya kini khabar angin bertiup kencang kononnya ada pemimpin tertingi UMNO Pusat ‘terbabit’ dengan usaha menjatuhkan Ahmad Said.

Beberapa sms, panggilan dan e-mail yang saya terima mengatakan ada sedikit perbezaan pendekatan antara Perdana Menteri dan orang ini dalam menangani krisis di Terengganu.

Pemimpin berkenaan dikatakan merestui kumpulan 10 untuk menjalankan apa juga strategi untuk menjamin Terengganu mendapat pemimpin baru.

Malah pemimpin berkenaan dikatakan kurang senang dengan Ahmad Said yang dilihat kurang menyokongnya ketika pemilihan parti baru-baru ini.

Hari ini, dua pemimpin Terengganu - pagi dan tengah hari ini – dilaporkan menemui Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kemelut politik di negeri itu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said tiba di pejabat Perdana Menteri pada pukul 12 tengah hari ini dipercayai akan mengadakan pertemuan dengan
Terdahulu pada pukul 10 pagi ini, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dilihat berada di lobi pejabat Perdana Menteri.

Tidak diketahui sama ada beliau dipanggil atau memang mahu menemui Perdana Menteri bagi tujuan sama.

Kelmarin, 10 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah mendakwa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan yang mengancam nyawa mereka.

Bagaimanapun mereka kembali menghadiri sidang DUN semalam.

Bagi Ahmad Said, inilah kali pertama beliau menemui Perdana Menteri mengenai kemelut berkenaan, sedangkan bagi Idris, beliau dikatakan sudah menemui Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Laporan Malaysiakini 14 April lalu menyebut, krisis yang sedang berlaku di Terengganu diketahui lebih awal oleh pucuk pimpinan tertinggi negara kerana dua rombongan ADUN Barisan Nasional (BN) telah menemui mereka berdua sejak seminggu lalu.

Bekas pemimpin kanan Umno negeri, Datuk Rosol Wahid bersama rombongannya menemui Datuk Seri Najib Razak pada 8 April, sehari sebelum perdana menteri mengumumkan barisan kabinet pertamanya.

Pertemuan itu diadakan di kediaman rasmi timbalan perdana menteri, Seri Satria di Putrajaya.

Najib waktu itu belum berpindah ke Seri Perdana.

Manakala satu lagi rombongan ADUN negeri itu mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu.

Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan BN Terengganu, Alias Abdullah memberitahu Malaysiakini Perdana Menteri ingin tahu sebab majoriti ADUN tidak senang kepada Ahmad Said.

Alias yang juga wakil Alor Limbat menambah, mereka dipanggil oleh Muhyiddin kerana beliau sendiri juga ingin mengetahui gambaran sebenar politik Terengganu.

Tambahnya, timbalan perdana menteri juga diarahkan oleh perdana menteri untuk mengumpul maklumat lanjut tentang perkara ini.

"(Dalam pertemuan itu,) kita telah menyuarakan rasa kurang puas hati mengenai pelantikan ketua Wanita Umno bahagian Dungun, Zainon Abu Bakar sebagai senator yang mewakili Terengganu," katanya.

"Kerana kita mahu senator yang mewakili Terengganu mestilah (seseorang) yang membawa suara Terengganu," katanya.

Diminta mengulas lanjut sikap rakan-rakannya dalam Kelab Penyokong Kerajaan BN Terengganu, Alias berkata majoriti sudah hilang keyakinan kepada Ahmad untuk memimpin negeri tersebut.

Beliau menambah, ADUN Kijal tidak mempunyai kebolehan untuk membawa kemajuan Terengganu.

"Jika beliau terus menjadi menteri besar, rakyat dan negeri ini akan menjadi mangsa. Untuk itu kita berharap pucuk pimpinan tinggi negara menyelesaikan isu ini segera untuk kepentingan rakyat," katanya.

Apa yang boleh diharapkan ialah Perdana Menteri mengatasi sebaik-baiknya kerana ‘rambut jangan putus dan tepung tidak bertaburan’.

No comments:

Post a Comment