Showing posts with label Keluar. Show all posts
Showing posts with label Keluar. Show all posts

Sunday, August 14, 2016

KEPADA PENYOKONG 4M, KAMU JANGAN MUSNAHKAN UMNO...


Bukan  yang sokong Mukhriz sahaja perlu keluar UMNO, yang sokong Muhyiddin mahupun Dr Mahathir juga perlu keluar UMNO dengan segera.

Juga, yang bersimpati dengan Shafie Afdal  cepat-cepat  lakukan perkara yang sama.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan,  keahlian anggota UMNO Kedah akan gugur serta-merta sekiranya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Perkara tersebut berlandaskan perlembagaan UMNO yang anggota parti itu tidak boleh mempunyai dua keahlian parti yang berbeza. 

Namun sejauh ini UMNO tidak boleh bertindak atau melakukan pengguguran secara automatik dan ia tidak akan berlaku kerana parti yang diasaskan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu belum terdaftar secara rasmi.

Ahmad Bashah....program pemutihan
Malah, sejauh ini tiada ahli parti itu yang didaftarkan secara rasmi sehingga parti berkenaan diluluskan pendaftarannya. 

Ahmad Bashah berkata UMNO Kedah akan melakukan  program pemutihan bagi mengesan sekiranya terdapat anggota parti itu mempunyai dua keahlian selain Umno.

UMNO Negeri lain bagaimana?

Malah, Menteri Besar Kedah itu berkata anggota UMNO yang mempunyai jawatan dalam parti itu tidak kira di peringkat cawangan dan bahagian juga akan dipecat daripada jawatan yang disandang mereka jika didapati melakukan kesalahan itu. 

Jika mereka ada jawatan lain seperti Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) mereka juga akan dilucutkan jawatan berkuat kuasa serta merta.

Hebat penegasan ini. 

Selepas pembersihan ini, agaknya ada berapa ahli UMNO? Masih kekal lebih tiga juta?

Jadi kepada yang ada hati dengan BERSATU atau berhasrat tinggalkan UMNO, buatlah pendirian supaya KAMU semua jangan dicop  sebagai gunting dalam lipatan dan lebih teruk ‘DURI DALAM DAGING’.

Johari...tidak mahu ada ejen parti lain
Rasanya itu adalah langkah terbaik bagi UMNO, jika mengikut pendapat Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharom.

Johari sekadar menyebut Mukhriz tetapi jika hati sudah berubah dan yang berminat dengan parti baru – BERSATU – adalah lebih baik berundur secara sukarela daripada UMNO.

Soalnya, apakah UMNO juga akan memecat mereka yang diketahui menyokong dan bersimpati dengan perjuangan empat tokoh yang dikenali dengan 4M  –  Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir?

Johari menganggap mereka yang menyokong  salah satu ‘M’ itu akan menjadi perosak parti kerana akan menyalurkan pelbagai maklumat sulit berkaitan UMNO.

Mungkin kerana berucap di Kubang Pasu dan di Kedah, beliau hanya menyebut Mukhriz tetapi yang 3M lagi itu juga ada pengikut mereka.

Johari berkata, UMNO tidak mahu mereka terbabit menjadi ejen kepada parti lain yang akan merosak dan memporak-perandakan keharmonian sesama anggota dan kepimpinan parti.

Walau apapun, krisis yang berlaku dalam parti itu tidak mematahkan semangat perjuangan anggota parti yang ditunjangi Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak.

"Kita mesti patuh kepada pemimpin yang dilantik... sama seperti kita mempertahankan Tun Mahathir suatu ketika dahulu ketika UMNO dilanda krisis besar sehingga beliau (Tun M) menjadi perdana menteri selama 30 tahun," katanya.

Anggota UMNO boleh melupakan pemimpin yang lepas (Mukhriz) serta yang lain dan memberi fokus dalam mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Menteri itu mengingatkan, anggota UMNO yang masih berpihak dan menyokong Mukhriz  boleh keluar daripada parti itu kerana hanya merosakkan perpaduan dalam parti, ibarat gunting dalam lipatan.

Adalah tidak wajar mereka kekal dalam UMNO kerana  hanya menyebabkan pecah belah dalam kalangan anggota lain yang taat pada perjuangan parti.

"Sebelum ini ramai yang keluar UMNO apabila menyokong kepimpinan UMNO yang keluar parti dengan menubuhkan parti baru seperti Semangat 46 dan PKR tetapi akhirnya mereka kembali kepada UMNO.

Bukankah mereka ini pernah menjadi pengkhianat dan gunting dalam lipatan?

Kenapa pula mereka diterima malah diberikan jawatan penting dalam kerajaan dan parti?

Apakah kerana mereka sudah insaf atau demi kepentingan pemimpin tertentu?

Muliakah mereka ini berbanding ahli UMNO yang selama ini setia dan kini diminta berundur dari UMNO dan jika degil, mereka akan dipecat?

"UMNO merupakan sebuah parti yang kukuh dan sebagai anggota UMNO kita akan pertahankan kepimpinan kita yang bersilih ganti bagi memastikan parti yang memperjuangkan bangsa Melayu terus utuh pada masa depan," kata Johari.

Beliau menyatakannya  selepas perasmian mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO bahagian Kubang Pasu di Jitra semalam.

Memandangkan  UMNO tidak menghalang anggotanya keluar parti disebabkan rasa simpati terhadap Mukhriz dengan menyokong parti baru yang ditubuhkan Dr Mahathir,  adalah elok ramai-ramai berbuat demikian.

Tanpa mereka pun UMNO akan tetap teguh.

Buang dan halau mereka beramai-ramai kerana sekiranya anggota parti yang menyokong 4M dihalang daripada keluar parti,  mereka ini akan merosakkan UMNO.

Mereka akan membusukkan UMNO memandangkan mereka adalah ‘duri dalam daging’.

Ingatkah atau pernahkah anda membaca novel novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad?

Bahaya duri dalam daging ini umpamanya kisah Lahuma yang  terpijak duri nibung dan melarat kesakitan itu ke seluruh tubuhnya lalu dia meninggal dunia.

Apakah UMNO mahu menjadi Jeha sebagai ibu tunggal menggalas tanggungjawab membesarkan ‘anak-anak’ di samping mengusahakan sawah padi demi mencari sesuap nasi setiap hari.

Kita tidak mahu UMNO menjadi Jeha yang dilanda kurang siuman dek terlalu tertekan dan mula merayau-rayau keliling kampung sehinggalah pada suatu hari dia ke rumah Tok Penghulu dengan berkelakuan tidak sopan, yang menyebabkan dia dikurung di rumahnya di dalam sebuah kurungan,  sebelum dihantar ke rumah sakit jiwa di Tanjung Rambutan oleh Tok Penghulu agar dia kembali sembuh.

Kepada yang masih dalam UMNO dan pada ketika yang sama menyokong perjuangan 4M, keluarlah cepat-cepat dari UMNO supaya parti itu ‘tidak sasau’ seperti Jeha.

Juga, dengan tinggalkan UMNO, KAMU tidak dicop sebagai perosak dan pemusnah UMNO.

Malah dengan keluarnya KAMU, duri sudah dicabut daripada daging dan mudah untuk UMNO diubati.

Lagipun, kalaupun UMNO nak musnah, biarlah orang lain yang musnahkannya, bukan kerana KAMU yang selama ini sayang dan memuja UMNO!!!

Monday, November 15, 2010

ZAID AKHIRNYA KELUAR PKR?

Datuk Zaid Ibrahim akhirnya keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) — sebagaimana telah dijangkakan ramai sebelum ini, - seminggu selepas mengumumkan beliau menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden.

Isnin lalu, beliau mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden atas alasan diselubungi kepincangan dan kecacatan.

Pada ketika beberapa akhbar dan Bernama tidak berani mengesahkan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, dengan mengatakan Zaid tidak menolak kemungkinan akan keluar daripada parti itu dalam masa terdekat, The Malaysian Insider begitu yakin mengatakan Zaid keluar PKR seperti dijangka.

Utusan Malaysia dan Bernama mengatakan mungkin kerana menerusi SMSnya kepada Bernama, Zaid menegaskan keputusan keluar PKR itu masih dalam pertimbangan.
"Belum (keluar parti), mungkin tidak lama lagi.”

Malaysiakini sekadar menyebut Zaid bersedia tinggalkan PKR kerana meluat dengan pemimpinnya. Memetik blog Zaid, Malaysia kini melaporkan Zaid sebagai berkata:“Saya tidak mahu terus bersekongkol dengan perkara buruk atau yang tidak betul dalam parti supaya orang yang tertpilih itu akan dilantik mengisi jawatan tertinggi. Saya benci untuk mengalah kerana akan dilabel sebagai orang yang mudah berputus asa. Saya lebih rela (ketua umum PKR) Anwar (Ibrahim) pecat saya.

“Tetapi jika mereka tidak pecat saya, sudah tentu saya akan meninggalkan parti tidak lama lagi,” katanya kepada portal berita, Free Malaysia Today.

Akhbar The Star hari ini turut melaporkan, bekas calon timbalan presiden PKR itu telah membuat keputusan untuk keluar parti, dengan mengatakan bahawa beliau telah muak dengan pergolakkan dalaman parti.

Zaid juga dilaporkan berkata, bahawa “beliau tahu masanya sudah suntuk untuk terus berada dalam PKR ekoran serangan bertali arus ke atas peribadinya oleh pemimpin-pemimpin parti”.

Malah ketika itu beliau juga mengumumkan akan melepaskan kesemua jawatan dalam parti dan hari ini memutuskan untuk meninggalkan PKR.

“Saya tahu hari saya dalam parti (PKR) sudah dihitung kerana pemimpin — pemimpinnya secara terus-menerus menyerang saya,” kata Zaid yang menyertai PKR 18 bulan yang lalu.

Bagaimanapun, Sekretariat ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat PKR masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada Zaid.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail (gambar kiri) berkata surat peletakan jawatan perlu diserahkan kepada parti terlebih dahulu sebelum PKR mengesahkan Zaid keluar parti.

Ia seperti kerja kalau nak berhenti pertama serahkan surat letak jawatan kepada majikan kemudian mereka akan buat keputusan Kita masih belum menerima apa-apa surat daripada Zaid setakat ini yang mengatakan mahu keluar parti katanya.

Bagaimanapun Saifuddin berkata bahawa beliau tidak rasa terkejut sekiranya laporan media mengatakan Zaid mahu keluar parti adalah benar. “Tidak ia bukan satu kejutan kepada kita Tidak tidak sama sekali,” katanya.

Zaid sebagaimana telah dijangkakan ramai sebelum ini keluar PKR seminggu selepas mengumumkan beliau menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden
Dalam temu bual dengan The Star edisi hari ini Zaid berkata, saya tidak jelek dengan parti tetapi jelek dengan pemimpin-pemimpin yang sakit dalam parti ‘

Zaid mengambil keputusan ini ketika tinggal sebulan lagi Pakatan Rakyat dijadual mengadakan konvensyen kedua mereka di Pulau Pinang.

Malah kata Zaid beliau diserang bertubi-tubi hanya kerana meminta agar diadakan pemilihan yang bersih dan adil.

Minggu lalu, Zaid turut meminta Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pesaing jawatan timbalan presiden Azmin Ali agar meninggalkan PKR atas alasan mereka punca kepada segala masalah dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu.

Zaid, penyelaras Pakatan Rakyat, menyertai PKR pertengahan Jun 2009 selepas dipecat oleh Umno beberapa bulan sebelum itu, di mana beliau juga kritikal dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Kelmarin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Umno tidak akan menerima beliau kembali.

Dalam temu bual dengan The Star edisi hari ini, Zaid berkata, “saya tidak jelek dengan parti tetapi jelek dengan pemimpin-pemimpin yang sakit dalam parti.”
Zaid mengambil keputusan ini ketika tinggal sebulan lagi Pakatan Rakyat dijadual mengadakan konvensyen kedua mereka di Pulau Pinang.

Malah kata Zaid, beliau diserang bertubi-tubi hanya kerana meminta agar diadakan pemilihan yang bersih dan adil.

Zaid, yang berada dalam Umno selama 23 tahun, sebelum ini merupakan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan anggota Biro Politiknya.

Pada April lalu beliau bertanding di pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.