Monday, December 25, 2017

TANAH FELDA - SATU PELURU UNTUK MENJATUHKAN BEBERAPA EKOR HELANG...


Sejujurnya, saya tidak percaya isu pemilikan tanah FELDA bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur akan menyusahkan Perdana Menteri, kerajaan Barisan Nasional (BN) dan FELDA sendiri.

Sebaliknya, jika isu ini dikendalikan dengan baik, ia akan memberikan kelebihan kepada Najib Razak dan BN menempuh Pilihan raya Umum ke-14 nanti.

Ingin disebutkan di sini, sesuatu yang aneh berlaku ialah apabila akhbar arus perdana, Berita Harian yang ‘membongkar dan mendedahkan’ isu ini.

Berdasarkan pengalaman lalu, jika akhbar perdana yang pro-UMNO mendedahkan sesuatu isu, ia lebih kepada kepentingan kerajaan atau BN mencari keuntungan politik.

Pengalaman bekerja di akhbar perdana menguatkan kepercayaan saya bahawa isu ini sengaja didedahkan untuk kepentingan dan keuntungan politik Najib dan BN.

Malah, bukan Berita Harian sahaja nampaknya berminat dengan isu ini, malah akhbar perdana lain juga turut memainkan isu ini.

Pendedahan sebegini memang tidak berani dilakukan oleh semua media perdana jika tiada ‘telunjuk’ yang menunjukkan arah untuk mereka bertindak.

Ingat kembali, siapa mendedahkan isu membabitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik? Bukankah akhbar pro-UMNO, Utusan Malaysia yang mula mendedahkan ‘isu seks dan budak bawah umur’ berkenaan?

Jadi bila Berita Harian tiba-tiba mendedahkan isu ini, ia mesti ada ‘udang di sebalik batu’.

Silap-silap UMNO/BN akan menggunakan satu pelauru untuk menjatuhkan beberapa ekor helang.

Asalkan membawa keuntungan dalam PRU14 dan Najib dapat dikekalkan kedududukannya, mangsa politik atau ‘kambing hitam’ yang terpaksa dikorbankan bukan isu besar bagi mereka.

Dibimbangi  isu ini akan dijadikan ‘peluru terancang’ untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan Najib dan BN telus.

Malah Najib dengan tegas mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung isu pemilikan tanah melibatkan FELDA sambil menegaskan  tindakan akan diambil terhadap sebarang kecuaian atau salah laku berasaskan laporan siasatan.

“Langkah memelihara kepentingan FELDA dan peneroka perlu diambil,” katanya.


Kedua, kenapa selepas setahun ia diketahui oleh pihak tertentu dalam kerajaan dan FELDA mengenai perkara ini, baru didedahkan? Kenapa ketika diambang PRU14?

“Perkara tentang pindah milik tanah FELDA  ini saya sedar pada akhir Januari apabila Jabatan Pengurusan FELDA memaklumkan pada saya ada 3 perjanjian jual beli melibatkan tanah milik Felda,” kata Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Samad.

Jika sudah diketahui kenapa lambat mengambil tindakan? Sengaja dirancang dan memang ‘terancang sepenuhnya?’

Ketiga, kenapa pemimpin kerajaan khususnya menteri dan pengurusan FELDA langsung  tidak menampakkan mereka panik dengan isu ini?

Shahrir turut mengatakan laporan polis telah dibuat selepas isu itu dibangkitkan di Jabatan Perdana Menteri 12 Disember lalu.

Ditanya sama ada laporan polis turut menamakan Isa atau ahli lembaga pengarah pada waktu itu, Shahrir berkata hanya pemaju disebut dan menyerahkan soal lain kepada polis untuk siasatan.

Shahrir menegaskan bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanah berkenaan. Malah, selain laporan polis yang dibuat pada 12 Disember lepas, tindakan turut diambil dengan mendaftarkan kaveat ke atas tanah itu, membatalkan surat kuasa wakil penuh yang dikeluarkan dan mengambil tindakan sivil terhadap pihak yang terlibat.

Berita Harian melaporkan Jabatan Perdana Menteri sudah mengarahkan audit forensik terhadap kes berkenaan disiapkan dalam tempoh sebulan bermula Januari depan.

Audit forensik terbabit akan dilaksanakan pasukan audit dari luar FELDA seperti diarahkan Perdana Menteri.

Selain audit forensik, FELDA  juga dilapor sedang dalam proses membatalkan surat kuasa (PA) yang dipercayai sudah disalahgunakan selain menukar kaveat persendirian kepada Kaveat Pendaftar dengan Jabatan Tanah dan Galian Kuala Lumpur.

Amat jelas sama ada Najib, Shahrir atau FELDA sudah tahu apa langkah rapi atau terancang yang boleh dilakukan untuk mengambil balik tanah berkenaan.


Keempat, selain FELDA, Tan Sri Isa Samad juga nampaknya tidak gelabah. Isa adalah pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017 selain merupakan bekas pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan bekas Pengerusi FELDA  Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Isa tenang dan Shahrir juga tenang sahaja. Sedangkan menurut pendedahan itu, FELDA berisiko hilang pemilikan tanah bernilai RM270 juta di Jalan Semarak itu, ekoran pemindahan hak milik pada 2015 yang didakwa "meragukan".

Malah, penilai bebas menganggarkan harga tanah berkenaan kini mencecah RM1 bilion.

Selain kerugian berbilion ringgit bagaikan perkara biasa di era Najib, kehilangan harta FELDA ini bagaikan seseuatu yang enteng dan bukan sesuatu yang perlu disegerakan.

Sedangkan jelas tanah itu sedang dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC). Ia melibatkan tujuh menara - termasuk sebuah menara FELDA, bangunan 68 tingkat merangkumi 59 tingkat ruang pejabat dan helipad.

Juga menarik ialah Perdana Menteri dan Shahril sudah menegaskan mereka begitu yakin tanah itu akan dapat balik.

Maknanya, yang akan dijadikan mangsa ialah pihak tertentu sedangkan semuanya akan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan ini.

Jika ini berjaya dilakukan, imej Najib, Kerajaan BN akan naik mendadak. Pastinya, akan ada laungan Najib dan UMNO memang menjaga kepentingan Melayu.

Maka, dengan kejayaan itu kelak, mudahlah Najib dan BN memperbodohkan pembangkang dengan hanya satu peluru tetapi menembak beberapa ekor burung serentak, termasuk pembangkang sendiri.

Maka Najib dan UMNO akan berceramah serta meratib di seluruh pelusuk negara bahawa mereka mengambil,berat dan menjamin bahawa FELDA yang diasaskan dengan penuh visi dan misi oleh Almarhum Tun Abdul Razak, sentiasa dibela dan terbela!

Cumanya, kita mengharapkan Najib, BN dan FELDA tersilap langkah dalam perkiraan mereka.

Daripada mahu mendapat untung besar sebaliknya mereka mungkin akan menerima kerugian teruk jika nanti ada pihak yang  dijadikan ‘kambing hitam’ mendedahkan lebih banyak rahsia mengenai isu berkaitan tanah ini selain  perkara lain dalam FELDA yang diketahui memang sedang menghadapi banyak masalah dan skandal kewangan. 

1 comment:


  1. شركة المثالية للتنظيف تسعد بتقديم خدماتها لعملائها بالمنطقة الشرقية خدمات تنظيف خدمات مكافحة حشرات خدمات تسليك مجاري المياه للمطابخ والحمامات جميع الخدمات المنزلية تجدونها مع شركة المثالية للتنظيف بافضل جودة وارخص الاسعار بالاعتماد علي كافة الادوات الحديثة والعمالة الماهرة

    شركة المثالية للتنظيف
    شركة المثالية للتنظيف بالدمام
    شركة المثالية للتنظيف بالخبر

    ReplyDelete