Thursday, October 20, 2016

SIAPA KENA ' IKAT PERUT', SIAPA PULA YANG KENYANG & BOROI?


Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz semalam menempelak Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membidas Bajet 2017 sebagai tidak bermakna kerana kerajaan tidak mempunyai wang.

Mengulas tulisan Dr Mahathir di blognya, pemimpin UMNO itu yang sering menempelak Dr Mahathir dengan kenyataan pedasnya berkata seharusnya bekas Perdana Menteri itu mendiamkan dirinya daripada membuat dirinya kelihatan bodoh.

"Jika kerajaan tidak ada wang bagaimana kita mahu mentadbir negara tahun depan?" soal Nazri ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen, semalam.

"Tolong beritahu dia supaya diam. Lebih baik untuk beliau berdiam diri dan bagi orang ramai berfikir dia adalah bodoh daripada dia membuka mulut dan mengesahkan bahawa dia benar-benar bodoh," katanya.

Dengan mengatakan demikian, Nazri amat yakin bahawa kerajaan mempunyai wang yang cukup untuk dibelanjakan tahun hadapan ketika banyak pihak meragui kedudukan kewangan negara ini.

Malah, banyak pihak termasuk Perdana Menteri sendiri sudah bercakap mengenai ‘ikat perut’. Sama ada ia bertujuan untuk berjimat atau kerajaan memang kekurangan sumber kewangan untuk tahun hadapan tidaklah diketahui, apa lagi oleh rakyat biasa.

Semalam juga bekas rakan di New Straits Times (bertaraf Pengarang), Mustapha Kamil menulis di Facebooknya dengan mengatakan: “apabila dah nak tersepit begini barulah kita diberitahu supaya kita kenalah ikat perut sedangkan baru minggu lepas rasanya ada yang kata ekonomi kita ini kuat laksana Badang.”

Sungguh tak bertanggungjawab kenyataan itu, kata Mustapha.

Sebaliknya, “apabila ada badan penarafan antarabangsa kata ekonomi kita ini ok hasil dari kira-kira yang mereka jalankan dengan angka-angka yang tak siapa tahu kebenarannya, kita besar-besarkanlah dalam media.

Dan bila kita besar-besarkan itu kita mesti akan nyatakan bahawa penarafan oleh badan antarabangsa ini 'menunjukan pemerintah telah berjaya bla...bla...bla'.”

Beliau turut mengemukakan beberapa soalan:

1.    Anda sudah semakin biasa dengar orang merungut harga barang keperluan harian sekarang semakin mahal?

2.    Anda biasa dengar orang kata susah sekarang ini sebab projek tak ada? Atau jika ada pun pembayaran amat lambat?

3.    Atau adakah anda semakin biasa dengar siswazah menghadapi kesukaran untuk dapat perkerjaan dan jika dapat pun tak ada kena mengena dengan apa yang mereka pelajari?


Mustapha menegaskan,  anda tidak akan dengar semua ini di media perdana. Mereka tidak dibenarkan menyiarkan kegusaran rakyat ini. Bukan kerana apa, tapi takut sokongan politik akan menurun.

Kenyataan Mustapha ini dibuat pada ketika ada mengatakan  Bajet 2017 akan berteraskan kepada rakyat, dan 2017 dijangka untuk melaksanakan langkah berhemat yang lebih kukuh.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2017 di Parlimen Jumaat (21 Oktober ini).

Rakyat dan pemerhati politik tertanya-tanya sama ada ini adalah belanjawan pilihan raya memandangkan spekulasi bertiup kencang bahawa pilihan raya mengejut semakin hampir.

Di kalangan rakyat pula, seperti biasa mereka akan menunggu buah, sama ada akan ranum dan gugur atau buah berkenaan terus memburuk di dahan – tidak akan gugur sama sekali.

Antara yang penting diberikan perhatian oleh kerajaan ialah kumpulan kategori M40 dan B40.

Apakah kerajaan mempunyai keberanian politik untuk menyediakan insentif untuk isi rumah kedua-dua kumpulan ini menangani kenaikan kos sara hidup.

Kategori M40 terdiri daripada kumpulan berpendapatan antara RM3,860 dan RM8,319 sebulan sementara kategori B40 merupakan kumpulan dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855.

Insentif oleh kerajaan itu mungkin perlu pada kitaran jangka pendek, berikutan penting untuk mempelajari daripada pelaksanaan insentif lalu untuk menentukan keberkesanan dan mengurangkan pembaziran.


Dalam konteks bajet kerajaan ini mungkin kita boleh merenung sejenak apa yang berlaku dua tahun lalu, iaitu pada 8 Oktober 2014, apabila Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan gaji Ahli Parlimen perlu dinaikkan kerana sering ‘ikat perut’.

Beliau menyatakan ‘perubahan’ gaji bagi 222 Ahli Parlimen wajar dilakukan ekoran perubahan ekonomi yang berlaku di negara. Ketika itu gaji bagi semua Ahli Parlimen adalah sebanyak RM6,500. Kali terakhir Ahli Parlimen menikmati kenaikan gaji ialah pada 2004 iaitu 11 tahun lalu.

Gaji Ahli Parlimen pada masa itu telah diguna pakai sejak 1 Januari 2004. Gaji bulanan mereka ialah RM6,500 tetapi mencecah kira-kira RM13,000 jika ditambah dengan gaji.

Kini, tidak lagi. Hanya mereka yang tahu berapa pendapatan mereka. Malah yang gemok dan boroi mungkin daripada kalangan Ahli Parlimen.

Rakyat pula semakin merasa kesempitan hidup yang tidak perlu dinyatakan apa sebabnya kerana ia ia adalah pengetahuan umum yang diperkatakan setiap hari.

Cuma kadangkala ada sesuatu yang aneh apabila elaun bekas tentera diterima lambat, tiada lagi bayaran lebihan masa bekerja di kalangan penjawat awam  atau pelajar matrikulasi lambat menerima elaun makan mereka.

Rakyat pula merungut semuanya naik, kecuali ‘hujan sahaja yang turun yang menyebabkan banjir kilat’.

Apa petandanya?

Dua hari lalu, kita diberitahu oleh Perdana Menteri bahawa masa ini ialah masa untuk 'ikat perut'.

Walapupun Datuk Seri Najib Abdul Razak merujuk ‘ikat perut’ itu sebagai  arahan agar  menteri bersedia menghadapi masa terkehadapan yang mencabar namun pastinya kesan akan menjunam terus kepada rakyat.

Jika peruntukan kementerian dan agensi dipotong lagi dan amalan  'mengikat perut' dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan kewangan kementerian masing-masing, pastinya banyak perkara yang merisaukan rakyat akan berlaku.

Sebagai bekas Perdana Menteri 22  tahun dan turut menjadi Menteri Kewangan, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan bajet akan datang, pelan fiskal kewangan kelapan di bawah Najib sebagai tidak bermakna, memandangkan tabung kerajaan kini menghadapi kemarau kewangan.

Menurutnya, di atas kertas, tidak dinafikan sejumlah besar wang akan diperuntukkan kepada kementerian dan agensi-agensi kerajaan.

Parlimen pasti akan meluluskan bajet itu kerana ia adalah bajet yang dibentangkan oleh pihak kerajaan yang mempunyai majoriti di Parlimen.

Namun di pihak rakyat bagaimana?

"...rakyat tahu bahawa kerajaan tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan. Mereka tahu sejak dua tahun lalu, kementerian telah diberitahu bahawa tidak ada wang dan oleh itu mereka perlu membelanjakan kurang daripada apa yang diperuntukkan.

"Bajet itu sebenarnya tidak bermakna kerana kerajaan tahu ia tidak mempunyai wang," katanya dalam blog post pagi ini.

Berikutan itu, Dr Mahathir mendakwa kerajaan kekurangan dana kerana kewangan negara tidak digunakan untuk tadbir urus yang baik, pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Ini kerana wang yang ada sedang digunakan untuk memenangi populariti bagi perdana menteri sebaliknya. Dengan kata lain, kerajaan tidak membelanjakan wang untuk rakyat, tetapi sebaliknya, untuk meningkatkan populariti Najib.


Sejauh mana benar dakwaan Tun Dr Mahathir itu tidaklah dapat dipastikan namun, menurut laporan The Star Online  kelmarin (18 Oktober 2016), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed telah bertemu dengan Perdana Menteri pada minggu lepas bagi membincangkan cadangan kementerian itu untuk mengukuhkan ekonomi.

"MITI meminta peruntukan tambahan. Kami memahami keadaan tetapi kami berharap agar dapat sokongan bagi pelaburan dan promosi perdagangan. Kami dimaklumkan bahawa keadaan adalah sukar tetapi adalah penting bagi kerajaan dan Perbendaharaan memutuskan apa yang menjadi keutamaan.

"Ada yang anda dapati terpaksa dilepaskan. Anda dapat sedikit, anda terlepas sedikit," beliau dipetik sebagai berkata.

Jika anda dapat sedikit dan terlepas sedikit tidak apa, berbaloi juga.

Tetapi apakah rakyat juga akan menikmati seperti sedemikian?

Seperti kata Mustapha (bukan Mustapa).“Ramai yang sudah lama tahu keadaan kita ini tak lah seperti yang digambarkan sebenarnya. Ramai yang bercakap melalui pengalaman mereka sendiri dimana kenyataan seperti kadar inflasi masih 2 % itu langsung tak ada maknanya pada mereka.

Mana mungkin semuanya ok? Dengan melihat rendahnya harga minyak dipasaran antarabangsa itu sahaja kita tahu yang wang kita tak sebanyak dulu lagi. Dengan munculnya berita-berita bahawa beberapa pembayaran terpaksa ditangguhkan itu menambah syak orangramai bahawa ada yang tak kena dengan keadaan kita ini.”

Oleh kerana amaran sudah  dikeluarkan rakyat pastinya keluh kesah dan berada dalam kerisauan?

Sebaliknya apakah “pemerintah mahu terus menunjukkan mereka kelihatan handal dan betul sentiasa”?
Apakah pertanyaan ini dirujukkan oleh Mustapha terhadap kenyataan yang ‘membela kerajaan’ seperti yang disebutkan oleh Nazri?
.
Apa yang nyata, Najib kini berdepan dengan ujian dan cabaran sebenar bahawa pada ketika beliau  menteri berjimat cermat dan "mengikat perut", perkara itu perlulah dibuktikan olehnya terlebih dahulu, termasuk Bajet 2017 untuk Jabatan Perdana Menteri.

Malah, jika Bajet 2017 adalah bajet pilihan raya, sudah pasti kerajaan perlu menunjukkan memang ia berkemampuan untuk menunjukkan kepada rakyat mengapa kerajaan Barisan Nasional perlu terus memerintah selepas pilihan raya umum akan datang.

Persoalannya, apakah perbelanjaan kurang penting umpamanya  ‘memberi makan’  kepada penasihat kerajaan yang entah apa-apa itu akan dinilai semula.

Perdana Menteri juga perlu jujur kepada dirinya sendiri dengan sedia untuk "mengikat perut" dengan melalui keutamaan peruntukan kepada rakyat ramai yang berdepan cabaran peningkatan kos sara hidup yang tinggi dan tekanan-tekanan seperti kenaikan harga barang dan pelaksanaan GST masih tidak dikawal dengan baik.

Bersediakan Perdana Menteri, menteri, pemimpin kerajaan serta mereka yang berpengaruh di kalangan masyarakat menunjukkan bahawa mereka serius dan istiqamah untuk sama-sama ‘mengikat perut’ bersama rakyat?


Atau hanya rakyat serta isi rumah mereka yang perlu ‘ikat perut’ tetapi pemimpin  kenyang dan boroi bersama keluarga.

1 comment:

  1. mana2 negara pun tengah mengalami kemelesetan ekonomi lahhhh....singapore punye syarikat temasik holdings pun dah jatuh nilai asset mereka.
    we just have to do best we can to survive ...kalau ikat perut pun ikat perut lahh..
    yang heran tu gst masih dapat rm52b....mewah jugak rakyat msia ni.

    ReplyDelete