Stesen televisyen swasta tempatan, TV3 dibelasah lagi.
Saya tertarik dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Pemuda
PAS hari ini iaitu ‘Sampai bila mahu fitnah Abdul Hadi?’
Ia ekoran siaran berita oleh TV3 yang didakwa salah
tafsir kenyataan sebenar Presiden PAS di Dewan Rakyat semalam.
Apakah corak pemberitaan dan pengeditan pemberitaan oleh
media swasta yang prokerajaan akan melakukan apa sahaja, termasuk ‘mengkhinati
rakan’ demi mempertahankan parti yang memerintah?
Apakah cara ini ‘halal’ demi mempertahankan parti
pemerintah, bimbang mereka juga akan turur ‘berkubur’ sekiranya UMNO dan
Barisan Nasional (BN) berkubur?
Kerana itu tidak peliklah jika rakyat kini semakin
menolak media prokerajaan dan jumlah penonton atau pembaca semakin berkurangan.
Saya tidak mahu menyebut gelaran untuk TV3 dan media
prokerajaan lain yang tidak sedap didengar kerana sedikit sebanyak masih ada nostalgia
terhadap media berkenaan.
Apalagi masih ada rakan dan anak buah di situ yang kini
sudah menjadi orang penting dan ramai sudah berpangkat ‘Datuk’ dan sebagainya.
Saya yakin mereka sudah ‘dewasa’ dan ‘tahu menilai apa yang sepatutnya’.
Namun?
Amat nyata insiden ini menggambarkan, jika ‘mereka yang
akrab dengan UMNO dan Perdana Menteri’ pun boleh digodam dan dikhianati, apa
lagi pemimpin dan parti yang terang-terang menentang UMNO, BN dan Datuk Seri
Mohd Najib Razak.
Sebenarnya, bukan TV3 sahaja mealaporkan pertanyaan’ yang
dijadikan ‘kenyataan’ Hadi semalam tetapi juga Utusan Online.
Saya turut membaca berita di New Straits Times, The Star,
The Sun dan The Malay Mail untuk mengetahui sama ada ada laporan mengatakan
Hadi puji GST, namun mereka hanya menyiarkan soalan yang dikemukakan.
Naib Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata hari ini, tindakan stesen televisyen itu yang memberi laporan salah terhadap
Abdul Hadi dalam isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah membelakangkan
prinsip asas pemberitaan yang mementingkan kebenaran dan kebertanggungjawaban.
Amat malang sekali apabila stesen televisyen itu telah
memanipulasi pertanyaan Abdul Hadi dengan hanya menyiarkan sekerat sahaja tanpa
menyiarkan sepenuhnya soalan tersebut dengan niat untuk menggambarkan kononnya
GST disokong oleh Abdul Hadi.
Utusan Online semalam melaporkan: “Presiden Pas, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang mengakui cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan
kerajaan pada 1 April 2015 sebagai cara paling berkesan untuk meningkatkan
ekonomi negara.
“Justeru menurut Ahli Parlimen Marang itu, kerajaan perlu
memastikan tiada peniaga yang boleh lari daripada membayar cukai berkenaan
seperti yang berlaku ketika pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“GST merupakan cara paling berkesan untuk meningkatkan
ekonomi negara. Adakah kerajaan mempunyai kaedah untuk mengesan peniaga yang
cuba lari daripada membayar cukai ini atau mungkin kerajaan ada alternatif lain
bagi menggantikan GST,” katanya ketika melontarkan soalan tambahan berkaitan
GST kepada Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani pada sidang Dewan
Rakyat hari ini (semalam).”
Berikutan itu Pemuda PAS hari ini mengutuk keras
pemberitaan stesen televisyen tempatan itu.
“Bukankah ini adalah fitnah yang nyata bagaikan seterang
cahaya mentari dengan menyiarkan berita yang dikerat dan digubah sesuka hati
bagi memenuhi citarasa tuan empunya mereka?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Dalam sesi soal jawab lisan di Parlimen pada pagi
semalam, Abdul Hadi yang merupakan Ahli Parlimen Marang bertanya soalan kepada
Menteri Kewangan tentang sejauh mana hasrat kerajaan untuk membatalkan cukai
GST yang dikenakan kepada rakyat.
Difahamkan, setelah soalan asal dijawab oleh menteri,
Abdul Hadi berdiri pada sidang Dewan Rakyat yang sama sekali lagi untuk
mengemukakan soalan tambahan.
Jelas Khairil lagi, Abdul Hadi sebenarnya bersuara
memperjuangkan isu rakyat di Parlimen dengan mendesak kerajaan agar menilai
kembali pelaksanaan GST yang begitu membebankan rakyat di semua peringkat dan
bukannya menyokong GST seperti yang didakwa oleh stesen penyiaran berkenaan.
“Kami menuntut permohonan maaf daripada pihak berkenaan kepada Abdul Hadi atas berita
fitnah yang telah mencemarkan imej dan reputasi beliau di mata rakyat.
“Kami juga menyeru pihak berkenaan bertaubatlah daripada
meneruskan kerja penyebaran adu domba dan fitnah ini,” katanya lagi.
Datuk Johari Abdul Ghani menjawab soalan Hadi Dewan Rakyat semalam. |
Di wall Facebook Presiden PAS itu pula sebuah artikel bertajuk ‘BULETIN TV3: MASIH AMAL PEMBERITAAN KUNO?’ oleh Izwan Abdul Halim
turut mengkritik TV3 mnyebut, “..masih ada pihak yang mungkin merasa juara
dapat melakukan manipulasi, persepsi atau sensasi ke atas maklumat atau pihak
tertentu. Ia sengaja dilakukan untuk menimbulkan salah tanggapan, kekeliruan
dan polemik sebagai adu domba, mengampu atau keuntungan untuk pihak tertentu.”
Katanya, kaedah negatif seperti itu rupanya belum
dibebaskan daripada profesionalisme
pemberitaan oleh stesen TV3. “Dalam siaran Buletin Utama jam 8:00 malam tadi
(Selasa, 18 Oktober 2016) melaporkan kononnya Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan
Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang telah mengakui keberkesanan
GST.”
Menurutnya, stesen media elektronik itu dalam siaran
tersebut memetik sebutan Ahli Parlimen Marang iaitu _*“GST merupakan percukaian
murah oleh kerajaan, khusus terhadap mereka yang melarikan diri daripada cukai,
cara yang berkesan tanpa dinafikan”*_ bersama _‘tagline’_ bertulis “GST:
Terbukti Berkesan – Presiden PAS”.
“Mustahil Unit Berita TV3 tidak memahami perkara yang
dilaporkan itu melainkan mempunyai motif untuk mencemarkan. Laporan diutarakan
seolah-olah ayat disebut Presiden PAS itu sebagai satu _*‘penyataan’*_
sedangkan hakikat sebenar ianya adalah _*‘pertanyaan’*_.
“Perkara tersebut berlangsung pada sesi Jawapan-Jawapan
Lisan Bagi Pertanyaan-Pertanyaan, Dewan Rakyat, Parlimen Ketiga Belas, penggal
Keempat, Mesyuarat Ketiga, pagi Selasa 18 Oktober 2016. Berikut perincian dari
pertanyaan bertulis dikemukakan serta pertanyaan lisan tersebut: Presiden PAS
selaku Ahli Parlimen Marang bangun dan menyebut “Tan Sri Yang Dipertua, soalan
saya yang kedua”.”
Menurut Izwan, ini jelas ia dalam rangka _*‘pertanyaan’*_
di mana ungkapan yang dipetik TV3 adalah dirujuk kepentingan atau keuntungannya
kepada pihak Kerajaan.
Ia bukan *'penyataan’*_ atau perakuan oleh Ahli Parlimen
Marang yang juga Presiden PAS sebagai pendirian mengesahkan GST diterima atau
dituntut kelangsungan pelaksanaannya.
Jika demikian, mengapa tidak TV3 mengambil pertanyaan
yang menyebut “membatalkan” sebagai penyataan?
Maka, secara nyata, TV3 sebenarnya telah melapor secara
konteks yang salah dengan sengaja membawa kepada maksud dan motif tertentu.
Masih tidak terlambat untuk membuat pembetulan dan ralat,
katanya.
Mengaku dan membuat pembetulan?
Mana mungkin? Dan kalau mungkin pun apabila mahjatuhkan
hukuman bahawa mereka membuat khilaf dan fitnah.
Denda terpaksa dibayar dengan permohonan maaf sekali.
Baru BEREH.
No comments:
Post a Comment