Showing posts with label Majlis Peguam. Show all posts
Showing posts with label Majlis Peguam. Show all posts

Friday, November 4, 2011

LGBT - BAGAIMANA PAS BOLEH TERUS BERKAWAN DENGAN SYAITAN....

Ilmu sains politik di Malaysia sudah berubah pada abad ke 21 ini. Apa yang dipelajari dan diajari pada abad ke 20, khususnya pada tahun 1970, 1980 dan 1990 sudah berubah jauh.

Ketika itu perlakuan seks yang dikategorikan sebagai LGBT atau lesbian, gay, biseksual dan transgender tidak dikaitkan dengan demokari dan hak kekebasan individu.

Malah tiada langsung dalam definisi sama ada oleh ilmuan sains politik yang mengatakan LGBT sebagai suatu bentuk demokrasi dan hak asasi atau hak kebebasan manusia sejagat.

Namun kini sejak parti politik khususnya Parti Keadilan Rakyat yang menjadi rakan ‘sepermainan’ PAS dan DAP, LGBT adalah antara perjuangan parti berkenaan dan PAS memilih-milih untuk membantah.

Dengan kata lain, PAS bantah sebahagian dan menyokong sebahagian, Bagi PAS pada pakatan antara PKR dan DAP itu bagai minyak dan air, ia tidak bercampur.

Maknanya, PAS boleh sisih ke tepi perkara seperti LGBT ini tetapi untuk kuasa dan berjuang mendapatkan kuasa, perkara seperti ini dianggap kecil.

Bagi PAS, tidak salah bergaul dan berkawan dengan ‘syaitan dan iblis’ asalkan matlamat menumbangkan UMNO dan BN yang dilihat lebih teruk daripada syaitan PKR dan DAP!

Sebaliknya UMNO dan Barisan Nasional (BN) dicabar dan ditekan untuk membebaskan LGBT di atas nama demokrasi.

Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee menegaskan 2 November lalu, jika negara ini ingin dihormati sebagai sebuah negara demokrasi, ia mestilah terlebih dahulu menghentikan sebarang penindasan ke atas golongan minoriti seksual yang terdiri daripada LGBT ini.

Majlis Peguam juga mahu kerajaan bertindak segera memberi perlindungan kepada golongan ini dengan memperkenalkan satu undang-undang baru bagi mengantikan undang-undang yang menggenakan kawalan yang tidak sepatutnya ke atas hak individu golongan LGBT di Malaysia.

Kerana itu Majlis Peguam, memberi sokongan ke atas program Seksualiti Merdeka yang telah pun bermula dari 1 November lalu dan sepatutnya tamat pada 13 November ini.

Program Seksualiti Merdeka amat jelas satu program untuk memberi sokongan moral kepada golongan LGBT.

Mengejutkan, Majlis Peguam berasa bangga untuk menjadi sebahagian daripada penyokong dan pendokong program berkenaan walaupun ia mendapat tentangan ramai kerana berpendapat, golongan LGBT yang selama ini hidup tertindas sebenarnya memerlukan pembelaan dan sokongan moral.

Amat jelas dalam isu LGBT ini, Majlis Peguam Malaysia terlepas pandang dengan bertindak tanpa mengambil kira sensitiviti ribuan ahlinya yang juga terdiri daripada Peguam-peguam yang beragama Islam.

Yang pasti aama lain juga menentang kebebasan atau demokrasi berbentuk seperti ini yang pastinya boleh mengharu-birukan institusi kekeluargaan dan menambahkan barah kepada moral masyarakat.

Agama Islam secara terang-terangan mengharamkan homoseksual, baik yang bergelar gay mahupun lesbian di mana pengamal homoseksual ini dilaknat sekeras-kerasnya oleh agama Islam.

Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan membenarkan rakyat menganut agama masing-masing tetapi tidak pula menyatakan bahawa rakyat boleh terjerumus sehingga kepada aktiviti LGBT.

Malah, terdapat pendapat di dalam agama Kristian sendiri yang mengatakan perhubungan homoseksual adalah suatu dosa di mana ia dinyatakan di dalam ajaran-ajaran seperti Gereja Roman Katolik, Gereja Eastern Orthodox, Gereja Methodist dan lain-lain lagi.

Kita bersyukur kerana polis telah mengharamkan program Seksualiti Merdeka yang mempromosikan seks bebas, berkuatkuasa serta-merta berikutan bantahan meluas pelbagai pihak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, mereka tidak menyekat hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.

"Namun jika program itu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan orang ramai, ia mungkin mewujudkan keadaan huru-hara dan mengancam ketenteraman awam.

Program Seksualiti Merdeka yang diadakan sejak 2008 dilaporkan menyediakan pelbagai aktiviti bertemakan 'Queer Without Fear', antara program yang diadakan termasuk bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan.

Polis menggesa orang ramai supaya tidak menghadiri program itu kerana mereka boleh ditahan untuk soal-siasat.

Polis telah memulakan siasatan dan mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 penganjur program itu termasuk bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S.Ambiga dan kes tersebut akan disiasat dibawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 27A(1)(c) Akta Polis 1967.

Mengejutkan ialah polis mengatakan pihak penganjur tidak pernah memohon permit untuk mengadakan program tersebut tetapi kenapa membiarkan ia berlangsung beberapa hari dan mengharamkannya selepas didesak?

Sebelum didesak, apa yang polis lakukan walaupun mengetahui Seksualiti Merdeka sebagai satu-satunya pesta di Malaysia yang mempertahankan hak golongan yang mengamalkan hubungan sejenis?

Monday, October 3, 2011

SAKSI MISTERI BANTU ANWAR PADA PERBICARAAN ESOK?

“Responden pertama mahukan Perdana Menteri memberi penjelasan. Penjelasan, pengesahan mengenai apa yang berlaku pada 24 Jun tiada kaitan dengan tingkah laku utama... insiden pada 26 Jun, bukan sehari awal ataupun selepas itu….(dan) mereka tidak ada hak perundangan untuk memanggil mana-mana orang yang tiada kaitan dan tiada relevan dengan tuduhan.” - Datuk Hisham Teh

Seorang saksi misteri dijadual memberi keterangan pada perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

Peguambela Anwar enggan mendedahkan identiti individu berkenaan ketika ditanya oleh pihak pendakwaan dan mahkamah.

Peguam Sankara Nair hanya berkata individu itu akan memberi keterangan selepas ketua pengarah Jabatan Kimia Lim Kong Boon berbuat demikian.

Peguam pembelaan sebelum ini pernah memberitahu sesi perbicaraan bahawa saksi tambahan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Mereka termasuk, pakar tulang belakang, Dr Thomas Hoogland, yang melakukan pembedahan ke atas Anwar pada 2004.

Hari ini peguam utama Anwar, Karpal Singh berkata keterangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohjd Najib Razak dan isterinya sangat penting.

Bagi Karpal, keterangan Najib dalam kes liwat Anwar sangat penting kerana ia akan membantu mengenal pasti keadaan mental pengadu.

Datuk Hisham Teh, salah seorang peguam yang mewakili Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor pula berhujah, ketua pembangkang itu telah gagal menyediakan bukti kukuh bahawa mereka adalah saksi yang relevan.

Tiada keputusan dibuathari ini sama ada perlu Najib dan isteri dipanggil untuk memberikan keterengan di mahkamah atau sebaliknya kerana Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah hanya akan membuat keputusan Khamis ini.

Perbicaraann akan diteruskan esok dengan pasukan pembela akan memanggil Lim Kong Boon iaitu Ketua Pengarah Jabatan Kimia.

Karpal berhujah bahawa Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan pada sebelah malam 24 Julai 2008 sebelum pengadu mendakwa Anwar telah meliwatnya.

Kata Karpal, keterangan Perdana Menteri tentang apa yang berlaku ketika pertemuan itu akan membantu mahkamah dalam perbicaraan ini.

Hisham berhujah, Najib dan isteri bukan saksi relevan dan tidak dapat menyediakan keterangan penting dalam keterangan kes liwat membabitkan Anwar.
Demikian kata Hisham yang membacakan kandungan afidavit Najib di Mahkamah Tinggi petang tadi.

Menurut peguam-peguam Najib, permohonan Anwar untuk memaksa Najib dan Rosmah untuk memberi keterangan hanya bertujuan “memancing” maklumat daripada mereka kerana itu mereka tidak boleh memberi keterangan yang relevan tentang apa yang dibawa oleh responden pertama (Anwar).

Afidavit Rosmah juga mempunyai penjelasan yang sama.

Namun peguam Najib berhujah, pertemuan pada 24 Jun tiada neksus, tiada kaitan dengan insiden 26 Jun 2008.

Menurut Hisham: “Responden pertama mahukan Perdana Menteri memberi penjelasan. Penjelasan, pengesahan mengenai apa yang berlaku pada 24 Jun tiada kaitan dengan tingkah laku utama... insiden pada 26 Jun, bukan sehari awal ataupun selepas itu….(dan) mereka tidak ada hak perundangan untuk memanggil mana-mana orang yang tiada kaitan dan tiada relevan dengan tuduhan.”

Di pihak Anwar, peguam mereka berpendapat afidavit Najib ada menyebut bahawa Perdana Menteri telah menasihati Saiful agar membuat laporan polis selepas dia mendakwa pada 24 Julai bahawa Anwar telah meliwatnya.

“Adalah perlu untuk memperoleh keterangan daripada Perdana Menteri berkenaaan keadaan fikiran SP1 (Saiful) dan sama ada dia takut atau sama ada Perdana Menteri kemungkinan mengharapkan SP1 akan mematuhi nasihat beliau. Sudah pasti, seseorang akan mematuhi nasihat personaliti tidak kira pangkat, terutama seorang timbalan perdana menteri (ketika itu), yang nasihatnya diperoleh,” kata Karpal.

Anwar dalam afidavit balas mendakwa Rosmah berada dalam kedudukan untuk memberi keterangan yang relevan, yang akan membantu dalam prosiding ke atasnya.

Katanya, peguam-peguamnya ada menemu bual rakan Rosmah Datuk Mumtaz Begum Jaafar dan beliau telah mengatakan bahawa ada satu mesyuarat antara kawan rapat Saiful, Muhamad Rahimi Osman dan Rosmah.

Thursday, January 27, 2011

APA MUSLIHAT MAJLIS PEGUAM TIDAK MAHU KARPAL SINGH JADI SAKSI?

"Apa yang dilakukan oleh Ragunath ini hanya menjejaskan imej dan kredibiliti Majlis Peguam sahaja. Bagi saya kenyataan Ragunath ini lebih bersifat politik. Sekiranya dia mahu berpolitik lebih baik berkecimpung dalam bidang politik. Lagipun kenyataan ini dikeluarkan tanpa asas,'' - Wee Choo Keong (Ahli Parlimen Wangsa Maju)

Apa muslihat Majlis Peguam dalam isu Karpal Singh menjadi saksi di mahkamah dalam kes liwat Anwar Ibrahim?

Kenapa Majlis Peguam masuk campur dalam isu Karpal ini? Apakah Karpal juga ‘manusia istimewa’ seperti Anwar?

Majlis Peguam semalam menyatakan pendirian bahawa Karpal Singh tidak wajar dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Tidakkah Jabatan Peguam Negara yang mempunyai hak untuk menentukan sama ada Karpal boleh menjadi saksi atau tidak?

Kenapa pula Majlis Peguam tiba-tiba menjadi ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong?”.

Bagi Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, beiau mahu Majlis Peguam mengemukakan usul mencela Ragunath atas kenyataan kontroversinya berhubung isu memanggil Karpal sebagai saksi dalam kes liwat Anwar.

Beliau percaya kenyataan yang dibuat oleh Ragunath itu membelakangkan Exco Majlis Peguam secara keseluruhan iaitu diputuskan tanpa mesyuarat rasmi.

"Apa yang dilakukan oleh Ragunath ini hanya menjejaskan imej dan kredibiliti Majlis Peguam sahaja. Bagi saya kenyataan Ragunath ini lebih bersifat politik. Sekiranya dia mahu berpolitik lebih baik berkecimpung dalam bidang politik. Lagipun kenyataan ini dikeluarkan tanpa asas,'' kata Choo Keong.

Persoalannya, beliau berkata, mengapa Ragunath secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan mempertahankan Karpal.

Amat jelas kenyataan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan tidak wajar dikeluarkan kerana dengan bebuat demikian dia mendahului peranan Jabatan Peguam Negara.

Ragunath kelmarin berkata mengikut pandangan Majlis Peguam, Karpal tidak wajar dipanggil sebagai saksi dan memberi testimoni di dalam perbicaraan kes liwat Anwar yang kini sedang berjalan.

Sebelum ini, beberapa pihak telah mendesak Karpal supaya berundur daripada menjadi peguam bela Anwar bagi kes liwat kedua yang dihadapinya kini.

Karpal sebelum itu mengeluarkan kenyataan bahawa beliau pernah disapina untuk hadir perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar pada 1997 tetapi tidak dipanggil untuk memberikan keterangan.

Pendirian Majlis Peguam ini dibidas oleh beberapa pihak dan menurut Utusan Malaysia hari ini, , pengamal undang-undang, Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata, dalam konteks perundangan, Majlis Peguam tidak berhak menentukan sama ada Karpal Singh boleh atau tidak boleh dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes liwat tersebut.

"Saya bercakap atas undang-undang. Dalam perkara berkaitan dengan saksi, hanya Jabatan Peguam Negara yang mempunyai kuasa dan bukannya Majlis Peguam,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hasnal Rezua Merican berkata, dalam isu tersebut adalah lebih baik Majlis Peguam mengambil langkah berdiam diri daripada membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan.

Bagaimapun, sekiranya pihak pendakwa raya mahu Karpal menjadi saksi dalam kes tersebut, perkara pertama yang harus dilakukan, ialah keterangannya perlu dirakamkan dengan berdasarkan peruntukan Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah.

"Setelah selesai keterangannya itu hendaklah dinilai oleh Jabatan Peguam Negara sama ada Karpal layak sebagai saksi yang material atau sebaliknya. Penilaian dibuat berdasarkan sama ada keterangan Karpal itu benar-benar relevan dengan kes perbicaraan Anwar yang berlangsung ketika ini.

"Sekiranya keterangan Karpal relevan, hasrat itu boleh diteruskan dan jika sebaliknya biarkan sahaja Penasihat DAP itu terus menjadi peguam bela kepada Anwar. Segala-galanya terletak pada usaha Jabatan Peguam Negara,'' ujarnya.

Pengerusi Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar yang turut senada mahu Majlis Peguam mengambil pendekatan berdiam diri dan bukannya membuat kenyataan bersifat kontroversi.

"Isu ini melibatkan hak Jabatan Peguam Negara. Mengenai isu disiplin yang dibangkitkan oleh Majlis Peguam, ia adalah di bawah kuasa Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib yang berhak untuk menentukan dan bukannya badan itu sendiri,'' katanya lagi.

Friday, September 17, 2010

POLIS LAMBAT BERTINDAK KES SALAH LAKU PEGUAM?

Polis juga yang menjadi sasaran.

Walaupun Majlis Peguam memecat kira-kira 30 hingga 40 peguam setiap tahun kerana pelbagai kesalahan namun tiada sebarang tindakan lanjut oleh polis walaupun laporan telah dibuat.

Itu ditegaskan oleh Presiden Majlis Peguam, K. Ragunath semalam.

Sehubungan itu beliau meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap peguam yang menyalahi undang-undang seperti terlibat dalam sebarang kes pecah amanah atau penggubahan wang haram.

"Dalam Majlis Peguam, kita memiliki sebuah lembaga disiplin yang tegas dan berdikari bagi menangani peguam menyeleweng, namun, hanya itulah kuasa yang kami ada, kami tidak berkuasa menghantar mereka ke penjara.

"Isu kami di sini ialah polis lambat bertindak dalam kes sedemikian. Kami bersedia membantu polis jika mereka ingin mengambil tindakan rasmi terhadap peguam menyeleweng," katanya selepas melancarkan Fasa Keenam: Badan Kehakiman dan sambutan Festival Jalanan Hari Malaysia semalam.

Dengan kata lain, Majlis Peguam tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang sebaliknya hanya boleh menghalang mereka daripada mengamalkan profesion undang-undang dengan menyenaraihitamkan mereka.

Majlis Peguam juga tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan peribadi setiap ahlinya termasuk mengenal pasti harta atau aset yang dimiliki mereka.

"Kita tidak ada kuasa untuk memenjarakan peguam yang bersalah kecuali memastikan mereka tidak lagi mengamalkan profesion mereka lagi," katanya.

Ragunath diminta mengulas mengenai gesaan beberapa pihak terhadap Majlis Peguam supaya bertindak terhadap ahlinya yang terlibat dengan jenayah ekoran pembabitan seorang peguam sebagai suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu baru-baru ini.

Katanya, sebarang laporan mengenai peguam yang melakukan jenayah perlu dihantar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan bukan hanya ke balai polis biasa seperti yang dilaksanakan sekarang.

"Dengan ini tindakan terhadap peguam-peguam terbabit akan dilaksanakan secara tegas," katanya.

Menurutnya, Majlis Peguam juga sedia bekerjasama dengan polis dalam memastikan peguam yang terlibat dalam jenayah seperti pecah amanah menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.

Beliau berkata, pihaknya akan bertemu dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagi membincangkan mengenai kes-kes jenayah melibatkan peguam di negara ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang menyarankan supaya Majlis Peguam mengaudit anggotanya bagi memastikan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Kelmarin. Ketua Menteri Melaka itu berkata, sebagai badan tertinggi pengamal undang-undang di negara ini, majlis tersebut perlu membersihkan imej institusi itu yang kini tercemar ekoran pembabitan ahlinya sebagai suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain.

"Kes pembunuhan kejam Sosilawati dan tiga lelaki lain melibatkan seorang suspek utama yang merupakan peguam bergelar Datuk sangat hina. Amat malang bagi negara kita jika seorang peguam boleh melibatkan diri dalam kes jenayah apatah lagi secara berterusan," katanya.

Tambah Mohd. Ali, melalui cara mengaudit dan menyemak kegiatan semua ahlinya, Majlis Peguam secara tidak langsung akan membantu pihak polis menggagalkan mereka yang pernah terlibat dengan kegiatan jenayah daripada mengulanginya.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pula mencadangkan agar pengurusan Majlis Peguam diletakkan di bawah kuasa Jabatan Peguam Negara atau diselia oleh suruhanjaya tertentu ekoran sikap selektif majlis tersebut dalam memperjuangkan sesuatu isu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, sikap selektif Majlis Peguam terserlah apabila tiada sebarang kenyataan dibuat berhubung pembunuhan Sosilawati melibatkan suspek utama iaitu seorang peguam bergelar Datuk.

"Saya hairan dan tertanya-tanya kenapa tiada sebarang reaksi daripada Majlis Peguam sedangkan suspek ialah seorang peguam. Jika ini sikap Majlis Peguam, sudah tiba masanya, majlis itu diletakkan di bawah Jabatan Peguam Negara atau sebuah suruhanjaya," katanya.

Menurut Ibrahim, sikap berdiam diri Majlis Peguam itu menimbulkan pelbagai tanda-tanya kerana selama ini, jika terdapat kes pembunuhan berprofil tinggi seumpama itu, badan tersebutlah yang menjadi hero dengan membuat pelbagai desakan dan tuntutan kepada kerajaan.

Katanya, Majlis Peguam sepatutnya bersuara mengenai pembunuhan kejam yang menimpa Sosilawati dan tiga rakannya, apatah lagi perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut dilakukan di ambang Hari Raya Aidilfitri.

Ragunath pula menggesa pihak media dan rakyat di negara ini agar memberi ruang kepada polis melengkapkan siasatan dan menyelesaikan isu berkenaan, tanpa melemparkan sebarang tuduhan sehingga mereka yang ditahan berhubung kes itu didapati bersalah.

"Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah isu serta dakwaan yang disiarkan pihak media mengenai kes ini mungkin boleh menyebabkan keadaan menjadi bahaya dan prejudis.

"Jika anda inginkan sabitan (dalam kes pembunuhan ini), anda mesti memberikan polis sedikit ruang bagi mereka melengkapkan siasatan. Jika terdapat sebarang kekaburan (dalam kes ini), kita tidak mahu berlaku situasi di mana seseorang itu telah didakwa di mahkamah dan kemudian terpaksa dibebaskan atas sebab-sebab teknikal.

"Jadi tolonglah, saya mohon kepada pihak media dan orang ramai agar memberikan polis sedikit ruang, mereka telah melakukan tugas yang cemerlang apabila mampu menyelesaikan kes berkenaan, namun, mereka yang ditahan adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya," katanya.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Karim, 32, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Siasatan kemudiannya mendedahkan keempat-empat mereka dibunuh di sebuah ladang ayam di Sungai Gadong dekat Tanjung Sepat, Selangor sebelum mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebatang sungai di kawasan berhampiran ladang milik peguam bergelar Datuk itu.