Saturday, August 6, 2016

FORMULA NAJIB MAMPU REDAKAN PERTELINGKAHAN AHMAD RAZIF, AHMAD SAID?


"Pertelagahan antara Ahmad Razif dan Ahmad Said dilihat tiada kesudahan namun Najib hari ini menjadi ‘bapa’ kepada 'sepasang suami isteri ' atau 'adik-beradik' yang bertelagah di Putrajaya hari ini."

Hari ini Ahmad Razif Abdul Rahman ditanya oleh wartawan sama ada akan menemui Perdana Menteri dalam masa terdekat berhubung kemelut yang melanda pucuk pimpinan UMNO Terengganu.

Jawapan beliau ialah tidak perlu.

Menurutnya Perdana Menteri sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan terkini berhubung isu itu.

"Saya sering berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi keyakinan kepada beliau bahawa keadaan di Terengganu terkawal, tidak ada yang perlu dibimbangkan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Anak Terengganu, di Putrajaya tengah hari ini.
Semua pihak memang mengharapkan Perdana Menteri berbuat sesuatu.

Dan sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebenarnya beliau TELAH MELAKUKAN SESUATU.


Biarpun Ahmad Razif cuba menyorok pertemuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/BN dengan Perdana Menteri pagi ini di Putrajaya dan menggambarkan beliau sering dimaklumkan oleh Perdana Menteri, hakikatnya ADUN UMNO dipanggil pagi ini untuk satu pertemuan di Putrajaya jam 10 pagi tadi.

Kita sangat berharap perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan ADUN UMNO pagi ini di Putrajaya membuahkan hasil.

Ia penting untuk menghapuskan kemelut politik Terengganu yang semakin hangat, walapun cuba didinginkan oleh kenyataan Ahmad Razif.

Usaha ini menguji kebijaksanaan Najib dan juga kebijaksanaan pemimpin ADUN UMNO dan pemimpin UMNO Terengganu. Yang penting kerajaan BN dikekalkan. Jangan sampai ia runtuh.

Ahmad Razif sendiri tidak melakukan seperti apa yang dibuat oleh Najib itu dengan memanggil semua wakil rakyat bagi mendapat sokongan majoriti susulan kemelut berkenaan.

Akibat kegagalannya berbuat demikian maka timbul spekulasi bahawa Sembilan daripada ADUN Terengganu tidak bersama Ahmad Razif. Benar atau sebaliknya hanta Ahmad Razif, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan kalangan ADUN sahaja yang tahu.

Isu pertelagahan antara Ahmad Razif dan Ahmad Said dilihat tiada kesudahan apabila ia gagal diselesaikan di peringkat negeri sehingga memerlukan campur tangan pusat.

Najib hari ini menjadi ‘bapa’ kepada 'sepasang suami isteri ' atau 'adik-beradik' yang bertelagah (mengambil cakap Ahmad Razif) di Putrajaya hari ini.

Pada sidang media tengah hari ini di Putrajaya, Ahmad Razif berkata beliau sentiasa berhubung dengan Perdana Menteri untuk memaklumkan mengenai perkembangan terbaru itu.

"Saya telah memberitahu beliau bahawa semuanya di bawah kawalan di Terengganu. Ia adalah perkara biasa (berhadapan masalah) seperti suami dan isteri mempunyai sedikit ketegangan.

"Kami percaya bahawa ia adalah perkara biasa dan hanya akan membantu mengukuhkan perpaduan di antara kami," katanya.


Beliau memberi jaminan bahawa persengketaan dalaman UMNO negeri itu telah diselesaikan dan tidak ada sebarang perkara luar biasa yang akan berlaku semasa persidangan DUN pada Isnin ini.

Beliau berkata keadaan telah reda dan beliau menyifatkan krisis di Terengganu sebagai "pergaduhan di antara adik-beradik."

"InsyaAllah semuanya telah diselesaikan.... tiada apa yang luar biasa akan berlaku semasa persidangan Dewan Undangan Negeri nanti. Tetapi yang paling penting kita mesti bergerak ke hadapan bersama-sama suntuk menggerakkan agenda pembangunan di negeri ini," katanya kepada pemberita semasa majlis Hari Raya untuk Anak Terengganu di Putrajaya.

Beliau yakin,  perkara itu dapat menguatkan lagi solidariti dan pemuafakatan dalam kalangan wakil rakyat UMNO di negeri itu.

"Tak ada. Tak ada (apa-apa akan berlaku pada Isnin depan). Insha Allah saya rasa tak ada apa-apa yang perlu ditimbulkan lagi kerana saya yakin dan percaya tak ada apa-apa," katanya.
  
Ditanya mengenai kenyataan yang dibuat oleh ADUN Ajil, Ghazali Taib, Ahmad Razif berkata, walaupun beliau mungkin telah melampaui batas, "kita mesti bersedia untuk memaafkan satu sama lain."

"Kita mesti mengambil sikap yang positif dan melihat ke hadapan dan keutamaan perlu diberikan kepada rakyat," kata Ahmad Razif.

Kita hanya mampu berdoa apa yang diusahakan oleh Perdana Menteri akan memuaskan hati semua pihak, atau sekurang-kurangnya meredakan sedikit kemelut politik yang melanda Terengganu sekarang.

Mungkin ada formula menarik yang digunakan Najib bukan sahaja untuk melegakan Ahmad Razif tetapi juga ‘memadamkan kemarahan’ Ahmad Said terhadap Menteri besar itu.

Sebagai bapa kita yakin Najib akan berlaku adil kepada kedua-dua mereka dengan menyatakan pendirian dan usaha baiknya di hadapan ADUN UMNO yang bersifat ‘anak-anak’ yang perlu menurut arahan datuk dalam pertikaian ibu dan bapa mereka.

Kini belum jelas formula itu dan belum ada kenyataan di pihak Ahmad Said. Apakah cara Najib itu dipersetujinya?

 Tidak diketahui beliau hadir atau sebaliknya pada pertemuan itu.

No comments:

Post a Comment