Kemelut pemilihan dalam PKR kini bertukar menjadi perang peribadi antara dua anak Ibrahim – Anwar dan Zaid.
Banyak pihak mahukan Presiden parti, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail campur tangan bagi menyelesaikan ‘perang’ antara mereka berdua.\
Namun sehingga ini Wan Azizah membisu. Apakah sindrom bisu itu membuktikan Wan Azizah sebenarnya presiden boneka?
Apakah Wan Azizah bersikap mendiamkan diri daripada membuat kenyataan dan menangani permasalahan parti berkemungkinan kerana serba salah – antara kesetiaan terhadap parti atau sayangkan suami.
Sebagai Presiden yang sah dan dipilih, bukan dilantik atau melantik seperti Anwar, Wan Azizah seharusnya menyatakan pendirian. Apakah dalam keadaan parti yang berkrisis seperti ini Wan Azizah masih tunduk kepada bayangan suaminya?
Yang pasti, dengan hanya membisu, Wan Azizah perlu menilai dirinya sendiri apakah beliau wajar meneraju PKR. Bukankah jika tidak berupaya – kerana faktor apa sekali pun - masanya sudah tiba bagi beliau melepaskan jawatan Presiden dan membuka ruang kepada orang lain menerajuinya.
Atau Anwar sendiri dilantik sebagai Presiden?
Semalam Datuk Zaid Ibrahim mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar menjadi pemimpin negara, jika pakatan pembangkang memerintah.
Ini kerana penasihat PKR itu hanya pandai mereka cerita terhadap individu yang tidak disukainya tanpa sebarang bukti.
Itu sahaja sebabnya? Atau Zaid tahu sebab lain tetapi tidak mahu memperkatakannya di hadapan rakyat.
Di Kota Bharu semalam, Zaid yang menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata beliau hairan dengan perbuatan Anwar yang menyerang peribadinya.
"Saya hanya ingin bertanding dan pada waktu yang sama ada laporan mengenai kecacatan timbul pada pemilihan parti di peringkat cabang parti, jadi saya suarakan perkara itu. Apabila saya bersetuju untuk bertanding, tiba-tiba hal peribadi saya diserang, saya perlu jawab untuk pertahankan diri saya. Saya tidak tahu apa yang dia takut, saya bukannya masyhur seperti dia yang terkenal seluruh dunia," katanya di kediamannya.
Menurut Zaid adalah menjadi tanggungjawab kepimpinan parti untuk menyiasat laporan mengenai dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam pemilihan dan bukan dirinya yang harus membuktikan kepada Anwar mengenai penyelewengan itu.
"Saya rasakan inilah taktik kepimpinan parti untuk alihkan isu sebenar dari mata umum, dengan menyerang saya. Hakikatnya bukan saya seorang sahaja yang bersuara, ada lagi pemimpin parti lain menyuarakan masalah yang sama," katanya.
Jari sedang ditudingkan kepada Anwar dan Azmin Ali bahawa badai yang melanda PKR adalah 100 peratus berpunca daripada mereka berdua malah Gobala telah menjangkakan perkara itu akan berlaku sejak tiga tahun lalu.
Seorang lagi Naib Presiden parti yang juga pengerusi PKR Negeri Perak Mustafffa Kamil Ayub turut mendesak supaya pemilihan parti yang bermula 29 Oktober lepas dibatalkan kerana dakwanya berlaku kepincangan dan beliau berjanji akan mengambil "tindakan" sekiranya memorandumnya kepada parti tidak dilaksanakan.
Tempoh 48 jam yang diberikan kepada parti oleh Mustaffa tamat petang semalam. Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Molly Cheah berkata pemilihan itu tetap akan diteruskan.
Melihat kepada pertelingkahan kedua-dua pemimpin atasan PKR itu semakin serius, seorang ahli PKR meminta Datin Seri Wan Azizah Ismail sebagai Presiden untuk campur tangan.
Pada pendapat calon Naib Presiden PKR, N. Gobalakrishnan, Wan Azizah boleh memperbetulkan segala kekalutan dalam proses pemilihan pemimpin parti itu yang berpunca daripada tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali.
Pensyarah Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia berkata: "persoalannya sekarang ialah adakah Wan Azizah sanggup menyanggah Anwar dan Mohamed Azmin serta mengutamakan kepentingan parti?."
Sivamurugan berkata tindakan mendiamkan diri, juga membuat orang bertanya adakah Wan Azizah boleh diibaratkan seolah-olah menyokong gesaan Zaid supaya Anwar dan Mohamed Azmin berundur dari PKR.
Persoalan lain yang timbul ialah apakah pemilihan MPP parti itu mampu memberikan nafas baru kepada PKR serta menjadikannya benar-benar menepati fungsinya sebagai parti pembangkang yang berkesan?
Pemilihan MPP yang berakhir 21 Nov ini menyaksikan 131 daripada keseluruhan 218 cabang bakal mengadakan pemilihan mereka bagi menentukan nasib kepimpinan baru yang akan menerajui parti bagi tempoh 2010-2013.
Dengan banyak persoalan tidak berjawab, jelas PKR bukan parti telus dan demokratik seperti didakwa pemimpin mereka.
Dan dengar dakwaan Zaid serta Mustaffa tidak terjawab dan diselesaikan, PKR akan berdepan dengan lebih banyak masalah selepas pemilihan ini.
Kepimpinan Anwar dalam parti akan turut dipersoal kerana bak kata Zulkifli Nordin, Anggota Parlimen Bebas kawasan Kulim-Bandar Baharu, Ketua Pembangkang itu tidak mengamalkan prinsip demokrasi kerana memegang jawatan dalam parti tanpa perlu melalui sebarang pemilihan.
No comments:
Post a Comment