Showing posts with label Zulkfili. Show all posts
Showing posts with label Zulkfili. Show all posts

Thursday, March 25, 2010

ZULKIFLI BERSIHKAN IMEJ NAJIB, ROSMAH?

Siapakah yang menawarkan ganjaran besar untuk Zulkifli Nordin(Bebas-Kulim Bandar Baharu)?
Juga siapa itu pihak ketiga? Merekakah yang melakukan mungkar yang dimaksudkan Zulkifli?
Apakah pengakuan tergempar ini mendedahkan Zulkifli kepada siasatan polis?

Apakah apa yang diperkatakan oleh Zulkifli semalam akan membersihkan imej Perdana Menteri dan isteri yang begitu banyak dikaitkan dengan isu Altantuya?

Yang menariknya, Zulkifli di Dewan Rakyat semalam memohon maaf kepada mereka yang menjadi mangsa kepada percaturan politik kotor ini. “Saya berjanji akan berjumpa dengan mereka secara peribadi bagi memperbetulkan keadaan,” katanya.

Siapakah agaknya yang akan ditemui oleh beliau dan akan semakin banyakkah rahsia yang akan terbongkar?

Zulkifli juga mengingatkan kepada pihak tertentu agar tidak meletakkannya dalam keadaan yang memaksanya mendedahkan perlakuan mungkar yang berlaku. “Kalau saya berbuat demikian, letupan besar yang dibuat oleh Yang Berhormat Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim sekadar ‘kentut yang sepi’.

Bagi Zulkifli, begitulah kotornya mainan politik negara masa ini.

Apakah rahsia besar seterusnya yang akan didedahkan beliau? Akan tutupkah mulut mereka yang tidak sudah-sudah memburukkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional?

Di Dewan Rakyat semalam, Zulkifli mendakwa pernah diberi tawaran lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Tanpa mendedahkan pihak terlibat semalam, beliau berkata, antara tugasnya ialah mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isterinya selain diminta membuat surat akuan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Zulkifli berkata, ganjaran yang ditawarkan memang boleh menggoyahkan iman namun begitu beliau bersyukur kerana Allah melindunginya daripada terlibat dengan fitnah itu.

Zulkifli turut menegaskan, sebagai orang Islam semua pihak harus bersangka baik atau husnuzzan terhadap Perdana Menteri.

“Setahu saya Perdana Menteri telah melakukan sumpah menafikan pembabitan beliau dan setakat ini tidak ada antara kita yang berani bersumpah menafikannya.

“Oleh itu, bersangka baiklah sesama kita dan berpegang teguhlah kepada al-Quran. Bagaimana kita tidak suka difitnah orang, begitu jugalah kita tidak sepatutnya memfitnah orang lain,” ujarnya.

Pastinya aka nada pihak yang akan mengemukakan pendapat seperti ‘berapakah Zulkifli menerima habuan kerana membela Perdana Menteri”.

Namun , jika beliau merasakan itu yang baik, kenapa mahu dipertikaikan?

Dalam pada itu, katanya, beliau sungguh hairan bagaimana segelintir yang mengaku Islam tetapi dengan mudah menuduh seorang Islam lain melakukan pembunuhan tanpa sebarang bukti dan keterangan.

Ternyata genap seminggu Dewan Rakyat digemparkan dengan kejutan pertama oleh oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, semalam giliran Zulkifli Noordin pula membuat pendedahan menggegarkan politik negara.

Membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat semalam Zulkifli berkata: ““Atas sebab ini juga saya menarik diri daripada terus mengendalikan kes berkenaan kerana adanya gangguan daripada pihak ketiga yang menyebabkan mustahil bagi saya untuk terus bertindak secara profesional sebagai peguam membela bagi kes berkenaan.

“Kita perlu ingat takkanlah OKT-OKT (orang kena tuduh) tersebut sanggup dihukum mati di tali gantung kalau benar Perdana Menteri dan isterinya terlibat di dalam kes pembunuhan tersebut kerana saya sangat yakin pasti mereka akan dedahkan perkara itu jika ia benar.”

“Lebih malang lagi fitnah orang bukan Islam boleh diterima sebagai bukti tanpa sebarang soal lagi. Orang seperti P. Balasubramanian telah diterima fitnahnya dengan sekadar membuat surat akuan sumpah dengan bayaran RM4.

Namun begitu fitnah dan tohmahan tidak pernah dibangkitkan Balasubramaniam ketika memberi keterangan di mahkamah dan kepada pihak polis. Bagi saya dia hanya seorang oportunis yang mengambil kesempatan daripada kerakusan syaitan bertopengkan manusia,” tambahnya.

Monday, March 8, 2010

HALUAN MANA PILIHAN ZULKIFLI?

Ada pemimpin UMNO pelawa Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru Zulkifli Nordin supaya menjadikan UMNO sebagai platformnya bergerak untuk berkhidmat kepada rakyat.

Pemimpin PAS pula pelawa lebih jauh. Dia mahu Zulkifli sertai PAS selepas dipecat Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Tetapi kesian kepada Tuan Ibrahim Tuan Mat. Tidak sampai 24 jam, cadangannya dipatahkan serta merta oleh seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar petang semalam.

Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS mempelawa Zulkifli menyertai PAS seperti yang dilaporkan akhbar elektronik mStar semalam.

Tuan Ibrahim berkata PAS sedia membuka pintu kepada Zulkifli Noordin jika bekas anggota PKR itu ikhlas mendokong prinsip dan perjuangan parti mereka.

Katanya, parti itu sedia mempertimbangkan penyertaan Zulkifli ke dalam PAS.
"PAS sentiasa mengamalkan dasar terbuka kepada sesiapa sahaja untuk menyertai kami termasuk YB (Yang Berhormat) Zulkifli. Kalau beliau mengemukakan permohonan, pihak jawatankuasa parti akan mempertimbangkannya," katanya.

Zulkifli dalam sidang medianya semalam selepas dipecat daripada PKR menegaskan tidak akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut atau mengosongkan kerusinya sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata akan mengkaji dan menimbang pilihan yang ada sebelum mengambil tindakan sewajarnya selain tidak menolak kemungkinan menyertai PAS sekiranya parti itu memperjuangkan Islam pada masa depan.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang bermesyuarat semalam sebulat suara memecat Zulkifli selepas lembaga disiplin parti itu mengambil kira tindakannya membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkenaan isu kalimah Allah dan kritikan beliau terhadap kepimpinan DAP.

Dalam pada itu, Ketua UMNO bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir mempelawa Zulkifli supaya menjadikan UMNO sebagai platform untuknya terus berkhidmat kepada rakyat.

"Memandangkan YB Zul (Zulkifli) sudah tidak percayakan lagi hala tuju dan prinsip PKR, beliau boleh menjadikan UMNO sebagai platformnya bergerak untuk berkhidmat kepada rakyat seperti yang ditelah dijalankan UMNO selama ini", kata Abdul Aziz yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Zulkifli semalam berkata beliau mahu menjadi Anggota Parlimen bebas untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Bagi Tuan Ibrahim, walaupun PAS mengamalkan dasar terbuka bagi sesiapa sahaja untuk menyertai parti itu, namun berharap penyertaan Zulkifli mampu mengukuhkan PAS dan tidak membebankan parti.

"Kami harap penyertaan ke dalam PAS akan dapat membantu menguatkan lagi parti ini dan bukannya menjadi beban kepada parti," katanya.

Selain itu Tuan Ibrahim berkata, PAS menghargai kesetiaan yang ditunjukkan Zulkifli untuk bersama Pakatan Rakyat. Kata Tuan Ibrahim: "Kami menghargaai kesetiaannya untuk terus berjuang bersama Pakatan Rakyat, walaupun dipecat daripada PKR beliau tetap mahu berjuang bersama kita... prinsip itu perlu dihargai."

Kelembutan dan keterbukaan Tuan Ibrahim rupa-rupanya tidak ada pada Mahfuz dan bagaikan terlalu marah beliau menepis cadangan rakan Naib Presidennya dengan mengatakan: “Mungkin dia (Tuan Ibrahim) berniat dakwah, tapi saya anggap kenyataan itu masih bersifat peribadi yang tidak perlu dipolemikkan.”

Mahfuz menegaskan, keterbukaan wajar diteliti terlebih dahulu oleh kepemimpinan tertinggi PAS. Selain itu, menurut Mahfuz, PAS seharusnya mengormati etika kepartian yang dipegang secara bersama-sama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Sekiranya Zulkifli dibawa menyertai PAS, Mahfuz menjangkakan bahawa PAS sendiri bakal dilihat serong oleh para pemimpin Pakatan Rakyat serta rakyat sendiri.

Tambahnya lagi, Zulkifli yang dilihat acapkali bersikap provokasi, tidak beretika menurut prinsip organisasi serta tidak dilihat bersikap toleransi dengan penganut agama-agama lain sebelum ini, membolehkan PAS sendiri dilihat serong kelak.

“Dia dilihat cukup provokatif dalam isu kalimah ‘Allah’ umpamanya, kadang-kadang dilihat begitu 'mengganggu' muafakat Pakatan Rakyat (atas nama) Melayu, sedangkan Islam tidak mengajar sedemikian (dan) PAS pula adalah parti yang toleransi lagi (bersikap) sederhana dengan semua kaum dan penganut agama sebagaimana yang ditunjukkan (oleh) Nabi Muhammad s.a.w.”

Sebab itu, Mahfuz berkata, PAS seharusnya membuat pertimbangan yang sewajarnya mengikut kaedah yang disarankan menurut disiplin ilmu Islam.
Dengan tegas Mahfuz mengatakan: "Kita tak boleh ambil ahli-ahli yang ditolak oleh parti kawan-kawan kita, apatah lagi kalau seseorang itu ditolak disebabkan mengganggu muafakat Pakatan Rakyat, kerana ini etika yang dipegang bersama," jelasnya.

Sekiranya PAS menerima Zulkifli, Mahfuz berkata, PAS boleh dilihat tidak menghormati ketetapan berupa disiplin yang ditetapkan oleh PKR sendiri. Ini kerana, dengan penyertaan Zulkifli ke dalam PAS, boleh mengakibatkan isu disiplin yang dialami oleh PKR mungkin berpindah pada PAS pula.

"Selepas PKR, mungkin PAS pula berdepan dengan ahli-ahli yang tidak disiplin, yang akhirnya tidak juga menyelesai masalah pokok (disiplin) dalam Pakatan Rakyat sendiri. Orang yang tidak ada disiplin dalam parti kawan kita, tiba-tiba kita (PAS) pula atas nama 'terbuka' nak ambil orang itu masuk ke dalam parti kita,” jelasnya.
Walau apa juga hujah Mahfuz, sewajarnya beliau tidak cepat mematahkan cadanganb rakan Naib Presidennya.

Sewajarnya kita tunggu apa kata pemimpin atasan PAS mengenai isu Zulkifli ini.

Lagipun, bukan masalah sangat kalau beliau masuk PAS kerana ia ibarat ‘ikan pulang ke lubuk’. Hati Zulkifli tidak jauh daripada PAS berbanding UMNO.

Dan jika PAS juga tolak Zulkifli, apakah pilihan yang beliau ada?

Mahu kekal Bebas sampai bila?

Wednesday, February 3, 2010

ZULKIFLI SANGGUP TINGGALKAN PARLIMEN, PKR?

Nak letak jawatan apa Zul?

Apakah benar kerana cinta kepada Islam yang mengatasi segalanya, Zul sanggup berkorban walaupun amt saying dan hormati Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Satu laporan portal berita menyebut YB Zulkifli Noordin akan meletakkan jawatan hari ini.

Kata portal berkenaan, walaupun walaupun biro politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum memutuskan tindakan yang sewajarnya yang sepatutnya dikenakan ke atas Zulkifli berhubung beberapa kenyataan kontroversi berhubung isu kalimah Allah, namun ahli parlimen yang lantang itu menyatakan kesediaannya meletakkan jawatan pada bila-bila masa.
Apakah bila-bila masa itu bermaksud hari ini?

Bagi Zulklifi, politik bukan keutamaannya. Dia sanggup meninggalkan PKR jika dilihat sebagai membawa masalah kepada gabungan pembangkang itu.

“Umum tahu, saya amat sayang dan hormati Anwar dan ini tidak pernah luntur..tetapi cinta saya kepada agama saya jauh melebihi segalanya dan ini saya tidak akan bertolark ansur. Jika ia mencapai peringkat saya menimbulkan masalah dalam membantutkan usaha Anwar dalam perjalanannya ke Putrajaya, saya akan menarik diri.

Saya sanggup meninggalkan parti walaupun pada hari ini, tegasnya.

Zulklifi sudah diarahkan ssupaya tutup mulut sebelum kesnya dirujuk kepada jawatankuasa disiplin PKR baru-baru ini kerana membuat laporan polis ke atas Khalid Samad.

Laporan dibuat berhubung cadangan ahli parlimen PAS itu untuk meminda enakmen agama Selangor yang didakwanya ketinggalan zaman.

Zulkifli tidak mempunyai kedudukan dalam Parti Keadilan Rakyat, kecuali memegang kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu,

Zulklifi berkata kerjaya politik bermula apabila ditawarkan kerusi berkenaan pada pilihan raya umum lalu.

Zulklifi mengakui ketika itu, dia masih merupakan ahli PAS dan diberi notis singkat bagi menggantikan pemimpin PKR Sheih Azmi yang menghidap kencing manis. Malah dia langsung tidak menaruh harapan akan memenangi kerusi di kubu kuat Barisan Nasional itu.

Zulklifi menjadi terkenal apabila dia mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat bekas timbalan perdana menteri itu pada tahun 1998.

Dia dikatakan mengambil pendekatan konservatif khususnya dalam menangani isu-isu agama dan pendiriannya itu lazimnya pula bercanggah dengan dasar pelbagai kaum PKR.