Thursday, October 30, 2008

RINGANKANLAH BEBAN WAKIL RAKYAT

Kerajaan negeri semalam bersetuju untuk mengkaji semula elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi meringankan beban mereka dalam melaksanakan tugas untuk membantu rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, cadangan tersebut akan dibawa ke mesyuarat exco untuk dibincangkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata, cadangan untuk supaya elaun tersebut dinaikkan dengan menyamai gred N52 kakitangan kerajaan adalah munasabah.

Ia selaras dengan beban yang terpaksa ditanggung oleh wakil rakyat.

“Saya secara peribadi bersetuju dengan cadangan yang dikemukan oleh ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah supaya elaun dinaikkan, untuk makluman kita tidak mengikut langkah kerajaan pusat yang telah menaikkan elaun Ahli Parlimen sebanyak dua kali sebelum ini,” katanya ketika menggulung perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri di Kota Bharu semalam.

Ada dua perkara dalam ulasan Husam yang boleh diambil perhatian.

1. Mengkaji bergantung kepada keputusan Exco.

Perkaranya ialah siapa yang mengemukakan cadangan? Wakil Barisan Nasional iaitu ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah yang pada sidang tahun lalu diperintah keluar dewan kerana dikatakan menendang wakil rakyat Pas.

Apakah Exco Kerajaan Pas Kelantan akan meluluskannya apabila cadangan dibawa oleh Adun Barisan Nasional? Soal tambahan ialah, kenapa ADUN Pas berdiam diri, apakah mereka sudah cukup wang dan kenyang?

Yang pasti Husam turut mengiktiraf cadangan dengan mengatakan kenaikan ini wajar selaras dengan beban yang ditanggung wakil rakyat; dan,

2. Husam yang tidak habis-habis dengan sikap suka menyindir berkata kita (Kerajaan Pas) tidak mengikut langkah kerajaan pusat yang telah menaikkan elaun Ahli Parlimen sebanyak dua kali sebelum ini.

Kata-kata yang seribu makna itu menggambarkan bahawa dalam menerima cadangan baik ADUN BN, Husam masih menunjukkan sikap ‘permusuhannya dengan Kerajaan Pusat’ dan memperlekehkan sebarang keputusan Kerajaan Pusat.

Jika Kerajaan Pas Kelantan tidak mahu menaikkan elaun itu hak dia dan begitu juga dengan hak Parlimen Malaysia.

Apapun sila rujuk kepada kenyataan Husam pada 11 Jun lalu yang menggambarkan sikap kepura-puraan beliau sambil cuba memperlekehkan BN (sumber Utusan Malaysia):

“Kerajaan Kelantan tidak akan mengikut langkah kerajaan Pusat mengurangkan elaun keraian anggota Exco dan wakil-wakil rakyat dalam usaha menjimatkan perbelanjaan ekoran kenaikan harga minyak. Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, langkah itu tidak membawa banyak makna bagi mengatasi masalah yang dihadapi rakyat ekoran keputusan kerajaan menaikkan harga bahan api itu yang begitu tinggi. Apatah lagi, katanya, kerajaan negeri telah sekian lama melakukan langkah berjimat cermat termasuk pemotongan elaun wakil rakyat sebagai strategi menjaga kebajikan rakyat.”

Hakikatnya, ketika harga minyak tinggi dan elaun wakil rakyat Pas kena potong (betulkah?), Husam menolak cadangan berkenaan untuk berjimat cermat.

Jadi apabila harga minyak sudah makin dikurangkan, sepatutnya elaun wakil rakyat Pas dipotong lebih banyak lagi kerana mereka sudah ‘lega’ sedikit.

Kenapa pula ketika harga minyak tinggi Husam enggan terima cadangan menaikkan elaun dan ketika harga minyak menurun, Husam ‘bersetuju’ untuk menaikkan elaun. Mana pengorbanan wakil rakyat Pas yang dibanggakan Husam?

Cerita mengenai cadangan menaikkan elaun ini pernah dikemukakan oleh Datuk Dr Awang Adek pada 18 Jun 2007 lalu. Menurutnya, Kerajaan Kelantan diminta meluluskan segera kenaikan elaun ADUN sebanyak 10 peratus supaya mereka dapat memberi khidmat dengan baik kepada rakyat.

Dr Awang Adek yang ketika itu Timbalan Menteri Kewangan, berkata elaun wakil rakyat Kelantan kini tidak selaras dengan negeri lain yang lebih awal dinaikkan.

“Selain dapat berbakti dengan lebih sempurna kepada rakyat ia turut memberikan manfaat kepada semua bekas wakil rakyat negeri ini,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) cawangan Kelantan di Kota Bharu.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku ketua kerajaan negeri perlu memahami keadaan yang dialami oleh wakil rakyat negeri itu.

Katanya kehidupan bekas wakil rakyat turut terhimpit jika tiada kenaikan elaun itu kerana secara automatik apabila elaun ADUN dinaikkan, ia turut membabitkan elaun bekas wakil rakyat.

Apapun Norzula yang memang sikapnya terbuka dan ‘tidak takut dibelasah oleh wakil Pas’ di DUN Kelantan menunjukkan sikap prihatin pada diri dan rakan-rakan wakil rakyat lain di negeri itu.

Katanya kelmarin, elaun RM3,500 sebulan yang diterima sekarang tidak mencukupi.

"Saya tahu setiap daripada kita cukup susah hati misalnya bila ada kematian yang berlaku di tempat masing-masing, kerana kita perlu memberikan sedikit bantuan kewangan.

"Saya cadangkan elaun dinaikkan sekurang-kurangnya 50 peratus lagi dan biar sama dengan gred N52 pegawai kerajaan," katanya semasa membahaskan Bajet Kerajaan Negeri 2009.

Norzula menunjukkan bagaimana wakil rakyat harus berterus-terang untuk berbakti kepada rakyat dan bukannya ‘menikus takut jawatan terancam’ jika mengemukakan sebarang cadangan yang akhirnya menyulitkan mereka menjalankan tugas.

Sebenarnya cerita wakil rakyat Pas tidak turun padang melawat rakyat bukan baru.
Antara puncanya ialah tidak cukup wang.

Wednesday, October 29, 2008

KHALID TIDAK BERJIWA MELAYU?

Terkejut juga bila mendengar Menteri Besar Selangor mementingkan orang bukan-Melayu di PKNS dan kebetulan saya membaca sebuah posting dalam blog ohsedapnya.blogspot.com hari ini yang mengulas tajuk berkenaan.

Sikap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ini benar-benar mengguris hati orang Melayu kerana beliau jelas tidak yakin dengan keupayaan pengurusan oleh orang Melayu.

Selepas berpuluh tahun PKNS maju dan membangunkan Selangor, apakah Khalid tidak mengiktiraf kejayaan pengurusan Melayu dan perlu pengurusan tertinggi PKNS ditukar kepada bukan Melayu?

Nasib baik juga Pas bertindak cepat bagi menyedarkan “Melayu Mudah Lupa” ini.

Saya perturunkan posting tersebut untuk sama-sama kita merenungi bagaimana PKNS dikatakan meminggirkan pengurusan Melayu.

PKR PINGGIR PENGURUSAN MELAYU





Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor diterajui Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semakin hilang punca.
Kini ia mempersendakan keupayaan kepimpinan dan pengurusan Melayu apabila menganggap kakitangan Melayu di PKNS tidak layak memegang jawatan Pengurus.

Isu kekosongan jawatan Pengurus Besar PKNS menimbulkan kontroversi apabila semalam Abdul Khalid mengumumkan pelantikan Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun PKNS, Low Siew Moi memangku jawatan itu selama setahun.

Kenapa sementara? Tidak adakah kakitangan Melayu yang berpengalaman di PKNS sendiri?
Tanyalah diri sendiri secara ikhlas,

Kalau syarikat bukan-Melayu, apakah pengurus besar dilantik daripada kalangan Melayu, walapun ramai yang layak?

Apakah syarikat besar milik rakan pemimpin PKR selain syarikat-syarikat milik MCA, Gerakan atau MIC mengambil pengurus Melayu?

Berterus-terang sajalah.

Nyatakanlah segala-galanya dilakukan PKR untuk menarik sokongan orang Cina walaupun korbankan jawatan yang sepatutnya diisi orang Melayu.

Penjelasan Abdul Khalid bahawa pengalaman Low amat berguna bagi membantu kerajaan negeri melaksanakan penyusunan semula dalam operasi dan aktiviti PKNS adalah alasan.

Apakah selama ini PKNS tidak beraspirasi untuk menjadi organisasi yang terbaik di rantau ini, tetapi juga dalam usahanya memulakan projek pembangunan semula perumahan baru di Petaling Jaya, Kajang dan Klang?

Apakah hanya di bawah Pakatan Rakyat baru PKNS ‘sedar daripada lenanya?”

Hari ini, wakil pegawai dan kakitangan PKNS yang diketuai Presiden Persatuan Pegawai Kanan PKNS , Idris Ishak juga menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar mengenai pemangkuan jawatan itu oleh Low.

Pas bertindak cepat apabila mempersoalkan kenapa dua pegawai paling kanan PKNS iaitu Timbalan Pengurus Besar Pentadbiran, Md Nasir Md Arshad dan Timbalan Pengurus Besar Teknikal, Abdul Ghani Hassan tidak dipertimbangkan untuk mengisi jawatan itu.

Pas mahukan pemilihan dibuat daripada kalangan orang kanan dalam PKNS atau bakat luar untuk mengisi jawatan itu.

Sehubungan itu, katanya Pas Selangor akan bermesyuarat bagi memilih calon yang sesuai untuk diketengahkan untuk mengisi jawatan itu dan menurutnya setakat ini parti itu sudah mempunyai dua calon untuk mengisi jawatan itu.

Dr Hasan tidak menolak jika calon itu adalah orang politik dan menurutnya apa yang penting ialah calon itu bersikap profesional dan dapat menjalankan tugas dengan baik.

Ditanya mengapa Pas membantah pelantikan Low, Dr Hasan berkata parti itu berpendapat Md Nasir dan Abdul Ghani lebih layak dipertimbangkan kerana mereka sudah lebih 30 tahun berkhidmat dan menyumbang kepada PKNS.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam bagi membincangkan isu pemilihan Pengurus Besar PKNS berikutan persaraan Datuk Harun Salim, hujung bulan ini.

Pengurus Besar terdahulu, Dato’ Harun Salim bersara hujung Oktober ini. Persoalannya kenapa pula Harun tidak dilanjutkan tarikh persaraannya?

Pada sidang media selepas pertemuan itu, Dr Hasan berkata Menteri Besar menyatakan kesediaan memendekkan tempoh pemangkuan Low jika Pas mampu mendapatkan calon pengganti pengurus besar yang berkaliber, profesional dan mempunyai pengalaman mengendalikan organisasi bersaiz seperti PKNS.

Abdul Khalid yang mempertahankan Low berkata pemilihannnya kerana profesionalisme dan keupayaan mentadbir yang ditunjukkannya di dalam PKNS.

menjelaskan pelantikan Low Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah bersifat sementara sehingga calon yang sesuai dilantik.
Menteri Besar Selangor berkata pada masa sama Lembaga Pengarah PKNS berusaha mendapatkan pengurus besar yang berkaliber, berwibawa, beretika dan berkebolehan untuk membawa perbadanan itu ke era baru.

“Dalam hal ini, Puan Low mengakui agar peneraju PKNS yang baru mestilah seorang bumiputera yang profesional dan mempunyai pengalaman dalam pembangunan hartanah, pembangunan semula dan disegani oleh komuniti hartanah,” katanya.

Jelas Abdul Khalid lagi, pencarian calon pengurus besar di kalangan pegawai kanan yang sedang berkhidmat di PKNS sudah diusahakan.

“Namun, ada beberapa sebab tentang perlunya juga kita mencari calon di luar PKNS. Antara sebabnya, PKNS berkehendakkan pegawai yang profesional dalam aspek hartanah, di samping mempunyai kelayakan dalam bidang pengurusan hartanah, kejuruteraan, seni bina atau jurunilai untuk mengetuai PKNS memulakan projek pembangunan semula,” katanya.

Beliau turut menyatakan rasa kesal apabila mendapati pengalaman PKNS dalam usaha memartabatkan kaum Melayu dalam bidang perniagaan khususnya pembangunan hartanah tidak membanggakan.

“Ini disebabkan lebih 75 peratus daripada projek yang dilaksanakan diberi kepada syarikat bukan Melayu baik secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya.

Abdul Khalid berkata kerajaan Pakatan Rakyat amat mementingkan pentadbiran secara telus dan bertanggungjawab serta berpendapat PKNS perlu mengubah corak pentadbiran supaya menghayati dan melaksanakan kepentingan itu.

Dan apabila merumuskan bahawa “Sesungguhnya tindakan yang radikal perlu dilakukan bagi ‘membersihkan’ PKNS supaya ia betul-betul mencapai matlamat asal untuk memberi fokus kepada perniagaan pembangunan hartanah yang diceburi”, ssudah sah ada ‘udang di sebalik Maggie”.

Alasan PKNS mahu meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat terutama masyarakat Melayu yang mahu bekerja keras dan berusaha tanpa ihsan daripada mana-mana pihak hanyalah manis di bibir.

Janganlah kerana mementingkan sokongan politik bukan-Melayu, kerajaan PKR mengamalkan dasar biar ‘menang sorak, kampong tergadai’ dan sanggup menyerah dan menggadai segala-galanya!
(29 Oktober 2008)

BERI BETIS HENDAKKAN PEHA

Malu.

Itulah yang boleh digambarkan mengenai komen Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan kini bukan masa cadang mansuh ekuiti Bumiputera.

Malu kerana apa?

Malu kerana sekerat dua sahaja pemimpin UMNO yang bersuara seperti beliau. Harapkan Pas? Jangan mimpilah.

Hanya Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang berani dan tegas meminta MCA menghentikan desakan kepada kerajaan supaya menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam syarikat senaraian awam.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, perkara itu juga sepatutnya tidak perlu dibangkitkan ketika ini kerana boleh mencetuskan lebih banyak pergeseran dan salah faham sesama pemimpin dan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai kelmarin yang meminta kerajaan memansuhkan pegangan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam bagi memastikan ia terus bersaing.

Jelas sekali MCA main politik ‘beri betis hendak peha’.

Jumaat lalu, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkatabeliau yakin unsur-unsur Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang berakhir pada 1990 dan digantikan dengan Dasar Ekonomi Nasional (DEN) pada 1991, boleh dihapuskan secara beransur-ansur.

“Saya sedang berusaha ke arah melaksanakan liberalisasi (unsur-unsur DEB) secara beransur-ansur itu apabila bumiputera sudah mempunyai keyakinan diri. Dan sukacita saya nyatakan bahawa semakin ramai dalam kalangan mereka kini sudah mempunyai keyakinan untuk bersaing, untuk berjaya di peringkat global dan domestik.

"Dalam tempoh yang tidak terlalu lama lagi, kita dapat saksikan unsur-unsur DEB ini akan diganti," kata beliau dalam wawancara melalui program "Bloomberg Voices" terbitan Bloomberg TV yang disiarkan secara rakaman di Kuala Lumpur.

Memberikan pandangan adalah hak MCA.

Persoalannya, apakah pemimpin Melayu hanya duduk diam sedangkan hak mereka sedang dipersoalkan.

UMNO yang mendakwa dirinya sebagai pelindung Melayu senyap dan sepi. Takut kalau jawab pemimpin MCA akan terasa hati?

Apakah apabila pemimpin MCA mengatakan demikian, kita orang Melayu tidak terasa hati?
Akhirnya orang yang di luar UMNO bersuara dan pemimpin tertinggi UMNO yang sebelum ini asyik menghentam Dr Mahathir pun jelas sudah bersikap ‘hati kecil’.

Kalau beginilah sikap UMNO yang hanya berani ‘bersorak’ dan ‘menunjukkan kekuatan’ untuk perkara remeh, buangkan sahaja perkataan “Melayu” itu dan tukar sahaja kepada perkataan lain.

Dr Mahathir dengan tegas menyatakan pendiriannya bahawa beliau tidak bersetuju dengan cadangan MCA supaya kerajaan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam kerana ini bukan masa yang sesuai dan syarat itu juga belum dicapai sepenuhnya.

"Waktu ini saya tak setuju. Kalau capai 30 peratus bumiputera, 40 bukan bumiputera dan 30 peratus orang asing, kalau capai itu kita boleh mansuhlah.

"Kalau tercapai matlamat ekuiti itu patutlah kita hapuskan (ekuiti pemilikan bumiputera itu). Sekarang belum tercapai... banyak lagi nak kena buat. Kalau (kurangkan) 20 peratus hari ini (dan) tak berkembang, sedangkan ekonomi berkembang, (maka) 20 peratus itu akan kurang, jadi ini semua kena ambil kira," katanya.

Dr Mahathir, berkata walaupun ekuiti itu boleh diubah, tetapi matlamat pemilikan bumiputera itu perlu dijaga.

"Saya fikir waktu ini tak boleh. Bukan masa nak buat pengubahsuaian apa- apa pun, dunia sedang huru-hara. Tak semestinya (dengan menghapuskan ekuiti itu akan memberikan daya saing yang kuat dan berdaya maju bagi sesebuah syarikat itu).

"Kalau kita turun hak (pemilikan ekuiti) bumiputera kepada 20 peratus. Kaum bukan bumi pun kena turunlah, sama-sama turunlah," katanya lagi.

Dr Mahathir berkata perkara sebegini sepatutnya dibawa kepada Dewan Tertinggi Barisan Nasional kerana mereka yang mengutarakannya adalah anggota parti komponen Barisan Nasional.

Yang jelas, dewan itu bagaikan sudah tidak dihormati lagi dan apakah ini ada kaitan dengan kepimpinan UMNO dan UMNO sendiri juga sudah tidak dihotmati oleh rakan-rakan mereka dalam BN.

Jika demikian, apakah UMNO dan pemimpinnya sanggup berdiam diri hanya kerana mahu menjaga hati orang lain sedangnya kenyataan sedemikian mengguriskan hati orang Melayu.

EC725 BUKAN UNTUK OPERASI KETENTERAAN?

Kawan lama saya, “Giant Killer” yang juga bekas Ahli Parlimen Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar, kelmarin memberi ingatan kepada semua warga UMNO bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi belum lagi menyerahkan jawatan tersebut kepada penggantinya Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ketua Bahagian Marang yang baru tewas itu berkata walaupun bulan lepas Majlis Tertinggi bersetuju sebulat suara agar Abdullah menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Mohd Najib pada Mac tahun depan, ia masih dalam proses.

"Ini bermakna Abdullah masih lagi perdana menteri walaupun bukan lagi seorang presiden Umno. Dan begitu juga dengan Najib, walaupun menjadi presiden Umno tetapi bukan perdana menteri," kata Ketua Penerangan Marang berkenaan.
Benar kata beliau itu. Contohnnya?

Rujuk sahaja kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bahawa kerajaan telah membuat keputusan untuk menangguhkan pembelian helikopter EC725 keluaran Eurocopter .

Tidakkah ini sebagai Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan beliau mempunyai kata pemutus dan ‘menembak’ keputusan dibuat Kabinet sebelum ini walaupun hakikatnya proses perolehan itu mengikut peraturan.

Pembelian helikopter baru ini diputuskan oleh kabinet Julai tahun lepas bagi menggantikan pesawat Nuri, setelah prestasi pesawat itu mendapat rungutan ramai pihak.

Bercakap pada sidang akhbar di Kementerian Pertahanan, di Kuala Lumpur semalam, keseluruhan perbelanjaannya membelinya bernilai RM1.67 bilion dan penangguhan itu sebagai langkah berjimat-cermat berikutan krisis kewangan global.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan juga membuat keputusan sebarang pembelian baru helikopter bagi menggantikan Nuri akan dilakukan selewat-lewatnya sebelum 2011.

Menurut beliau, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Exco Majlis Ekonomi yang dipengerusikan beliau pada 13 Oktober lalu.

Tegas Abdullah, ia tiada kaitan dengan dakwaan beberapa pihak bahawa wujud penyelewengan dalam pengeluaran tender itu.

Banyak perkara boleh diperkatakan jika mahu membicarakan mengenai isu pembelian EC725 ini.

Saya ada membaca satu posting menarik dalam gegernya.blogspot.com 18 Oktober lalu bertajuk “Pembelian Eurocopter EC725 Ikut Peraturan”.

Menurut blog berkenaan, walaupun ada pihak mendedahkan surat, dokumen dan sebagainya mempertikaikan keputusan proses perolehan berkenaan.

Kontroversi berlaku apabila dalam suratnya kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, syarikat yang terlibat dalam tender tersebut Mentari Services Sdn Bhd mempertikaikan keputusan kementerian mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter dengan alasan ia "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."

"Kami difahamkan bahawa proses penilaian belum selesai tetapi dengan secara tiba-tiba arahan diberi oleh pihak tertentu supaya LOI dikeluarkan kepada Eurocopter," kata pengerusi syarikat itu Kapt (B) Datuk Zahar Hashim.

Tender terbuka antarabangsa ditutup pada 12 Februari tahun ini untuk perolehani itu dan pada tarikh sama pukul 12 tengah hari, Jawatankuasa Membuka dan Menjadual Tender (JMMT) Kementerian Pertahanan telah membuka semua dokumen tawaran yang diterima dengan disaksikan oleh wakil-wakil syarikat yang mengambil bahagian.

Pada 3 September lalu, Kementerian Pertahanan menerima keputusan dan persetujuan dari Kementerian Kewangan untuk memilih tender Eurocopter dan Kementerian Pertahanan mengeluarkan LOI kepada penender itu pada 15 September, kata Abu Bakar.

LOI boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dan secara kebetulan ia dikeluarkan pada 15 September.

Ketua Setiausahanya, Datuk Abu Bakar Abdullah dilaporkan berkata, keputusan memilih model berkenaan dibuat berdasarkan tawaran lengkap oleh Eurocopter dan setelah mendapat markah keseluruhan tertinggi yang meliputi penilaian teknikal serta ofset harga yang munasabah.

Abu Bakar menjelaskan: “Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sememangnya mempunyai data lengkap dan pengetahuan mengenai helikopter yang berada di pasaran pada masa kini.
“Oleh itu, penilaian fizikal berhubung ciri-ciri pengendalian helikopter tidak perlu dilaksanakan di kawasan kemudahan (fasilitas) yang ditetapkan penender dalam masa tarikh tutup tender (12 Februari 2008) sehingga dibawa kepada pertimbangan Mesyuarat Lembaga Tender A (pada 22 Julai 2008).

Utusan Online yang turut memetik Abu Bakar melaporkan: “Ini adalah bagi menjamin ketelusan proses dan integriti Jawatankuasa Teknikal yang terdiri daripada enam pegawai tidak dipertikaikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain untuk mengiakan kata-kata Rahman Bakar mengenai kuasa Perdana Menteri mengangguhkan pembelian hasil mesyuarat Exco Majlis Ekonomi yang dipengerusikan beliau pada 13 Oktober lalu, pertanyaan masih ada.

Apakah pembelian helikopter itu untuk tujuan kegunaan biasa atau keselamatan?
Jika ia untuk tujuan biasa, tidak apalah jika ditangguhkan.

Tetapi jika helikopter untuk tujuan keselamatan rasanya sedikit janggal jika diasaskan kepada faktor berjimat cermat kerana kepentingan keselamatan tidak wajar di kompromi dengan kepentingan-kepentingan lain.

Lantas teringat kepada kenyataan Abu Bakat tempoh hari: “Adalah menjadi tanggungjawab Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk sentiasa mengemaskini maklumat terkini berhubung perkembangan teknologi semasa helikopter yang memenuhi keperluan operasi ketenteraan di pasaran.

"Penilaian juga mengambil kira kesesuaian penggunaan dan persekitaran operasi di Malaysia dan kawasan konflik di serata dunia. TUDM memang mempunyai data lengkap dan pengetahuan mengenai helikopter terkini yang berada di pasaran."
Apa maknanya itu?