Thursday, October 30, 2008

RINGANKANLAH BEBAN WAKIL RAKYAT

Kerajaan negeri semalam bersetuju untuk mengkaji semula elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi meringankan beban mereka dalam melaksanakan tugas untuk membantu rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, cadangan tersebut akan dibawa ke mesyuarat exco untuk dibincangkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata, cadangan untuk supaya elaun tersebut dinaikkan dengan menyamai gred N52 kakitangan kerajaan adalah munasabah.

Ia selaras dengan beban yang terpaksa ditanggung oleh wakil rakyat.

“Saya secara peribadi bersetuju dengan cadangan yang dikemukan oleh ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah supaya elaun dinaikkan, untuk makluman kita tidak mengikut langkah kerajaan pusat yang telah menaikkan elaun Ahli Parlimen sebanyak dua kali sebelum ini,” katanya ketika menggulung perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri di Kota Bharu semalam.

Ada dua perkara dalam ulasan Husam yang boleh diambil perhatian.

1. Mengkaji bergantung kepada keputusan Exco.

Perkaranya ialah siapa yang mengemukakan cadangan? Wakil Barisan Nasional iaitu ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah yang pada sidang tahun lalu diperintah keluar dewan kerana dikatakan menendang wakil rakyat Pas.

Apakah Exco Kerajaan Pas Kelantan akan meluluskannya apabila cadangan dibawa oleh Adun Barisan Nasional? Soal tambahan ialah, kenapa ADUN Pas berdiam diri, apakah mereka sudah cukup wang dan kenyang?

Yang pasti Husam turut mengiktiraf cadangan dengan mengatakan kenaikan ini wajar selaras dengan beban yang ditanggung wakil rakyat; dan,

2. Husam yang tidak habis-habis dengan sikap suka menyindir berkata kita (Kerajaan Pas) tidak mengikut langkah kerajaan pusat yang telah menaikkan elaun Ahli Parlimen sebanyak dua kali sebelum ini.

Kata-kata yang seribu makna itu menggambarkan bahawa dalam menerima cadangan baik ADUN BN, Husam masih menunjukkan sikap ‘permusuhannya dengan Kerajaan Pusat’ dan memperlekehkan sebarang keputusan Kerajaan Pusat.

Jika Kerajaan Pas Kelantan tidak mahu menaikkan elaun itu hak dia dan begitu juga dengan hak Parlimen Malaysia.

Apapun sila rujuk kepada kenyataan Husam pada 11 Jun lalu yang menggambarkan sikap kepura-puraan beliau sambil cuba memperlekehkan BN (sumber Utusan Malaysia):

“Kerajaan Kelantan tidak akan mengikut langkah kerajaan Pusat mengurangkan elaun keraian anggota Exco dan wakil-wakil rakyat dalam usaha menjimatkan perbelanjaan ekoran kenaikan harga minyak. Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, langkah itu tidak membawa banyak makna bagi mengatasi masalah yang dihadapi rakyat ekoran keputusan kerajaan menaikkan harga bahan api itu yang begitu tinggi. Apatah lagi, katanya, kerajaan negeri telah sekian lama melakukan langkah berjimat cermat termasuk pemotongan elaun wakil rakyat sebagai strategi menjaga kebajikan rakyat.”

Hakikatnya, ketika harga minyak tinggi dan elaun wakil rakyat Pas kena potong (betulkah?), Husam menolak cadangan berkenaan untuk berjimat cermat.

Jadi apabila harga minyak sudah makin dikurangkan, sepatutnya elaun wakil rakyat Pas dipotong lebih banyak lagi kerana mereka sudah ‘lega’ sedikit.

Kenapa pula ketika harga minyak tinggi Husam enggan terima cadangan menaikkan elaun dan ketika harga minyak menurun, Husam ‘bersetuju’ untuk menaikkan elaun. Mana pengorbanan wakil rakyat Pas yang dibanggakan Husam?

Cerita mengenai cadangan menaikkan elaun ini pernah dikemukakan oleh Datuk Dr Awang Adek pada 18 Jun 2007 lalu. Menurutnya, Kerajaan Kelantan diminta meluluskan segera kenaikan elaun ADUN sebanyak 10 peratus supaya mereka dapat memberi khidmat dengan baik kepada rakyat.

Dr Awang Adek yang ketika itu Timbalan Menteri Kewangan, berkata elaun wakil rakyat Kelantan kini tidak selaras dengan negeri lain yang lebih awal dinaikkan.

“Selain dapat berbakti dengan lebih sempurna kepada rakyat ia turut memberikan manfaat kepada semua bekas wakil rakyat negeri ini,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) cawangan Kelantan di Kota Bharu.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku ketua kerajaan negeri perlu memahami keadaan yang dialami oleh wakil rakyat negeri itu.

Katanya kehidupan bekas wakil rakyat turut terhimpit jika tiada kenaikan elaun itu kerana secara automatik apabila elaun ADUN dinaikkan, ia turut membabitkan elaun bekas wakil rakyat.

Apapun Norzula yang memang sikapnya terbuka dan ‘tidak takut dibelasah oleh wakil Pas’ di DUN Kelantan menunjukkan sikap prihatin pada diri dan rakan-rakan wakil rakyat lain di negeri itu.

Katanya kelmarin, elaun RM3,500 sebulan yang diterima sekarang tidak mencukupi.

"Saya tahu setiap daripada kita cukup susah hati misalnya bila ada kematian yang berlaku di tempat masing-masing, kerana kita perlu memberikan sedikit bantuan kewangan.

"Saya cadangkan elaun dinaikkan sekurang-kurangnya 50 peratus lagi dan biar sama dengan gred N52 pegawai kerajaan," katanya semasa membahaskan Bajet Kerajaan Negeri 2009.

Norzula menunjukkan bagaimana wakil rakyat harus berterus-terang untuk berbakti kepada rakyat dan bukannya ‘menikus takut jawatan terancam’ jika mengemukakan sebarang cadangan yang akhirnya menyulitkan mereka menjalankan tugas.

Sebenarnya cerita wakil rakyat Pas tidak turun padang melawat rakyat bukan baru.
Antara puncanya ialah tidak cukup wang.

No comments:

Post a Comment