Wednesday, October 29, 2008

EC725 BUKAN UNTUK OPERASI KETENTERAAN?

Kawan lama saya, “Giant Killer” yang juga bekas Ahli Parlimen Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar, kelmarin memberi ingatan kepada semua warga UMNO bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi belum lagi menyerahkan jawatan tersebut kepada penggantinya Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ketua Bahagian Marang yang baru tewas itu berkata walaupun bulan lepas Majlis Tertinggi bersetuju sebulat suara agar Abdullah menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Mohd Najib pada Mac tahun depan, ia masih dalam proses.

"Ini bermakna Abdullah masih lagi perdana menteri walaupun bukan lagi seorang presiden Umno. Dan begitu juga dengan Najib, walaupun menjadi presiden Umno tetapi bukan perdana menteri," kata Ketua Penerangan Marang berkenaan.
Benar kata beliau itu. Contohnnya?

Rujuk sahaja kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bahawa kerajaan telah membuat keputusan untuk menangguhkan pembelian helikopter EC725 keluaran Eurocopter .

Tidakkah ini sebagai Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan beliau mempunyai kata pemutus dan ‘menembak’ keputusan dibuat Kabinet sebelum ini walaupun hakikatnya proses perolehan itu mengikut peraturan.

Pembelian helikopter baru ini diputuskan oleh kabinet Julai tahun lepas bagi menggantikan pesawat Nuri, setelah prestasi pesawat itu mendapat rungutan ramai pihak.

Bercakap pada sidang akhbar di Kementerian Pertahanan, di Kuala Lumpur semalam, keseluruhan perbelanjaannya membelinya bernilai RM1.67 bilion dan penangguhan itu sebagai langkah berjimat-cermat berikutan krisis kewangan global.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan juga membuat keputusan sebarang pembelian baru helikopter bagi menggantikan Nuri akan dilakukan selewat-lewatnya sebelum 2011.

Menurut beliau, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Exco Majlis Ekonomi yang dipengerusikan beliau pada 13 Oktober lalu.

Tegas Abdullah, ia tiada kaitan dengan dakwaan beberapa pihak bahawa wujud penyelewengan dalam pengeluaran tender itu.

Banyak perkara boleh diperkatakan jika mahu membicarakan mengenai isu pembelian EC725 ini.

Saya ada membaca satu posting menarik dalam gegernya.blogspot.com 18 Oktober lalu bertajuk “Pembelian Eurocopter EC725 Ikut Peraturan”.

Menurut blog berkenaan, walaupun ada pihak mendedahkan surat, dokumen dan sebagainya mempertikaikan keputusan proses perolehan berkenaan.

Kontroversi berlaku apabila dalam suratnya kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, syarikat yang terlibat dalam tender tersebut Mentari Services Sdn Bhd mempertikaikan keputusan kementerian mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter dengan alasan ia "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."

"Kami difahamkan bahawa proses penilaian belum selesai tetapi dengan secara tiba-tiba arahan diberi oleh pihak tertentu supaya LOI dikeluarkan kepada Eurocopter," kata pengerusi syarikat itu Kapt (B) Datuk Zahar Hashim.

Tender terbuka antarabangsa ditutup pada 12 Februari tahun ini untuk perolehani itu dan pada tarikh sama pukul 12 tengah hari, Jawatankuasa Membuka dan Menjadual Tender (JMMT) Kementerian Pertahanan telah membuka semua dokumen tawaran yang diterima dengan disaksikan oleh wakil-wakil syarikat yang mengambil bahagian.

Pada 3 September lalu, Kementerian Pertahanan menerima keputusan dan persetujuan dari Kementerian Kewangan untuk memilih tender Eurocopter dan Kementerian Pertahanan mengeluarkan LOI kepada penender itu pada 15 September, kata Abu Bakar.

LOI boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dan secara kebetulan ia dikeluarkan pada 15 September.

Ketua Setiausahanya, Datuk Abu Bakar Abdullah dilaporkan berkata, keputusan memilih model berkenaan dibuat berdasarkan tawaran lengkap oleh Eurocopter dan setelah mendapat markah keseluruhan tertinggi yang meliputi penilaian teknikal serta ofset harga yang munasabah.

Abu Bakar menjelaskan: “Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sememangnya mempunyai data lengkap dan pengetahuan mengenai helikopter yang berada di pasaran pada masa kini.
“Oleh itu, penilaian fizikal berhubung ciri-ciri pengendalian helikopter tidak perlu dilaksanakan di kawasan kemudahan (fasilitas) yang ditetapkan penender dalam masa tarikh tutup tender (12 Februari 2008) sehingga dibawa kepada pertimbangan Mesyuarat Lembaga Tender A (pada 22 Julai 2008).

Utusan Online yang turut memetik Abu Bakar melaporkan: “Ini adalah bagi menjamin ketelusan proses dan integriti Jawatankuasa Teknikal yang terdiri daripada enam pegawai tidak dipertikaikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain untuk mengiakan kata-kata Rahman Bakar mengenai kuasa Perdana Menteri mengangguhkan pembelian hasil mesyuarat Exco Majlis Ekonomi yang dipengerusikan beliau pada 13 Oktober lalu, pertanyaan masih ada.

Apakah pembelian helikopter itu untuk tujuan kegunaan biasa atau keselamatan?
Jika ia untuk tujuan biasa, tidak apalah jika ditangguhkan.

Tetapi jika helikopter untuk tujuan keselamatan rasanya sedikit janggal jika diasaskan kepada faktor berjimat cermat kerana kepentingan keselamatan tidak wajar di kompromi dengan kepentingan-kepentingan lain.

Lantas teringat kepada kenyataan Abu Bakat tempoh hari: “Adalah menjadi tanggungjawab Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk sentiasa mengemaskini maklumat terkini berhubung perkembangan teknologi semasa helikopter yang memenuhi keperluan operasi ketenteraan di pasaran.

"Penilaian juga mengambil kira kesesuaian penggunaan dan persekitaran operasi di Malaysia dan kawasan konflik di serata dunia. TUDM memang mempunyai data lengkap dan pengetahuan mengenai helikopter terkini yang berada di pasaran."
Apa maknanya itu?

No comments:

Post a Comment