Wednesday, October 29, 2008

BERI BETIS HENDAKKAN PEHA

Malu.

Itulah yang boleh digambarkan mengenai komen Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan kini bukan masa cadang mansuh ekuiti Bumiputera.

Malu kerana apa?

Malu kerana sekerat dua sahaja pemimpin UMNO yang bersuara seperti beliau. Harapkan Pas? Jangan mimpilah.

Hanya Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang berani dan tegas meminta MCA menghentikan desakan kepada kerajaan supaya menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam syarikat senaraian awam.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, perkara itu juga sepatutnya tidak perlu dibangkitkan ketika ini kerana boleh mencetuskan lebih banyak pergeseran dan salah faham sesama pemimpin dan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai kelmarin yang meminta kerajaan memansuhkan pegangan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam bagi memastikan ia terus bersaing.

Jelas sekali MCA main politik ‘beri betis hendak peha’.

Jumaat lalu, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkatabeliau yakin unsur-unsur Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang berakhir pada 1990 dan digantikan dengan Dasar Ekonomi Nasional (DEN) pada 1991, boleh dihapuskan secara beransur-ansur.

“Saya sedang berusaha ke arah melaksanakan liberalisasi (unsur-unsur DEB) secara beransur-ansur itu apabila bumiputera sudah mempunyai keyakinan diri. Dan sukacita saya nyatakan bahawa semakin ramai dalam kalangan mereka kini sudah mempunyai keyakinan untuk bersaing, untuk berjaya di peringkat global dan domestik.

"Dalam tempoh yang tidak terlalu lama lagi, kita dapat saksikan unsur-unsur DEB ini akan diganti," kata beliau dalam wawancara melalui program "Bloomberg Voices" terbitan Bloomberg TV yang disiarkan secara rakaman di Kuala Lumpur.

Memberikan pandangan adalah hak MCA.

Persoalannya, apakah pemimpin Melayu hanya duduk diam sedangkan hak mereka sedang dipersoalkan.

UMNO yang mendakwa dirinya sebagai pelindung Melayu senyap dan sepi. Takut kalau jawab pemimpin MCA akan terasa hati?

Apakah apabila pemimpin MCA mengatakan demikian, kita orang Melayu tidak terasa hati?
Akhirnya orang yang di luar UMNO bersuara dan pemimpin tertinggi UMNO yang sebelum ini asyik menghentam Dr Mahathir pun jelas sudah bersikap ‘hati kecil’.

Kalau beginilah sikap UMNO yang hanya berani ‘bersorak’ dan ‘menunjukkan kekuatan’ untuk perkara remeh, buangkan sahaja perkataan “Melayu” itu dan tukar sahaja kepada perkataan lain.

Dr Mahathir dengan tegas menyatakan pendiriannya bahawa beliau tidak bersetuju dengan cadangan MCA supaya kerajaan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam kerana ini bukan masa yang sesuai dan syarat itu juga belum dicapai sepenuhnya.

"Waktu ini saya tak setuju. Kalau capai 30 peratus bumiputera, 40 bukan bumiputera dan 30 peratus orang asing, kalau capai itu kita boleh mansuhlah.

"Kalau tercapai matlamat ekuiti itu patutlah kita hapuskan (ekuiti pemilikan bumiputera itu). Sekarang belum tercapai... banyak lagi nak kena buat. Kalau (kurangkan) 20 peratus hari ini (dan) tak berkembang, sedangkan ekonomi berkembang, (maka) 20 peratus itu akan kurang, jadi ini semua kena ambil kira," katanya.

Dr Mahathir, berkata walaupun ekuiti itu boleh diubah, tetapi matlamat pemilikan bumiputera itu perlu dijaga.

"Saya fikir waktu ini tak boleh. Bukan masa nak buat pengubahsuaian apa- apa pun, dunia sedang huru-hara. Tak semestinya (dengan menghapuskan ekuiti itu akan memberikan daya saing yang kuat dan berdaya maju bagi sesebuah syarikat itu).

"Kalau kita turun hak (pemilikan ekuiti) bumiputera kepada 20 peratus. Kaum bukan bumi pun kena turunlah, sama-sama turunlah," katanya lagi.

Dr Mahathir berkata perkara sebegini sepatutnya dibawa kepada Dewan Tertinggi Barisan Nasional kerana mereka yang mengutarakannya adalah anggota parti komponen Barisan Nasional.

Yang jelas, dewan itu bagaikan sudah tidak dihormati lagi dan apakah ini ada kaitan dengan kepimpinan UMNO dan UMNO sendiri juga sudah tidak dihotmati oleh rakan-rakan mereka dalam BN.

Jika demikian, apakah UMNO dan pemimpinnya sanggup berdiam diri hanya kerana mahu menjaga hati orang lain sedangnya kenyataan sedemikian mengguriskan hati orang Melayu.

No comments:

Post a Comment