Bernama Online/Berita Harian Online
Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditunggu-tunggu, ditangguhkan ke 15 Julai bagi sebutan berikutan peguam belanya telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamad Zabidin Mohd Diah turut menetapkan tarikh yang sama bagi sebutan permohonan Anwar untuk menggugurkan pertuduhan liwatnya dan pendengaran permohonannya bagi diperintahkan pihak pendakwaan menyerahkan semua dokumen berkaitan kes itu kepadanya.
Seramai 100 anggota polis ditempatkan di kompleks itu sejak jam 6.30 pagi untuk mengawal keadaan di sekitar kompleks itu semasa kes Anwar berlangsung.
Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku kecuali seorang lelaki berusia 63 tahun diberkas hari ini kerana mengedar DVD bertajuk "Bubar DUN Perak" di perkarangan Kompleks Mahkamah Persekutuan di sini.
Dia ditahan anggota polis ketika leka mengedar DVD itu kepada orang ramai selepas selesai perbicaraan kes liwat membabitkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 10 pagi tadi.
Polis kemudian membawa lelaki itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut serta meneliti kandungan DVD itu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, berkata polis menahan lelaki itu kerana kesalahan mempamer, mengedar dan memiliki DVD yang mencurigakan.
"Hasil siasatan polis mendapati lelaki itu adalah seorang anggota parti pembangkang di Ipoh," katanya.
Katanya, lelaki itu sudah dibebaskan tengah hari tadi dengan jaminan polis.
Tinjau wartawan mendapati 100 orang penyokong Anwar berhimpun di perkarangan kompleks seawal 7 pagi.
Pendengaran permohonan Anwar bagi penyerahan dokumen itu sudah ditangguhkan empat kali sejak 22 Jun dan perbicaraan kes liwat itu ditangguhkan dua kali.
Seorang daripada peguam yang mewakili Anwar, Edmund Bon, ketika memohon penangguhan itu, berkata peguam utama, Sulaiman Abdullah, dimasukkan ke HKL semalam bagi pemeriksaan berikutan berasa pening tiba-tiba.
Katanya, pihak pembelaan juga memerlukan lebih banyak masa untuk memfailkan hujahan lanjut kepada mahkamah.
Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan pendakwaan, berkata pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap penangguhan itu kerana turut prihatin dengan keadaan kesihatan Sulaiman tetapi kes itu perlu diteruskan.
"Menurut laporan doktor, pemeriksaan itu dijangka siap minggu ini. Kes ini adalah kes kepentingan awam dan mahkamah tidak perlu tergesa-gesa untuk mendengar kes ini," kata seorang lagi peguam yang mewakili Anwar, R Sivarasa.
Namun seorang lagi peguam bela, SN Nair, mencelah dengan menyatakan Anwar sudah mengarahkan pasukan pembelaan yang beliau mahu Sulaiman mengetuai pasukan itu.
Anwar, 62, yang hadir bersama-sama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lalu.
Nair memberitahu pemberita kemudiannya bahawa pihak pembelaan akan memfailkan notis usul pada minggu ini untuk melucutkan kelayakan pasukan pendakwaan atas alasan pihak pendakwaan telah diberi arahan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan pertuduhan itu adalah mala fide dan kes itu adalah kesinambungan kes rasuah terhadapnya pada 1998.
Sementara itu, Anwar berkata, cara pihak pendakwaan yang enggan menyerahkan dokumen itu adalah penghinaan terhadap seluruh proses itu dan menimbulkan persoalan besar.
Sivarasa kemudian menjelaskan mengikut undang-undang, pihak pendakwaan sepatutnya memberikan dokumen yang diminta oleh pihak pembelaan tetapi enggan berbuat demikian, "jadi menimbulkan persoalan akan keikhlasan pihak pendakwaan dan malahan tindakan mereka adalah bercanggah dengan undang-undang dan tidak adil kepada kami."
No comments:
Post a Comment