Thursday, June 4, 2009

PANTAU PROJEK MEGA TERENGGANU

Rakyat didahulukan!

Pertama, menjamin keselamatan rakyat yang menggunakan kemudahan disediakan dan kedua menjamin perbelanjaan untuk projek, apalagi dianggap mega – tidak membazir.

Sebagai pengguna, rakyat perlu mendapat perlindungan keselamatan yang maksimum selain mendapat kemudahan sewajarnya melalui perbelanjaan yang dikawal dan berhemah.

Berikutan itu projek-projek mega di Terengganu terpaksa dipantau bagi tujuan ‘rakyat didahulukan’ dan pastinya termasuk tiga projek yang tahap keselamatannya menjadi persoalan sekarang.

Ia termasuk terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Gong Badak, Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.
Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak dibina dengan harga RM292 juta untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2008 pada 31 Mei hingga 9 Jun tahun lepas.
Bangunan terminal LTSM bernilai RM123 juta yang pembinaannya bermula tahun 2004 sepatutnya siap pada Ogos 2007, namun tertangguh hingga April 2008. Bagaimanapun ia sempat digunakan untuk Kejohanan Sukan Kuda Lasak 2008 tahun lalu.

Pada sidang media petang semalam, Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata berikutan kebimbangan kejadian runtuhan bumbung berulang, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan kerja Raya (JKR) memberi perhatian ke atas tahap keselamatan beberapa projek mega yang baru siap di negeri ini.
Jangan salah anggap. Bukan mahu menyalah sesiapa.
Ia tidak ada kena mengena dengan individu tertentu atau kontraktor yang membina projek berkenaan. Jadi adalah silap jika ada pendapat – termasuk melalui blog –yang cuba mempertahan individu tertentu seolah-olah ada pihak yang menuding jari kepada orang itu dan orang ini.

Hanya persoalan – apakah ada kait mengait beberapa individu (orang politik tertentu) dengan tiga syarikat berikut – Gengang Mercu, EMarcom Sdn Bhd dan Bina Struktur Sdn Bhd?

Semalam, kehadiran tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu termasuk pengarahnya, Ahmad Sabri Hussin di tempat kejadian menjadi tanda tanya. Apakah langkah mereka seterusnya?

Apapun, Kerajaan Negeri Terengganu mahu pantau balik beberapa projek mega yang selama ini dianggap mercu tanda negeri.

Khabarnya, Yang Dipertuan Agong turut bimbang dengan kejadian yang menimpa Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin dan mengarahkan siasatan terperinci dijalankan.

Tunku Sultan Mizan Zainal Abidin dilaporkan meminta gambar-gambar keruntuhan stadium berkenaan sambil mendapatkan jawapan daripada Kerajaan Negeri mengenai kejadian itu.

Ahmad Said menafikan projek-projek yang dipantau itu adalah ‘projek segera’, termasuk bumbung stadium yang runtuh itu dibuat secara segera untuk sukan Sukma.

"JKR dan kontraktor sudah diberi masa yang secukupnya, malah ada beberapa komponen projek berkenaan yang siap lewat daripada tempoh ditetapkan.

"Benda (projek) itu berdasarkan jadual. Kalau jadual sudah ada, kena penuhilah. Jadual itu JKR yang buat, bukan saya. Kita tak ada beri tekanan pada sesiapa," katanya.

Ahmad memberi contoh, ada kepingan atap bangunan LTSM yang sudah tercabut menyebabkan berlaku kebocoran yang memerlukan tindakan dilakukan.

''Tidak tahulah sama ada bumbung tercabut dipukul ribut, tapi kita kena tengok takut ada masalah lain. Kita bimbang juga sebab semua bangunan ini baru belaka.

''Mungkin buatannya kasar sangat atau ada perkara yang tidak betul. Arkitek sepatutnya mengambil kira faktor cuaca. Terengganu berada di tepi pantai, angin monsun bertiup kuat dan ini akan membebankan struktur bangunan. Sepatutnya binaan mesti lebih kukuh," ujarnya.

Selain itu, difahamkan kompleks peranginan di Pulau Duyong - Ri-Yaz Heritage Resort & Spa juga akan dipantau bersabit kualiti kayu yang digunakan.

Beberapa bangunan utama dalam kompleks berkenaan pernah diperbaiki kerana dikatakan kayu yang digunakan berkualiti rendah.

Buatlah yang terbaik demi pengguna dan menyelamatkan wang kerajaan negeri daripada menanggung beban tidak tentu pasal.

Utamakan rakyat. Wang Kerajaan adalah wang rakyat!

No comments:

Post a Comment