Saturday, November 22, 2008

WANITA UMNO PUN PANDAI ‘MAIN BELAKANG’

Depan lain, belakang lain. Depan kata tidak mahu bertanding, belakang lain pula jadinya.

Itulah kalau sudah pandai ‘main belakang’. Akan makin panas dan berapilah Wanita UMNO yang dulunya menjadi sebuah pergerakan yang ‘cool’ dan sering menjadi rujukan sebagai ketenteraman dalam UMNO.

Selalunya Pergerakan Pemuda UMNO yang berasap-asap kerana ada sahaja pertandingan merebut Ketua Pemuda.

Ada kawan saya berkata, Tan Sri Rafidah Abdul Aziz, 56, akan tergolek sekali lagi kali ini dan jatuh ‘bagai nangka busuk’ (ambil istilah Datuk Seri Rais Yatim).

Nanti dulu, kata saya. Bertenang!

Semua kena ingat, Rafidah biar berumur sedikit tua berbanding Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, tetapi bukan calang-calang pemimpin. Sebagai orang yang pernah kalah dalam pertandingan, ‘Kak Fidah’ tidak hairan kalau terjunam pun.

Dia tidak akan rugi apa-apa. Shahrizat mungkin lebih merasa sakitnya kalau kalah.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menerajui Wanita UMNO sejak 1984 kecuali satu penggal berikutan kekalahannya kepada Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman pada pemilihan parti 1996 dan pastinya sudah tahu bagaimana peritnya apabila kalah dan dimalukan sedemikian.

Pada Ogos lalu, Rafidah mengumumkan akan menyerahkan jawatannya kepada Shahrizat melalui satu pelan peralihan yang dijadualkan pada Jun 2009.

Orang yang sudah merasai kalah dan menang tidak jadi soal lagi baginya dalam sebarang pertandingan. Namun bagi Shahrizat, pertandingan untuk jawatan no 1 Wanita UMNO ini adalah debut baginya, dia boleh menggeletar sampai ke tumit.

Bagaimana agaknya rupa Shahrizat kalau menggeletar ya?

Mengenai beliau akan ‘dilanggar’ Rafidah berkata: "Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan:

a) bahawa beliau tidak akan bertanding Jawatan Ketua walaupun dicalonkan;

b) beliau patuh kepada pelan peralihan;


c) beliau patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti; dan d) bahkan beliau telah menyatakan bahawa "kata akan dikota" dan "my word is my honour." (semuanya telah disiar dalam media)"

Jelas sekali sejak tiada jawatan, Rafidah tidak lagi boleh kawal Wanita UMNO. Shahrizat pun tidak ada jawatan tetapi kerana menjadi ‘orang penting” Perdana Menteri, dia mempunyai kelebihan.

Semalam, Kak Fidah melepaskan apa yang terbuku di hati: “Saya kecewa kerana pelan peralihan telah dipertikai dan ditolak lebih daripada tiga bulan selepas saya mengumumkannya pada 4 Ogos 2008.

“Semenjak tarikh itu tiada sesiapa dalam Exco Wanita atau di luar yang telah mempertikaikannya. Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri sama ada empat mata atau pun dalam mesyuarat Exco dan dalam sidang media telah berkali-kali menegaskan, beliau tidak akan bertanding jawatan Ketua walaupun dicalonkan,” katanya.

Oleh kerana bukan Menteri dan hanya Ahli Parlimen Kuala Kangsar , kenyataan media tulisan tangannya sendiri di atas memo Ahli Parlimen sahaja.

“Saya memulangkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011 itu,” katanya dalam kenyataan setebal 11 muka surat.

Rafidah berkata, beliau menghargai dan menghormati pencalonan yang diterimanya daripada 117 bahagian Umno.

Itulah nasib apabila pemimpin tidak lagi di kelilingi ramai orang. Yang dulu sangat rapat dan hari-hari duduk bawah dagu pun agaknya dah duduk jauh-jauh sambil memerhati .

Katanya Rafidah lagi: “Jika dalam mana-mana perbincangan ada mana-mana pihak yang tidak setuju dengan pelan peralihan maka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab wajar dibangkitkan dan dibantah. Jika mereka berbuat demikian sebelum proses pencalonan maka pasti Exco akan membatalkan sahaja pelan itu dan saya tidak ragu-ragu akan membiarkan Bahagian-Bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua,” katanya.

“My word is my honour”? tidak ada lagi dalam UMNO. Kalau ini ada tidak akan berlaku politik wang yang gila-gila. Kini ahli UMNO pergi kepada yang paling banyak bagi duit biarpun sudah berjanji sebelumnya dengan seseorang yang lain.

Sebenarnya cerita setuju atau berjanji ini sudah tidak boleh pakai lagi dalam, UMNO.

Dulu pun ada orang berjanji dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak membatalkan projek-projek yang dipersetujui bersama.

Kemudian dia langgar perjanjian dengan membatalkan projek Jambatan Bengkok dan juga laluan dua trek ke Ipoh dan banyak lagilah.

Orang kata ikan akan buruk di kepala terlebih dahulu dan kini belang ahli UMNO semakin jelas.

Nampaknya budaya tidak tunai janji dan ingkar janji semakin dibudayakan dalam UMNO dan tiada lagi setiakawan seperti UMNO sebelum ini.

Apa nak buat, apabila budaya sedemikian diterapkan terpaksalah terima Kak Fidah oiii….

Betul juga kata Rafidah “jika ada mana-mana pihak yang tidak setuju dengan pelan peralihan maka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab wajar dibangkitkan dan dibantah.”

Dan apabila tiada bantahan ia bermakna setuju.

Tiba-tiba ada yang mengatakan pencalonan kerana dipaksa dan sebagainya. Apakah pemimpin Wanita UMNO yang sesetengahnya dah nenek tidak faham atau tidak tahu bermain politik?

Tidak setuju kata tidak setuju awal-awal. Budaya UMNO sepatutnya tidak ada perbuatan ‘cakap belakang’ dan ‘main belakang’.

Benar 100 peratus jika Rafidah menyuarakan pendapatnya bahawa “Jika mereka berbuat demikian sebelum proses pencalonan maka pasti Exco akan membatalkan sahaja pelan itu dan saya tidak ragu-ragu akan membiarkan Bahagian-Bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua.”

Apa nak buat nasi bukan sahaja tidak menjadi bubur tetapi dah basi.Masing-masing kena pandailah bawa diri.

Presiden UMN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hanya boleh berharap kedua-dua pihak - Rafidah dan Shahrizat - dapat mengelak daripada bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Umno, pada pemilihan Mac depan.

Abdullah yang juga Perdana Menteri berharap, jika kedua-dua calon terbabit mahu bertanding juga, bertandinglah mengikut amalan demokrasi serta memastikan tiada perpecahan pada sayap parti itu.

Yang pening nanti ialah Presiden UMNO yang baru kerana yang lama boleh ‘cuci tangan’ selepas Mac 2009.

Seruan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta Wanita UMNO merapatkan semula perpaduan sayap kanan parti itu selepas selesai pemilihan Ketua Wanita UMNO pada Mac depan, belum pasti akan dihormati atau dipatuhi.

Takut “ya “ di depan dan Najib sebagai Presiden UMNO selepas ini pun ‘kena main belakang’ oleh Wanita UMNO.

1 comment:

  1. Ini dinamakan pertembungan kedudukan untuk kepentingan individu bukan perjuangan untuk memertabatkan agama, bangsa dan tanahair. Kerdua-duanya tidak mahu ketinggalan keretapi yang akan dipandu oleh Najib tidak berapa lama lagi. Moga di hati siapa yang menang mengharapkan ada tempat dalam gerabak yang bergerak nak tak nak kerana landasannya pun dah tak berapa stabil!

    ReplyDelete