Monday, August 3, 2009

SAIFUL – TABAH MENANTI KEADILAN












Semalam adalah hari ke 400 penantian Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagi Saiful, hari ini seperti hari-hari lain sebelum ini dan hari-hari berikutnya akan menjadi penantian penting baginya. Hari Perbicaraan.

Dari hari pertama pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, sudah lebih kurang 15 kali perbicaraan ini ditangguh. Perbicaraan Utama sepatutnya bermula pada 1 Julai 2009.

Ia ditangguh atas pelbagai sebab dan alasan. Selain dari menunggu keputusan bantahan/permohonan, Ia termasuklah dengan tertuduh membawa isu yang tidak relevan i.e sijil tidak sah konon kerana kes mata lebam 10 tahun dahulu(memakan masa lebih kurang 11 Bulan, M.Sesyen>M. Tinggi>M.Rayuan), memohon untuk dapatkan bahan bukti dan dokumen asal, memohon untuk gugurkan kes sebelum bicara, ketua peguambela 'sakit'(akhirnya tarik diri) dan pelbagai alasan lagiSemalam juga genaplah 400 hari dari tarikh beliau membuat laporan polis iaitu pada 28 Jun 2008.

Walaupun berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya.

Bacalah perasaan dan hasrat Saiful seperti dipaparkan:
PENANTIAN: HARI KE 400

http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com

Hari ini genaplah 400 hari dari tarikh saya membuat laporan polis iaitu pada 28 Jun 2008. Ia juga merupakan jumlah hari sehingga kini(akan bertambah), dimana saya terpaksa menunggu hari Perbicaraan Utama untuk kunjung tiba.

Untuk makluman, walaupun Perbicaraan Utama belum bermula, mengikut rekod, dari hari pertama pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, sudah lebih kurang 15 kali perbicaraan ini ditangguh. Perbicaraan Utama sepatutnya bermula pada 1 Julai 2009.

Ia ditangguh atas pelbagai sebab dan alasan. Selain dari menunggu keputusan bantahan/permohonan, Ia termasuklah dengan tertuduh membawa isu yang tidak relevan i.e sijil tidak sah konon kerana kes mata lebam 10 tahun dahulu(memakan masa lebih kurang 11 Bulan, M.Sesyen>M. Tinggi>M.Rayuan), memohon untuk dapatkan bahan bukti dan dokumen asal, memohon untuk gugurkan kes sebelum bicara, ketua peguambela 'sakit'(akhirnya tarik diri) dan pelbagai alasan lagi.

Setiap kali perbicaraan/permohonan pula, ia akan memakan masa beberapa hari ataupun berbulan lamanya untuk didengar dan diputuskan. Baru-baru ini, Tun Dr Mahathir telah mengulas mengenainya(undang2 diperkotak-katik). Walaupun ia ditulis secara umum, namun senarionya persis seperti apa yang sedang berlaku dalam kes saya. Boleh rujuk disini.

Harus berapa lama lagi saya perlu tunggu? Kebiasaannya, isunya adalah tertuduh atau mangsa dalam satu perbicaraan perlu menunggu hari hakim membuat keputusan(Judgement Day) yang kadang kala memakan masa yang agak lama, tapi dalam kes saya, tunggu hari perbicaraan utama pun sudah memakan masa lebih setahun.

Setiap hari ia ditangguh maka risiko(keselamatan saya dan saksi) semakin bertambah. Ini kerana penjenayah(tertuduh) masih bebas. Saya tidak mahu menuduh tertuduh mengancam keselamatan saya namun dari segi logik akal, mereka yang terdesak akan sanggup berbuat apa sahaja.

Selain itu, setelah menanti untuk sekian lama, tertuduh pula mohon supaya pertuduhan digugurkan sebelum perbicaraan(gugur kes).

Sudah banyak artikel saya telah tulis sebelum ini. Boleh rujuk di slot pautan di penghujung entri ini.

Walaubagaimanapun, saya tetap sabar dan redha dengan percaturan Yang Maha Esa. Jika dilihat dari sudut yang positif, saya bersyukur kerana sebenarnya banyak hikmah disebalik kelewatan ini. Itulah kebesaran Allah swt. Saya tidak mahu sebut hikmah-hikmah tersebut, mungkin anda boleh fikirkannya sendiri.

Kepada tunang tersayang, bapa, adik dan seluruh keluarga yang masih bersabar, tidak putus asa memberi sokongan dan dorongan, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

Walaupun banyak dugaan yang terpaksa mereka tempuhi sepanjang perjuangan ini I.e dicerca, dimaki, ada yang dibuang kerja kerana saya(kerajaan dan swasta), mereka tetap tabah. Saya doakan semoga Allah terus memberi kekuatan dan keberkatan pada anda semua.

Begitu juga kepada sahabat-sahabat saya , terutama sekali sahabat-sahabat Blogger, 'Forumer', walaupun tidak pernah bertemu, saya amat menghargai jasa-jasa anda sekalian. Saya amat terharu dengan sokongan yang telah anda semua berikan selama ini. Saya berdoa semoga berkat keikhlasan bantuan/sokongan anda semua dibalas Allah S.W.T

“Perjuangan belum selesai, hanya mereka yang cekal dan tabah akan berjaya” - Tun Dr Mahathir (saya edit sedikit). Justeru, saya akan terus cekal dan tabah! Hari ini hari yang ke 400, biarlah hari yang ke 500, 600, 1000 sekalipun saya tetap akan tunggu dan bersabar. Kebenaran tetap kebenaran, tidak ada apa yang bisa menghapuskannya melainkan Allah swt. Jika tidak dibicara Mahkamah Dunia sekalipun, di Mahkamah Akhirat(Mashyar) PASTI akan dibicarakan jua!

''Justice delayed Is Justice denied''

William E. Gladstone

Kepada Allah saya berdoa dan berserah..

Yang HAK pasti berdiri, Yang Batil Pasti Jatuh!

SAIFUL BUKHARI

PAKATAN, TIDAK BERPAKAT ATAU JENIS ‘ENAU DALAM BELUKAR’

Nama hebat, Pakatan Rakyat. Ia adalah pakatan pembangkang.

Tetapi apabila tiba untuk menentukan kerusi atau calon, komponen pakatan itu akan bercakaran terlebih dahulu.

Bukan sekali, sudah banyak kali. Kalau tidak bercakaran mengenai DUN, akan bercakaran mengenai calon.

Kali ini di Permatang Pasir. Kerusi negeri Permatang Pasir kosong apabila wakil rakyatnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, dari PAS meninggal dunia Jumaat lepas di Insitut Jantung Negara (IJN) kerana sakit jantung.

PAS semalam menyatakan pendirian tegasnya. Ia timbul gara-gara kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan kerusi DUN itu mungkin dimiliki calon PKR.

PKR yang tamak atau PAS semakin terpinggir.

Berikutan itu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Pulau Pinang, Dr. Mujahid Yusof Rawa dengan tegas mengatakan “Maaf ini kerusi kami”.

Bagi PAS, PKR perlu menghormati dasar yang dibuatnya sendiri mengenai status quo kerusi pilihan raya sebelum membuat cadangan untuk meletakkan calonnya bertanding di Permatang Pasir.

Menurutnya, Anwar pernah berkata bahawa status quo kerusi yang diperuntukkan kepada manamana parti dalam gabungan pembangkang kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.

Tetapi tiba-tiba kelmarin, Anwar berkata, terdapat permintaan daripada pemimpin dan akar umbi PKR supaya parti itu meletakkan calonnya di kerusi yang dikuasai PAS itu.

Anwar mendakwa kedudukan PKR yang semakin kuat dan mantap di Permatang Pasir.

Mujahid berkata, pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti baru-baru ini, PAS pernah menyuarakan hasrat untuk bertanding di Penanti selepas wakil rakyat PKR, Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan itu.

"Ketika itu, permintaan kami berdasarkan kepada prinsip tanggungjawab sosial kepada pengundi di situ kerana wakil rakyatnya meletak jawatan atas sebab peribadi dan Anwar kata status quo kerusi itu kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Jadi, perkara yang sama diguna pakai di Permatang Pasir," katanya sambil menyatakan terkejutnya dengan permintaan akar umbi PKR untuk meletakkan calon parti itu bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan tarikh pencalonan dan pilihan raya kecil kawasan itu 10 Ogos ini.

Sunday, August 2, 2009

SPRM TAHAN ADUN TERENGGANU?

(Terkini) Ahli Dewan Undangan Terengganu dikatakan dicekup oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Terengganu?

Gara-gara berita di tv mengenai SPRM menangkap seorang Adun Barisan Nasional (BN) Terengganu, sms mencurah-curah masuk seolah-olah saya ini pusat penerangan.

Apapun, sehingga ini banyak pihak sedang meramalkan siapa ADUN berkenaan.

Difahamkan ADUN berkenaan ditahan di Hotel Awana, Kijal dan maklumat lanjut sedang ditunggu.

Sehingga ini, beberapa pemimpin UMNO Terengganu ditanya mengenai siapa dan kenapa SPRM menahan ADUN tersebut, enggan mengulas atau hanya berkata “Tunggulah”.

Saya difahamkan, ADUN berkenaan dari Kemasik. Betulkah?

Menurut beberapa sms, ADUN berkenaan dicekup kerana memohon 10 peratus daripada projek bernilai RM1.5 juta.

Betul atau tidak ADUN berkenaan melakukannya, terpulangkah kepada BPR.

Bagaimana pula dengan laporan-laporan mengenai kemungkin ada perbuatan salah laku beberapa projek mega di Terengganu.

SPRM bila lagi mahu bertindak? Atau ini hanya permulaan.

JANGAN PIJAK INSTITUSI YANG DIPERTUAN AGONG

(Sembang Ahad)

Pakatan pembangkang kononnya meletakkan rakyat sebagai yang diutamakan. “Go to hell” dengan UMNO.

Pedulikan Barisan Nasional (BN). 1Malaysia hanya gimik.

Menggerakan 100,000 rakyat supaya turut membantah lebih penting. Rakyat harus diyakinkan bahawa ISA itu kejam. Destinasinya Istana Negara.

Persoalannya, bukankah Istana Negara itu lambang institusi Yang DiPertuan Agong? Siapa memilih Yang DiPertuan Agong? Bukankah Sultan-Sultan (Melayu)?

Siapa mengatakan ISA kejam?. Bukan saya kata tetapi Pembangkang dan GMI. Kenyataan Pengerusi Sekretariat Himpunan MANSUH,Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI, Syed Ibrahim Syed Noh pada 22 Jun 2009 lepas jelas menganggap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai zalim.

Kerana itu diadakan seruan dan bantahan terhadap ISA semalam. Rakyat tidak bodoh. Polis anggarkan 5,000 orang sahaja yang menurut seruan gila itu.

Cara baik dan bersopan boleh dilakukan. Memohon perkenan Yang DiPertuan Agong tidak penting. Persetankan!

Bagi mereka, “apa Yang DiPertuan Agong boleh buat” kalau melalui cara aman dan bersopan.
Mereka merasakan Yang DiPertuan Agong perlu ‘diajar’ supaya menerima cara kekerasan, tidak bersopan dan kurang ajar.

Bagi mereka, mengamalkan cara berhemah dan bersopan dengan memohon perkenan menghadap dan menyerahkan memorandum atau cadangan meminda atau menghapuskan ISA sudah tidak ada ‘glamour’ lagi.

Cara membantah dengan berhimpun secara haram lebih mulia dan berkesan.

Kata mereka, baik dibuat perhimpunan haram terlebih dahulu. Berucap membakar semangat rakyat menentang kerajaan, kemudian berarak ke Istana Negara.

Cara ini lebih baik. Rakyat boleh ditunjukkan dengan semangat bantahan. Dunia boleh merakamkan peristiwa itu kononnya 10,000 rakyat daripada 20 juta rakyat turun padang menentang ISA.

Muka-muka mereka akan terpampang di kaca televisyen, laman web, blogspot atau juga facebook bahawa merekalah juara – walaupun sebenarnya juara tidak sopan dan beradab menyuarakan bantahan kepada kerajaan melalui istitusi Yang DiPertuan Agong.

Persoalannya, apakah Yang DiPertuan Agong wajar diperlakukan demikian?

Apakah Yang DiPertuan Agong boleh ‘diredah’ begitu sahaja?

Siapa mengajar cara kurang ajar ini?

Siapa mengajar orang Melayu dengan budaya perhimpunan haram dan kemudian ke istana?Anwar, Hadi atau Kit Siang?

Siapa dalang-dalang itu. Siasat GMI, siasat Siapa Suaram? Suaram ialah pertubuhan NGO dan Pengarah Eksekutif Suaram ialah Yap Swee Seng. Yang lain ialah Dr. Kua Kia Soong (bekas Ahli Parliamen); Fan Yew Teng (bekas Ahli Parlimen); Sivarasa Rasiah ( Ahli Parlimen); Julian Jayaseelan; Charles Hector; Lee Siew Hwa; Irene Fernandez (Tenaganita dan Caram Asia); Bruno Gentil Pereira; Dr Syed Husin Ali (Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat) ; Tian Chua (Ahli Parlimen); S. Arutchelvan (Setiausaha Parti Sosialis Malaysia); Elizabeth Wong (ADUN); Cynthia Gabriel (aktivis); Premesh Chandran (Malaysiakini) ; Irene Xavier (Sahabat Wanita) dan Dr. Nasir Hashim (Presiden Parti Sosialis Malaysia dan ADUN).

Bezakan dengan perhimpunan orang Melayu menentang penjajahan. Mereka direstui istana dan kemudian baru berarak ke istana.

Apakah GMI ini direstui istana. Apakah GMI yang didalangi pembangkang dengan kehadiran pemimpinnya – Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang – direstui istana?

Hari ini Anwar kata Memorandum 10 Deklarasi ISA akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.

Beliau berkata, halangan yang dilakukan polis di beberapa lokasi di sekitar ibu negara menyebabkan GMI dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) gagal menyerahkan memorandum itu ke Istana Negara.

Pelik dan aneh, selepas membuat kerja gila yang mencabar kerajaan dan Yang DiPertuan Agong, baru menyatakan akan menghantarnya dengan cara lebih sopan.

Memang muka tidak malu. Inikah sikap dan perangai pemimpin pembangkang? Hadi tidak boleh nasihatkah mereka ini? Carilah cara yang lebih Islamik!

Institusi raja jangan dipermainkan sewenang-wenangnya. Kalaupun mahu menetang kerjaan, jangan babitkan istana.

Jangan cuba bermain api dengan memijak-mijak institusi ini kerana kelak, jika berkuasa, institusi ini juga harus dijunjung.

Ingatlah, ia perlindung agama Islam, orang Melayu dan kerajaan yang ada. Tanpa restu dan sokongannya, semuanya akan luput dan rebah.

Lagipun bukan semua rakyat sukakan cara haram ini.

Pengusaha pengangkutan awam menyelar tindakan kumpulan yang mengadakan perhimpunan haram itu kerana menyusahkan orang ramai.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli), Datuk Aslah Abdullah, berkata kemerosotan jumlah penumpang sejak kelmarin dan semalam berbanding hari biasa menyebabkan ramai pengusaha teksi mengeluh kerugian.

“Kawasan paling teruk terjejas ialah yang terletak berdekatan perhimpunan haram iaitu di Jalan Ipoh dan sekitar Masjid India. Ini memberikan kesan buruk kepada pengusaha bas dan teksi, lebih-lebih lagi kawasan berkenaan sebelum ini diakui lubuk rezeki,” katanya semalam.

Persatuan pengusaha bas juga mengakui tindakan orang ramai menjauhkan diri daripada kawasan tengah bandar bagi mengelak terperangkap dengan kejadian tidak diingini akibat perhimpunan haram menjadi penyebab bilangan penumpang berkurangan.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Ashfar Ali, berkata kebanyakan pengguna bas mengelak daripada menaiki bas ke kawasan bandar.

Sementara itu, kira-kira 5,000 pengguna sistem transit aliran ringan (LRT) terkandas selepas dua stesen utama Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya di tengah-tengah ibu negara, ditutup hampir empat jam bermula jam 1.55 petang semalam.

Kedua-dua stesen itu ditutup atas faktor keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini di stesen berkenaan akibat demonstrasi kumpulan yang membantah dan menyokong ISA.

Pengurus Besar Komunikasi RapidKL, Ebi Azly Abdullah berkata, kedua-dua stesen itu dibuka semula jam 6.20 petang.

Peniaga dan premis perniagaan juga merasai kesannya.

Peniaga di sekitar Jalan Masjid India marah dengan tindakan pihak yang menganjur perhimpunan haram di sekitar ibu negara kerana tindakan itu menjejaskan perniagaan mereka.

Yang nyata, kerajaan tidak akan tunduk dengan desakan melalui demonstrasi jalanan kerana ia dilakukan hanya untuk tujuan politik dan kepentingan peribadi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini dapat dilihat melalui laungan yang dibuat ketika demonstrasi di ibu negara hari ini yang langsung tidak ada kaitan dengan ISA itu.

Langkah awal polis mengadakan sekatan di setiap pintu masuk ke ibu negara berjaya menghalang perhimpunan membantah itu.

Tahniah kepada polis kerana tindakannya 'membendung' kemasukan penyokong menggagalkan cubaan kumpulan tersebut untuk berkumpul dan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum.

Walaupun 100,000 penyokong disasarkan menyertai perhimpunan haram itu, hanya lebih 5,000 orang menghadirinya, kata polis.