Sunday, June 25, 2017

CAMPUR TANGAN ASING 1MDB - HADI PERLU IKHLAS, TELUS BUKAN BERPIHAK...


Kenapa Hadi tidak menggunakan ayat-ayat suci al-Quran mendesak kerajaan mendedahkan kepada umum kewangan 1MBD dan Laporan Ketua Audit Negara yang sehingga kini diklasifikasikan di bawah OSA?

Menggunakan putar belit kononnya ada ancaman luar untuk menakut-nakutkan rakyat adalah perbuatan biasa ahli politik yang ‘korup idea’ bagi mendesak rakyat menyokong mereka atau parti mereka.

Di Malaysia, cara ini sudah banyak kali digunakan sebelum pilihan raya umum dan ternyata taktik ini menjadi.

Tidak kiralah sama ada pada Pilihan Raya Umum 1964 mengguakan isu Konfrontasi hingga ke PRU13, menggunakan isu ancaman terhadap Sabah, ia jelas membantu Perikatan dan Barisan Nasional (BN) untuk menang pilihan raya.

Ancaman luar ini  bukan faktor terpenting tetapi sangat membantu kerajaan untuk kembali memerintah dan menjamin parti pemerintah mendapat majoriti di Dewan Rakyat.

Kini sekali lagi isu campur tangan asing dan kononnya kuasa asing sedang berkomplot dengan pihak pembangkang dalam negara ini untuk menumbangkan kerajaan melalui cara yang tidak demokratik.

Penulis yakin rakyat negara ini menolak dan tidak mengalu-alukan campur tangan asing menumbangkan kerajaan. Usaha murni ialah melalui undi dalam pilihan raya.

Mungkin kalau ada pun di kalangan petualng negara seperti daripada kumpulan pelampau agama, penderhaka dan pihak yang rakus mahu merampas kekayaan dan harta rakyat negara ini.

Kerana itu apabila ada pihak mendakwa kononnya wujud campur tangan asing dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ia adalah tuduhan jahat malah tiada pun bukti jelas ada pihak di negara ini yang menyokong atau bersekongkol dengan pihak luar.


Persoalannya, apakah  tindakan yang dilakukan sama ada di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Luxembourg atau juga negara-negara negara lain seantero dunia dipengaruhi oleh seseorang atau sekumpulan rakyat negara ini?

Yang nyata skandal 1MDB ialah skandal pengubahan wang haram terbesar dalam sejarah apabila undang-undang pengubahan wang haram AS dan beberapa negara lain dan undang-undang jenayah yang lain telah dilanggari.

Aset adalah subjek yang  terlibat atau dikesan kepada transaksi haram berkenaan.

Pendedahan yang dibuat oleh pihak-pihak luar mengenai 1MDB adalah yang berkaitan dengan apa yangsedang  berlaku di negara mereka.

Mereka tidakpun datang ke negara ini menganggu urusan Bank Negara Malaysia, bank perniagaan atau mana-mana institusi yang dikaitkan dengan skandal ini, termasuk 1MDB sendiri.

1. Amerika Syarikat:

Jelas dan nyata saman sivil Jabatan Keadilan (DoJ) AS  mempunyai matlamat mendapatkan semula aset, Janjinya untuk dikembalikannya demi faedah rakyat negara yang terjejas.

Ia juga sebahagian daripada inisiatif AS untuk melindungi pasaran dan sistem kewangan mereka daripada penipu wang.

Dengan mengatakan usaha DoJ itu sebagai cubaan AS untuk mencampuri urusan dalam negara Malaysia, apakah langkah kita sejauh ini untuk membawa balik semua harta berkenaan?

Bayangkan  ‘kecurian, rompakan dan pengubahan wang haram’ dengan jumlah keseluruhan AS$7 bilion itu hanya di AS sahaja.

2. Switzerland:

Switzeland pula yang sudah kecewa dengan permintaannya mendapatkan kerjasama Malaysia, terpaksa bertindak bersendirian. Di negara itu tiga buah bank sedang  disiasat kerana disyaki melakukan rasuah dan mengubah wang haram bersangkutan 1MDB,

Kumpulan perbankan terbesar di Switzerland, UBS Group AG, telah diberi amaran atas penglibatannya.


3. Singapura:

Apa yang dilakukan di Switzerland itu mendapat perhatian Pihak berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) apabila dua buah bank dikenakan hukuman kerana terlibat dalam urus niaga haram berkaitan 1MDB.
Mereka didenda di bawah peraturan berkaitan dengan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Mencegah Pembiayaan Keganasan.
Dua bank itu ialah Credit Suisse dari Switzerland dan United Overseas Bank (UOB) yang berpangkalan di Singapura sendiri. Credit Suisse didenda S$700,000 (kira-kira RM2.2 juta) manakala UOB didenda S$900,000 (RM2.9 juta).
4. Luxembourg:
Dan terbaharu,  Suruhanjaya Penyeliaan Sektor Kewangan Luxembourg (CSSF) menghukum bank swasta Edmond de Rothschild dengan denda sebanyak EUR8.985 juta (RM43 juta).
Ia didenda kerana kelalaian peraturan dalam hubungan dengan pengubahan wang haram membabitkan bekas pengarah urusan International Petroleum Investment Company (IPIC) Khadem Abdulla Al Qubaisi, tokoh penting yang dinamakan oleh DoJ sebagai terlibat dalam pengubahan dana 1MDB.
Semua ini belum lagi di nyatakan siasatan yang sedang dilakukan seperti di New Zealand, Hong Kong dan beberapa negara Eropah lain.
Tidakkah semua ini membuktikan  negara berkenaan mahu menegakkan hak mereka untuk kawalselia sistem kewangan yang bersih?
Apakah usaha mereka ini boleh dianggap sebagai campur tangan asing?

Tidak pelik jika pemimpin kerajaan, Barisan Nasional (BN) serta UMNO menggunakan ancaman luar untuk mengumpul sokongan rakyat terhadapnya.

Namun apabila Presiden PAS pada hari terakhir Ramadan 1436 kali ini menyatakan wujudnya campur tangan asing dalam kes 1MDB, strategi politik apa sedang dirangka oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan UMNO dalam  menjamin kemenangan BN/UMNO dalam Pilihan raya nanti?

Sungguh aneh pemikiran dan tindakan Hadi ini kerana melihat ancaman luar lebih penting daripada cara kerajaan menggendalikan kes ini, khususnya dalam isu kerugian, kehilangan wang 1MDB, salah pembayaran dan juga pengubahan wang haram,

Sewajarnya Hadi tidak sahaja menggunakan ayat al-Quran untuk memperingati mengenai bahaya membantu kuasa asing mencampuri urusan dalam negara, tetapi juga mengingatkan pemimpin negara mengenai ‘perbuatan salah mereka’ kerana melindungi mereka yang ‘menyeleweng’ dalam 1MDB.

Hadi dalam kenyataannya semalam langsung tidak persoalkan apakah yang sudah dilakukan oleh Pejabat Peguam Negara, Bank negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dalam menyelesaikan kemelut 1MDB ini?

Hadi tidak wajar menakut-nakutkan rakyat dengan kesan ancaman luar menggunakan ayat suci al-Quran tetapi dengan kegagalan kerajaan BN/UMNO menangani isu ini, tiada pula ayat-ayat suci digunakan untuk mengingatkan mereka mengenai bahaya penyelewengan, mencuri harta rakyat selain  menyembunyikan fakta sebenar dalam isu ini.

Kenapa Hadi tidak menggunakan ayat-ayat suci al-Quran supaya kerajaan mendedahkan kepada umum kedudukan sebenar kewangan 1MBD dan Laporan Ketua Audit Negara yang sehingga kini diklasifikasikan di bawah OSA yang dikatakan mengandungi ‘banyak rahsia’ itu?

Apakah ayat al-Quran boleh digunakan secara terpilih dan mengikut selera seseorang dalam memperkatakan mengenai sesuatu salah laku dan penyelwengan? Apakah ia mengikut kepentingan tertentu?

Apa masalah Hadi dengan isu laporan berkenaan sehingga hilang semua ayat al-Quran di bibir dan hatinya?


Hadi jangan tidak adil dalam menyatakan pendapatnya. Rakyat adalah keutamaan. Rakyat juga tahu dan dapat  membandingkan tuduhan DoJ dengan hasil juruaudit yang setengahnya sudah didedahkan oleh pihak tertentu mengenai dana yang hilang, dana yang dihilangkan dan segala penyelewengan di dalamnya.

Ikhlaslah Hadi dalam memberikan pendapat dalam isu 1MDB ini jika mahu ia diselesaikan oleh pihak dalaman tanpa melihat hanya ancaman asing membahayakan negara.

Bagaimana dengan maklumat yang diosorok dan semakin mereputnya maklumat dari dalam?

Hadi jelas banyak berteori dalam ulasannya dan kenyataannya bahawa ada pihak cuba mendapatkan keuntungan politik sebagai  “tidak beriman dan budiman” adalah suatu hukuman rambang, tersasar dan ‘pre-emptive’.

Walaupun Hadi menggunakan landasan Islam untuk memperkukuhkan hujahnya, rakyat tahu apa tujuan dan matlamat Hadi.

Setelah banyak perkembangan berlaku, sama ada dalam konteks kepimpinan Hadi dalam PAS dan perkembangan parti itu sendiri, rakyat bukan sekadar menilai Hadi tetapi juga hujahnya untuk kepentingan siapa.

Atau Hadi membuat kenyataan ini semalam untuk ‘membersihkan persoalan’ yang dikemukakan oleh Timbalan Presidennya sendiri - Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man – kelmarin (22 Jun) dengan  mengemukakan pertanyaan apakah  satu kewajaran untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk kekal berkuasa di sebalik skandal 1MDB yang memalukan Malaysia di peta dunia?

Tuan Ibrahim menyebut, jika kerajaan boleh tubuhkan dan ikhlas terhadap Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat skandal forex, ia juga ia harus mendedahkan laporan umum juruaudit mengenai 1MDB yang telah diklasifikasikan di bawah OSA.


Kerana itu, jika Hadi ikhlas mahu isu 1MDB ini diselesaikan, beliau juga sepatutnya turut menekan kerajaan untuk membawa pulang ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho (Jho Low) iaitu watak utama dalam kemelut 1MDB iaitu dari sejak dana itu ditubuhkan hinggalah isu pengubahan wang haram seperti yang didedah oleh banyak negara.

Jangan hanya melihat ancaman luar semata-mata tetapi ancaman dari dalam negeri sendiri jangan Hadi sisihkan.

Orang beragama juga berperanan untuk mengingatkan pemimpin negara untuk telus dan berintegriti.

Sekali lagi pada hari yang mulia, 1 Shawal 1436 ini, penulis memohon Hadi supaya ikhlas dalam menyampaikan hujahnya dalam isu berkaitan dan kemelut 1MDB ini.


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI...

Friday, June 23, 2017

RCI TINDAKAN TERDESAK, SEKAT KEMARAAN DR MAHATHIR, PPBM?


Bawalah apa sebab sekali pun ditubuhkan, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kerugian tukaran asing (forex) oleh Bank Negara Malaysia lebih dua dekad lalu, ia dilihat oleh rakyat dalam konteks yang negatif.

Balas dendam?

Atau samakan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan kerugian forex selain memperlahan dan  meredakan serangan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri?

Mungkin juga hanya pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang  beria-ia mahu siasatan terhadap kerugian itu.

Bagi mereka setidak-tidaknya ia boleh menjadi ‘senjata penting’ untuk kerajaan dan Perdana Menteri melencongkan sedikit fokus rakyat terhadap isu 1MDB serta saman sivil terbaru Jabatan Kehakiman (Doj) Amerika Syarikat yang hangat diperkatakan.

Dalam kedudukan di mana Datuk Seri Najib Razak sedang bergelut dengan banyak isu, tekanan kepada bekas perdana menteri 22 tahun, dilihat boleh neredakan sedikit ‘kehangatan yang melanda BN/UMNO’.

Namun, apakah Dr Mahathir bimbang dengannya dan rakyat mengalu-alukan usaha itu berbanding isu tekanan akibat kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barangan keperluan rakyat diakibatkan oleh GST?

Bagaimana sekiranya RCI sukar mendapatkan fakta dan maklumat selain gagal menyiapkan laporan lengkap sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14?

Pastinya ia akan menjadi satu igauan buruk kepada pemimpin BN/UMNO  apabila rakyat pula mempersoalkan kenapa gagal mengheret Dr Mahathir untuk diadili?

Atau rakyat enggan mengambil penduli dan bercakap mengenai RCI ini yang akan menyebabkan ‘perang psikologi BN?UMNO’ kecundang dan kemudian tidak berpihak kepadanya.

Persoalannya juga belum tentu apa yang sedang dicari atau dikumpulkan oleh RCI ini mendapat laluan dan kerjasama mudah daripada pihak di luar negara.

Jika pun dibawa ke pengadilan, apakah mudah untuk dibuat keputusan dan berapa lama pula kes ini akan berjalan?

Bolehkah RCI dianggap sebagai ‘kemenangan moral bagi BN/UMNO?’

Menariknya PAS menyifatkan tujuan RCI hanya bersifat politik semata-mata kerana UMNO melihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)  sebagai ancaman kepada UMNO di PRU14.

Melihat kepada maranya PPBM dan kepimpinan Dr Mahathir yang semakin diterima Pakatan Harapan (PH), ternyata sekali UMNO dan BN sendiri gusar dengan keddudukan itu.


Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam membawa suatu persoalan menarik kerana menurutnya UMNO dan Perdana Menteri, sangat terdesak untuk ‘melemahkan lawannya’ dengan kadar segera.

Beliau bertanya "Apakah ini untuk menyamakan bahawa di zaman Mahathir juga ada skandal sebesar 1MDB?”

jika motif sebenarnya adalah bertujuan menunjukkan adanya skandal yang berkadaran dengan 1MDB semasa tempoh pentadbiran bekas perdana menteri itu bagaimana RCI ini boleh membawa manfaat kepada negara dan rakyat?

Tambahnya, jika kerajaan ikhlas terhadap RCI ini, ia juga harus mendedahkan laporan umum juruaudit mengenai 1MDB yang telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Rasanya dibandingkan antara RCI dengan laporan PAC yang diklasifikasikan di bawah OSA itu, rakyat lebih berminat dan memilih untuk mengetahui laporan umum juruaudit mengenai 1MDB itu.


Apapun, pilihan di tangan Najib, BN dan UMNO sebaliknya di pihak Dr Mahathir, beliau  sentiasa sedia menghadirkan diri ke mana-mana tribunal yang ditubuhkan dibawah undang-undang untuk menjawab sebarang dakwaan.

Rakyat sedang memerhati apakah RCI skandal forex suatu  tindakan politik terpilih dan mengapa pula dakwaan wujudnya penyelewengan dalam 1MDB tidak disasat secara menyeluruh dan terabai begitu sahaja?

Kenapa pula hanya Dr Mahathir mahu diseret sedangkan seluruh anggota Kabinet dan pentadbiran di bawah era beliau wajar sama disiasat.

Apakah ini sebenarnya ciri-ciri tindakan politik terpilih oleh pentadbiran Najib?

Juga, jika Kabinet boleh membuat keputusan menubuhkan RCI ini kenapa sehingga kini pasukan petugas meneliti skandal 1MDB tidak mendapat tempat di hati Perdana Menteri dan menanda menterinya di Putrajaya?

Wednesday, June 21, 2017

APA UNTUNGNYA TENTUKAN PM, KABINET BAYANGAN PH SEKARANG?

 

Tidak bolehkah parti-parti politik di bawah Pakatan Harapan (PH) mengawal ‘mulut tempayan’, menghentikan membuat kenyataan, laporan dan latar belakang penulisan negatif mengenai pakatan itu di kalangan pemimpin mereka?

Apakah mereka cuba mencari publisiti murahan? Atau memang mulut mereka perlu disumbat agar tidak membuat kenyataan yang memeningkan kepala rakyat, khususnya penyokong PH sendiri?

Baru-baru ini kecoh kenyataan oleh pemimpin PKR mengenai siapa patut menjadi Perdana Menteri, termasuklah menjaja Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘Perdana Menteri ke 7’.

Kemudian akibat daripada ‘mulut tempayan’ juga, timbul isu siapa akan memimpin PH sama ada jawatan Pengerusi, Presiden atau juga Ketua Umum.

Malah ada juga 'mulut tempayan' yang mengatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sewajarnya mengetuai PH yang menyebabkan timbul perbahasan yang kurang enak.

Kenyataan oleh pemimpin DAP, khususnya oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pada 14 Jun lalu yang menolak kemungkinan dua jawatan utama Pakatan Harapan diisi tokoh PPBM juga bukan menghasilkan suasana yang harmoni dalam kalangan PH.


Guan Eng menyatakan perkara itu ditanya mengenai kemungkinan kedua-dua jawatan berkenaan - yang belum diketahui kedudukannya - diisi oleh Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dan presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengapa menyatakan tidak setuju di luar mesyuarat mengenai  jawatan pengerusi dan presiden PH sedangkan ia boleh ditimbulkan dalam mesyuarat. Malah beliau sering diundang untuk hadir dalam mesyuarat PH.

Rakyat melihat dengan meluat gelagat beberapa pemimpin pembangkang yang seolah-oleh bercakaran.

Tidak cukupkah dengan  membiarkan pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO membuat berbagai kenyataan spekulasi  akibat kebimbangan mereka terhadap perkembangan PH yang mendapat perhatian rakyat berbanding BN?

Perlukah pemimpin PH ikut terpengaruh dengan tarian dan mainan BN  yang kemudiannya menyebabkan terjadinya perbincangan hangat di media sosial yang kelak merugi PH sendiri?

Kenapa mesti apa-apa keputusan mesyuarat PH boleh begitu cepat pecah di luar?

Kenapa tidak amalkan budaya  ‘biar pecah di perut, jangan pecah di mulut’ di kalangan pemimpin tertentu dalam PH. 

Belajarlah daripada BN umpamanya dalam  isu RUU355, setiap komponen tidak membuat sebarang kenyataan bercanggah dan menunjukkan solidariti mereka selepas bermesyuarat.
Yang baik mengenai pentadbiran BN perlu dipuji dan dijadikan panduan.

Kegilaan mendapatkan publisiti murahan ini akan merugikan PH yang akhirnya menyulitkan usaha menewaskan BN dan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kelmarin ‘kegilaan mendapatkan publisiti’ terus belaku apabila Datuk Zaid Ibrahim daripada DAP yang sudah berapa banyak parti disertainya sebelum ini membuat spekulasi dan ramalan yang langsung tidak menguntungkan PH dengan kenyataannya berkaitan Perdana Menteri dan Kabinet Bayangan PH.


Memang penulis hormati keupayaan Zaid. Sesiapa pun boleh menyatakan pandangan peribadi tetapi biarlah membawa kepada kebaikan PH, bukan menimbulkan spekulasi  bersifat tidak relevan.

Jangan kerana rapat dengan pemimpin tertinggi parti tertentu Zaid merasakan dia berhak membuat berbagai spekulasi yang melibatkan kepentingan parti lain dalam PH.

Apa hak beliau untuk menyatakan siapa perlu diangkat daripada parti PKR, AMANAH, DAP dan juga PPBM?

Beliau ahli DAP dan tidak wajar cuba menunjuk ajar pemimpin parti lain mengenai siapa yang wakar dilantik, walaupun ia hanya Kabinet Bayangan.

Memanglah pemimpin tertinggi PH tidak ambil pusing mengenai kenyataan Zaid tetapi rakyat di bawah akan jadi keliru. Ramai melihat ada sahaja ‘perkara yang tidak kena’ dalam PH.

Persoalannya siapa Zaifd untuk umum Kabinet Bayangan PH? Difahamkan, beliau tidak terlibat langsung dalam mesyuarat penting PH tetapi  sebaliknya beria-ia mengumumkan siapa layak itu dan ini.

Apa bukti dan alasan Zaid apabila mengatakan pengumumkan senarai Kabinet Bayangan PH akan meredakan perbezaan parti gabungan terhadap jumlah kerusi yang perlu ditandingi.

Apa lesen diberikan oleh PH untuk Zaid menyebut pemimpin PH layak pegang itu dan ini?

Benarkah perbincangan isu pelantikan Kabinet lebih awal akan menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka bersedia membentuk kerajaan?

Tanpa menamakan 'siapa memegang apa' bermakna PH tidak bersedia membentuk kerajaan?


Akibatnya? Menteri UMNO Datuk Seri Rahman Dahlan semalam membidas Zaid seperti “terdesak” kerana mendesak Dr Mahathir sekali lagi memegang tampuk kekuasaan dan memimpin negara.

Ahli majlis tertinggi UMNO itu yang disediakan peluru oleh Zaid berjaya menembak bukan sahaja Zaid tetapi menembak PH dengan mengatakan "cadangan meletakkan seorang tua ke kedudukan tinggi itu seolah mengatakan PH tiada pemimpin lain untuk memimpin negara".

Malah, alasan Zaid yang mengatakan pengumuman awal itu akan mengelakkan pertikaian baru daripada meletus di kalangan semua pihak, yang hanya akan melemahkan pakatan rapuh berkenaan,  juga tidak tepat.

PH pun belum bersedia berdepan pilihan raya dengan satu logo dan satu manifesto tetapi sudah mempunyai Kabinet Bayangan?

Memang tidak salah mengucapkan terima kasih kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri PH tetapi jangan mengheret kedudukan itu sebagai lesen untuk beliau memandai-mandai  mengumumkan jawatan penting dalam PH.

Sebenarnya sudah cukup perbahasan mengenai cadangan supaya Dr Mahathir sebagai calon layak untuk menduduki jawatan perdana menteri.

Malah kenyataannya bahawa Perdana Menteri yang dilantik perlu memastikan kesemua barisan kabinetnya melakukan kerja dengan betul dan jujur serta memecat mereka jika gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing, bagaikan mahu mengajar siapa juga bakal Perdana Menteri yang akan dilantik nanti.

Malah kenyataannya bahawa jawatan timbalan perdana menteri perlu dibiarkan kosong sebagai isyarat kuat kepada Anwar yang kini dalam penjara bahawa jawatan tersebut disimpan untuk beliau,  juga boleh mendatangkan banyak telahan kelak.

Menamakan terus seperti Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Menteri Pendidikan dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Minyak manakala Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali memegang jawatan Menteri Kewangan juga cadangan yang tidak dibuktikan dengan kesesuaian dan bukan hasil daripada persetujuan rundingan.


Semua itu akan menyulitkan perundingan kemudian hari. Ia juga berkemungkinan akan membawa kepada pertelingkahan sesama parti dalam PH.

Kenapa Zaid tidak sabar dan tidak boleh tunggu keputusan dibuat oleh Majlis Presiden PH atau mesyuarat khusus mengenainya sebelum pilihan raya?.

Zaid berpendapat sementara menunggu pemimpin pembangkang untuk bersetuju siapa yang patut menjadi perdana menteri, mengapa tidak selami senarai beliau mengenai anggota kabinet dalam kerajaan baru.

Soalannya apakah perkara ini lebih penting daripada memantapkan dulu gabungan dan gagasan PH untuk berdepan pilihan raya?

Dalam beliau mengemukakan siapa yang wajar dilantik,kenapa pula beberapa nama tercicir umpamanya di mana kedududkan Guan Eng dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir?

Apa pula peranan  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kerajaan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti?

Apakah mereka tidak penting dalam barisan Kabinet Bayangan Zaid?

Atau mereka memang tidak penting dalam kepimpinan PH ketika ini dan akan datang?

Kerana itu antara perkara penting dalam menjaga keharmonian dalam PH ialah seperti disebut oleh Muhyiddin pada 8 Jun lalu meminta supaya 'Jangan bocorkan rahsia kita'.

Menurut beliau, banyak lebih baik tidak dibincangkan secara terbuka. Kerana ia akan menimbulkan pelbagai salah faham atau kekeliruan.

"Ia akan memberi tanggapan bahawa pembangkang ini tidak bersatu. Mereka (rakyat) nak sokong kita tapi ada tanggapan yang kita ini tidak bersatu. Lebih baik kita duduk dan bincang, jangan bocorkan rahsia kita," katanya.

Malah, sewajarnya cadangan  Lim Kit Siang kelmarin yang mahukan pemimpin pembangkang berhenti bercakap dengan media selama sebulan berkenaan rundingan dan mesyuarat di kalangan anggota Pakatan Harapan, dipatuhi.
Ia suatu moratorium bagi mengelakkan kenyataan negatif dan pemberian maklumat yang boleh dieksploitasi parti musuh.

“Terlalu banyak yang melahirkan rasa tidak yakin dan kecewa masyarakat tentang perubahan politik dan pilihan raya negara," kata Kit Siang.
Sebaik-baiknya Kit Siang juga menegur Zaid jangan membuat kenyataan yang boleh menimbulkan berbagai spekulasi kerana yang penting bagi PH ialah bertindak balas secara positif terhadap rintihan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau kawasan.

Tugas ini akan memudahkan kepimpinan PH merancang untuk mengubah dan memulihkan semula dasar dan arahan pembangunan negara.
Peluang yang terdedah itu jika digunakan sepenuhnya akan meyakinkan rakyat bahawa PHlah sebenarnya yang boleh menggantikan BN di atas faktor dan dasar BN yang lemah dan menyusahkan rakyat ramai ketika ini.

Saturday, June 17, 2017

SAMAN TERBAHARU DoJ – BERDIAM DIRIKAH PUTRAJAYA, BN DAN UMNO?


Rupa-rupanya Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) amat mudah dipengaruhi dan diperkotak-katikkan oleh pembangkang Malaysia untuk mempengaruhi mereka bagi melaksanakan saman sivil pelucuthakan terbaru bertujuan merampas aset-aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Oleh kerana terlalu tenat dan terdesak, pembangkang di Malaysia sanggup melakukan apa sahaja termasuk taktik keji dan kotor bagi mempengaruhi DoJ melakukan saman sivil yang kesannya kelak akan mlimpah kepada peemimpin dan kerajaan Malaysia.

Tidak diketahui sebabnya kenapa DoJ begitu mudah percaya dan ‘bengap’ hingga boleh terpengaruh dengan pembangkang di Malaysia sedangkan butiran saman itu semuanya sesuatu yang ‘tidak benar, bohong, diada-adakan dan tiada satu pun yang benar mengenainya’.

Dengan bantuan DoJ, pembangkang Malaysia dikatakan melakukan apa sahaja untuk  mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap pemimpin negara dalam usaha mendapatkan sokongan politik daripada rakyat, apalagi apabila sekain hampirnya kepada pilihan raya umum.

Segala-galanya salah pembangkang. Merekalah yang menyebabkan pendedahan terbaru oleh DoJ dan menjadikan dana 1MDB mendapat perhatian dunia sekali lagi.

Langkah DOJ pada Khamis (kelmarin) mendedahkan bahawa sebanyak RM17 bilion telah diseleweng oleh 'pegawai tertinggi negara' untuk membiayai kehidupan serba mewah, adalah perbuatan jahat pembangkang.

Dalam saman sivil terbaru DoJ yang mengandungi lebih 200 muka surat yang difailkan di sebuah mahkamah di California pada Khamis, ia mahu menyita pelbagai aset dan hartanah mewah, dalam usaha mendapatkan kembali AS$540 juta wang yang dikaitkan dengan dana dicuri daripada 1MDB.

Ia termasuk sebuah lukisan mewah dan hasil hak cipta dua filem komedi Hollywood, “Dumb and Dumber To” dan “Daddy’s Home” yang diterbitkan sebuah syarikat diketuai anak tiri perdana menteri, Riza Aziz.

DoJ dalam siasatannya turut mendapati kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) berlaku dalam 1MDB melibatkan pegawai atasan dan sekutu mereka.

Saman terbaru itu turut mendedahkan beberapa perkara termasuk bagaimana wang yang amat besar digunakan untuk membeli karya seni, hartanah, melabur dalam filem Hollywood, membeli kapal layar dan rantai berserta loket berlian bernilai puluhan juta dolar.

Apakah DoJ begitu mudah terpengaruh dengan ‘hasutan pembangkang’?

Realitinya, walau sebanyak dan sebesar mana tindakan pembangkang, jika DoJ tidak melihatnya sebagai suatu skandal bertaraf dunia, ia tidak akan berbuat apa-apa.



Lagipun Datuk Seri Najib Razak sudah berulang kali menafikan dirinya menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi dan mendakwa pertuduhan itu dibuat oleh mereka yang mahu menggulingkannya.

Persoalannya ialah sejauh manakah besarnya  pengaruh pembangkang menggunakan kuasa asing sehingga DoJ terpengaruh mencampuri urusan politik negara?

Malah pembangkang dituduh memanipulasi saman sivil terbaru yang disifatkan sebagai  satu senjata politik untuk menjatuhkan pemimpin negara dan menjayakan matlamat peribadi masing-masing.

Jika demikian, apakah  saman terbaru yang didedahkan oleh DoJ itu bukan  bersifat campur tangan secara langsung oleh sebuah negara asing dalam hal ehwal Malaysia?

Campur tangan yang melibatkan sebuah negara besar - Amerika Syarikat (AS) – itu mengundang pertanyaan. Bolehkah Putrajaya memejamkan mata dan memekakkan telinga dengan ‘serangan’ seperti ini apa lagi ia bersifat campur tangan asing?

Apakah pihak kerajaan Malaysia begitu ‘takut untuk bertindak balas’ walaupun Perdana Menteri, keluarganya, partinya dan kerajaan dihina sebegini rupa?

Jika ia membawa kesan kepada kedaulatan negara apabila pembangkang menggunakan kuasa asing untuk mencampuri urusan politik negara, kenapa Putrajaya tidak bertindak sewajarnya?

Saman sivil ketiga yang difailkan oleh DOJ kelmarin dengan jelas menyenaraikan secara terperinci tentang dakwaan penyelewengan wang 1MDB.

Antaranya, DOJ mendakwa hartawan yang juga ahli perniagaan Jho Low dan sekutunya Eric Tan membelanjakan AS$9.9 juta bagi membeli barang kemas untuk ibunya serta model Australia, Miranda Kerr.

Malah, AS$28.9 juta turut dibelanjakan untuk membeli barang kemas isteri Malaysian Official 1.



DOJ turut mendakwa, kapal layar mewah milik Low, "The Equanimity" dibeli menggunakan wang 1MDB.

Selain itu, dalam pemfailan tersebut, DOJ juga berkata, sekurang-kurangnya AS$27.3 juta digunakan bagi membeli loket dan rantai berlian 22 karat berwarna merah jambu untuk isteri Malaysian Official 1.

Jika tidak benar dan bohong semuanya, kenapa tiada reaksi segera Putrajaya, parti pemerintah khususnya BN dan UMNO terhadap saman sivil berkenaan?

Kenapa semuanya membisu?

Cukupkah dengan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dan Setiausaha Akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad sekadar mengulangi penafian mereka?


Kenapa menteri Najib, penyokong parti pimpinan Najib – BN dan UMNO -  sunyi sepi dan tidak mempertahankan ketua mereka, termasuk kritikan terhadap isterinya Datin Seri Rosmah Mansor?

Di mana Wanita UMNO dan Puteri UMNO yang sepatutnya lantang mempertahankan ketua mereka?

Walaupun tiada kaitan secara khusus, namun pemfailan oleh DoJ seperti ‘pukul anak sindir menantu’.

Apakah mereka merasakan DoJ benar atau memang sukar untuk mereka berhujah dengan pendedahan terbaru yang lebih nyata kali ini?

Apakah tidak terfikir oleh Pemuda Barisan Nasional (BN) atau sekurang-kurangnya Pemuda UMNO untuk bertindak balas jika dakawaan berkenaan adalah tidak benar?

Beranikah mereka untuk berhimpun dan membuat bantahan di hadapan Kedutaan AS di Jalan tun Razak? Jika tidak berani kenapa?

Jika dakwaan DoJ berat dan tidak wujud sebarang unsur jenayah dalam pengurusan dan pentadbiran syarikat 1MDB seperti yang didakwa dalam kes DOJ itu, sudah pasti pemfailan oleh DOJ itu adalah palsu semata-mata.


Dengan kedudukan itu tidakkah Putrajaya dan Wisma Putra mahu membuat bantahan atau bertindak terhadapnya?

Tidak wajar dibiarkan nama baik Perdana Menteri yang dikaitkan sebagai ‘MO1’ dan negara dipermainkan sedemikian rupa.

Tidak patut membenarkan nama baik negara dan jawatan Perdana Menteri diheret dan dipalit sebegini teruk.

Tidakkah perlu dipanggil segera duta besar AS untuk mendapatkan penjelasan?

Isu ini bukan kecil kerana DoJ dianggap mengumumkan suatu pencapaian yang paling signifikan sejak 21 Julai tahun lepas, apabila penyiasat AS untuk kali pertamanya mendedahkan secara terbuka mengenai dakwaan skandal 1MDB.

Pada masa itu, penyiasat AS berkata lebih AS$3 bilion didakwa disalahgunakan dari 1MDB dan berusaha untuk merampas kira-kira AS$1 bilion aset yang dikaitkan dengannya.

Namun dalam pemfailan terbaru dan ketiga malam kelmarin, DoJ kini meletakkan angka dakwaan penyalahgunaan itu pada AS$4.5 bilion. Malah ia kini berusaha untuk merampas AS$1.7 bilion dalam aset yang didakwa diperolehi dengan menggunakan dana dicuri dari 1MDB.

Rakyat mahu tahu apakah semua ‘tuduhan’ ini benar atau sebaliknya.

Mendiamkan diri seribu bahasa akan mengundang berbagai tafsiran dan prasangka.

Tidak wajar kerajaan berdiam diri. Suatu gerakan atau langkah berani menafi dan menyanggah pemfailan ini perlu dilakukan segera.

Jika tidak, ia bagaikan ‘membenar atau mengiakan’ apa juga pertuduhan melalui pemfailan berkenaan.


Apa dan bila tindakan balas oleh Putrajaya atau BN/UMNO seterusya?