Thursday, September 3, 2009

KITA BANGGA...KAPAL SELAM NEGARA DI SELAT MELAKA

Tahniah kepada kerajaan kerana kini apa yang diperkatakan kesekian lama kini tertunai.
Kerajaan Barisan Nasional sudah melakukannya.

Kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman, sudah berada di perairan Selat Melaka menuju ke Pelabuhan Klang untuk upacara sambutan rasmi yang akan diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, pagi ini.

Turut menyambut ketibaan kapal selam jenis Scorpene itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Azizan Ariffin.

"Orang ramai berpeluang menyaksikan upacara tersebut melalui siaran langsung program "Hello On Two" di TV2 RTM mulai 7.50 pagi," kata Lt Kdr Masliza Maaris, Pegawai Perhubungan Awam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

KD Tunku Abdul Rahman (KD TAR) dikendalikan Komander Zulhelmy Ithnain bersama 35 krew.

Masliza berkata, kapal selam itu akan berada di Pangkalan TLDM Pulau Indah sehingga Jumaat sebelum ia belayar ke Pangkalan TLDM Lumut. KD TAR dijadual tiba di Pangkalan Teluk Sepanggar di Sabah pada 17 September.

Kapal selam itu akan dipamerkan kepada orang ramai semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Lima'09 di Langkawi dari 1 hingga 5 Disember ini.

KD TAR tiba di tanah air selepas perjalanan selama 55 hari mulai 11 Julai dari limbungan pembinaannya di Toulon, Perancis. Ia singgah di Jeddah, Djibouti dan Cochin di India.

Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol.

Ia menjadi lambang kemegahan terbaru TLDM yang akan menyambut ulangtahun ke-75 tahun ini dan kedua-dua kapal selam itu dinamakan sempena nama perdana menteri negara pertama dan kedua.

Scorpene, kapal selam jenis tempur konvensional itu mampu mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter, antara lain dilengkapi dengan enam tiub peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak, peluru berpandu antikapal permukaan dan torpedo antikapal selam.

Kapal selam berkuasa diesel dan elektrik dengan kelajuan 20 knot nautika itu berkemampuan membawa 10 torpedo dan 30 periuk api, manakala pengisian peluru berpandu menggunakan sistem automatik sepenuhnya.

Pada Januari lalu, KD Tunku Abdul Rahman diserah secara rasmi kepada TLDM di Toulon.

Kapal selam kedua negara, KD Tun Razak, yang akan ditauliahkan pada Oktober ini dijangka memulakan pelayaran ke tanah air pada Januari tahun depan dan tiba dua bulan kemudian.

Wednesday, September 2, 2009

KONTRAK SOSIAL – PENGORBANAN BESAR ORANG MELAYU

Individu lain mungkin masih muda. Kata-kata mereka tidak dipedulikan kerana dianggap ‘masih mentah’.

Jika pemimpin seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau veteran lain mengecam perosak perpaduan dan mereka yang mempersoalkan kontrak sosial, mereka dikatakan berpihak dan berbau UMNO.

Tetapi bagaimana dengan individu yang disanjung rakyat dan pernah menjadi Yang DiPertuan Agong pada ketika usia Malaysia masih muda?

Yang dimaksudkan ialah Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah?

Tuanku Sultan adalah bekas Yang di-Pertuan Agong dari 21 September 1970 hinggga 20 September 1975.

Golongan muda mungkin tidak merasai betapa sukarnya tempoh ini kerana ia adalah selepas tragedi 13 Mei 1969 selain untuk kali pertamanya Barisan Nasional (BN) bertanding dalam pilihan raya umum 1974 selepas negara berada di bawah kuasa MAGERAN.

Malah, pada tempoh inilah Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan dan Tuanku Sultan amat memahami bagaimana perundingan kontrak sosial kali kedua diadakan.

Dalam konteks politik untuk kali pertamanya UMNO dan PAS duduk semeja melalui kerjasama Barisan Nasional, selain tolak ansur yang begitu padu dalam membentuk DEB.

Kita jangan lupa bahawa setiap rang undang-undang yang diluluskan di Parlimen perlu perkenan Yang DiPertuan Agung untuk ia menjadi undang-undang.

Dan dalam tempoh getir itu, Tuanku Sultan sudah pasti dimaklumkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein selain terbabit dalam perbincangan perkara-perkara yang membabitkan tolak ansur dan perundingan untuk menjamin Malaysia menuju ke suatu tahap baru melalui DEB.

Malah satu lagi perkara penting ketika pemerintahan Tuanku ialah terlancarnya Rukun Negara yang menjadi asas amalan dan rujuk demi perpaduan Malaysia.

Tuanku Sultan tidak akan memperkatakan mengenai isu perosak perpaduan dan kumpulan yang antikontrak sosial jika tidak melalui pengalaman yang menakutkan ketika menjadi ketua negara.

Apakah apabila individu seperti ini menyuarakan pandangan seperti ini ia didasarkan kepada kepentingan parti seperti UMNO atau memang menyedari kini sudah benar-benar wujud perosak perpaduan dan mereka yang antikontrak sosial?

Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah pada 18 Ogos lalu, memberi amaran negara akan huru-hara dan masyarakat ditimpa bencana jika kontrak sosial dipertikaikan serta dijadikan bahan politik.

Titah baginda, keamanan yang dikecapi pada masa ini tidak datang bergolek kerana ia dicapai hasil permuafakatan, toleransi dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu.

‘‘Mereka duduk semeja berbincang bagi menuntut kemerdekaan. Perbincangan ini mewujudkan peruntukan perlembagaan yang menjamin kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam dan hak istimewa orang Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain yang dikenali sebagai kontrak sosial.

‘‘Kontrak sosial ini merupakan pengorbanan besar orang Melayu kepada kaum lain. Oleh itu, tidak wajar kontrak ini dipertikai, disemak semula atau diubah kerana ia adalah asas pembentukan Malaysia,’’ titah baginda.

Tamadun dan kemerdekaan negara akan runtuh sebagaimana berlaku terhadap banyak negara apabila api kemarahan akar umbi tidak dapat dikawal dan semua pihak perlu ingat bahawa kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan adalah perkara suci yang mempunyai ’rahsia’.

Natijahnya, ia harus dipertahankan kerana ia menjamin kerukunan serta keamanan negara seperti dibuktikan sejak 52 tahun yang lalu.

“Jika perkara-perkara ini dijadikan bahan perbincangan umum dan berpolitik, ia akan membawa bencana kepada masyarakat dan negara,” titah baginda semasa merasmikan seminar khas Perlembagaan Persekutuan di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di Alor Setar.

Saya yakin Tuanku Sultan bertitah untuk meningatkan rakyat semua kaum kerana kebelakangan ini keharmonian yang wujud sekian lama mula terjejas ekoran adanya pihak tertentu yang berani mempertikaikan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah, antara sebab yang dikenal pasti berlakunya pertikaian mengenai peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah kedangkalan pihak-pihak tertentu terhadap latar belakang sejarah mengapa ia dimaktubkan.

Selain itu, titah baginda, ia juga disebabkan pengaruh prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diaplikasikan di negara ini tanpa bertunjangkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara.

“Situasi ini jika tidak dibendung boleh membawa kepada ketegangan kaum,’’ titah baginda.

Persoalannya, apakah UMNO dan sekutunya yang antikontrak sosial dan menjadi makhluk perosak perpaduan?

Jika bukan UMNO, siapa lagi?

JANGAN BERKUMPUL DI BANGUNAN SUK PERAK

Jangan buat perangai ‘gila’. Jangan berkumpul untuk ‘Sidang DUN Bawah Pokok’
Orang ramai dinasihati supaya tidak berkumpul berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini bagi menghadiri "Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak" yang kononnya akan berlangsung di situ, hari ini.

Polis mendapat maklumat terdapat pihak tertentu yang menghebahkan bahawa sidang berkenaan akan berlangsung esok dan turut meminta orang ramai supaya hadir di bangunan berkenaan.




















Demi menentukan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak berkumpul berhampiran bangunan SUK Perak (Bangunan Perak Darul Ridzuan) hari ini.

Malah polis sudah memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang terhadap sebarang perhimpunan haram hari ini.

Anggota DUN Tronoh, V Sivakumar, yang juga bekas Speaker, minggu lalu mengeluarkan notis mengenai persidangan DUN Perak yang akan diadakan hari ini.

Mahkamah Tinggi Ipoh semalam menolak permohonan injunksi bekas Speaker, itu bagi menghalang Setiausaha Kerajaan Negeri daripada mengganggu pakatan pembangkang mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata polis semalam memperoleh perintah mahkamah mengikut Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah melarang orang ramai hadir atau berada dalam lingkungan 30 meter dari pagar bangunan berkenaan mulai 1 pagi 2 September hingga 11 malam 3 September.

"Pihak polis telah dimaklumkan oleh kerajaan negeri Perak bahawa tidak ada persidangan Dewan Undangan Negeri pada 2 September," katanya dalam satu kenyataan.
Zulkfili berkata, Speaker DUN Perak, Datuk R Ganesan, juga telah membuat kenyataan bahawa tidak ada persidangan dewan pada tarikh itu.

Ganesan juga meminta semua Adun supaya mengabaikan notis berkenaan kerana ia dikeluarkan sumber tidak sah.

Adun pembangkang daripada Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah mencuba mengadakan persidangan DUN Perak pada 3 Mac lalu tetapi tidak dibenarkan masuk ke dewan dan akhirnya 28 Adun berkenaan mengadakan persidangan di kawasan lapang berhampiran dan episod itu dikenali sebagai "Sidang DUN bawah pokok".

Zulkifli menegaskan, polis akan menyediakan anggota yang mencukupi dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman sentiasa terjamin.

Justeru, katanya, orang ramai diminta memberi kerjasama mematuhi perintah mahkamah dan tidak mengadakan perhimpunan secara haram.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias, berkata hanya penjawat awam yang bertugas di bangunan itu sahaja yang dibenarkan memasuki bangunan itu hari ini.

KERAJAAN MAMPU BAYAR BONUS?

Ini Cuepacs kata. Kalau bayar pun tidak sampai RM500 juta.

Cuepacs mengulangi permintaan awal supaya kerajaan membayar sekurang-kurangnya setengah bulan bonus sebelum Hari Raya dan setengah lagi pada akhir tahun ini.

Mengikut perkiraan Cuepacs, kerajaan hanya berbelanja kurang daripada RM500 juta untuk membayar bonus dan "ia adalah dalam kemampuan kerajaan untuk berbuat demikian".

Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata hari ini, Cuepacs yakin kerajaan akan memberikan sebulan bonus kepada penjawat awam tahun ini.

Keyakinan itu berdasarkan kepada kenyataan bahawa kerajaan mampu memberikan bonus itu berdasarkan penjimatan dari subsidi petrol, beras dan gula.

Walaupun jumlah itu tidak termasuk di dalam bajet tahun lalu, ia masih lagi boleh memberi pendahuluan dan memasukkannya di dalam bajet yang akan datang bulan depan.

"Kami sebagai penjawat awam sentiasa menyokong kerajaan yang memerintah dan melaksanakan segala dasarnya dengan berkesan.

"Kami berharap kerajaan sebagai majikan contoh tidak akan mengecewakan 1.2 juta penjawat awam yang sentiasa menunggu bonus untuk membantu dalam perbelanjaan akhir tahun keluarga mereka.

Katanya, penjawat awam patut menerima bayaran itu kerana mereka sudah bekerja keras bagi meningkatkan sistem penyampaian dan mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kerajaan.

Persoalannya benarkah sistem penyampaian dan mencapai sasaran KPI sudah terlaksana?