Friday, May 8, 2009

AHMAD SAID AKAN DIGANTI 12 MEI?

Tersebar luas berita kononnya Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said akan ditukar pada 12 Mei ini (enam hari dari hari ini).
Berita ini disebarkan di Kuala Lumpur. Orang di Terengganu mungkin tidak ramai yang mengetahuinya.
Punca berita dikatakan terpancut keluar daripada mulut Ketua Perhubungan UMNO Terengganu yang dilantik oleh Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Hishamuddin Hussein bahawa Menteri Besar Terengganu akan diganti.


Kalau bohong saya, bohonglah beberapa orang penting akhbar arus perdana.

Hishamuddin dalam pertemuan dengan sekumpulan kecil wartawan memberi hint berkenaan dan orang penting surat khabar bercakap mengenai perkara ini di mana-mana.

Punca sebenar Ahmad Said mahu digantikan dikatakan dikaitkan dengan beberapa siri desakan 10 ADUN yang tidak berpuashati dengan Menteri Besar itu.

Sesiapa pun akan percaya dengan ‘hebahan awal itu’ kerana Hishamuddin, selain kini Ketua Perhubungan UMNO Terengganu, juga Naib Presiden UMNO.

Lebih penting, ia rapat dengan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak. Sepupunya pun!

Hishamuddin juga dikatakan rapat dengan beberapa pemimpin Pemuda UMNO Terengganu yang dilihat rapat dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Menurut orang penting surat khabar, Hishamuddin membuat hebahan itu selepas bertemu dengan orang penting istana Terengganu beberapa hari lalu.

Malah, dikatakan pertemuan di puncak bukit itu turut disertai beberapa ‘orang istana’ dan juga pegawai tinggi Kerajaan Terengganu.

Pegawai tinggi ini dikatakan ‘kurang senang’ dengan Ahmad Said malah beberapa kali bertukar pesanan ringkas (sms) dengan rakan-rakannya – malah dari Rome – bertanyakan ‘bila Ahmad Said akan diganti’.

Untuk rekod saya tidak diberitahu dengan jelas siapa orang istana dimaksudkan kerana aneh juga jika pertemuan diadakan di puncak bukit, apa gerangan ‘orang istana’ mahu menghadirkan diri.

Yang menariknya dikatakan juga, Ahmad Said turut dipanggil ke istana (istana mana saya tidak tahu) pada Isnin lalu. Apa hasil pertemuan itu tiada siapa yang tahu kerana dikatakan pertemuan ‘empat mata’.

Sejauh ini difahamkan, pertemuan antara Pengerusi dan Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Terengganu (Ahmad Said) belum berlaku.

Sejak pulang dari mesyuarat UNESCO, Hishamuddin dikatakan sibuk. Bagaimanapun, dilaporkan pertemuan tidak rasmi antaranya dengan beberapa kumpulan UMNO tertentu sudah berlaku.’

Ini tidak hairan kerana Hishamuddin kerap juga ke Kuala Terengganu kerana ada misi tersendiri yang beliau dan rakan-rakan Pemuda UMNO sahaja yang tahu.
Sehingga ini belum jelas apa janji ‘orang istana’ dengan Hishamuddin dan apa pula janji yang diberikan oleh istana kepada Ahmad Said.

Bagi Ahmad Said, mandat dan amanah oleh istana terhadapnya bukan untuk dibanggakan tetapi adalah harapan dan tanggungjawab membangunkann rakyat dan negeri Terengganu.

Ahmad Said mengulangi hasratnya membangunkan Terengganu dalam ucapan sempena perayaan Hari Pekerja pertingkat negeri Terengganu, Isnin lalu.

Yang penting, kita tunggu 12 Mei ini dan kita tunggu juga pertemuan antara Hishamuddin dan Ahmad Said.

Mereka dijangka akan bertemu minggu depan.

Yang pasti, di kalangan Ketua-Ketua Bahagian, hanya dua sahaja yang kurang mesra dengan Ahmad Said tetapi lima lagi ‘OK’.

Dalam konteks UMNO, Ahmad Said boleh dikatakan besar pengaruhnya berbanding ‘cengkamannya terhadap ADUN’.

Ini kerana ADUN dipilih oleh Idris dan mereka menang pilihan raya ke 12 lalu dan Ahmad Said terpaksa menerima ‘pemain-pemain’ berkenaan dan sebagai jurulatih sebenarnya Ahmad Said tiada kuasa memilih pemain yang digemarinya.

Kerana itu mudah berlaku ‘penentangan’ terhadapnya, lagipun ramai di kalangan mereka yang marah dengan Ahmad Said adalah pendokong “Kami Nak Idris, Natang”.

HUKUMAN BERAT UNTUK PERAGUT

Saya menyokong seratus peratus syor supaya polis mempercepatkan siasatan kes-kes ragut sedia ada bagi dibicarakan di mahkamah;

Ia bertujuan pesalah dijatuhkan hukuman berat yang setimpal.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perbuatan jenayah ragut tidak boleh dimaafkan dan hukuman berat perlu dilaksanakan sebagai pengajaran kepada mereka yang masih bebas.

Shahrizat berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai satu lagi kejadian ragut yang menyayat hati.

Hakikatnya kita tidak boleh membiarkan peragut berleluasa apalagi yang menyebabkan kematian.

Soal penting, mahkamah – hakim-hakim - juga perlu memberikan kerjsama padu melalui hukuman berat terhadap peragut, khususnya yang membawa maut seperti yang berlaku di Kota Bharu dan Pulau Pinang itu.

Dalam tempoh berselang sehari kelmarin , negara dikejutkan dengan dua lagi kematian tragis akibat jenayah yang sama di Pulau Pinang dan Kelantan.
Di Pulau Pinang, seorang nenek berusia 86 tahun mati akibat ditumbuk ketika cuba menyelamatkan anak perempuannya berusia 58 tahun daripada menjadi mangsa ragut di rumahnya di Kampung Besar, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara kelmarin.

Di Kota Bharu, seorang wanita hamil empat bulan yang juga ibu kepada lima anak, maut dirempuh kereta selepas terjatuh motosikal akibat diragut dua lelaki bermotosikal di Kampung Padang Raja,Jalan Melor, Ketereh.

Siti Aminah Idris mangsa ragut di Pulau Pinang berkata beliau sekeluarga tidak akan memaafkan dua lelaki yang meragut nyawa ibunya kerana “Kalau bukan kerana mereka, pasti hari ini ibu saya masih bernafas”.

Kebimbangan mengenai kejadian ragut khususnya di Kuala Lumpur amat ketara kerana polis baru-baru ini mendedahkan bahawa jenayah ragut di ibu kota meningkat 99 peratus.
Ini merupakan satu fenomena yang perlu dipandang serius oleh masyarakat di negara ini.

Berdasarkan statistik yang diperoleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, sebanyak 1,915 kes ragut dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini berbanding 1,058 kes sepanjang tempoh yang sama tahun lalu.

Terdapat beberapa daerah yang meningkat kadar jenayahnya. Antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, mencatatkan peningkatan sebanyak 170 kes kepada 269 pada tahun ini berbanding 99 kes pada tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah memberitahu, IPD Brickfields turut menunjukkan peningkatan yang banyak iaitu 110 kes pada tahun lalu kepada 322 kes bagi tahun 2009.

Menurutnya peningkatan juga berlaku bagi IPD Cheras yang mencatatkan kenaikan 244 kes daripada 80 kes tahun lalu kepada 324 kes tahun ini.

Bagaimanapun, bagi IPD Sentul ia menunjukkan penurunan sebanyak 63 kes daripada 239 tahun lalu kepada 176 kes tahun 2009.

Walaupun berlaku penurunan di kawasan Sentul, secara keseluruhannya jenayah ragut di sekitar ibu kota dilihat kritikal dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

"Orang awam terutamanya wanita dilihat mudah menjadi mangsa ragut berikutan sikap mereka yang gemar memberi peluang. Peningkatan kes ragut ini dipercayai disebabkan sikap ingin memperoleh wang dengan cepat dan mudah," katanya.

Pihak polis kini giat menjalankan operasi bersepadu khas bagi mencegah jenayah di ibu kota termasuk jenayah ragut.

Thursday, May 7, 2009

SMS UGUT BUNUH - WUJUD KONSPIRASI?

Saya percaya semua pihak menunggu laporan siasatan polis mengenai sms ugutan bunuh yang menjadi perbincangan bukan sahaja di Terengganu tetapi seluruh negara.

Lagi cepat siasatan selesai lagi banyak. Ia akan ‘membunuh’ segala perbincangan dan kata-kata kononnya ada ‘permainan tertentu’ antara pihak-pihak tertentu.

Yang dituduh – orang kanan Menteri Besar – sukar untuk menghapuskan imej berkenaan dan kalaupun penghantar sebenar sms didakwa, damage has been done dan orang yang difitnah itu akan merasai kesannya pada tempoh yang lama.

Selepas hampir dua minggu, kita menunggu dengan sabar hasil siasatan polis dan katanya polis masih mencari seseorang.

Orang yang dicari ini khabarnya sudah ‘menghilang’ dan dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan tokoh penting di Terengganu.

Khabarnya kes ugutan sms ini bukan lagi menjadi kes polis di Kuala Terengganu tetapi sudah sampai ke Bukit Aman.

Namun pertanyaan ialah apa hasil siasatan?

Bagaimanapun, dalam kita menunggu hasil siasatan, melalui sebuah blog, ada tulisan berbunyi:
“...saya hairan kenapa orang yang bertanggungjawab masih bebas dan orang lain dikaitkan...Apakah ini satu konspirasi.

Ada mencemarkan imej kami dengan mengatakan bahawa kami dayus dan berpakat atau merancang sms tersebut. Kenapa tinggal dan berlegar dihotel tidak takut tetapi hadir ke sidang dewan tidak berani? Jawabannya kerana suspek utama kes ini masih berlegar di dewan.”

Saya tidak dapat membaca isi hati pemillik blog berkenaan apabila beliau menimbulkan soal konspirasi ini namun, elok juga kalau dirujuk kepada tiga kenyataan atau bukti melalui tiga laporan akhbar daripada tiga akhbar berlainan seperti berikut:

1. Laporan Berita Harian Online (15 April 2009): – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata, ugutan bunuh yang diedarkan kepada tiga daripada ADUN terbabit melalui sms adalah tidak sahih. “Mereka dapat SMS tetapi SMS tak berpunca daripada pejabat Menteri Besar, maka tidak ada kesahihan.”

2. Laporan Sinar Harian (23 April 2009): Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan pula berkata, polis telah mengenal pasti bahawa SMS itu bukannya dihantar oleh pegawai kanan di pejabat Menteri Besar seperti yang dilaporkan sebelum ini.

3 . Laporan Utusan Malaysia (23 April 2009): ): Ketua Polis Neger, Datuk Mohd Shukri Dahlan mengesahkan bahawa lelaki berusia 31 tahun itu tiada kaitan dengan Pejabat Menteri Besar seperti yang didakwa sebelum ini; dan

4. Laporan Berita Harian Online (24 April 2009) bertajuk “Ramai lagi ditahan” melaporkan “Sumber memberitahu, kerani berkenaan ada kaitan dengan 10 ADUN yang memulaukan hari kedua siding Dewan Undangan Negeri pada 14 April lalu.”

Apapun, mengikut prinsip perundangan, fitnah tetap fitnah (saya maksudkan kata-kata dan tuduhan yang dilemparkan kepada seseorang yang ternyata tidak melakukan sesuatu perbuatan yang dikaitkan),sekiranya apa yang dilaporkan atau dikatakan pemfitnah itu terbukti fitnah.
Sekirabnya pemfitnash menggunakan alasan tidak tahu, ia tetap fitnah, cumanya ia adalah berbentuk defence semata-mata, yang mungkin boleh mengurangkann hukuman.

Tidak apalah kalau benar jawapan kononnya ‘sebab atau punca 10 ADUN tinggal atau berlegar di hotel – memulaukan sidang DUN – kerana suspek utama kes ini masih berlegar di dewan.’
Lantas timbul pertanyaan. Siapa suspek utama kes ini kepada kumpulan 10 ADUN berkenaan. Siapa pula suspek utama bagi pihak polis?

Apakah suspek utama bagi 10 ADUN ialah ‘penghantar’ sms berkenaan ialah orang yang bernombor telefon 019-9158369 atau lebih tepat Wan Ahamad Wan Muda?

Persoalannya, kenapa pula Wan Ahamad tidak ‘ditahan polis’ dan seorang kerani syarikat swasta yang dicekup polis untuk siasatan dan kini dibebaskan?

Persoalan juga, kenapa polis mencari suspek lain dan suspek berkenaan kini ‘menghilangkan diri?”

Lebih menghairankan kenapa blog berkenaan menimbulkan pertanyaan: “..saya hairan kenapa orang yang bertanggungjawab masih bebas dan orang lain dikaitkan...Apakah ini satu konspirasi.”

Apa yang dimaksudkan dengan ‘orang yang bertanggungjawab masih bebas dan orang lain dikaitkan?”

Pertanyaan selanjutnya ialah:
1. Siapa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘orang yang bertanggungjawab’ tetapi masih bebas?

2. Apakah pihak polis ‘tidak cekap’ atau tidak pandai dalam menjalankan tugasnya sehinggakan ‘orang yang bertanggung jawab’ masih bebas?

3. Apakah pemilik blog berkenaan tidak percaya atau ragu-ragu dengan tugas dan penyiasatan polis?

4. Atau lebih jauh – pemilik blog berkenaan mempersoalkan polis sebagai pihak yang cuba melindungi ‘suspek’?

Lalu, selepas memperkatakan empat persoalan di atas, bolehlah kita beralih kepada perkara ‘konspirasi’. Siapa berkonspirasi?

Saya tidak mahu ulas lanjut tetapi sekadar mengemukakan beberapa persoalan:
1. Siapa berkonspirasi siapa? Apakah melalui sms ugut bunuh itu, pegawai sekeliling Menteri Besar berkonspirasi mahu ‘mengenakan’ penentang Datuk Ahmad Said?

2. Apakah melalui sms ugut bunuh itu, pegawai Menteri Besar mampu mencipta isu untuk mengukuhkan kedudukan Datuk Ahmad Said?

3. Apakah pegawai Menteri Besar berkonspirasi dengan polis untuk ‘mengenakan’ 10 ADUN yang sebelumnya dikatakan akan membawa undi tidak percaya pada persidangan DUN?

4. Apakah pemilik blog berkenaan mempersoal atau menganggap ada ‘permainan’ antara pegawai Menteri Besar dengan polis?

Apapun, rasanya elok kalau kita serahkan semua perkara ini kepada polis. Jawapan atau buktinya akan terserlah juga akhirnya apabila polis menamatkan siasatannya.

Kecuali kalau kita terus mempersoalkan kredibiliti polis, kita akan kemukakan pula teori lain dan kata-kata bahawa memang wujud konspirasi - tiada siapa boleh menghentikannya.

Hanya hasil siasatan polis dan minda dan mulut orang yang menganggapnya satu konspirasi terpaksa menutupnya sendiri selepas mengetahui bahawa yang melakukan perbuatan menghantar sms itu rupa-rupanya mungkin dari ‘kandang sendiri’.

Wednesday, May 6, 2009

BETUL KE JJ TAWAR RM30,000?

Ini cerita memang menarik.

Mana JJ (Datuk Seri Jamaluddin Jarjis), wakil rakyat Rompin yang berjambang yang memang glamour sewaktu menjadi Menteri dulu?

JJ adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan dilihat sebagai ‘rapat’ dengan Datuk Seri Najib Razak.
Kerana apa menarik? Kerana beliau kini dikaitkan dengan kes wanita Mongolia yang diletup – Altantuya Shaariibuu.

Raja Petra Kamaruddin mendakwa melalui tulisan terbaru melalui blognya semalam bahawa beliau ditawarkan sebanyak RM30,000 sebulan oleh Datuk Jamaluddin Jarjis, seorang kenalan dekat Perdana Menteri, sebagai imbuhan agar beliau berhenti menulis tentang wanita Mongolia tersebut.

Tidak semema-mena JJ kini terpalit dengan kes ini gara-gara dakwaan Raja Petra itu.

Benarkah JJ mahu Raja Petra berhenyi menulis? Kalau tidak benar kena jawap atau saman terus! Haha…
Ini bukan kes kecil DS JJ. Ia membabitkan maruah DS dan Perdana Menteri.

Perdana Menteri juga kena melihat dakwaan ini. Kerana apakah Najib tahu mengenai tawaran itu? Ini merana dakwaan Raja Petra itu membawa pelbagai tohmahan:

1. Apakah benar ada arahan daripada Perdana Menteri, atau

2. Tawaran itu pandai-pandai JJ saja?

Seronok dengan perkembangan terbaru ini.
Menurut laporan Malaysiakini, Raja Petra dalam tulisan terbarunya juga mendedahkan identiti sumbernya berhubung dakwaan wanita pertama negara, Rosmah Mansor berada di tempat Altantuya dibunuh.

Tuduhan terhadap Rosmah itu bukan lagi berat tetapi sungguh menakutkan. Takut apa? Takut tidak benar. Kenapa? Raja Petra akan mendapat bahananya.

Reputasi Rosmah dan Najib terjejas teruk dengan dakwaan itu!
Selain itu siapa saksi atau sumber Raja Petra apabila membuat tuduhan itu? Penggendali blog Malaysia Today itu mendedahkan, maklumat kontroversi tersebut datang daripada Leftenan Kolonel Azmi Zainal Abidin, "orang nombor dua dalam unit khas bahagian risikan tentera" Malaysia.
Kata Raja Petra, beliau bertemu pegawai tentera melalui seorang rakannya, Nik Azmi Nik Daud, yang dikenalinya sejak 45 tahun lalu.

Nik Azmi seorang pembantu ahli politik veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, kata penulis itu lagi. Namun ada mengatakan Nik Azmi bukan pembantu tokoh politik berkenaan. Yang mana satu betul?

Raja Petra mendakwa beliau memohon pertolongan daripada beberapa individu antaranya termasuk pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang lagi pembantu Tengku Razaleigh tentang kredibiliti pegawai tentera tersebut.

Melihat kepada individu yang membantu Raja Petra (kalau benar), mengejutkan juga, khususnya pembantu Tengku Razaleigh. Apakah ada ‘udang di sebalik batu’ kenapa pembantu veteran UMNO itu membantu Raja Petra dalam konteks mengesahkan kredibiliti Leftenan Kolonel Azmi?

Dan mengenai Anwar, tidak perlulah diperbincangkan lagi kerana Najib kini adalah ‘musuh nombor 1’ Anwar.

Dakwaan Raja Petra ini sudah pasti akan menjadi salah satu tajuk penting perbincangan rakyat Malaysia kerana ia membabitkan isteri Perdana Menteri.