Showing posts with label agama. Show all posts
Showing posts with label agama. Show all posts

Wednesday, June 29, 2016

API PERKAUMAN DAN AGAMA UMNO, PAS MEMBAHAYAKAN MALAYSIA...


"Menang dengan strategi menggunakan isu perkauman dan agama tidak akan membawa apa-apa makna, sebaliknya akan menjadikan masyarakat berpecah-belah dan menjadi ‘bom jangka’ kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Bertanggungjawabkah UMNO dan PAS  kepada kelakuan dan tindakan mereka itu?"

Kita di Malaysia sudah kembali ke awal tahun 1960-an apabila isu perkauman dan agama menjadi tajuk penting politik .

Apakah modal pekauman dan keagamaan ini baik bagi politik sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia?

Apakah kita lupa bahawa kerana perkaumanlah menyebabkan berlakunya tragedi berdarah Mei 1969 dan hampir sekali lagi pada Oktober 1987 apabila pemuda Melayu (UMNO) bangkit menentang ‘perkauman bukan Melayu’?

Kerajaan ketika itu terpaksa menggunakan peruntukan undang-undang yang ada untuk memadamkan api perkauman itu.


Pada pertengahan tahun 1960-an, pada ketika UMNO dan parti MCA dan MIC berusaha memupuk perpaduan melalui Perikatan, PAS perjuangkan isu Melayu dan Islam sementara DAP perjuangkan kepentingan orang bukan Melayu, khususnya orang Cina.

Namun perlahan-lahan usaha memupuk perpaduan melalui Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara mulai 1970-an menampakkan kejayaan. Malah pembentukan Barisan Nasional hampir menenggelamkan isu perkauman.

Terbaru, apabila Datuk Seri Mohd Najib Razak memperkenalkan konsep 1Malaysia, usaha ini dilihat satu pendekatan baru yang menarik dan baik.

Namun, ia digugat pula oleh kempen pembangkang, khususnya DAP yang menyebabkan berlakunya ‘tsunami sokongan orang Cina kepada pembangkang dalam pilihan raya umum 2013’. PAS turut bertanggunjawab dalam soal ini.

Menyedihkan, di dua pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini, bukan DAP atau PAS atau parti baru, AMANAH yang mempermainkan isu perkauman dan agama.

Sebaliknya kali  ini UMNO – bukan MCA, Gerakan atau MIC – tetapi UMNO yang mengapi-apikan orang Melayu dan Islam dalam isu perkauman ini.

Ini dibantu oleh PAS yang seolah-olah meletakkan Rang Undang-Undang Persendirian (RUU 355) memperkukuhkan Mahkamah Syariah bagaikan ‘satu-satunya perjuangan mereka’ dan membelakangkan isu-isu lain seperti rasuah dan penyelewengan.

PAS berharap melaluinya akan menang pilihan raya itu.

DAP dan AMANAH diserang bertalu-talu, malah pemimpin yang bersama dengan DAP berjuang dalam PRK itu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dilabelkan sebagai bersekongkol dengan mereka yang anti-Islam.

DAP diangambarkan dengan buruk sekali, iaitu parti kafir yang menentang Islam.

Bukans ahaja melalui ceramah, liputan media kerajaan terbabit sama. Lebih memburukkan kerajaan media sosial memainkan isu ini dengan begitu rakus seolah-olah dua pilihan raya kecil itu sebagai ‘hidup-mati’ BN dan politik  Perdana Menteri.

Dalam  menjawab kempen Anti-Najib (ANC) terutamanya, pihak kerajaan dan UMNO mendekati kempen itu dalam konteks perkauman dan keamaan atau kepentingan politik semata-mata - bukan ekonomi dan pentadbiran.

Malang sungguh politik Malaysia pada pertengahan dekad 2010 ini.

Jika gagalnya Wawasan 2020, ia  bukan sahaja dari sudut pencapaian pembangunan ekonomi tetapi siakibatkan oleh isu perkauman dan agama. Ia terus menerus menjadi senjata penting parti politik khususnya UMNO untuk berlawan dan berusaha menewaskan lawan.

Sejarah membuktikan bahawa isu Bahasa Melayu dan Agama Islam diperkatakan dengan begitu meluas pada 1965-1966, isu agama semakin ‘diratip’  pada 2016, selepas 50 tahun Malaysia merdeka.


Lebih memburukkan keadaan, ada pula ‘ulama nanar’ (mengambil istilah Datuk Nakhie Ahmad) yang tolong menyimbah minyak ke dalam api.

Cakap-cakap bahawa ‘halal untuk memenggal kepala kafir-harbi’ dan mengkelaskan bukan Melayu dan Islam di Malaysia sebagai ‘kafir harbi’ (Istilah ini merujuk kepada orang bukan Islam yang memerangi Islam, dan darah mereka halal untuk ditumpahkan) bukan jalan penyelesaian atau pendekatan yang baik di bumi Allah yang bernama Malaysia.

Pada ketika kita mengharapkan ulama memainkan peranannya sebagai ‘penyatu dan pendamai’ di kalangan penganut pelbagai agama, mereka menjadi batu api yang langsung tidak berguna untuk masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osmanpada 24 Jun 2016 lalu bahawa hukum bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar kerana politik kebencian yang diamalkan oleh DAP jika dijalankan secara berterusan dibimbangi boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara,menimbulkan kontroversi.

“Kita dapat lihat DAP begitu menentang pelaksanaan hukum hudud dan Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016. Prinsip mereka jelas membenci Islam dan berdosa besar bagi umat Islam bekerjasama de­ngan mereka.

“Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam untuk berbaik-baik dengan golongan bukan Islam. Namun jika mereka yang mahu menentang Islam, kita wajib memeranginya,” kata beliau seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Disamping itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Moha­mad sanggup menggadaikan prinsipnya sendiri apabila bersekongkol dengan DAP yang nyata menjadi musuh Islam. Kata Haron, tindakan Dr. Mahathir mencabuli prinsip yang dipegangnya selama ini akan me­ngundang banyak perkara negatif.


Memburukkan keadaan menjawab serangan terhadapnya, DAP membandingkan antara ulama dengan militant negara Islam (IS). Sebagai bidasan terhadap mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman, pemimpin veteran DAP Lim KitSiang mempersoalkan sama ada mufti itu lebih berbahaya berbanding anggota militan Negara Islam (IS) Mohd Rafi Udin.
  
Menurutnya,  walaupun Rafi tampil dalam video IS dengan ugutan untuk menyerang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dan menggesa penyokongnya untuk membunuh golongan bukan Islam, namun, Abdul Rahman adalah ancaman lebih besar kerana melabel DAP sebagai kafir harbi.

Bagi ulama dan agamawan Islam, apakah pendekatan memetik hadis dan menghukum sebagau suatu pendekatan yang digalakkan oleh Islam?

Dengan ‘berfatwa’ sedemikian, apakah ia bersesuaian dengan  pendirian  dan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan atau keputusan Majlis Raja-Raja Melayu dalam konteks kedudukan rakyat bukan Melayu dan bukan-Islam di negara ini?

Apakah Raja-Raja Melayu yang menjaga agama Islam di negara ini sanggup membiarkan ulama dan mufti tertentu membuka ‘mulut jahat’ mereka dan terus melalut tidak tentu pasal?

Isunya, menghukum bukan Islam untuk mempertahankan siapa?

Pada kempen PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini, terang-terangan UMNO dan PAS mempermainkan isu bangsa dan agama untuk memerangkap pengundi. Pling penting ialah menang, Yang lain, belakang kira.


Bukan sahaja cara ini tidak adil tetapi membahayakan negara. Menang dengan isu perkauman dan agama tidak akan membawa apa-apa makna,  sebaliknya akan menjadikan masyarakat berpecah-belah dan menjadi ‘bom jangka’ kepada masyarakat berbilang kaum.

Bertanggungjawabkah UMNO dan PAS  kepada kelakuan dan tindakan mereka itu?

Bersorak gembira kerana menang dua PRK tetapi di hati orang bukan Melayu dan bukan Islam sudah menyebabkan terguris juga bukan sesuatu yang wajar dibiarkan.

Polarisasi kaum dan agama akan menjadi semakin sengit apabila menjelangnya Pilihan raya umum ke-14 nanti. Ini bermakna di negara ini, usaha ke arah perpaduan nasional dan ‘sehati sejiwa’ hanya pada mulut sahaja, bukan di hati.

‘Sehati sejiwa’ di kalangan kaum sahaja, bukan di kalangan antara kaum?

Bimbang mereka bersatu melalui satu platform – Pakatan Harapan – serangan UMNO bersifat perkauman dan mempersoalkan kerjasama Melayu-Bukan Melayu dan Islam-Bukan Ialam dalam pakatan itu,  tidak akan membawa kebaikan untuk rakyat.

Menjawab dan meleraikan persoalan mengenai tuduhan terhadap kegawatan ekonomi, kepemimpin negara yang dipalitkan rasuah dan penyelewengan, isu 1MDB atau apa juga berkaitan pengurusan ekonomi dan pentadbiran negara melalui pendekatan perkauman dan agama,  hanya akan meranapkan negara.

Pemimpin dan penyokong yang mengambil pendekatan ini sebanarnya yang wajar dipertanggungjawabkan jika negara huru-hara.

Kejayaan pemimpin duduk sepentas dan berjuang di atas isu yang sama – menegakkan keadilan – hendaklah dijawab dengan hujah bukan perkauman dan pendekatan agama.

Pembangkang tidak berhujah atas isu perkauman dan agama apabila menentang RUU 335 yang dibawa oleh PAS sebaliknya lebih kepada menyatakan kebimbangan kesan menyeluruhnya terhadap rakyat semua kaum, bukan sahaja di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak. Ingat itu...

BN dan UMNO sepatutnya memberikan penjelasan sebaik-baiknya mengenai perkara seperti RUU 355 ini. Ketidak-berkesanan penjelasan bukan masalah pembangkang.

UMNO dan PAS perlu menyalahkan diri sendiri dalam isu RUU 355 jika ada penentangan. Lihat sahaja siapa lebih banyak bersuara menentang usul ini, parti-komponen BN atau DAP?


Jawapan ada di depan mata. Siapa mengugut akan meninggalkan BN, keluar Kabinet dan sebagainya? DAP sebagai pembangkang sudah pasti menyuarakan pendapatnya dari luar tetapi apa jadi dengan komponen BN yang menentang kerajaan bagai ‘api dalam sekam’?

Anehnya ketika UMNO mempermainkan isu perkauman dan agama, PAS melemparkan pelbagai kata nista dan memaki-hamun terhadap DAP.

Hanya gara-gara bercerai dengannya selepas Pakatan Rakyat hancur dan Pakatan Harapan dibentuk, PAS bukan sahaja kembali ke situasi 1960-an tetapi lebih teruk.

Jika pada 1980-an mereka  mengkafirkan orang UMNO di mana ‘Amanat Hadi’ masih tidak ditarik balik, kini mereka bersama-sama UMNO meletakkan bukan Islam ditaraf ‘pariah’ dan penghinaan yang jijik.

PAS bagaikan si suami yang sengaja memburukkan bekas isteri sedangkan selama ini apa yang tidak mereka lakukan bersama  di atas katil ketika tidur sebantal selain  mimpi yang serupa – demi ke Purtajaya?

UMNO pula, tanpa mempedulikan perasaan dan sensitiviti rakan bukan Islamnya dalam BN menghentam orang Cina dalam DAP seolah-oleh mereka itu tidak ada keluarga atau pertalian darah dengan Cina dalam BN.

Kenapa ketika pada pilihan raya Sarawak BN, khususnya pemimpin BN dari Semenanjung yang berkempen di sana tidak membawa isu sedemikian? Kenapa tidak mengtakrifkan Iban, Melanau, Dayak  dan suku kaum Sarawak lain sebagai ‘kafir harbi?’

Ternyata pemimpin UMNO hanya berani di kampung sendiri, di kawasan majoriti Melayu – Sungai Besar dan Kuala Kangsar – sahaja.

Kita hanya berdoa agar yang berkuasa di Malaysia – Majlis Raja-Raja, polis dan pihak berkuasa – menghentikan segera polimik ‘lafir harbi’ ini. Ia sangat berbahaya.

Jika perlu ambil tindakan, buatlah walau terpaksa kepada mufti atau agamawan mana sekali pun. Jika orang politik melampau, dinginkannya seperti beberapa operasi sebelum ini, termasuk Operasi Lalang.

Gunakan akta yang dicipta untuk mempertahankan negara daripada gejala perkauman dan agama melampau.

Malaysia tidak akan dihancurkan oleh serangan atau bahaya daripada luar. Tetapi negara berbagai kaum ini boleh huru hara dan berpecah-belah sekiranya isu perkauman dan agama terus dibiar dan dipermainkan sebagai alat untuk mencipta kejayaan peribadi atau kumpulan.


Lebih buruk jika ia dimainkan oleh parti pemerintah sendiri, khususnya UMNO yang sepatutnya berjuang mempertingkatkan minda, perpaduan, agama  dan ekonomi orang Melayu untuk setanding dengan bukan Melayu, bukannya menggunakan agama seperti PAS bagi kepentingan politik dan kemenangan dalam pilihan raya semata-mata!

Saturday, May 7, 2011

JANGAN BIARKAN, SEKAT DARI AWAL

Terus terang, ada dua perkara membimbangkan penulis.

Bukan bimbang Kristian akan menjadi agama rasmi negara ini. Itu sukar berlaku.

Tetapi proses ke arah menjadikan agama berkenaan sebagai agama rasmi akan membabitkan kejadian-kejadian yang tidak diingini dan mungkin akan menyebabkan ketegangan kaum dan agama.

Pertama, isu agama sekali lagi menjadi perbincangan terbuka yang akan menyebabkan berlakunya syak wasangka pada ketika beberapa isu lain seperti isu bukan Islam memasuki masjid sewenang-wenangnya, bukan sahaja mentafsir al-Quran dan Hadis serta isu Kitab Injil dalam bahasa Melayu belum dapat dibereskan.

Kedua, jika benar ada pemimpin DAP melakukan perkara seperti ini, bukan sahaja agama Islam tergugat kedudukannya tetapi ‘pelindungnya’ iaitu Yang DiPertuan Agong dan sultan Melayu juga tergugat.

Ini bahaya. Bendunglah sebelum meledak!

Dua laman blog semalam, iaitu 'bigdog' di http://bigdogdotcom.wordpress.com/ menerusi entri bertajuk 'Making Christianity the official religion? dan blog Marahku di http://marahku.blogspot.com. memperkatakan perkara ini dan dilaporkan pula Utusan Malaysia hari ini.

Menurut laporan berkenaan satu majlis pertemuan paderi-paderi diadakan di Pulau Pinang dan berikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan didedahkan oleh dua blog berkenaan.

Menurut laporan Utusan Malaysia, pada majlis makan malam sempena pertemuan , seramai 35 orang paderi dikatakan berdiri dalam bulatan dan saling berpegangan tangan tanda bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian dan mahu Perdana Menteri juga dalam kalangan penganut agama itu.

Laporan blog 'bigdog' mendakwa majlis itu dianjurkan oleh kawasan Parlimen DAP dipercayai Jelutong dan turut dihadiri oleh kira-kira 100 yang lain termasuk wakil rakyat parti itu dari Sarawak dan beberapa pekerja parti.

"Apa yang dilakukan DAP adalah sesuatu yang sangat berbahaya. DAP membawa strategi politik cauvinis mereka ke satu tahap perubahan dan sensitiviti yang sangat tinggi," dakwa blog berkenaan.

Blog tersebut menambah, sebagai satu komuniti minoriti, cita-cita DAP itu jelas membuktikan mereka cuba bertindak sebagai kaum majoriti.

"Ini merupakan lembaran baru dalam politik yang mana kaum minoriti memainkan peranan sebagai kaum majoriti di samping strategi cauvinis DAP menyemai politik kebencian. Sesuatu yang pasti ia bergerak pada landasan yang sangat berbahaya," dakwa blog itu.

Utusan Malaysia hari ini memetik Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan majlis pertemuan paderi dari seluruh negara yang turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister di sini sebagai tetamu.

Jeff yang ditanya mengenai ikrar itu mendakwa, ketika majlis berlangsung, beliau sibuk 'melayan' iPad selain menjamu selera walaupun turut bertafakur semasa paderi-paderi itu berdoa.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang didakwa terlibat dalam satu pertemuan antara paderi-paderi dari seluruh negara di sebuah hotel di Jalan Macalister, Khamis lepas.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Wira Perkasa Daerah Timur Laut, Mohd Rizuad Mohd Azudin di Balai Polis Jalan Patani, di sini pada kira-kira pukul 1.20 tengah hari.

"Isu ini akan merosakkan perpaduan kaum yang telah terjalin lebih 50 tahun,” kata Mohd Rizuad selepas membuat laporan polis berkenaan.

Penulis berpendapat, elok sekali jika polis dapat menyiasat dakwaan blog berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana juga pihak yang cuba mencetuskan isu perkauman di negara ini.

Jangan jadikannya API DALAM SEKAM. Amat Berbahaya!

Wednesday, April 14, 2010

MUFTI WAJAR TENTUKAN FUNGSI JK KHAS MENGENAI AGAMA

Saya juga fikir penjelasan mufti adalah jalan terbaik mengenai fungsi jawatankuasa khas mengenai agama.

Walaupun jawatakuasa khas yang dipengerusikan oleh bekas Ahli Parlimen Kota Bahru, Datuk Ilani Ishak mendapat kelulusan Kabinet demi mewujudkan keharmonian dan persefahaman antara agama, fungsinya perlulah jelas.

Ia juga perlulah mengambil kira sensitiviti umat Islam dan Jawatankuasa Fatwa Negeri.
Kerana itu saya mengalu-alukan kenyataan Timbalan Perdana Menteri bahawa satu perjumpaan khas dengan semua mufti akan diadakan dalam masa terdekat bagi menerangkan fungsi sebenar jawatankuasa berkenaan.

Selain mengambil kira pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri, penjelasan Muhyiddin itu jelas menunjukkan bahawa jawatankuasa itu penting kepada kerajaan, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Berikutan itu Timbalan Perdana Menteri menafikan laporan sebuah portal berita propembangkang yang sengaja menonjolkan pandangan pihak yang berkepentingan sedangkan Muhyiddin langsung tidak mengatakan sedemikian.

“Laporan dalam Malaysiakini memuatkan kononnya saya menyebut ‘small fry’ (tidak penting) terhadap jawatankuasa itu. Saya langsung tidak menyebut perkataan tersebut. Saya percaya pihak berkenaan mempunyai kepentingan tertentu sehingga mereka meletakkan saya menggunakan perkataan tersebut terhadap jawatankuasa berkenaan, “ katanya.

Mengenai jawatankuasa khas mengenai agama itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak baru-baru ini mengambil ketetapan sebulat suara membantah kelulusan Kabinet terhadap penubuhan jawatankuasa itu.

Kelmarin (12 April 2010) Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan dukacita terhadap kelulusan jawatankuasa khas itu berkata, ia bukan medium yang sesuai kerana dibimbangi wujud tuntutan tidak munasabah dalam kalangan penganut agama lain.

Harussani bimbang kewujudannya adalah rentetan daripada kegagalan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama yang telah ditentang dan ditolak umat Islam. Keputusan menolak penubuhan jawatankuasa khas itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 6 hingga 8 April lalu.

Jawatankuasa Fatwa Perak menganggap perbincangan tentang agama Islam tidak memerlukan campur tangan bukan Islam kerana ia boleh mengundang implikasi negatif. Ini kerana setiap agama yang wujud tidak boleh disamakan dengan agama Islam yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam (Ali Imran: 19).


Selain itu, jelas Harussani, setiap orang Islam juga berkewajipan memelihara agamanya daripada sebarang anasir yang boleh merosakkannya. Menurutnya lagi, walaupun sebarang bentuk rundingan atau dialog berhubung agama dibolehkan, namun ia patut dielakkan sama sekali apatah lagi jika rundingan itu dilakukan di kalangan masyarakat umum yang lebih mengundang ketidakfahaman terhadap mereka.

Kerana itu,sebarang bentuk dialog yang boleh mencemar dan menjatuhkan imej dan kesucian Islam hendaklah dielakkan. Ia bertepatan dengan kaedah fikah itu sendiri iaitu membendung kerosakan diutamakan daripada menarik kemaslahatan.

Berikutan itu, Jawatankuasa Fatwa Perak mencadangkan supaya penubuhan jawatankuasa khas antara agama tidak sahaja dirujuk kepada Kabinet untuk tujuan kelulusan tetapi juga kepada Majlis Raja-Raja yang mempunyai kuasa tertinggi terhadap agama Islam.

Selain Jawatankuasa Fatwa Perak, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa mufti dan alim ulama di seluruh negara mengeluarkan fatwa serta pandangan berhubung penubuhan jawatankuasa khas tersebut.

Perkasa bimbang kewujudannya akan meletakkan agama Islam setaraf dengan agama lain sedangkan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi negara.

Muhyiddin sebaliknya menjelaskan semalam jawatankuasa yang ditubuhkan baru-baru ini, berbeza dengan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan Majlis Antara Agama yang telah ditolak kerajaan sebelum ini.

Jawatankuasa ini hanyalah sebuah badan di peringkat pentadbiran bagi berbincang mengenai usaha untuk mengukuhkan perpaduan.

Ia termasuk berbincang mengenai usaha untuk meningkatkan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama dan ia terletak di bawah Panel Perpaduan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri.

Jawatankuasa itu tidak akan membincangkan perkara-perkara berkaitan tuntutan agama sebaliknya ia adalah satu ruang kepada semua pihak untuk berbincang dan berusaha memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Dengan kata lain, jawatankuasa itu tidak akan mengambil sebarang tindakan, semua cadangan akan diserahkan kepada kerajaan dan kerajaan akan menilainya.

Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hendaklah mengambil langkah segera untuk mengadakan perjumpaan tersebut.

Penerangan itu bagi menjelaskan peranan jawatankuasa berkenaan yang sebenarnya tidak mencampuri urusan pokok agama Islam.

Jelas sekali tindakan segera terhadap bantahan yang timbul terhadap pembentukan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama yang diumumkan kerajaan sebelum ini mendapat reaksi spontan apabila perkara itu akan dibincangkan bersama semua mufti negeri hari ini.

Tindakan segera ini akan menjadikan satu muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang secara kebetulan dijadualkan hari ini akan digunakan sebagai platform untuk membincangkan persoalan yang timbul mengenai jawatankuasa khas berkenaan.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin berkata, muzakarah ini akan turut membincangkan pelbagai perkara lain yang melibatkan umat Islam di negara ini.

Saturday, September 12, 2009

ZULKIFLI NOORDIN BIDAS ‘PAK JANGGUT’

Sumber: Utusan Malaysia
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membidas individu yang digelarnya ‘Pak Janggut’ yang sanggup memutar belit ayat-ayat al- Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk di kawasan itu.
(Sang Lembu merenung masa depannya yang terjamin keselamatannya dalam negeri Selangor Darul ... dengan kawalan rapi anggota keselamatan lengkap bersenjata)

Menurutnya, ‘Pak Janggut’ turut menyalahkan umat Islam di Seksyen 23 kerana tidak bersikap adil dalam membantah pembinaan kuil di kawasan kediaman mereka.

“Yang paling jelik, ‘Pak Janggut’ ini sanggup memutar belit ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil,’’ katanya.

Zulkifli berkata demikian di dalam blognya, http://zul4kulim. blogspot.com/ bagi mengulas isu pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam yang dirancang kerajaan negeri Selangor di bawah pakatan pembangkang tetapi dibantah penduduk Islam di situ.

Ia menyebabkan 12 penduduk Islam di kawasan itu dihadapkan ke mahkamah kerana terlibat dalam perhimpunan haram mengarak kepala lembu di hadapan bangunan kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini bagi membantah pembinaan kuil itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan identiti individu yang digelar ‘Pak Janggut’ itu.

Zulkifli berkata, memang umat Islam disuruh berlaku adil termasuk kepada bukan Islam yang berada di bawah pemerintahan Islam tetapi ia hanya terhad kepada soal menjaga kebajikan mereka termasuk memelihara tempat ibadah.

Katanya, umat Islam di situ bagaimanapun dilihat seolah-olah tidak mempunyai hak untuk bersuara dan hidup dalam keadaan aman harmoni berdasarkan status quo mereka.

“Umat Islam di situ dipaksa menerima perintah untuk kuil dibina dan perintah itu dikatakan dibenarkan di dalam al-Quran.

“Malahan mereka dikatakan berdosa kerana tidak mengikut al-Quran untuk membenarkan pembinaan kuil itu,” jelasnya.

Katanya, pembinaan kuil itu telah banyak diputar belit dan digembar-gemburkan sehingga menyebabkan isu sebenar pencerobohan tanah di kawasan itu untuk menghalalkan pemindahan dan pembinaan kuil yang haram terus tenggelam.

“Isu demonstrasi kepala lembu pula diputarbelitkan cerita sebagai menghina tuhan orang lain,” katanya.

Bagaimanapun Zulkifli berkata, tindakan yang dilakukan penduduk Seksyen 23 itu mengadakan perhimpunan haram dengan membawa kepala lembu dan memijaknya tidak sepatutnya berlaku kerana menimbulkan persepsi yang negatif.

Katanya, ada banyak cara lain untuk menunjukkan ketidakpuasan hati dalam isu tersebut contohnya memfailkan saman dan injunksi menghalang keputusan kerajaan Selangor itu.
ALBAQARAH: ALAHAI SANG LEMBU
Oleh Zulkifli Noordin (9 September 2009)

Salam 2 all.

Surah yang pertama selepas Ummul Kitab Al Fatihah dikenali sebagai Surah Al Baqarah-iaitu Surah Lembu. Diceritakan bagaimana sepeninggalan Nabi Musa as menerima wahyu di Bukit Tursina, pengikutnya Bani Israel telah menjadikan anak lembu sebagai bahan sembahan setelah diperdaya oleh Samiri. ALLAH melaknat Bani Israel dan memerintahkan mereka supaya menyembelih seekor lembu, sebagai bukti keikhlasan mereka bertaubat nasuha dan meninggalkan sembahan tersebut. Bani Israel akhirnya menyembelih seekor lembu sebagaimana yang diperintahkan ALLAH.

Surah Al Baqarah adalah surah yang membahagikn kategori manusia kepada 3 golongan. Pertama golongan beriman, yang menjadikan Al Quran sebagai petunjuk jalan kehidupan, yang meyakini perkara yang ghaib, mengerjakan solat dan mengeluarkan zakat.

Golongan kedua adalah golongan kafir-mereka yang secara terang menolak ketuhanan ALLAH dan mempertuhankan berhala, yang menjadikan manusia sebagai anak tuhan, yang menjadikan batu, kayu, lembu dan pelbagai haiwan dan lain-lain sebagai bahan sembahan.

Golongan ketiga dikenali sebagai golongan munafik, golongan yang nampak lahirnya macam Muslim. Mereka berjanggut serban, mereka melabel diri mereka Islam, tetapi merekalah golongan gunting dalam lipatan, golongan yang sebenarnya menghancurkan Islam. Mereka musuh dalam selimut, dan mereka ini lebih merbahaya daripada kafir kerana mereka berselindung dibalik serban dan janggut, mereka berhujjah menggunakan Al Quran. Mereka ini dila'nat ALLAH, dan tempat mereka didalam neraka wail, neraka yang paling bawah!

Hari ini, 12 orang Muslim diheret ke Mahkamah Shah Alam, atas tuduhan dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan atas tuduhan alternatif di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana "menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan penganut Hindu dan sengaja melukakan perasaan penganut Hindu". Mereka ialah Ibrahim Sabri, 42; Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36; Eyzva Ezhar Ramly, 35; Mohd Azmir Mohd Zain, 35; Ahmad Suhairy Zakaria, 39; Mohd Hilmi Ni, 40.Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa memijak kepala lembu; Ayzva didakwa membawa kepala lembu; manakala Mohd Amir, Ahmad Suhairy dan Mohd Hilmi, didakwa membawa dan memijak kepala lembu.

Selepas itu, mereka bersama enam yang lain dihadapkan di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan menyertai perhimpunan haram mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis. Mereka ialah Jainudin Md Yusuff, Mohd Jurit Ramli, Mohammad Nordin Zakaria, Jamil Mohamad Isa, Rahimuddin Md Harun and Azhari Shaari. Kes mereka semua akan disebut semula 21.10.2009 depan. Ternyata mereka datang daripada kesemua parti politik orang Melayu Islam - 4 ahli PAS, 1 orang ahli PKR dan dan 7 ahli UMNo. Ternyata mereka bersatu dalam aqidah walau berbeza dari segi wadah.

Episod kepala lembu ini menunjukkan betapa bangsa Melayu hari ini begitu mudah diperlembukan. Baik yang berkopiah, mahupun yang bersongkok. Samada yang berserban, mahupun yang bersampin. Demi kerana sebiji kepala lembu, bangsa Melayu memekik takbir mempertahankan hak lembu sehingga ketitisan darah lembu yang terakhir, mempertahankannya daripada ancaman keris-keris durjana.

Saya sendiri tidak bersetuju dengan tindakan melampau para demonstran yang membawa kepala lembu dan memijaknya kerana membantah tindakan kerajaan Selangor mengarahkan pembinaan kuil besar di Seksyen 23 Shah Alam. Itu tindakan yang tidak dihalalkan, malahan ditegah oleh Al Quran. Walaupun ada yang menyatakan tujuan membawa kepala lembu itu adalah untuk menunjukkan betapa bodoh MB dan beberapa pemimpin Melayu beragama Islam dalam negeri Selangor, yang bertindak saperti lembu yang diperbodohkan, namun persepsi yang timbul jelas membawa kepada kemelut penghinaan kepada penganut agama Hindu yang mempertuhankan dan mempersucikan haiwan lambu ini.

Saya juga tidak bersetuju dengan tindakan segelintir daripada mereka yang menghadiri dialog dengan Menteri Besar, yang menjerit-jerit saperti dirasuk syaitan kehaiwanan, mengugut dan memaki hamun tanpa adab dan batasan. Tindakan tegas dan keras mesti diambil terhadap mereka, termasuk yang mengeluarkan kenyataan menghina azan dan Islam.

Ada banyak cara lain untuk menunjukkan ketidakpuasan hati kita. Mengapa tidak diambil jalan lain, contohnya memfailkan saman dan injunksi menghalang keputusan kerajaan Selangor tersebut. Ada ramai peguam yang saya kira bersedia memberi khidmat untuk tujuan tersebut.

Namun apa yang lebih penting, episod lembu ini telah diputarbelitkan dan digembar-gemburkan oleh banyak pihak termasuk dikalangan Pak Janggut dan Pak Keris sehingga isu sebenar pencerobohan tanah di Seksyen 23 untuk tujuan menghalalkan pemindahan dan pembinaan kuil yang haram terus tenggelam.

Dimana suara-suara Pak Janggut dan Pak Keris ini apabila Jeff Ooi melabel mereka yang bercita-cita untuk melaksanakan Islam sepenuhnya sebagai ekstremis. Sehingga hari ini Jeff Ooi terus dengan sifat bongkak dan angkuhnya enggan menuntut maaf atas kebiadapannya.

Sehingga ke hari ini Jeff Ooi masih bebas, tiada sebarang tindakan pendakwaan diambil terhadap keceluparan beliau. Mengapa Peguam Negara tidak bertindak tegas terhadap Jeff Ooi. Mengapa Jeff Ooi tidak dikenakan pertuduhan dibawah Akta Hasutan, mahupun Seksyen 298A Kanun Kesiksaan?

Mana dia suara para pejuang serban melilit dan Pak Janggut & Pak Keris, apabila dalam kes hukuman rotan terhadap Kartika Sri Dewi Syukarno, Majlis Peguam dengan angkuh memperlekeh hukum sebat bagi peminum arak beragama Islam. Kenyataan biadap Majlis Peguam, menghina hukum syara' dengan menyatakan hukuman sebat ini sebagai tidak berpeikemanusiaan dan zalim. Undang-undang Islam disamakan dengan hukuman barbarik.
Tetapi Pak Serban dan Pak Janggut diam seribu bahasa.

Yang dihingar-bingarkan sikap kasar umat Islam semada dialog dengan MB Selangor pada Sabtu 15 Ramadhan 1430/ 05 Sept 2009. Yang diperbesarkan kata-kata kesat dan biadap orang Melayu dalam dialog itu. Tetapi kenyataan wakil Hindu semasa dialog tersebut menghina azan dengan biadap menyatakan azan lima kali sehari adalah satu gangguan langsung tidak dipedulikan, malah tiada tindakan pun dikenakan. Mana pergi suara Pak Janggut dalam hal ini saya pun tak tahu! Apa tindakan Peguam Negara langsung tidak kedengaran!

Yang paling jelik, ada dikalangan Pak Janggut sanggup memutarbelit ayat Al Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil. Malah umat Islam Seksyen 23 dipersalahkan kerana tidak bersikap "adil" dalam membantah pembinaan kuil dikawasan kediaman mereka. Umat Islam dipaksa menerima perintah untuk kuil dibina dikawasan kediaman mereka, dan perintah itu dikatakan dibenarkan oleh Al Quran. Malahan umat Islam dikatakan berdosa kerana tidak mengikut Al Quran untuk membenarkan pembinaan kuil. Si Pak Janggut lupa awal-awal surah Al Quran ALLAH menceritakan tentang penyembelihan terhadap lembu yang menjadi sembahan manusia kufur.

Memang kita umat Islam disuruh berlaku 'adil, termasuk terhadap kafir dhimmi yang duduk tunduk dibawah pemerintahan Islam. Tetapi kita disuruh hanya berlaku 'adil dalam hal menjaga kebajikan mereka. Dalam soal ketuhanan, tidak timbul soal ke'adilan. Ini soal aqidah, bukan lagi soal wadah. Kita memelihara tempat 'ibadah mereka, bukan mengujudkan yang baru dicelah kediaman kita. Sultan Salahuddin Al Ayubi memelihara kesucian synagogue dan gereja yang sedia ada semasa membuka Kota Baitul Maqdis, bukan dengan membina kuil, tokong, gereja atau synagogue yang baru bersebelahan Masjidil Aqsa!

Apa yang menghairankan, ,mengapa pulak umat Islam yang disuruh bertolak ansur. Mengapa langsung tiada suara dari Pak Janggut menasihatkan kaum Hindu supaya bertolak ansur. Seksyen 23 ada 337 keluarga, tidak sampai 40 beragama Hindu. Mengapa mereka tidak boleh bertolak ansur. Bukan kita menghalang mereka ber'ibadat. Masih banyak lagi kuil dan tempat 'ibadat yang mereka punyai.

Mengikut statistik, dalam negeri Selangor ada 4.3 juta penduduk. Daripada jumlah itu, majoritinya umat Islam sebanyak 2.5 juta dengan masjid hanya sebanyak 259 buah. Sebalik nya masyarakat Budha berjumlah 1.3 juta mempunyai 1,015 tokong. Kaum Hindu pulak, yang berjumlah 647,000 mempunyai 810 kuil berdaftar (ini tidak termasuk kuil yang haram dan tidak berdaftar!). Dan bagi 50,000 penganut Kristian di Selangor, cuba kira berapa jumlah gereja mereka! Malahan tuhan patung hindu yang terbesar didunia juga dok tersergam berdiri dalam negeri Selangor (ehsan daripada Kerajaan UMNo/ Be End dulu)! Itu pun umat Islam dikatakan masih tidak 'adil, masih tidak bertolak ansur!?

Semasa saudara kita umat Islam membeli rumah di Seksyen 23, langsung tiada dalam pelan akan dibina kuil Hindu yang besar disitu. Saya cukup yakin kalau umat Islam tahu akan dibina sebuah kuil Hindu dalam kawasan perumahan mereka, sudah pasti ianya akan mempengaruhi keuputusan mereka untuk melabur ratusan ribu membeli rumah disitu.

Tidak ada umat Islam, jika diberi pilihan, mahu tinggal dikawasan yang ada kuil Hindu, tokong, gereja atau lain-lain, apatah lagi yang mega dan yang besar. Saya cukup yakin umat Islam Seksyen 23 memilih melabur ratusan ribu membeli rumah disitu kerana tiadanya kuil, tokong atau gereja besar disitu. Kalaulah mereka tahu akan dibina kuil hindu besar disitu, sudah tentu mereka tidak akan melabur ratusan ribu membeli rumah di Seksyen 23!

Tetap hari ini kelihatan seolah-olah umat Islam di Seksyen 23 tiada hak langsung untuk bersuara, untuk hidup dalam keadaan aman harmoni, berdasarkan status quo mereka.

Seolah-olah umat Islam yang bersalah kerana tidak berlaku 'adil, tidak mahu bertolak ansur untuk sebuah kuil besar dibina dikawasan kediaman mereka walaupun dalam pelan asal tidak ada pun ujud cadangan tapak pembinaan kuil. Malahan bantahan umat Islam diperlekehkan, dituduh tidak beradab, dihina sebagai golongan pelampau. Yang diperagungkan ialah kepala lembu!

Apabila melihat gambar lembu diatas, saya dapat bayangkan betapa lembu tersebut berasa aman damai kerana walaupun seekor, tetapi keselamatannya dijamin oleh anggota keselamatan yang lengkap bersenjata. Renungan tajam dan syahdu sang lembu jelas menujukkan keyakinan akan masa depannya di dalam negeri Selangor Darul Ehsan ini. Betapa dalam negeri Selangor ini, bukan sahaja keselamatannya terjamin, dia boleh pergi kedai runcit untuk order arak satu tong, dan pasti akan ada ahli mesyuarat kerajaan negeri yang akan mempertahankannya. Malahan akan ada Pak Janggut yang akan membaca ayat Quran untuk menjamin keselamatannya!

Tapi bila melihat gambar dibawah, sedih kita melihat umat Islam digiring (entah ke digari) saperti lembu masuk ke kandang OKT! Itulah nasib umat Islam dalam negerinya sendiri. Lembu yang mereka maksudkan sebagai lambang kebodohan dan kelembuan seorang pemimpin, kini diputarbelitkan cerita sebagai menghina tuhan orang lain. Dan akhirnya, mereka disumbat kekandang dan diperlembukan!

Mungkin satu hari nanti tak lama lagi akan ada Pak Janggut memetik Quran dan hadis supaya umat Islam berlaku 'adil dan menasihatkan umat Islam supaya jangan baca lagi Surah Al Baqarah, demi menjaga hati pengikut tuhan lembu ini. Mungkin Peguam Negara akan mengenakan pertuduhan dibawah Akta Hasutan atau Seksyen 298A Kanun Kesiksaan kepada mereka yang membaca Surah Lembu ini!! Atau apakah nanti umat Islam tidak dibenarkan lagi menyembelih lembu sebagai qurban di 'Eidul Adha, kerana khuatir menyentuh perasaan kaum Hindu?!

Apalah nasib umat Islam, diperlembukan oleh kaum sendiri! Pak Janggut memaki Pak Keris, Pak Keris menempelak Pak Janggut, tapi yang akhirnya menjadi mangsa ialah umat Islam yang kerdil di Seksyen 23, yang hanya mampu melihat Pak Janggut dan Pak Keris bertelagah dan bertikam sesama sendiri. Gajah sama gajah bertandukan, lembu jugak yang menang!
Wassalam.

Monday, August 17, 2009

SYURGA HANYA UNTUK ORANG PAS?

Perlu bahas ke?

Atau biarkan kenyataan pilihan raya menjadi kenyataan politik semata-mata.
Siapa ahli syurga? Ekslusif untuk ahli PAS sahaja?

Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata anggota Umno tidak akan masuk syurga.

Ini kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

Katanya terdapat perbezaan antara Islam yang didakwah oleh Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota Umno.

"Islam bawah Umno tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka," katanya kepada pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara Bukit Mertajam hari ini selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Saya tak reti nak berbahas kerana cetek ilmu agama. Tolonglah saya memahami apa yang diperkatakan oleh Nik Aziz ini.