"Menang dengan strategi menggunakan isu perkauman dan agama tidak akan membawa apa-apa makna, sebaliknya akan menjadikan masyarakat berpecah-belah dan menjadi ‘bom jangka’ kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Bertanggungjawabkah UMNO dan PAS kepada kelakuan dan tindakan mereka itu?"
Kita di Malaysia sudah kembali ke awal tahun 1960-an
apabila isu perkauman dan agama menjadi tajuk penting politik .
Apakah modal pekauman dan keagamaan ini baik bagi politik
sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia?
Apakah kita lupa bahawa kerana perkaumanlah menyebabkan
berlakunya tragedi berdarah Mei 1969 dan hampir sekali lagi pada Oktober 1987
apabila pemuda Melayu (UMNO) bangkit menentang ‘perkauman bukan Melayu’?
Kerajaan ketika itu terpaksa menggunakan peruntukan
undang-undang yang ada untuk memadamkan api perkauman itu.
Pada pertengahan tahun 1960-an, pada ketika UMNO dan
parti MCA dan MIC berusaha memupuk perpaduan melalui Perikatan, PAS perjuangkan
isu Melayu dan Islam sementara DAP perjuangkan kepentingan orang bukan Melayu,
khususnya orang Cina.
Namun perlahan-lahan usaha memupuk perpaduan melalui
Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara mulai 1970-an menampakkan kejayaan. Malah
pembentukan Barisan Nasional hampir menenggelamkan isu perkauman.
Terbaru, apabila Datuk Seri Mohd Najib Razak
memperkenalkan konsep 1Malaysia, usaha ini dilihat satu pendekatan baru yang menarik
dan baik.
Namun, ia digugat pula oleh kempen pembangkang, khususnya
DAP yang menyebabkan berlakunya ‘tsunami sokongan orang Cina kepada pembangkang
dalam pilihan raya umum 2013’. PAS turut bertanggunjawab dalam soal ini.
Menyedihkan, di dua pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai
Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini, bukan DAP atau PAS atau parti baru,
AMANAH yang mempermainkan isu perkauman dan agama.
Sebaliknya kali ini UMNO – bukan MCA, Gerakan atau MIC –
tetapi UMNO yang mengapi-apikan orang Melayu dan Islam dalam isu perkauman ini.
Ini dibantu oleh PAS yang seolah-olah meletakkan Rang
Undang-Undang Persendirian (RUU 355) memperkukuhkan Mahkamah Syariah bagaikan
‘satu-satunya perjuangan mereka’ dan membelakangkan isu-isu lain seperti rasuah
dan penyelewengan.
PAS berharap melaluinya akan menang pilihan raya itu.
DAP dan AMANAH diserang bertalu-talu, malah pemimpin yang
bersama dengan DAP berjuang dalam PRK itu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad
dilabelkan sebagai bersekongkol dengan mereka yang anti-Islam.
DAP diangambarkan dengan buruk sekali, iaitu parti kafir
yang menentang Islam.
Bukans ahaja melalui ceramah, liputan media kerajaan
terbabit sama. Lebih memburukkan kerajaan media sosial memainkan isu ini dengan
begitu rakus seolah-olah dua pilihan raya kecil itu sebagai ‘hidup-mati’ BN dan
politik Perdana Menteri.
Dalam menjawab kempen
Anti-Najib (ANC) terutamanya, pihak kerajaan dan UMNO mendekati kempen itu dalam
konteks perkauman dan keamaan atau kepentingan politik semata-mata - bukan
ekonomi dan pentadbiran.
Malang sungguh politik Malaysia pada pertengahan dekad
2010 ini.
Jika gagalnya Wawasan 2020, ia bukan sahaja dari sudut pencapaian pembangunan
ekonomi tetapi siakibatkan oleh isu perkauman dan agama. Ia terus menerus menjadi
senjata penting parti politik khususnya UMNO untuk berlawan dan berusaha
menewaskan lawan.
Sejarah membuktikan bahawa isu Bahasa Melayu dan Agama
Islam diperkatakan dengan begitu meluas pada 1965-1966, isu agama semakin
‘diratip’ pada 2016, selepas 50 tahun
Malaysia merdeka.
Lebih memburukkan keadaan, ada pula ‘ulama nanar’
(mengambil istilah Datuk Nakhie Ahmad) yang tolong menyimbah minyak ke dalam
api.
Cakap-cakap bahawa ‘halal untuk memenggal kepala
kafir-harbi’ dan mengkelaskan bukan Melayu dan Islam di Malaysia sebagai ‘kafir
harbi’ (Istilah ini merujuk kepada orang bukan Islam yang memerangi Islam, dan
darah mereka halal untuk ditumpahkan) bukan jalan penyelesaian atau pendekatan
yang baik di bumi Allah yang bernama Malaysia.
Pada ketika kita mengharapkan ulama memainkan peranannya
sebagai ‘penyatu dan pendamai’ di kalangan penganut pelbagai agama, mereka menjadi
batu api yang langsung tidak berguna untuk masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osmanpada 24 Jun 2016 lalu bahawa hukum bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama
atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar kerana politik
kebencian yang diamalkan oleh DAP jika dijalankan secara berterusan dibimbangi
boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara,menimbulkan kontroversi.
“Kita dapat lihat DAP begitu menentang pelaksanaan hukum
hudud dan Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah (Pindaan) 2016. Prinsip mereka jelas membenci Islam dan berdosa besar
bagi umat Islam bekerjasama dengan mereka.
“Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam untuk
berbaik-baik dengan golongan bukan Islam. Namun jika mereka yang mahu menentang
Islam, kita wajib memeranginya,” kata beliau seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Disamping itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din
berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sanggup menggadaikan
prinsipnya sendiri apabila bersekongkol dengan DAP yang nyata menjadi musuh
Islam. Kata Haron, tindakan Dr. Mahathir mencabuli prinsip yang dipegangnya
selama ini akan mengundang banyak perkara negatif.
Memburukkan keadaan menjawab serangan terhadapnya, DAP
membandingkan antara ulama dengan militant negara Islam (IS). Sebagai bidasan
terhadap mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman, pemimpin veteran DAP Lim KitSiang mempersoalkan sama ada mufti itu lebih berbahaya berbanding anggota
militan Negara Islam (IS) Mohd Rafi Udin.
Menurutnya,
walaupun Rafi tampil dalam video IS dengan ugutan untuk menyerang Ibu
Pejabat Polis Bukit Aman, dan menggesa penyokongnya untuk membunuh golongan
bukan Islam, namun, Abdul Rahman adalah ancaman lebih besar kerana melabel DAP
sebagai kafir harbi.
Bagi ulama dan agamawan Islam, apakah pendekatan memetik hadis dan menghukum
sebagau suatu pendekatan yang digalakkan oleh Islam?
Dengan ‘berfatwa’ sedemikian, apakah ia bersesuaian dengan pendirian dan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan atau
keputusan Majlis Raja-Raja Melayu dalam konteks kedudukan rakyat bukan Melayu
dan bukan-Islam di negara ini?
Apakah Raja-Raja Melayu yang menjaga agama Islam di
negara ini sanggup membiarkan ulama dan mufti tertentu membuka ‘mulut jahat’
mereka dan terus melalut tidak tentu pasal?
Isunya, menghukum bukan Islam untuk mempertahankan siapa?
Pada kempen PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru
ini, terang-terangan UMNO dan PAS mempermainkan isu bangsa dan agama untuk memerangkap
pengundi. Pling penting ialah menang, Yang lain, belakang kira.
Bukan sahaja cara ini tidak adil tetapi membahayakan
negara. Menang dengan isu perkauman dan agama tidak akan membawa apa-apa makna, sebaliknya akan menjadikan masyarakat
berpecah-belah dan menjadi ‘bom jangka’ kepada masyarakat berbilang kaum.
Bertanggungjawabkah UMNO dan PAS kepada kelakuan dan tindakan
mereka itu?
Bersorak gembira kerana menang dua PRK tetapi di hati
orang bukan Melayu dan bukan Islam sudah menyebabkan terguris juga bukan
sesuatu yang wajar dibiarkan.
Polarisasi kaum dan agama akan menjadi semakin sengit apabila
menjelangnya Pilihan raya umum ke-14 nanti. Ini bermakna di negara ini, usaha
ke arah perpaduan nasional dan ‘sehati sejiwa’ hanya pada mulut sahaja, bukan
di hati.
‘Sehati sejiwa’ di kalangan kaum sahaja, bukan di
kalangan antara kaum?
Bimbang mereka bersatu melalui satu platform – Pakatan
Harapan – serangan UMNO bersifat perkauman dan mempersoalkan kerjasama
Melayu-Bukan Melayu dan Islam-Bukan Ialam dalam pakatan itu, tidak akan membawa kebaikan untuk rakyat.
Menjawab dan meleraikan persoalan mengenai tuduhan
terhadap kegawatan ekonomi, kepemimpin negara yang dipalitkan rasuah dan
penyelewengan, isu 1MDB atau apa juga berkaitan pengurusan ekonomi dan
pentadbiran negara melalui pendekatan perkauman dan agama, hanya akan meranapkan negara.
Pemimpin dan penyokong yang mengambil pendekatan ini
sebanarnya yang wajar dipertanggungjawabkan jika negara huru-hara.
Kejayaan pemimpin duduk sepentas dan berjuang di atas isu
yang sama – menegakkan keadilan – hendaklah dijawab dengan hujah bukan
perkauman dan pendekatan agama.
Pembangkang tidak berhujah atas isu perkauman dan agama
apabila menentang RUU 335 yang dibawa oleh PAS sebaliknya lebih kepada menyatakan
kebimbangan kesan menyeluruhnya terhadap rakyat semua kaum, bukan sahaja di
Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak. Ingat itu...
BN dan UMNO sepatutnya memberikan penjelasan
sebaik-baiknya mengenai perkara seperti RUU 355 ini. Ketidak-berkesanan
penjelasan bukan masalah pembangkang.
UMNO dan PAS perlu menyalahkan diri sendiri dalam isu RUU
355 jika ada penentangan. Lihat sahaja siapa lebih banyak bersuara menentang
usul ini, parti-komponen BN atau DAP?
Jawapan ada di depan mata. Siapa mengugut akan
meninggalkan BN, keluar Kabinet dan sebagainya? DAP sebagai pembangkang sudah pasti
menyuarakan pendapatnya dari luar tetapi apa jadi dengan komponen BN yang
menentang kerajaan bagai ‘api dalam sekam’?
Anehnya ketika UMNO mempermainkan isu perkauman dan agama,
PAS melemparkan pelbagai kata nista dan memaki-hamun terhadap DAP.
Hanya gara-gara bercerai dengannya selepas Pakatan Rakyat
hancur dan Pakatan Harapan dibentuk, PAS bukan sahaja kembali ke situasi
1960-an tetapi lebih teruk.
Jika pada 1980-an mereka
mengkafirkan orang UMNO di mana ‘Amanat Hadi’ masih tidak ditarik balik,
kini mereka bersama-sama UMNO meletakkan bukan Islam ditaraf ‘pariah’ dan
penghinaan yang jijik.
PAS bagaikan si suami yang sengaja memburukkan bekas isteri
sedangkan selama ini apa yang tidak mereka lakukan bersama di atas katil ketika tidur sebantal selain mimpi yang serupa – demi ke Purtajaya?
UMNO pula, tanpa mempedulikan perasaan dan sensitiviti rakan
bukan Islamnya dalam BN menghentam orang Cina dalam DAP seolah-oleh mereka itu
tidak ada keluarga atau pertalian darah dengan Cina dalam BN.
Kenapa ketika pada pilihan raya Sarawak BN, khususnya
pemimpin BN dari Semenanjung yang berkempen di sana tidak membawa isu
sedemikian? Kenapa tidak mengtakrifkan Iban, Melanau, Dayak dan suku kaum Sarawak lain sebagai ‘kafir
harbi?’
Ternyata pemimpin UMNO hanya berani di kampung sendiri, di
kawasan majoriti Melayu – Sungai Besar dan Kuala Kangsar – sahaja.
Kita hanya berdoa agar yang berkuasa di Malaysia – Majlis
Raja-Raja, polis dan pihak berkuasa – menghentikan segera polimik ‘lafir harbi’
ini. Ia sangat berbahaya.
Jika perlu ambil tindakan, buatlah walau terpaksa kepada
mufti atau agamawan mana sekali pun. Jika orang politik melampau, dinginkannya
seperti beberapa operasi sebelum ini, termasuk Operasi Lalang.
Gunakan akta yang dicipta untuk mempertahankan negara
daripada gejala perkauman dan agama melampau.
Malaysia tidak akan dihancurkan oleh serangan atau bahaya
daripada luar. Tetapi negara berbagai kaum ini boleh huru hara dan
berpecah-belah sekiranya isu perkauman dan agama terus dibiar dan dipermainkan
sebagai alat untuk mencipta kejayaan peribadi atau kumpulan.
Lebih buruk jika ia dimainkan oleh parti pemerintah sendiri,
khususnya UMNO yang sepatutnya berjuang mempertingkatkan minda, perpaduan,
agama dan ekonomi orang Melayu untuk
setanding dengan bukan Melayu, bukannya menggunakan agama seperti PAS bagi
kepentingan politik dan kemenangan dalam pilihan raya semata-mata!
No comments:
Post a Comment