"KWAP yang menjaga kepentingan 1.6 juta penjawat awam mungkin boleh bernafas lega jika langkah menyelamat SRC berjaya tetapi bagaimana dengan harta rakyat yang semakin sehari semakin banyak terlepas ke pihak asing?"
Sebelum ini amaran demi amaran diberikan kepada Perdana Menteri dan kerajaan mengenai hutang RM4.3 bilion yang dipinjamkan oleh Kumpulan Wang Amanah Pencen
(KWAP) kepada SRC International.
Namun, amaran itu dianggap sebagai fitnah dan tidak
berasas.
Laporan akhbar Singapura The Straits Times pada
Julai lalu menyebut nilai pelaburan SRC International Sdn Bhd (SRC) menurun
ketara dan sebuah firma dari China sedang dalam proses menyelamatkannya. Jika
laporan ini benar, risiko SRC gagal membayar balik pinjamannya kepada KWAP pada
masa depan lebih besar.
Awal bulan ini Pejabat Peguam Negara Switzerland secara
terbuka menyatakan siasatan mereka mendapati sejumlah besar wang didakwa
disalah guna dari syarikat SRC dan menganggap berlaku penipuan menggunakan
kaedah seperti skim Ponzi (skim cepat kaya).
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP sebelum ini memaklumkan SRC
belum menanggung apa-apa tunggakan kepada badan itu setakat ini namun banyak
pihak menyatakan kebimbangan mengenai
jumlah baki hutang yang ditanggung sehingga 2022.
Kini apa yang berlaku?
SRC bergelut membayar faedah tahunan dan bakal menghadapi
cabaran pada awal tahun depan, apabila ia perlu membuat pembayaran faedah dan
pembayaran balik sebahagian daripada jumlah prinsipal.
Isu ini bukan rahsia lagi kerana ia sudah sampai ke
peringkat antarabangsa, Cuma rakyat Malaysia, khususnya penjawat awam sahaja
yang tidak mengambil peduli mengenainya.
Kena ingat bahawa KWAP ialah dana pencen negara untuk 1.6
juta penjawat awam.
Siapa penjawat awam? Kebanyakan mereka adalah orang
Melayu dan dikatakan menjadi penyokong kerajaan.
Kenapa mereka berdiam diri mengenai perkara ini? Siapa
berani bersuara?
Tetapi tahukah mereka apa akan berlaku kepada simpanan
pencen mereka jika hutang sebanyak RM4.3 bilion itu gagal dibayar balik oleg
SRC kelak?
Kini ternyata krisis hutang baru SRC ini menghantui bekas
anak syarikat 1MDB, SRC International yang meminjam RM4 bilion daripada dana
pencen penjawat awam.
Isu hutang SRC ini boleh menimbulkan masalah baru buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
SRC yang ditubuhkan pada 2012 adalah anak syarikat 1MDB yang menjadi
milik penuh Kementerian Kewangan bertujuan membuat pelaburan strategik sumber
tenaga di luar negara, termasuk lombong arang batu dan telaga minyak.
Ia mendapat suntikan daripada KWAP sebanyak AS$1bilion
dan nasibnya seperti 1MDB, nilainya terus menjunam.
Straits Times Singapura melaporkan, SRC membayar RM164
juta faedah tahunan kepada KWAP, bagaimanapun ia perlu membayar RM660 juta pada
tahun depan dan RM964 juta pada 2018, ketika ia mengurangkan jumlah prinsipal.
“Ini perlu diselesaikan dan satu daripada pilihan yang
sedang dipertimbangkan adalah penjualan aset dan liabiliti syarikat kepada
pihak baru,” kata seorang eksekutif kewangan yang terbabit dalam penstrukturan
semula korporat di 1MDB.
Akhbar itu memetik laporan tahunan SRC 2014 yang syarikat
itu mempunyai RM305.6 juta pelaburan di Malaysia dan RM3.8 bilion di luar
negara. Bagaimana pelaburan mereka tidak membawa keuntungan.
SRC dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM164.5 juta
bagi tahun kewangan berakhir Mac 2014 akibat kos operasi yang tinggi dan faedah
dn yuran ke atas pinjamannya.
Akaun untuk 2015 dan 2016 masih belum dilaporkan.
Isu yang juga gawat membabitkan SRC yang kini diambil
alih Kementerian Kewangan selain soal pinjaman dan hutangnnya ialah deposit
RM42 juta ke akaun peribadi Najib, pada 2013.
Pejabat Peguam Negara Switzerland baru-baru ini berkata ia sedang menyiasat
dakwaan penyalahgunaan AS$800 juta membabitkan firma milik negara, SRC
International, yang adalah bekas anak syarikat 1MDB.
Menurut carta aliran yang
didedahkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada sidang akhbarnya
pada Januari, firma milik UBG menyalurkan dana dari SRC le dalam akaun Ambank
kepunyaan Najib.
Apandi menjelaskan, Najib tidak tahu bahawa wang dari SRC
International disalurkan ke dalam akaunnya dan menyangkakan wang itu adalah
sebahagian daripada AS$681 juta - yang Najib berkata adalah sumbangan dari ahli
keluarga diraja Saudi.
Amaran demi amaran diberikan dan berbagai liku peristiwa
berlaku dalam syarikat ini dan akhirnya inilah antara peristiwanya:
1. Tun Dr Mahathir
Mohamad pada 28 Oktober 2016, mempersoalkan kemasukan RM42 juta dari SRC International (milik Kementerian Kewangan
diperbadankan) ke dalam akaun peribadi Najib, ia masih berada sebagai perdana
menteri Malaysia; (siasatan pihak berkuasa Malaysia dan Amerika Syarikat jelas
mendapati RM42 juta daripada dana SRC masuk ke akaun Najib);
2. Ahli Parlimen Tambun Ahmad
Husni ketika membahaskan rang
undang-undang perbekalan 2017 di Parlimen Isnin lalu (24 Oktober 2016) mempertikaikan alasan sebalik keputusan KWAP untuk meminjamkan RM4 bilion secara sekaligus
kepada SRC. Lazimnya pinjaman diberi
secara berperingkat, katanya.
3. Bekas senator Datuk
Ezam Mohd Nor pada 27 Oktober 2016 bukan
setakat menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula
siasatan berhubung bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC). tetapi
turut membuat laporan kepada SPRM di pejabat agensi antirasuah itu di Shah Alam
Selangor. "Mengambil kira tatacara pemberian wang RM4 bilion kepada SRC
yang dibuat secara luar biasa, SPRM juga perlu menyiasat segera semua anggota
lembaga KWAP dan badan pengurusannya," kata Ezam dalam kenyataan kepada
media.
4. Laman sesawang Sarawak
Report melaporkan bahawa
wang tunai berjumlah RM3.4 juta disalurkan ke dalam dua akaun Ambank yang
dimiliki oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Februari dan Mac,
2015. Memetik kebocoran maklumat siasatan, ia mendakwa rekod bank menunjukkan
bekas pengarah urusan SRC Nik Faisal Ariff Kamil menguruskan beberapa akaun
bank kononnya milik Najib. Perdana menteri tidak memberikan maklum balas kepada
permintaan mendapatkan komennya terhadap dakwaan itu.
Kini dalam kedudukan di mana SRC kini mulai rasa tertekan
dengan nilai syarikatnya yang semakin susut, Straits Times Singapura melaporkan,
perunding kerajaan Malaysia sedang membincangkan pengambilalihan aset SRC oleh
sebuah syarikat China.
Ia bagi
mendapatkan modal baharu untuk membiayai pinjaman 10 tahun KWAP itu. Yang
diwar-warkan ialah SRC mungkin menjual asetnya kepada sebuah syarikat China
untuk mendapatkan modal baru.
Perdana Menteri akan melakukan lawatannya ke China mulai
esok sehingga 6 November ini dan salah satu cadangan mungkin syarikat China
akan mengambil alih aset SRC yang disifatkan sebagai ‘unit pelaburan’.
Firma China dikatakan bersedia untuk menyelamatkan (bail
out) 1MDB dan SRC sebagai sebahagian rancangannya mendapatkan hak bagi membina
kereta api berkelajuan tinggi ( high-speed rail - HSR) yang akan menyambung Kuala
Lumpur dan Singapura. Dijangka kos untuk
HSR sehingga AS$13 bilion .
Kos sebenar belum dikeluarkan tetapi Perdana Menteri
pernah menyebut pada Mei, perjanjian mungkin ditandatangani di Singpura mungkin
bukan ini atau November.
Ini bukan kali pertama firma China berusaha menyelamatkan
syarikat Malaysia kerana sebelum ini Edra Global Energy milik 1MDB pernah
dijual kepada China General Nuclear
Power Corp untuk RM17 billion November lalu.
Beberapa minggu kemudian China Railway Engineering Corp membeli
saham dalam pembangunan yang untuk sejumlah RM12.4 bilion.
Jika langkah menyelamatkan SRC ini berlaku bermakna akan ada
tiga pelaburan besar firma China di Malaysia gara-gara kerenah 1MDB dan SRC.
Kita berharap soal hutang KWAP ini dapat diselesaikan melalui langkah menyelamat walaupun bimbang dan tidak dapat diramalkan mengenai nasib SRC.
KWAP yang menjaga kepentingan 1.6 juta penjawat awam mungkin
boleh bernafas lega jika tiada langkah menyalamat SRC berjaya dan masalah dengan hutangnnya selesai tetapi bagaimana dengan harta rakyat yang semakin sehari
semakin banyak terlepas ke pihak asing – bukan kepada Cina tetapi China!