Saturday, August 14, 2010

NIK AZIZ SILAP CAKAP ATAU BERNAMA SALAH LAPOR?

Pengurus Kewangan Permodalan Kelantan Berhad, Azmi Harun menunjukkan emas dinar dan perak dirham pada Majlis Pelancaran Matawang Syariah Emas Dinar dan Perak Dirham Kelantan yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pusat Dagangan Kelantan di Kota Bharu, kelmarin.

Bernama dan beberapa agensi berita salah lapor sementara Datuk Dr Awang Adek tidak faham.

Itulah apa yang dikatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa mengenai pengumuman Kerajaan PAS Kelantan mengenai dinar emas dan dirham perak.

Jadi simbolik kepada majlis pelancaran itu apabila Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyerahkan dinar emas kepada Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, Mustapha Salleh bagi pembayaran gaji kepada kakitangannya untuk bulan ini, bermakna ia tidak pernah berlaku?

Kata Husam: "Mungkin (Bernama) terlalu terkejut dengan berita itu dan hendak buat sensasi. Kita pun tak pernah kata ini sebagai matawang. Tapi nilainya itu ada," katanya lagi.

Begitu rendahkah martabat laporan dan pemberitaan oleh Bernama ketika ini sehingga majlis sedemikian yang tidaklah terlalu ‘berat’ pun tersalah lapor?

Apakah ini mutu pemberitaan agensi berita nasional milik kerajaan ketika ini? Apakah ini merupakan krisis dalam dunia kewartawanan Malaysia hari ini?

Gara-gara salah lapor itu Husam terpaksa jelaskan bahawa dinar dan dirham tersebut sebenarnya digunakan untuk pertukaran barangan.

Jika Bernama sebagai sebuah agensi berita yang berintegriti dan bermaruah, ia perlu mengakui atau menafikan apa yang diperkatakan oleh Husam. Jika tidak keyakinan orang ramai kepada Bernama akan sedikit sebanyak terhakis!

Husam tidak faham kenapa banyak pihak keliru dengan pelancaran mata wang syariah tersebut sedangkan ia hanya pengenalan kepada sistem tukaran barang yang menggunakan logam emas dan perak.

Husam menyalahkan beberapa agensi berita kerana menyiarkan laporan tidak tepat mengenai dinar emas dan dirham perak sehingga menimbulkan kekeliruan.

"Saya tidak nampak kenapa perkara ini perlu diperbesar-besarkan selepas kerajaan Kelantan memperkenalkannya kerana ia telah digunakan sejak zaman Islam menguasai dunia lagi," katanya di Kota Bharu semalam.

Beliau turut menafikan emas dinar, dirham perak bukan matawang. Dengan kata lain, emas dan perak berkenaan tidak pernah diumumkan sebagai matawang, sebagaimana yang dilaporkan oleh agensi berita itu.

Dengan kata lain, Bernama salah besar dalam laporannya. "Siapa yang kata (ini matawang). Kita tidak pernah kata ini sebagai matawang. Tapi dari segi syariah, ia memang boleh dianggap sebagai matawang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Katanya lagi, beliau hadir ke majlis pelancaran tersebut semalam dan tidak mendengar Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan emas dan perak itu sebagai matawang.

Ironinya, berita pelancaran dinar emas dan dirham perak ini tidak dilaporkan pula oleh Harakahdaily Online seperti biasa.

Ini bukan projek kecil. Ia adalah kerja besar Kerajaan PAS Kelantan.

Sama seperti pelancarannya, penafian oleh Husam juga tidak disiarkan oleh Harakahdaily. Ia dibuat melalui Malaysiakini. Apakah media milik PAS itu pun turut keliru atau bagaimana?

Persoalannya apakah PAS Pusat tidak setuju dengan apa yang dibuat oleh Kerajaan PAS Kelantan dan mengarahkan Harakahdaily jangan membuat laporan mengenai perkara yang dilakukan oleh PAS Kelantan itu?

Persoalan mula timbul. Apakah ia satu perancangan oleh Husam dan menggunakan Musyridul Am yang juga Menteri Besar, Nik Aziz yang ‘tidak tahu’ mengenai peraturan legal tender untuk bercakap?

Jadi, apakah Nik Aziz tersilap cakap apabila mengatakan mata wang syariah dinar dan dirham akan digunakan dalam transaksi seharian termasuk pembayaran gaji kepada kakitangan awam?

Selain itu, apakah Nik Aziz juga tersalah cakap apabila mengatakan kira-kira 1,000 peniaga di bandar ini bersetuju menerima dinar emas dan dirham perak dalam transaksi perniagaan mereka?

Beliau juga mengatakan Dr Awang tidak faham apabila mengulas di Berita Harian semalam apabila berkata hanya kerajaan persekutuan melalui Bank Negara Malaysia mempunyai hak mutlak untuk mengeluarkan matawang.

Mengulas kenyataan tersebut, Husam berkata: "Semua orang tahu kerajaan negeri tidak boleh keluarkan matawang. Datuk Awang Adek yang tak faham."

Tambahnya, kerajaan negeri juga tidak perlu membuat rundingan dengan Bank Negara Malaysia untuk menjadikan dinar sebagai matawang. "Sebab kita tidak pernah kata nak jadikan dinar ini sebagai matawang," katanya lagi.

Perkara ketiga yang disalah lapor ialah berkaitan fungsi Bank Islam dan Tabung Haji dalam konteks penggunaan dinar dan dirham di Kelantan. Bernama tersilap lapor apabila mengatakan Bank Islam dan Tabung Haji sebagai ejen untuk menerima mata wang syariah itu berurusniaga.

Menurut Husam, emas dan perak itu sebaliknya boleh disimpan di Bank Islam melalui skim Ar-Rahnu.

Apapun, Bank Negara semalam menegaskan, hanya mata wang ringgit sah diperakukan bagi pembayaran barangan dan perkhidmatan di negara ini.

Dalam kenyataannya, ia menegaskan di bawah undang-undang negara ini, BNM sahaja yang berhak untuk mengeluarkan mata wang di Malaysia.

Penjelasan itu dibuat oleh BNM berhubung pelancaran mata wang dinar dan dirham Kelantan yang dilaporkan digunakan sebagai alternatif kepada mata wang sedia ada.

2 comments:

  1. langsung tak paham biul terus tertidog????

    ReplyDelete
  2. Itulah sebahagian tanda-tanda Nik Aziz akan cuba jadikan Kelantan sebuah Republik baru kalau PAS tidak dapat berkuasa sepenuhnya di Malaysia. Isu ini pernah dicetuskan oleh Nik Aziz semasa Tun Mahathir menjadi PM sekitar tahun 90an apabila dikatakan tidak mahu menerima Undang-Undang Hudud yg telah diluluskan oleh DUN Kelantan...

    Tak mustahil kan ? Begitu juga di Penang LGE telah bercita-cita menjadikan republik jika berjaya.......

    ReplyDelete