Saturday, May 1, 2010

SULTAN SELANGOR vs NIK AZIZ

Apakah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berada dalam keadaan ‘riak’ apabila menjawab soalan wartawan mengenai kempen politik dalam masjid tempoh hari?

Apakah kenyataannya bahawa ‘kempen politik di dalam masjid atau surau adalah tidak salah dan berpendapat tegahan berbuat demikian adalah ajaran karut yang ditinggalkan penjajah Inggeris’ itu dibuat pada masa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor semata-mata?

Atau memang Nik Aziz tidak mengetahui langsung (tidak diberitahu atau dimaklumkan oleh pegawainya) bahawa Sultan Selangor ada bertitah melarang kempen di masjid?

Atau apakah beliau memang tidak faham atau sengaja tidak mahu faham apabila membuat kenyataan mengenai perkara itu di Selangor?

Juga apakah Nik Aziz sebagai Menteri Besar tidak tahu atau sengaja tidak peduli hubungan antara Sultan dan agama Islam di negeri-negeri, seperti juga di Kelantan?

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kemudian menafikan beliau mengingkari titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang pemimpin parti politik daripada menggunakan masjid dan surau di Hulu Selangor sebagai gelanggang untuk berkempen.

Pejabat Menteri Besar Kelantan dalam kenyataannya pada 24 April 2010 lalu mengatakan media memberikan gambaran yang mengelirukan kerana komen beliau yang dilaporkan di muka depan beberapa akhbar utama hari itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan larangan yang baginda keluarkan.

Jika Nik Abdul Aziz sentiasa sedar serta sering berpegang dengan prinsip Islam sebenar bahawa politik kepartian tidak boleh disebut di dalam masjid bagi mengelakkan sebarang perpecahan dan suasana yang tidak harmoni, beliau tidak akan mempertikaikan titah Sultan Selangor itu.

Selain itu perenggan akhir kenyataan akhbar Menteri Besar yang berbunyi - "Namun apabila memisahkan institusi masjid daripada sebarang program ilmu untuk mengajar politik Islam adalah satu tindakan berasaskan fahaman sekular warisan penjajah," dengan jelas sebagai usaha menegakkan benang basah.

Berikutan kenyataan Nik Aziz itu (sejauh ini tidak ada kenyataan daripada pemimpin PAS lain, termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul hadi Awang), Sultan Sharafuddin kelmarin mengingatkan sesiapa yang tidak bersetuju dengan peraturan dan undang-undang di negeri itu, termasuk larangan berpolitik di masjid serta surau, hendaklah mengelak daripada datang ke Selangor.

“Sesetengah ahli politik mempertikaikan titah beta dan menganggapnya sebagai karut dan peninggalan penjajah,” titah baginda di Klang ketika merasmikan pertukaran nama Sekolah Agama Menengah Tinggi Jalan Kota Raja kepada Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin.

Ironinya semalam, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad semalam mempertahankan tindakan Mursyidul Am Pas itu dengan mengaitkan kenyataan Menteri Besar Kelantan pada 23 April lalu bahawa berpolitik di masjid dan surau dibolehkan hanya merujuk kepada politik menyatupadukan umat Islam dan bukan melibatkan politik kepartian yang boleh memecahbelahkan umat, fitnah serta caci-mencaci.

Katanya, Nik Aziz selama mengadakan kuliah dalam masjid (beliau) bercakap politik tetapi bukannya dalam konteks politik partisan. Beliau bercakap dalam konteks menyeru umat Islam mengamalkan corak politik Islam seperti amanah, prihatin, kebajikan dan menegakkan keadilan.

Bercakap di pejabatnya di Seksyen 13 di Shah Alam, beliau percaya titah Sultan Selangor itu merujuk kepada politik partisan dan mengadu domba serta memecahbelahkan perpaduan di kalangan umat Islam. ''Sebaliknya, politik yang dimaksudkan oleh Nik Abdul Aziz ialah politik Islam berasaskan al-Quran dan sunah Rasulullah,'' jelasnya.

Khalid sebaliknya menyalahkan pihak media yang melaporkan seolah-olah kenyataan Nik Abdul Aziz itu bercanggah dengan titah Sultan Selangor yang menegaskan larangan penggunaan masjid dan surau untuk tujuan berpolitik.

Bagi Sultan Selangor, baginda menegaskan walaupun tiada halangan bagi rakyat dari negeri lain untuk bermastautin atau mencari rezeki di negeri ini, mereka hendaklah mematuhi segala peraturan serta undang-undang di Selangor.

Sultan Sharafuddin menjelaskan baginda melarang masjid dan surau digunakan sebagai pentas politik semata-mata untuk menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadat itu.

Pada ketika Sultan Selangor membuat kenyataan ini hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Persoalannya, tidak malukah dan terasa canggungkah Khalid apabila sultannya sendiri membuat kenyataan itu dengan merujuk kepada rakan pembangkangnya dari PAS?

Dengan jelas Sultan Sharafuddin menegaskan jika masjid dan surau dibiarkan untuk digunakan sebagai pentas kempen politik, ia dikhuatiri akan disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab dengan perbuatan yang boleh mencemar kesucian masjid, seperti mencaci, memfitnah serta membuat tohmahan tidak berasas dan memburukkan keperibadian seseorang.

Rasional yang diberikan oleh Sultan Sharafuddin bahawa keadaan pada zaman Rasulullah adalah berbeza kerana baginda berceramah di masjid untuk mengajak umat Islam mengukuhkan perpaduan adalah tepat.

Malah, Sultan Selangor memberikan pendapatnya: “Nabi Muhammad tidak menyebar fitnah atau menghina orang lain dalam masjid seperti yang berlaku sekarang, sebaliknya menggunakan masjid untuk menyedarkan umat Islam pada masa itu kerana ia menjadi tempat umat Islam berkumpul untuk beribadah dan menguatkan silaturahim. Justeru, tidak munasabah bagi membandingkan peranan Rasulullah menggunakan masjid untuk berpolitik dengan keadaan sekarang, yang mana ahli politik mengambil kesempatan untuk menggunakan masjid sebagai platform untuk menyebarkan agenda politik mereka.”

Bukan Sultan Selangor sahaja menempelak Nik Aziz sebaliknya pada 24 April lalu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kelantan itu tidak wajar kerana Selangor mempunyai enakmen yang melarang penggunaan institusi Islam untuk tujuan politik bagi mengelak disalah guna sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam.

Jelasnya, sebagai seorang Menteri Besar, Nik Abdul Aziz sepatutnya lebih arif dalam soal berkenaan terutamanya dari segi bidang kuasa perundangan Islam yang diletakkan di bawah pentadbiran mengikut negeri masing-masing. Bidang kuasa itu katanya, turut melibatkan kedudukan Ketua Agama Islam Negeri yang diketuai oleh Sultan dan Raja mengikut negeri masing-masing termasuklah di Kelantan sendiri.

"Dia (Nik Abdul Aziz) perlu faham bahawa di Selangor ini, kita ada enakmen yang melarang pengunaan masjid dan surau untuk tujuan politik. Kalau di Kelantan, terpulanglah kepada dia untuk berbuat demikian (gunakan masjid dan surau untuk berpolitik). Akan tetapi kalau di Selangor, dia kena patuhi undang-undang di negeri ini serta menghormati titah Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri," katanya.

Tambah Mohammed Khusrin, mana-mana pihak menghina kuasa yang sah, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah dan arahan Sultan selaku Ketua Agama Islam, MAIS dan mufti adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

2 comments:

  1. TIADA YANG ANEH DENGAN PERLAKUAN NIK AZIZ DAN PENGANUT PAS YANG LAIN.MEREKA TELAH LAMA MENCEMARKAN BANYAK MASJID KHUSUSNYA DI KELANTAN DAN NEGERI DI BAWAH TAKLUK MEREKA DENGAN NAJIS DAN DAKI POLITIK.SEJAK BERZAMAN LAGI FITNAH,CACIAN DAN MAKIAN BERKUMANDANG DI MIMBAR MASJID TERUTAMA SEKALI DI KELANTAN...DAN PERPECAHAN ITU SAHINGGA KINI BELUM TERUBAT DAN IANYA TERUS BERNANAH DALAM URAT DAN NADI PENGANUT TEGAR PAS TERUTAMA SEKALI GENERASI LAMA.TIADA USAHA YANG PERNAH ATAU AKAN DILAKUKAN OLEH PAS UNTUK MEMPERBETUL DAN MENYELAMATKAN KEADAAN,SEBALIKNYA USAHA TERUS DILAKUKAN OLEH PENGANUT INI UNTUK MEMBURUKKAN KEADAAN YANG SEDIA ADA...DAN PENYEBARAN DAKYAH JAHAT INI TERUS DILAKUKAN KE NEGERI-NEGERI LAIN DENGAN HANYA BERTUJUAN MELUASKAN PENGARUH POLITIK SEMPIT DAN JUMUD.....PENGANUT PAS SEMEMANGNYA DIKURNIAKAN SEKEPING HATI YANG MAHA KERAS DAN MANA MUNGKIN INSAN BIASA MAMPU MENGUBAHNYA HATTA SULTAN SEKALIPUN....MEREKA JUGA BONGKAK,SOMBONG,RIAK,UJUD,TAKBUR SERTA KAYA DENGAN NAFSU AMARAH,MEREKA BERSELINDUNG DI SEBALIK JUBAH BERSIH DAN SERBAN BERJELA NAMUN HATI MEREKA...........HANYA ALLAH YANG TAHU.

    ReplyDelete
  2. oiii politik kepartian dengan politik isle tak dapat beza kah...umno yg gie sembahyang hajat kat masjid mohon calon hindu menang tu apa...oiii serupa laa hang pergi sembah tokong jugak..

    ReplyDelete