Monday, March 8, 2010

HALUAN MANA PILIHAN ZULKIFLI?

Ada pemimpin UMNO pelawa Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru Zulkifli Nordin supaya menjadikan UMNO sebagai platformnya bergerak untuk berkhidmat kepada rakyat.

Pemimpin PAS pula pelawa lebih jauh. Dia mahu Zulkifli sertai PAS selepas dipecat Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Tetapi kesian kepada Tuan Ibrahim Tuan Mat. Tidak sampai 24 jam, cadangannya dipatahkan serta merta oleh seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar petang semalam.

Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS mempelawa Zulkifli menyertai PAS seperti yang dilaporkan akhbar elektronik mStar semalam.

Tuan Ibrahim berkata PAS sedia membuka pintu kepada Zulkifli Noordin jika bekas anggota PKR itu ikhlas mendokong prinsip dan perjuangan parti mereka.

Katanya, parti itu sedia mempertimbangkan penyertaan Zulkifli ke dalam PAS.
"PAS sentiasa mengamalkan dasar terbuka kepada sesiapa sahaja untuk menyertai kami termasuk YB (Yang Berhormat) Zulkifli. Kalau beliau mengemukakan permohonan, pihak jawatankuasa parti akan mempertimbangkannya," katanya.

Zulkifli dalam sidang medianya semalam selepas dipecat daripada PKR menegaskan tidak akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut atau mengosongkan kerusinya sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata akan mengkaji dan menimbang pilihan yang ada sebelum mengambil tindakan sewajarnya selain tidak menolak kemungkinan menyertai PAS sekiranya parti itu memperjuangkan Islam pada masa depan.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang bermesyuarat semalam sebulat suara memecat Zulkifli selepas lembaga disiplin parti itu mengambil kira tindakannya membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkenaan isu kalimah Allah dan kritikan beliau terhadap kepimpinan DAP.

Dalam pada itu, Ketua UMNO bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir mempelawa Zulkifli supaya menjadikan UMNO sebagai platform untuknya terus berkhidmat kepada rakyat.

"Memandangkan YB Zul (Zulkifli) sudah tidak percayakan lagi hala tuju dan prinsip PKR, beliau boleh menjadikan UMNO sebagai platformnya bergerak untuk berkhidmat kepada rakyat seperti yang ditelah dijalankan UMNO selama ini", kata Abdul Aziz yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Zulkifli semalam berkata beliau mahu menjadi Anggota Parlimen bebas untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Bagi Tuan Ibrahim, walaupun PAS mengamalkan dasar terbuka bagi sesiapa sahaja untuk menyertai parti itu, namun berharap penyertaan Zulkifli mampu mengukuhkan PAS dan tidak membebankan parti.

"Kami harap penyertaan ke dalam PAS akan dapat membantu menguatkan lagi parti ini dan bukannya menjadi beban kepada parti," katanya.

Selain itu Tuan Ibrahim berkata, PAS menghargai kesetiaan yang ditunjukkan Zulkifli untuk bersama Pakatan Rakyat. Kata Tuan Ibrahim: "Kami menghargaai kesetiaannya untuk terus berjuang bersama Pakatan Rakyat, walaupun dipecat daripada PKR beliau tetap mahu berjuang bersama kita... prinsip itu perlu dihargai."

Kelembutan dan keterbukaan Tuan Ibrahim rupa-rupanya tidak ada pada Mahfuz dan bagaikan terlalu marah beliau menepis cadangan rakan Naib Presidennya dengan mengatakan: “Mungkin dia (Tuan Ibrahim) berniat dakwah, tapi saya anggap kenyataan itu masih bersifat peribadi yang tidak perlu dipolemikkan.”

Mahfuz menegaskan, keterbukaan wajar diteliti terlebih dahulu oleh kepemimpinan tertinggi PAS. Selain itu, menurut Mahfuz, PAS seharusnya mengormati etika kepartian yang dipegang secara bersama-sama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Sekiranya Zulkifli dibawa menyertai PAS, Mahfuz menjangkakan bahawa PAS sendiri bakal dilihat serong oleh para pemimpin Pakatan Rakyat serta rakyat sendiri.

Tambahnya lagi, Zulkifli yang dilihat acapkali bersikap provokasi, tidak beretika menurut prinsip organisasi serta tidak dilihat bersikap toleransi dengan penganut agama-agama lain sebelum ini, membolehkan PAS sendiri dilihat serong kelak.

“Dia dilihat cukup provokatif dalam isu kalimah ‘Allah’ umpamanya, kadang-kadang dilihat begitu 'mengganggu' muafakat Pakatan Rakyat (atas nama) Melayu, sedangkan Islam tidak mengajar sedemikian (dan) PAS pula adalah parti yang toleransi lagi (bersikap) sederhana dengan semua kaum dan penganut agama sebagaimana yang ditunjukkan (oleh) Nabi Muhammad s.a.w.”

Sebab itu, Mahfuz berkata, PAS seharusnya membuat pertimbangan yang sewajarnya mengikut kaedah yang disarankan menurut disiplin ilmu Islam.
Dengan tegas Mahfuz mengatakan: "Kita tak boleh ambil ahli-ahli yang ditolak oleh parti kawan-kawan kita, apatah lagi kalau seseorang itu ditolak disebabkan mengganggu muafakat Pakatan Rakyat, kerana ini etika yang dipegang bersama," jelasnya.

Sekiranya PAS menerima Zulkifli, Mahfuz berkata, PAS boleh dilihat tidak menghormati ketetapan berupa disiplin yang ditetapkan oleh PKR sendiri. Ini kerana, dengan penyertaan Zulkifli ke dalam PAS, boleh mengakibatkan isu disiplin yang dialami oleh PKR mungkin berpindah pada PAS pula.

"Selepas PKR, mungkin PAS pula berdepan dengan ahli-ahli yang tidak disiplin, yang akhirnya tidak juga menyelesai masalah pokok (disiplin) dalam Pakatan Rakyat sendiri. Orang yang tidak ada disiplin dalam parti kawan kita, tiba-tiba kita (PAS) pula atas nama 'terbuka' nak ambil orang itu masuk ke dalam parti kita,” jelasnya.
Walau apa juga hujah Mahfuz, sewajarnya beliau tidak cepat mematahkan cadanganb rakan Naib Presidennya.

Sewajarnya kita tunggu apa kata pemimpin atasan PAS mengenai isu Zulkifli ini.

Lagipun, bukan masalah sangat kalau beliau masuk PAS kerana ia ibarat ‘ikan pulang ke lubuk’. Hati Zulkifli tidak jauh daripada PAS berbanding UMNO.

Dan jika PAS juga tolak Zulkifli, apakah pilihan yang beliau ada?

Mahu kekal Bebas sampai bila?

1 comment:

  1. Buat masa ini, Zulkifli tidak sesuai untuk mana-mana parti. UMNO tidak perlu jemput Zulkifli. Nanti ada orang kata 'sampah' bagi PKR, 'mutiara' bagi UMNO. Biarlah Zulkifli menjadi MP Bebas......mungkin itu beliau akan lebih dihormati. Sampai bila? Terpulanglah kepada Zulkifli....mungkin karier politiknya berakhir dengan menjadi MP Bebas.....

    ReplyDelete