Thursday, February 18, 2010

TUDUHAN TERHADAP ANWAR TIDAK BERNIAT JAHAT

(Terkini)

Mahkamah Rayuan mendapati pertuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah lengkap, tidak berniat jahat dan bukan penyalahgunaan proses mahkamah.

Ini bermakna Ketua umum PKR itu gagal dalam rayuannya semalam di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.

Hari ini, di Mahkamah Tinggi ,
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menegaskan beliau tidak akan mengundurkan diri kerana tiada bukti yang menunjukkan beliau menipu seperti yang didakwa oleh pihak peguam bela.

"Tiada sebab bagi saya melucutkan diri kerana dengan berbuat demikian akan dilihat sebagai melarikan diri daripada tanggung jawab dan amanah saya sebagai hakim," katanya.
Mohamad Zabidin berkata untuk membolehkan beliau menarik diri, pihak pembelaan perlu menunjukkan bahawa hakim yang mendengar kes bertindak berat sebelah ataupun mungkin bertindak berat sebelah.

"Pemohon juga perlu menunjukkan kepada mahkamah bahawa hakim mungkin membuat keputusan bukan berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang dikemukakan di mahkamah tetapi berdasarkan perkara-perkara lain," katanya.

Dengan keputusan tidak mengundurkan dirinya, perbicaran kes liwat yang membabitkan mantan timbalan perdana menteri itu akan bersambung dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dirinya diliwat disoal siasat oleh peguambela Anwar.

Anwar membuat permohonan penangguhan Rabu lalu setelah mendakwa hakim berkenaan berat sebelah dan menipu kerana gagal bertindak ke atas akhbar Utusan Malaysia berhubung laporan perbicaraannya.

Peguam Karpal Singh, yang mewakili Anwar, membuat permohonan itu setelah Mohamad Zabidin menolak permohonan pihak pembelaan berhubung dua artikel yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia yang disifatkannya sebagai mempunyai elemen berat sebelah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut menangguhkan perbicaraan kes liwat terhadap Anwar 25 Mac depan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu sementara menunggu rayuan Anwar untuk mencabar keputusan beliau tidak mengundurkan diri daripada mendengar perbicaraan kes liwat ketua umum PKR itu.

Di Mahkamah Rayuan semalam, Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin menjelaskan semalam bahawa tiada kes untuk mahkamah itu membenarkan rayuan tersebut.

Beliau juga memutuskan bahawa laporan perubatan hanyalah untuk menyokong kerana ia juga perlu disokong oleh keterangan lisan, forensik dan bukannya semata-mata laporan itu sahaja.

Hakim Abu Samah juga berkata, mahkamah berpendapat Anwar gagal membuktikan bahawa pertuduhan atau pendakwaan terhadap beliau bersifat tidak adil dan satu menyalahgunaan proses mahkamah.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Wira Abu Samah sendiri yang bersidang bersama Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar @ Izhar Ma’ah.

Berikutan tuduhan liwat itu adalah lengkap, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk membatalkan pertuduhan itu semalam.

Mahkamah Rayuan menerima hujahan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden bahawa laporan perubatan di mana Anwar bergantung untuk menyokong permohonan membatalkan pertuduhan terhadapnya itu tidak meyakinkan.

Anwar, 63, telah memohon tuduhan liwat terhadapnya dibatalkan atas dasar penemuan dalam laporan perubatan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur, yang menyatakan tiada hasil klinikal yang tepat menunjukkan berlakunya penetrasi.

"Laporan perubatan bukan satu-satunya bukti terhadap Anwar. Ia hanya keterangan sokongan mengenai apa yang hendak disampaikan oleh doktor,” kata Abu Samah dalam penghakimannya.

Katanya, afidavit pendakwaan telah menyatakan bahawa mereka akan bergantung kepada keterangan secara lisan dan keterangan forensik bagi membuktikan kes terhadap Anwar.

Anwar, Penasihat PKR, sedang dibicarakan terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun 2008.

Sementara itu, Ketua Pembangkang berkenaan melantik pakar forensik dan DNA luar negara untuk pasukan pembelaan menolak dakwaan pihak pendakwaan mengenai analisis DNA untuk perbicaraan kes liwatnya.

Peguam belanya, Sankara Nair berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah mendapatkan perkhidmatan pakar DNA Dr. Brian Leslie McDonald dari Sydney, Australia; dan dua pakar forensik, Prof. Dr. C. Damodaran dari Chennai, India dan Prof. Madya David Lawrence Noel Wells dari Melbourne, Australia.

Dalam satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada media semalam, Nair berkata, beliau akan membawa pakar berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pukul 9 pagi hari ini.

Kehadiran tiga pakar DNA dan forensik dari pihak pembelaan yang dipanggil untuk memberi keterangan. Mereka tiba sewal 8.40 pagi turut menarik perhatian orang ramai.

Mereka ialah Dr Brian McDonald, seorang pakar DNA expert dari Sydney, Australia, dan pakar forensik India, Dr C Damodaran, dari Chennai serta Dr David Wells dari Melbourne, Australia.

Anwar tiba pada jam 9.40 pagi dengan ditemani oleh isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bekas setiausaha agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar, supremo DAP Lim Kit Siang dan menteri besar Perak yang disingkirkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Anwar, 63, yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful (kiri), 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

1 comment:

  1. Tuan,

    Nampaknya Anwar akan menggunakan pakar-pakar DNA asing ini untuk menafikan sampel DNA pihak pendakwa. Ini satu perkembangan yg sangat menarik. Pihak pendakwa juga boleh melantik pakarnya nanti. Yang penting sekarang ini bagi rakyat Malaysia ialah mahu melihat kes perbicaraan diteruskan tanpa gangguan . Kedaulatan Undanng-Undang mesti ditegakkan.

    ReplyDelete