Wajarkah kenyataan menyifatkan sebatan syariah sebagai zalim dan kejam? Apakah tindakan itu boleh dianggap keterlaluan?
Atau apakah kenyataan itu menggambarkan pihak berkenaan tidak mempunyai asas perundangan dan Hukum Syarak.
'Sebat insafkan kami' - Kumpulan tiga wanita Islam pertama yang menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di Penjara Wanita Kajang tidak mahu mengulangi kesilapan mereka.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pada 9 Januari lepas buat pertama kali hukuman sebat dijalankan ke atas wanita membabitkan tiga pesalah jenayah syariah.
Kenyataan itu membawa respons daripada beberapa pihak termasuk NGO yang antara lain menyifatkannya sebagai zalim dan diskriminasi terhadap kaum wanita.
Sedangkan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengatakan sebatan syariah mempunyai falsafah yang tersendiri dan berakar umbi daripada sumber hukum Islam yang utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
PPMM juga mengatakan dengan mempertikaikan efektif atau tidaknya hukuman sebatan Islam ini samalah seperti mempertikaikan hikmah dan mukjizat al-Quran dan Rasul.
Pertikaian timbul apabila munculnya berita mengenai tiga wanita yang disabitkan dengan kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah.
Dua daripada wanita itu dikenakan enam sebatan, manakala seorang lagi empat sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 antara Disember 2009 hingga Januari lalu.
PEGAWAI Jabatan Mufti Negeri Pahang menunjukkan cara sebatan kes peminum arak dan zina pada satu seminar di Kuantan, baru-baru ini.
Pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu dengan disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.
Tahun lalu, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang menjatuhkan hukuman enam sebatan terhadap Kartika Sari kerana kesalahan meminum arak, mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan hukuman berkenaan terpaksa ditangguhkan sehingga hari ini.
Beberapa pihak termasuk NGO mempertikaikan hukuman itu yang didakwa sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan walaupun Kartika sendiri rela untuk dikenakan sebatan.
Bantahan dan pertikaian mengenai hukuman ini semakin kuat, khususnya daripada badan pertubuhan bukan-kerajaan Islam sendiri.
Selain membantah pelaksanaan hukuman sebat terhadap tiga wanita Islam yang diadakan pada 9 Februari lalu mereka juga mempersoalkan tindakan kerajaan merahsiakan pelaksanaan hukuman berkenaan daripada pengetahuan masyarakat sehingga didedahkan melalui media kelmarin.
Pengarah Eksekutif Sisters in Islam (SIS), Dr Hamidah Marican berkata, pihaknya mengutuk hukuman sebat berkenaan kerana bertentangan dengan undang-undang sivil Seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah yang menghalang hukuman sebat dijalankan terhadap wanita.
"Kami amat terkejut dengan tindakan pihak penjara melakukan hukuman sebat terhadap tiga wanita muslim itu."Kami juga ingin mempersoalkan motif kerajaan meneruskan hukuman sebat berkenaan walaupun isu mengenai kes Kartika (Sari Dewi Shukarno) masih belum selesai," katanya.
Hamidah turut menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya mengambil tindakan berhubung perkara ini termasuk isu yang melibatkan Kartika.
Pengarah Eksekutif Pusat Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Maria Chin Abdullah berkata semalam, pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan itu kerana dianggap melanggar prinsip hak asasi manusia terutamanya terhadap wanita.
"Sebagai NGO wanita kami amat kecewa dengan hukuman berkenaan, hukuman sebat terhadap kaum wanita adalah melanggari hukum hak asasi manusia," katanya kepada mStar Online semalam.
Jelas Maria lagi, kerajaan sepatutnya perlu mendedahkan kepada masyarakat berhubung hukuman berkenaan sebelum apa-apa tindakan diambil.
"Mengapa kerajaan jalankan hukuman sebat itu tanpa memberitahu rakyat terlebih dahulu, mengapa buat secara rahsia?
"Ini bukan perkara kecil, hukuman sudah dijalankan baru kerajaan dedahkan," katanya.
Selain itu, Maria turut menggesa agar kerajaan mengkaji semula Undang-undang Syariah di negara ini.
"Kita harap kerajaan dapat mengkaji semula Undang-undang Syariah yang sedia ada sekarang.
"Memang ada masalah kalau negara kita ada dua undang-undang... sivil dan syariah," katanya.
Berikutan bantahan itu PMM menyifatkan kenyataan beberapa pihak yang mempertikaikan sebatan syariah ke atas tiga pesalah syariah wanita baru-baru ini memperlihatkan masih ada yang tidak memahami dwisistem perundangan yang diamalkan di negara ini.
Presidennya Zainul Rijal Abu Bakar berkata kenyataan oleh Sisters in Islam (SIS), Majlis Peguam dan beberapa pihak lain juga membayangkan mereka tidak pernah melihat bagaimana hukuman sebat syariah dijalankan.
"Perlulah ditegaskan sekali lagi di sini bahawa sebatan syariah jauh berbeza daripada sebatan sivil.
"Sebatan syariah tidak mencederakan mahupun melukakan pesalah berbanding dengan sebatan sivil yang meninggalkan parut dan kesan dalam jangka masa dua tahun.
"Sebatan syariah adalah umpama bapa atau guru yang merotan anak yang telah melakukan kesilapan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.
"Dalam masa yang sama PPMM bersetuju sebatan sivil itu adalah kejam dan perlu dihapuskan. Sebatan sivil itu juga tidak Islamik. Sebatan yang mencedera dan mengerikan itulah yang patut dihapuskan kerana melanggar hak asasi manusia.
"Malah Resolusi Majlis Peguam yang diluluskan beberapa tahun lepas juga memberi penekanan aspek kekejaman sebatan sivil. Ini adalah kerana sebatan syariah tidaklah sekejam yang digambarkan itu," katanya.
Beliau berkata PPMM percaya anggotanya di dalam Majlis Peguam juga tidak bersetuju sebatan syariah dihapuskan.
Zainul Rijal seterusnya meminta agar hukuman sebatan syariah yang masih belum dilaksanakan termasuklah kes Kartika Sari Dewi Sukharnor dilakukan segera agar keadilan kepada pesalah syariah itu sendiri dapat dilakukan.
"PPMM menyokong usaha kerajaan memartabatkan perundangan syariah melalui sebatan syariah bagi pesalah yang telah disabitkan atas kesalahan yang membawa hukuman sebat," katanya.
Baca rencana berikut dalam Berita Harian:
Hukuman sebat menusuk jiwa
Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my
KAJANG: Tiga wanita kumpulan pertama yang menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di negara ini atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah, reda disebat dan mengakui hukuman itu memberi mereka kesedaran yang cukup mendalam.
Mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu, Aishah dan Nur, juga mengakui hukuman itu tidak menyakitkan seperti yang disangka sebelum ini.
Ayu, 20-an, yang juga ibu kepada bayi berusia kira-kira setahun, berkata hukuman sebatan itu tidak mencederakan atau menyakitkan, sebaliknya bertujuan memberi keinsafan dan mengurangkan tekanan jiwa.
"Hukuman itu memberi kesedaran mendalam dalam jiwa saya. Allah memberi peluang untuk saya bertaubat dan kembali ke jalan-Nya," katanya kepada pemberita di Penjara Wanita Kajang di sini, semalam.
Ayu dibebaskan Ahad lalu selepas menjalani hukuman penjara dua bulan dan empat sebatan. Dia juga didenda RM1,000 mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 selepas menyerah diri di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Katanya, dia tidak mengemukakan rayuan kerana reda dengan apa juga hukuman yang diputuskan mahkamah.
"Saya wajar menerima hukuman itu, jika tidak saya tak akan sedar sampai bila-bila," katanya.
Pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu dengan disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.
Semalam, wakil media juga menyaksikan demonstrasi hukuman sebat ke atas pesalah syariah wanita. Mengikut undang-undang syariah, hukuman itu hanya dijalankan ke atas pesalah yang disahkan sihat oleh pegawai perubatan hospital kerajaan.
Selain itu, hukuman dilaksanakan dalam keadaan pesalah menutup aurat oleh pegawai sebat wanita. Rotan yang digunakan pula berukuran maksimum 1.22 meter panjang dan ketebalan 1.25 sentimeter bergantung keputusan mahkamah.
Menceritakan detik disebat pada 9 Februari lalu, Ayu berkata, selepas menerima sebatan pertama, dia memperbanyakkan istighfar.
"Apa yang terlintas dalam fikiran saya ketika itu hanya mengharapkan keampunan daripada Allah," katanya yang akan melangsungkan perkahwinan sebaik saja pasangannya dibebaskan, akhir bulan depan.
Ayu berkata, walaupun gerun mendengar hukuman yang bakal diterimanya, dia mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas agama di penjara dan banyak mengerjakan solat taubat meminta keampunan daripada Allah.
Aishah, 18, pula berkata dia terkejut dan terduduk ketika Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam bulan penjara, enam sebatan dan denda RM3,000 pada Disember lalu. Pasangannya yang dikahwininya pada Oktober lalu, turut dikenakan hukuman yang sama.
"Walaupun berdebar, saya reda dan patut terima hukuman itu kerana hukuman di akhirat lebih hebat tetapi sekurang-kurangnya saya insaf.
"Saya tidak buat rayuan kerana tidak mahu menyusahkan lagi ibu bapa saya yang mengharapkan saya menjadi manusia berguna," katanya yang kematian bayi pramatang berusia tujuh bulan pada November lalu.
Katanya, keluarganya hanya mengetahui dia mengandung ketika kandungannya berusia enam bulan dan memaksanya berkahwin dengan pasangannya.
"Walaupun tertekan dengan kesilapan lalu, saya tidak tergamak untuk membunuh bayi dalam kandungan kerana tidak mahu menanggung satu lagi dosa besar tetapi malangnya bayi meninggal dunia selepas dilahirkan tidak cukup bulan," katanya.
Sementara itu, Nur, 20-an, berkata hukuman enam sebatan yang dilaluinya dapat mengurangkan tekanan jiwa yang ditanggung selepas melahirkan anak luar nikah hampir tiga tahun lalu.
Menganggap diri sebagai insan terpilih kerana diberi peluang menjalani hukuman berkenaan, Nur berkata, dia tidak merasai kesakitan ketika disebat kerana reda dengan hukuman itu.
Katanya, dia tidak dapat berkahwin dengan pasangannya yang juga menerima hukuman sama di Penjara Kajang walaupun selepas melahirkan anak perempuan kerana berdepan dengan masalah wali apabila bapanya meninggalkan keluarga termasuk ibunya yang sakit sejak enam tahun lalu.
Tanpa menyalahkan keadaan keluarganya, dia menganggap kejadian yang berlaku berpunca daripada kesilapan diri sendiri.
"Selepas menjalani hukuman ini, saya berserah kepada Allah semoga diampunkan segala dosa kami," katanya.
salam
ReplyDeletekalau ngo yg mengaku islam tapi mmpertikai hukuman tersebut atau mana2 orang yg mengaku islam yg mmperetikaikan hukum yg telah dipersetujui olih pihak yg brkuasa ugama islam adalah wajar memikirkan supaya mengamalkan ajaran islam yg mereka faham,dan duduk diam2 tanpa mempertikaikan fahaman orang melayu islam yg berpegang kepada pihak brkuasa islam di malaysia.bagi pihak berkuasa islam pula perlulah menyediakan sistem yg lengkap yang bolih mengambil tindakan kepada mana2 pihak yg menghina mahkamah syariah(seperti undang2 civil biasa).
bro,
ReplyDeleteaku rasa sisters in islam ni hanya memperjuangkan hak wanita islam, bukannya islam. desakan mereka agar undang2 islam diselaraskan dengan undang2 antarabangsa mencerminkan betapa pertubuhan ini hanya mementingkan hubungannya dengan Barat dan membelakangkan syariah islam. mereka dengan itu tidak patut menggunakan perkataan islam pada namanya.
ulasan lanjut: www.justread-whatever.blogspot.com
jahil murakkab la sister in islam konon.. kalau dh hina Islam baik tukar agama je.. jawablah dgn Allah nanti...
ReplyDelete